Tuesday, January 11, 2011


Transformasi ekonomi mula menampakkan kesan
Oleh Mohd. Ayop Abd Razid
-
SALAH satu ukuran penting bagi mengukur kemajuan sesebuah negara ialah pertumbuhan dan pencapaian ekonominya. Biasanya, pencapaian ekonomi sesebuah negara diukur melalui pendapatan negara.
-
Ia adalah satu ukuran nilai wang bagi barang-barang dan perkhidmatan dalam sesebuah negara melalui pencapaian seluruh kegiatan ekonomi dalam sesuatu tahun. Konsep ini juga dikenali sebagai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
-
Keseluruhannya, pertumbuhan dan pencapaian ekonomi Malaysia berada pada landasan yang positif pada 2010. Ia ekoran pemulihan ekonomi global yang kembali kukuh dan disokong oleh beberapa faktor. Antaranya ialah rangsangan fiskal yang mapan dan dasar monetari akomodatif di seluruh negara.
-
Selain itu, pertumbuhan yang kukuh di rantau Asia, terutama China dan India serta ekonomi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan negara-negara pengeluar minyak turut mempengaruhi pertumbuhan global.
-
Pada tahun lalu, KDNK negara kita mencapai sasaran 7.0 peratus. Ia menepati apa yang dijangkakan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada suku pertama, KDNK negara ialah 10.1 peratus, suku kedua 8.9 peratus dan suku ketiga 5.3 peratus. Pada keseluruhannya, pertumbuhan domestik dengan perbelanjaan sektor swasta yang meningkat telah menjadi unsur utama pencapaian ekonomi negara. Permintaan domestik tahun lalu dianggarkan meningkat sebanyak lima peratus.
-
Walaupun permintaan luar negara berada dalam aliran yang lembap tetapi kesan peningkatan pertumbuhan domestik menyebabkan pertumbuhan ekonomi kita terus berkembang.
-
Semua sektor ekonomi negara tumbuh positif kecuali sektor perlombongan. Fakta lain yang menunjukkan ekonomi kita berada pada kedudukan yang positif ialah peningkatan simpanan rizab negara.
-
Dari Januari hingga 15 November 2010, jumlah rizab negara kita adalah AS$105.8 bilion (RM326.455 bilion). Ketika krisis kewangan 1997/98, rizab negara hanya berjumlah AS$420 bilion (RM63 bilion).
-
Demikian juga mata wang kita mencatat prestasi terbaik yang mana ringgit mengakhiri 2010 dengan ditutup pada RM3.0880 berbanding satu dolar AS. Selain itu, Pelaburan Asing Langsung (FDI) yang jatuh teruk sebanyak 81 peratus pada 2009 mula kembali berkembang secara positif.
-
Pada 2009, FDI kita hanya bernilai RM5 bilion sahaja tetapi ia mula meningkat pada tahun lalu di mana FDI bagi Januari hingga September adalah RM17.1 bilion. FDI bagi suku pertama ialah RM5.1 bilion, suku kedua RM5.9 bilion dan suku ketiga RM6.2 bilion. Adalah dijangkakan keseluruhan aliran masuk FDI untuk tahun lalu mencecah RM20 bilion.
-
Peningkatan masuk FDI membuktikan bahawa beberapa dasar baru yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dasar liberalisasi, Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) mula memberikan kesan positif terhadap pelaburan asing.
-
Tahun lalu sahaja, FDI global melebihi paras AS$1.2 trilion. Apa yang perlu ialah kerajaan haruslah berusaha lebih gigih untuk menarik lebih banyak aliran masuk modal asing pada tahun ini supaya senario persaingan menarik kemasukan FDI di kalangan negara-negara ASEAN akan lebih memihak kepada kita.
-
Sungguhpun begitu, kerajaan harus berhati-hati, mengawal dan mengurusnya dengan baik kerana pengalaman negara sebelum ini menunjukkan bahawa pergantungan keterlaluan terhadap FDI dalam pembentukan kasar domestik, terutama dalam pelaburan sektor pembuatan telah mengehadkan kemajuan keusahawanan domestik (Jomo K.S., 2010).
-
Usaha kerajaan untuk mengalih tumpuan daripada sektor pembuatan kepada sektor perkhidmatan serta pelancongan dijangka melonjak momentum pertumbuhan ekonomi negara. Demikian juga iltizam kerajaan melaksanakan Projek Permulaan (ETP) baru di bawah ETP akan banyak membantu pertumbuhan dan pencapaian ekonomi negara. Kita yakin ETP yang berasaskan 12 bidang ekonomi utama (baru) akan berjaya melonjakkan prestasi ekonomi negara.
-
Namun, kita harus faham bahawa setiap perubahan dalam pembangunan ekonomi negara yang melibatkan transformasi dari bentuk sedia ada kepada bentuk ekonomi baru memerlukan sekurang-kurangnya lima peringkat penting iaitu persediaan, pelancaran, pelaksanaan (penetapan perkembangan), kematangan dan lepas kematangan. Inilah yang sedang dilalui oleh program transformasi ekonomi yang diperkenalkan oleh Najib. Peringkat persediaan dan pelancaran ETP telah pun dilakukan. Kita kini berada dalam peringkat pelaksanaan.
-
Pada hemat saya, dalam proses ETP dan MBE mencapai kematangannya maka kerajaan masih harus bergantung kepada ekonomi sedia ada seperti FDI dan sektor pembuatan.
Namun, pergantungan terhadap sektor ini semakin dikecilkan, manakala pergantungan kepada bentuk-bentuk ekonomi baru seperti yang dirangka di bawah ETP terus diperhebat dan diperkukuhkan.
-
Pelaksanaan pelbagai projek dalam RMK-10 dan PTE akan merancakkan lagi beberapa sektor penting negara seperti sektor kewangan dan insurans, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan. Sektor pembinaan yang mengalami kelesuan beberapa tahun lalu dijangka kembali rancak apabila pelaksanaan pelbagai projek seperti yang disenaraikan dalam Bajet 2011, RMK-10 dan ETP mula dilaksanakan.
-
Selain itu, usaha membangun modal insan berkualiti terutama dalam menjayakan budaya inovasi dan kreativiti dalam penghasilan barangan dan perkhidmatan akan turut memberi kesan positif pertumbuhan ekonomi negara.
-
Dalam konteks ini, penubuhan Talent Corporation (perbadanan bakat) pada 1 Januari lalu dilihat mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja atau modal insan negara. Pada masa kini, negara mempunyai hanya 25 peratus tenaga pekerja mahir.
-
Justeru, diharapkan perbadanan bakat itu akan benar-benar dapat mencapai misinya untuk melahirkan lebih banyak tenaga kerja berpengetahuan tinggi. Ini penting kerana ia sekali gus akan dapat meningkatkan daya saing negara serta daya produktiviti negara. Kesan daripada peningkatan daya produktiviti itu nanti akan membolehkan syarikat-syarikat membayar gaji yang lebih tinggi setanding dengan peningkatan daya produktiviti yang dihasilkan.
-
Ia sekali gus akan memberikan harapan kepada kita untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, iaitu daripada AS$7000 (RM24,500) kepada AS$15000 (RM52,500) menjelang tahun 2020.
-
Kesimpulannya, pelaksanaan ETP telah menunjukkan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Selain itu, GTP, penglibatan sektor swasta yang semakin meningkat, pembangunan modal insan yang telah mula dilaksanakan serta kesediaan rakyat untuk menerima dasar-dasar pembaharuan ekonomi akan dapat melonjakkan pencapaian negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. - Utusan 11/1/11

No comments: