Kerja Iblis heret manusia ke kancah kekufuran
Oleh: Megatrambai
-
Ketika Allah menciptakan Adam A.S. telah wujud makhluk yang di kenali sebagai malaikat yang dicipta daripada nur (cahaya). Satu lagi makhluk Allah yang telah wujud ialah Azazil yang diciptakan daripada api. Azazil menjadi ketua bagi malaikat (Sayyidul Malaaikat) beribu tahun lamanya sebelum ia derhaka kepada Allah SWT.
-
Azazil berasal dari gabungan beberapa perkataan Ibrani, iaitu Aza dan Izzah yang bermaksud mulia dan dari perkataan El atau Eli yang bermaksud Allah. Dari perkataan-perkataan tersebut timbulnya nama Azazil atau Izazil yang bermaksud makhluk yang dimuliakan Allah. Pada asalnya Azazil adalah makhluk yang bersifat taat dan kuat beribadah sehingga dikatakan tidak ada penjuru bumi yang tidak terkena sujud Azazil kepada Allah SWT.
-
Sifat mulianya itu berubah apabila ia diperintahkan sujud kepada Adam A.S yang dicipta untuk dijadikan khalifah di bumi. Al-Quran sendiri merakamkan bahawa setelah Adam diciptakan maka Allah memerintahkan seluruh malaikat bersujud kepada Adam. Menurut mufasirin, sujud ini bukannya sujud menyembah tetapi sebagai lambang menghormati Adam A.S.
-
Mengapa Adam begitu mulia di sisi Allah? Kalau diikutkan logik maka Malaikat dan Azazil adalah makhluk yang lebih senior diciptakan sebelum Adam. Mereka juga diciptakan daripada unsur yang lebuh hebat berbanding Adam a.s. Sebenarnya Adam memiliki kelebihan, iaitu ia telah diberikan beberapa kelebihan ilmu. Justeru, inilah yang menyebabkan Allah memerintahkan seluruh malaikat bersujud kepadanya.
-
Seluruh malaikat akur kepada perintah Allah kecuali Azazil. Peristiwa ini telah mempamerkan watak sebenar Azazil. Rupa-rupanya Azazil di dalam dirinya tersemat watak atau tabiat kejinya, iaitu dengki (hasad) dan sombong (takabbur). Baginya, Adam hanyalah makhluk bertaraf rendah yang diciptakan dari tanah, sedangkan dia diciptakan dari api.
-
Sikapnya ini menyebabkan ia menjadi kufur seperti maksud firman Allah SWT: “Dia menolak dan menyombongkan diri, maka dia termasuk ke dalam golongan mereka yang kafir”(Al- Baqarah 34). Demikianlah bagaimana Azazil menjadi kufur kerana sifat memberontak dan membantah terhadap Allah SWT. Disebabkan sifatnya yang keji itulah maka binasalah kemuliaan dan ketinggiannya. Namanya turut ditukar menjadi Iblis atau syaitan laknatullah. Iblis bermaksud “terputus dari rahmat Allah”.
-
Dalam ayat lain disebutkan bahawa ” Iblis itu adalah sebahagian dari bangsa Jin…” (Al- Kahfi 51). Mereka berkeluarga dan beranak pinak seperti Ifrit (An- Naml 39) . Dalam legenda Yahudi ia digambarkan sebagai syaitan jantan yang berbadan sasa dan barwajah hodoh. Ketakburan Iblis ini terungkap dari pernyataannya sendiri yang mempersoalkan Allah SWT dengan katanya: “Engkau Ciptakan aku dari api”.
-
Hakikatnya ialah nama Iblis dan Ifrit adalah makhluk Allah yang sangat derhaka. Makhluk ini sering dirujuk sebagai sumber kejahatan. Sekiranya anak cucu Adam, iaitu manusia mempunyai sifat suka membangkang (Abaa) dan tabiat membangkang (Istakbaro) itu dilakukan karena kesombongan hatinya terhadap perintah Allah maka akan jatuhlah ia pada kekufuran.
Justeru, adalah amat malang bagi sesiapa yang sepanjang hidupnya berperangai persis seperti Iblis yang hidup sampai akhir hayat dengan tabiatnya suka membangkang dan menderhakai perintah Allah SWT.
-
Kederhakaan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia itu adalah disebabkan tergoda dan termakan bisikan Iblis atau syaitan yang telah pun menyimpan dendam serta bersumpah akan menggoda dan merayu Adam dan seluruh keturunannya, kecuali mereka yang hatinya bersih dan ikhlas dalam amal ibadah dan amal sholeh yang dilakukan.
-
Untuk melampiaskan dendam kesumatnya itu, maka iblis memohon kepada Allah agar kematiannya ditunda sampai hari kiamat. Iblis memohon: “Ya Tuhanku, (kalau begitu) maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan”.(Al- Hijr 36/ Shod 79). Allah mengabulkan permintaan Iblis itu dengan firman Nya: “Sesungguhnya kamu termasuk golongan yang ditangguhkan (ajalnya). Sampai waktu yang telah dimaklumi, yakni hari kiamat” (AS- Shood 80 – 81).
-
Mereka yang bersifat seperti iblis dan berkekalan dengan sifat-sifat keingkarannya itu akan dihumban ke api neraka bersama-sama dengan Iblis laknatullah - ‘Naudzu billaahi mindzaalik’. Maksud firman Allah SWT: “Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka jahanam dengan jenis kamu dan segala orang- orang yang mengikuti kamu di antara mereka semuanya” (Shood: 85).
-
Hari ini pelbagai kejahatan dilakukan oleh manusia tidak kira di Timur atau pun di Barat adalah berpunca daripada penentangannya terhadap perintah-perintah Allah SWT. Mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Manusia hari ini, di setiap penjuru dunia banyak melakukan pelbagai kemungkaran dan kejahatan. Paling mendukacitakan ialah apabila umat Islam sendiri ramai yang melakukan pelbagai bentuk kemungkaran.
-
Di negara kita sendiri, isu-isu kemungkaran seperti pergaulan bebas, zina, pembuangan bayi (kebanyakannya hasil perzinaan), minum arak, pemujuaan terhadap syaitan melalui pelbagai upacara, derhaka kepada ibu-bapa dan bermacam-macam lagi kejahatan kebanyakannya diunguli oleh umat Islam sendiri. Kesuburan amalan-amalan kemungkaran ini dijanakan lagi dengan pertumbuhan bebarapa industri mungkar seperi industri hiburan yang melalaikan (nyayian dan perfileman), industri pelacuran, perjudian, minuman keras dan sambutan-sambutan hari kemungkaran seperi hari valantine dan seumpamanya.
-
Malah, lebih jauh dari itu ada yang sanggup meninggalkan agama (murtad) disebabkan terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan godaan yang berpunca daripada hasutan iblis laknatullah, juga syaitan di kalangan jin dan manusia.
-
Kesimpulan, Iblis dan segala zuriatnya akan terus menerus tanpa mengenal jemu dan lelah akan menggoda, merayu dan memperdaya anak-anak Adam dari pelbagai sudut dengan pelbagai paparan keindahan dan keseronokan dunia yang dipersembahkan secara kreatif dan inovatif mengikut peredaran zaman.
-
Sesungguhnya beruntunglah mereka yang hatinya bersih dan ikhlas dalam beramal serta mereka yang segera kembali bertaubat ke jalan Allah.
No comments:
Post a Comment