Kebimbangan terhadap gerakan ‘neokomunisme’ ada asasnya
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Komunisme adalah satu ideologi dunia yang kini cuba diberi wajah baru oleh pendukungnya. Di negara-negara di mana perjuangan komunis pernah mengalami kegagalan bukanlah jaminan bahawa fahaman terbabit sudah berkubur sama sekali. Komunisme hari ini cuba direformasikan semula mengikut perubahan zaman. Ia disebut sebagai neokomunisme. ‘Neo’ bermaksud gaya baru atau bentuk baru. Jadi, neo-komunisme itu adalah bentuk baru dari komunisme asal yang dituliskan oleh Karl Marx (1818-1883) dan Frederich Engels (1820-1895).
-
Satu perbahasan menarik mengenai neokomunisme ialah tentang wujudnya konsep ‘demokrasi komunis’. Namun, konsep demokrasi komunis lebih menekankan pada elemen-elemen substantif. ‘Demokrasi’ menurut komunis bermaksud mewujudkan ‘kepentingan terbaik’ bagi masyarakat. Bagi komunis ‘kepentingan terbaik’ itu adalah komunisme yang dapat mengakhiri penguasaan kapitalisme (William Ebestein, 1998).
-
Bagi komunis, mereka yang mengetahui ‘kepentingan terbaik’ untuk rakyat ialah minoriti kecil yang berkuasa dalam parti komunis. Justeru, dalam sistem komunis tidak wujud parti pembangkang kerana komunis adalah parti tunggal yang dianggap paling benar.
-
Di Indonesia gerakan neokomunisme dapat dikesan semasa Pilihan Raya Umum (Pemilu) 1999 dan 2004. Mereka cuba mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya tetapi cubaannya itu tidak berhasil kerana masyarakat Indonesia tidak dapat menerima fahaman berjalur komunisme walaupun mereka cuba bertopengkan demokrasi. Begitu pun, di negara itu sudah ada penyebaran yang agak meluas dengan dukungan ribuan generasi mudanya yang tertarik dan menganut fahaman neokomunisme.
-
Perlu diingat semasa era perjuangan komunis di Tanah Melayu dulu, pejuang-pejuang komunis di Indonesia turut memasuki Tanah Melayu secara sulit dan membantu rakan-rakan komrad mereka di Tanah Melayu. Mereka digunakan untuk menarik sokongan orang Melayu. Justeru, tidak mustahil sejarah akan berulang kembali, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan ini.
Di Eropah, parti berfahaman komunis mendapat sokongan tidak kurang dari 10 peratus. Oleh itu, tidak mustahil agen-agen neokomunisme antarabangsa berusaha gigih untuk menyuntik fahaman ini secara halus, terutamanya di negara-negara di mana fahaman komunis pernah cuba diperjuangkan termasuk di tanah air kita sendiri.
-
Pendekatan gerak saraf mereka amat licik sehingga mereka yang terpengaruh dengannya tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya telah terperangkap dalam jerat anasir subversif itu. Pejuang-pejuang neokomunisme gemar mewacanakan isu-isu yang kononnya akan mereka perjuangkan untuk masyarakat marhaen yang kononnya telah diabaikan oleh kerajaan. Di antara dakyah gerak sarafnya ialah cuba menggambarkan bahawa kerajaan mengutamakan kaum kapitalis walaupun pada realitinya kerajaan telah membawa program pembangunan yang meluas untuk rakyat dan negara.
-
Di Indonesia, ia disebarkan secara halus melalui forum-forum dan diskusi tertutup serta program-program bedah buku dan penayangan film berunsur perjuangan komunis. Hari ini penyebaran ideologi neokomunisme menjadi lebih mudah melalui jaringan media sosial. Di negara kita sendiri terdapat pelbagai media sosial yang memuatkan kritikan yang berunsur anti federalisme, anti raja berpelembagaan dan menghina Agong dan raja-raja. Mereka juga suka memperkecil-kecilkan pejuang-pejuang tanah air yang telah banyak berkorban menentang kezaliman komunis.
-
Langkah pertama dalam pendekatan neokomunisme ialah mereka juga akan turut sama memperjuangkan hak kebebasan walaupun komunis sebenarnya anti hak kebebasan. Tujuan sebenarnya adalah mereka mahu mengambil kesempatan untuk menyuntik fahaman komunisme secara halus sehinggalah akhirnya rakyat secara tidak sedar akan menyokong perjuangan mereka.
-
Satu lagi fahaman yang berkembar dengan komunisme ialah sosialisme. Bagi komunis masyarakat sosialis adalah tahap awal ke arah mewujudkan sebuah negara komunis. Justeru, dalam bukunya Manifesto Komunis, Karl Marx mengarahkan supaya semua komunis di seluruh dunia mengasaskan fahaman sosialisme kerana mewujudkan masyarakat sosialis adalah laluan penting ke arah mencipta masyarakat dan negara komunis.
-
Hari ini, di negara kita suara sosialisme turut berkumandang di celah-celah suara yang memperjuangkan hak kebebasan. Peliknya, sejak Pas menyuarakan konsep ‘negara kebajikan’, kita dapati beberapa tulisan oleh mereka yang berfikiran sosialis memuji dan menyokong usaha Pas itu sedangkan golongan sosialis berpandangan sistem ekonomi tidak ada kaitannya dengan agama. Justeru, berbagai-bagai persoalan timbul di sini. Apakah mereka berpendapat bahawa Pas sudah meninggalkan kerangka agama dalam perjuangannya sehingga bersedia untuk menyokong idea ‘negara kebajikan’ Pas itu?
-
Dulu semasa Pas memperjuangkan negara Islam mereka menentang habis-habisan. Mungkinkah mereka berpendapat apa yang diusulkan Pas itu selari dengan perjuangan sosialis? Tulisan-tulisan mereka itu dimuatkan di beberapa akhbar tabloid dan media-media sosial yang pro pembangkang.
-
Gerakan neokomunisme akan berusaha menyemai bibit-bibit pertentangan antara kerajaan dan rakyat. Ini bermakna teori pertentangan kelas cuba diaplikasikan oleh neokomunisme dalam masyarakat kita. Apabila sampai ke satu tahap di mana rakyat dan kerajaan sentiasa bertentangan atau berkonflik maka mudahlah bagi mereka memperoleh kekuatan dari akar umbi (rakyat) untuk menyokong tindakan radikal@revolusi mereka bagi menggulingkan kerajaan.
-
Justeru, kita bimbang jika awal-awal lagi gerakan neokomunisme atau mana-mana anasir subversif tidak dipantau dan dibanteras maka ia akan membuka ruang untuk mereka mempengaruhi generasi muda di negara ini yang akhirnya akan mendatangkan kemudaratan kepada negara. Ia akan menjadi api yang membakar sekiranya baranya tidak dipadamkan awal-awal lagi.
-
Oleh itu, mana-mana pertubuhan atau badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menunjukkan ciri-ciri antagonistik, radikal dan revolusioner harus dipantau dan diawasi kegiatan mereka. Trend pemikiran pemimpin-pemimpin mereka harus diteliti dan dianalisis termasuk tulisan-tulisan yang mereka hasilkan supaya mereka tidak menyemai fahaman subversif di negara ini.
-
Pemerintah atau kerajaan pula harus benar-benar berupaya mengatasi kemiskinan, pengangguran dan pelbagai ketempangan supaya rakyat tidak mudah menyokong atau terperangkap dengan memilih jalan neokomunisme. Justeru, usaha-usaha transformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan hari ini harus benar-benar dapat memberikan manfaat menyeluruh kepada semua golongan rakyat.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
artikal yg baik....dah habis phd?
Post a Comment