Sunday, March 21, 2010

Mengkritik Bangsa Melayu

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

CATATAN sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai antara penyebab kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.
-
Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
-
Pada awal abad ke-20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.
-
Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 - 1908) yang diterbitkan di Singapura bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan. Seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton, peranan Al-Imam adalah untuk 'mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat' (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.
-
Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu, di samping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar tersebut ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd. Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.
-
Sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an pula, lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan daripada kebudayaan, sosial, pendidikan sehinggalah kepada perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.
-
Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gagasan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British menjadi pemangkin menyatukan orang Melayu di bawah perjuangan UMNO. Ramai cendekiawan, budayawan, sasterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan UMNO.
-
Di awal tahun 1970-an iaitu selepas tragedi 13 Mei, usaha untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula digerakkan. Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu. Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.
-
Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan DEB. DEB telah melahirkan ramai profesional Melayu seperti dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai bidang lain yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lain. Namun, setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan UMNO?
-
Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara. Bagaimanapun, pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus dan pentadbir yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan daripada pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identiti dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.
-
Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ia bertujuan menimbulkan kesedaran. Apa yang penting adalah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.
-
Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu sama ada secara nyata atau secara halus melalui pelbagai tuntutan sama ada yang diputuskan dalam resolusi-resolusi parti tertentu atau pun melalui memorandum adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan tegas dan berani dalam bentuk tindakan yang berstrategi.
-
Ia memerlukan kepimpinan Melayu yang benar-benar beramanah dan memiliki minda strategik yang hebat. Kesungguhan politik (political will) sangat diperlukan dalam hal ini. Demikian juga pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang semakin banyak wujud hari ini yang memiliki cita-cita untuk mempertahankan hak-hak Melayu mestilah konsisten dan terus komited dalam perjuangan.
-
Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit daripada kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa. Harapan kita, biarlah semua pemimpin Melayu dari parti mana sekali pun dapat duduk semeja untuk berbincang secara ikhlas dari hati ke hari ke arah membina semula kekuatan Melayu yang hari ini semakin terhakis kesan daripada pelbagai pertentangan politik sesama bangsa. - Utusan Malaysia 17/3/2010

Sunday, March 14, 2010

Subur dan tebarkan nilai kasih sayang sesama insan

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Prinsip persaudaraan manusia di dalam Islam meletakkan seluruh manusia ke dalam satu keluarga besar yang berasal dari nabi Adam a.s. Pengertian ini jelas dapat difahami apabila Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda (berdoa) yang bermaksud: “Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara” (Hadis riwayat Abdu Daud).Persaudaraan sesama manusia harus diperluaskan melalui nilai kasih sayang (al-mua’akhah bi al-mawaddah) secara tulus dan suci.
-
Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum ini maka nilai kasih sayang dapat mencambahkan nilai-nilai toleransi, penerimaan dan hormat menghormati antara satu sama lain.Melalui penghayatan nilai-nilai asas kemasyarakatan tersebut maka akan terbinalah solidariti sosial (ulfah jamai’ah) yang padu dan mampu membina interaksi rakyat ke arah gemar melakukan kebajikan sosial serta keramahan atau kemesraan dalam pergaulan.
-
Kasih sayang adalah sebahagian daripda integriti moral yang menjadi petunjuk kemuliaan (al-kiram) kerana ia menjadi hiasan kemanusian. Ia adalah sifat yang mendorong jiwa menyempurnakan keluruhan akhlak yang terpuji. Dalam masyarakat beragama, penghayatan terhadap ajaran agama secara positif akan mengarah kepada konsistensi berperilaku positif. Dalam konteks ini, agama akan mendorong insan berakhlak baik sehingga ia memiliki kasih sayang sesama manusia.
-
Harus difahami bahawa nilai kasih sayang adalah fitrah yang dikurniakan ilahi kepada manusia. Justeru jangan digersang atau dimatikan nilai tersebut dari kalbu kita. Nilai kasih sayang adalah sebahagian daripada sifat Allah SWT. Nilai kasih sayang terkandng dalam beberpa Asma’ (nama-nama) Allah seperti Al-Rahman (Maha Pemurah) Al-Rahim (Maha Pengasih), Al-Salam, Al-Muhaiminin (Maha memlihara), Al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan Al-Wahab (Maha Pemberi).
Oleh kerana tingginya nilai kasih sayang maka Rasulullah tidak mahu mendoakan kebinasaan kepada musuh seperti yang berlaku dalam peristiwa Taif.
-
Dalam peristiwa di Taif, Rasulullah terpaksa meninggalkan tempat terebut setelah baginda ditentang keras oleh kabilah Tsaqib. Ketika Rasulullah meninggalkan tempat tersebut lalu seorang lelaki memohon kepada baginda agar nabi berdoa untuk kebinasaan mereka. Namun, baginda yang memiliki sifat kasih sayang tidak berbuat demikian tetapi nabi memohon agar Allah memberikan petunjuk kepada kabilah tersebut.
-
Demikian juga dalam satu peperangan ada sahabat nabi yang meminta nabi melaknat musuh yang sedang dihadapai itu. Namun, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat dan bukan sebagai pelaknat”. Begitulah nabi yang memiliki sifat kasih sayang tidak tergamak untuk memohon kebinasaan dan kelanatan kepada musuhnya.
-
Ajaran Konfucius sangat menekankan nilai kasih sayang dan sifat perikemanusian. Manusia disuruh melakukan kebaikan sehingga wujud kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Ajaran Konfucius mengenai nilai kasih sayang terangkum dalam konsep ‘ren/jen’. Asas konsep ini ialah ‘chung’ dan ‘shu’. Chung ialah melakukan perkara positif terhadap orang lain seperti yang kita harapkan orang lain lakukan kepada kita. Shu bermakna jangan buat perkara negatif kepada orang lain seperti mana kita tidak mahu orang lain lakukan kepada kita.
-
Individu akan hilang keseimbangan diri apabila nilai kasih sayang tidak wujud`dalam dirinya. Lebih jauh lagi, insan yang tidak memiliki nilai kasih sayang akan mengalami keterasingan (alienasi) dalam kehidupan walaupun dia berada di tengah-tengah masyarakat. Manusia yang mengalami keterasingan akan mengalami gangguan atau kekacauan psikis sehingga mendorongnya melakukan tindakan-tindakan yang boleh merusakkan kehidupan orang lain.
-
Mereka yang gersang hatinya dari nilai kasih sayang sesama manusia biasanya gagal menggunakan akal dan hati. Kalbu kemanusiannya mungkin terkunci rapat menyebabkan ia mudah melakukan penderaan, keganasan, penganiyaan ke atas orang lain. Jika dia seorang suami atau bapa yang tandus nilai kasih sayang maka ia akan cenderong melakukan penderaan ke atas isteri dan anak-anaknya. Jika ia seorang majikan atau ketua jabatan maka ia akan menzalimi atau menganiaya pekerja bawahannya.
-
Kebanyakan peperangan yang berlaku sejak dulu hingga kini juga berpunca dari hilangnya kasih sayang sesama manusia. Demikian juga kumpulan “terroris” yang sanggup mengorbankan nyawa orang-orang yang tidak berdosa dalam aksi-aksi ‘keganasan’ mereka juga adalah golongan yang tandus kasih sayangnya terhadap manusia.
-
Kesimpulan, nilai kasih sayang adalah fitrah kurniaan ilahi yang wajar disuburkan sepanjang masa dan sepanjang zaman. Ia adalah sebahagian daripada unsur pembinaan kehidupan berakhlak dan bermoral. Justeru, selaku masyarakat yang beragama dan bertamadun, marilah kita sama-sama menyubur dan menebarkan nilai kasih sayang sesama insan. Hentikan segala bentuk keganasan, penderaan dan penganiayaan sesama manusia melalui nilai kasih sayang ynag dikurnikan ilahi kepada kita.

Wednesday, March 10, 2010


Sun Tzu menyebut:
"kenallah musuhmu dan kenal dirimu sendiri,
maka dalam seratus pertempuran pun kamu tidak akan tewas"

Sunday, March 7, 2010


Masyarakat alpa punca kanak-kanak masih jadi mangsa dera


Mohd Ayop Abd Razid


PADA 20 November 1989, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai proklamasi 'Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak'.


Takrif kanak-kanak mengikut konvensyen terbabit ialah setiap manusia di bawah umur 18 tahun. Konvensyen terbabit mengesahkan hakikat bahawa kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan khas dengan penekanan khas ke atas penjagaan utama dan tanggungjawab perlindungan oleh keluarga.


Dalam soal hak kehidupan adalah menjadi tanggungjawab kita selaku orang dewasa memelihara kanak-kanak membesar dengan sempurna dan sihat. Aspek ini perlulah merangkumi pertumbuhan dan perkembangan fizikal, mental, kerohanian, moral atau sosial kanak-kanak itu.


Hak perlindungan kanak-kanak menghendaki kita memberikan perlindungan dari segala bentuk kejahatan seperti dadah, penderaan, eksploitasi seks, eksploitasi ekonomi (buruh kanak-kanak), penjualan atau pemerdagangan kanak-kanak dan segala bentuk eksploitasi lain.


Hak perkembangkan pula menentukan bahawa kanak-kanak berhak untuk ke sekolah atau mendapat pelajaran dan pendidikan yang sempurna. Hak penyertaan pula membawa pengertian bahawa kanak-kanak harus bebas bertemu dan bergaul dengan kawan-kawannya, menyertai kelab atau persatuan serta berbincang sesama rakan dengan bebas.


Namun, dalam menyempurnakan hak-hak ini kanak-kanak harus terus mendapat bimbingan daripada keluarga atau orang dewasa. Yang penting ialah setiap ahli keluarga, terutama orang dewasa memainkan peranan masing-masing untuk membantu pertumbuhan sihat kanak-kanak serta memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.


Malangnya, di negara kita masih ramai yang tidak memahami atau menyedari hak kanak-kanak seperti diputuskan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak itu.


Kes penderaan adik Syafia Humairah Sahari, 3, yang didera secara sadis, baru-baru ini, menggambarkan hakikat kejahilan dan ketidakprihatinan masyarakat terhadap hak kanak-kanak terbabit. Daripada laporan media massa mengenai kes Syafia itu jelas menggambarkan bahawa penderaan ke atas kanak-kanak malang itu sudah lama berlaku.


Penderaan itu pula bukan saja disedari jiran, malah keluarga terdekat Syafia sendiri. Namun, kerana kurang peka dan prihatin serta memandang ringan tanda-tanda awal penderaan itu membuatkan kita alpa sehingga memberi ruang kepada suspek meneruskan kejahatannya yang tidak berperikemanusiaan.


Sepatutnya masyarakat kita sudah tahu ke mana harus dilaporkan kes penderaan kanak-kanak. Bukankah sudah banyak iklan dan pelbagai bentuk penerangan dibuat melalui media massa yang sepatutnya sudah cukup untuk mendidik masyarakat bertanggungjawab membantu kanak-kanak yang disyaki didera.


Masalahnya ialah sikap orang kita masih memandang ringan tanda awal penderaan yang berlaku. Kita hanya bertindak apabila sesuatu kes penderaan itu sudah sampai ke kemuncak atau ketika 'nasi sudah menjadi bubur.' Kita hanya sedar, menyesal dan sedih yang teramat sangat apabila kanak-kanak yang didera itu terkujur kaku menjadi mayat.


Ada tiga agensi utama yang terbabit dalam prosedur perlindungan kanak-kanak, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hospital kerajaan. Saya kira, selain polis, JKM memainkan peranan yang cukup besar dalam kes perlindungan kanak-kanak.


Peranan utama JKM adalah untuk menyelamat, melindung, menjaga dan membantu di dalam semua kes penderaan kanak-kanak, termasuk dalam membantu pemulihan kesan psikologi kanak-kanak dan keluarganya.


Seksyen 8 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jelas menyatakan pelantikan dan kuasa 'pelindung'. 'Pelindung' adalah Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik oleh menteri melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan kewajipan sebagai pelindung ke atas kes kanak-kanak yang disyaki didera.


Adalah menjadi kewajipan setiap 'pelindung' melaksanakan tugas dengan dedikasi serta mematuhi dengan tepat garis panduan berkaitan prosedur perlindungan kanak-kanak. Sesiapa saja boleh membuat aduan atau melaporkan kes yang dicurigai kepada mana-mana agensi terbabit.


Dari segi kerahsiaan, pengadu tidak perlu bimbang kerana semua laporan berkaitan kanak-kanak yang didera dan diabaikan akan dirahsiakan. Mengikut Seksyen 116 Akta Kanak-Kanak 2001, seseorang yang memberikan sebarang maklumat mengenai kanak-kanak yang memerlukan perlindungan tidak akan dipersalahkan sebagai memfitnah atau selainnya.


Kesimpulannya, kanak-kanak adalah golongan yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi. Oleh itu, mereka sangat memerlukan perlindungan dan jagaan sempurna, termasuk perlindungan undang-undang yang sewajarnya.


Mana-mana kanak-kanak yang disyaki didera, diabai, dieksploitasi atau yang tinggal dalam keadaan tidak sempurna kerana pengabaian, maka kanak-kanak itu harus dibantu atau diselamatkan dengan segera. - BH 2 March 2010