Liberalisasi kewangan perlu pantauan penuh
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
PADA awal kemerdekaan, sistem kewangan negara masih dikuasai bank perdagangan asing, terutama dari Britain dan Singapura. Instrumen kewangan kita tertumpu di pasaran kewangan London. Pada Januari 1959 Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan mengikut Ordinan Bank Pusat 1958.
Kewujudannya membawa kepada transformasi sektor dan sistem kewangan negara. Sektor terbabit mula melalui proses pembangunan yang cergas dengan pelbagai pembaharuan dilaksanakan untuk memantapkan sistem kewangan negara. Kerajaan mula menstruktur semula sistem kewangan negara menyebabkan ia secara aktif memangkin dan meningkatkan penguasaan negara terhadap instrumen kewangan.
Usaha penstrukturan semula itu membolehkan kerajaan mengarah dan memberikan kuasa kepada BNM (1967) mengeluarkan mata wang daripada lembaga mata wang yang berpusat dan beroperasi di Singapura. Melalui kuasa yang ada, BNM mula meningkatkan beberapa instrumen kewangan domestik seperti bil perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga, bon Islam dan sekuriti kewangan yang dapat mengaktifkan pasaran kewangan negara. Beberapa institusi kewangan bon ditubuhkan yang mengkhusus dalam urus niaga tertentu. Antaranya ditubuhkan rumah diskaun pada 1963.
Dengan peralihan penguasaan instrumen kewangan, menyebabkan berlaku peningkatan deposit dan pinjaman bank domestik. Sesuai dengan kedudukannya sebagai bank pusat, BNM menjadi institusi penting membangunkan ekonomi negara. BNM berupaya bertindak sebagai institusi penting bagi mewujudkan sistem kewangan yang stabil serta dapat mengagih dana secara lebih aktif.
Beberapa sektor seperti sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan mendapat manfaat besar daripada sistem perbankan dan pasaran modal, terutama untuk mendapatkan pembiayaan. Kedua-dua sektor itu menyumbang sebanyak 72.8 peratus daripada keseluruhan sumber pembiayaan bagi tempoh 1991-1994. Sektor terbabit juga berupaya mengubah struktur ekonomi negara dan menyumbang kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ini berbeza pada 1960-an yang mana negara sangat bergantung kepada perdagangan getah dan timah. Pada era 1950-an dan 1960-an pertumbuhan KDNK kita berada pada kadar 4.1 peratus. Kadar itu meningkat sekali ganda kepada 8.1 peratus sepanjang 1980-an. Namun, kesan kemelesetan ekonomi menyebabkan ia menurun tetapi melonjak semula selepas 1987 dengan purata kadar pertumbuhan KDNK 8.5 peratus (1987-1995).
Pada suku ketiga 1997 ia kembali menurun dengan kadar pertumbuhan lima peratus. Walaupun pelbagai faktor menyumbang dalam turun naiknya ekonomi negara, namun BNM sentiasa menjadi institusi penting dalam mengawal senario pertumbuhan ekonomi. Misalnya, pembangunan dan kawalan terhadap sektor perbankan oleh BNM sangat penting dalam usaha memastikan ekonomi negara mampu berhadapan dengan sebarang cabaran dan perubahan sistem kewangan dan ekonomi global.
BNM sentiasa menyedia dan melaksanakan dasar yang fleksibel dan pragmatik tetapi berhati-hati. Dalam tempoh 1959-1985, BNM melaksana kawalan sistem kewangan yang ketat bagi memastikan langkah menstruktur sistem kewangan negara dapat diarah kepada memenuhi keperluan domestik. Di antaranya tidak membenarkan penubuhan cawangan baru bank asing selain operasi cawangan bank asing sedia ada diarah memenuhi keperluan domestik.
Instrumen kewangan baru yang diwujudkan iaitu sijil deposit boleh niaga hanya dibenarkan kepada bank perdagangan dan bank saudagar yang utama. Selain itu beberapa bentuk halangan dan kawalan dilaksana untuk meminimumkan persaingan bagi tujuan mengawal institusi kewangan domestik yang baru ditubuhkan. Namun, dasar mata wang negara dalam tempoh itu tidaklah terlalu ketat kerana masih wujud beberapa langkah liberalisasi kewangan. Misalnya, sejak 1973, kadar diskaun bil Perbendaharaan ditentukan melalui sistem tender. Pada 1973 negara melaksanakan pengapungan ringgit dan penubuhan firma broker wang untuk memangkinkan pasaran pertukaran asing.
Jelas bahawa untuk membangunkan sistem kewangan domestik maka proses liberalisasi sistem kewangan menjadi penting. Ia menjadi kaedah berkesan untuk menarik modal luar negara serta membawa negara terbabit secara aktif dalam pasaran kewangan antarabangsa. Hari ini, aliran modal bebas menjadi semakin penting dalam proses liberalisasi kewangan.
Ia juga penting dalam mewujudkan impak kepada ekonomi domestik sesebuah negara itu. Kerjasama serantau, khususnya dalam konteks koordinasi dan integrasi blok ekonomi juga menjadi semakin penting dalam arus globalisasi kewangan dan negara tidak boleh memencilkan diri darinya.
Trend atau aliran ini jelas apabila tamatnya Rundingan Dagang Pusingan Uruguay dan penubuhan WTO pada pertengahan 1990-an menyebabkan banyak negara anggota tiada pilihan melainkan mematuhi Perjanjian Am Perdagangan Perkhidmatan (GATS). Dari segi sejarah, pembaharuan dan liberalisasai kewangan negara bermula dengan liberalisasi penuh kadar faedah pada 1978. Ia bertujuan meningkatkan persaingan serta mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.
Cara ini terbukti dapat meningkatkan pembangunan institusi bank dan institusi kewangan lain seperti syarikat insurans dan syarikat sekuriti. Operasi bank tempatan menjadi lebih cekap dan mempunyai aset lebih kukuh. Ini dibuktikan apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengumumkan liberalisasi kewangan negara pada 27 April lalu, perbankan domestik sudah memiliki modal kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pada 12.5 peratus dan purata saiz aset RM91.6 bilion.
Untuk tahun ini, liberalisasi terbaru yang diumumkan itu membuka peluang kepada pemodal asing untuk membuka dua perbankan Islam, dua perbankan perdagangan kepakaran khusus dan dua syarikat takaful keluarga.
Pada 2011 pula tiga perbankan perdagangan bertaraf dunia dibenarkan dibuka di negara ini. Kelonggaran akan diberi untuk menambah had ekuiti asing bank pelaburan, bank Islam, syarikat Insuran dan syarikat takaful daripada 49 peratus kepada 70 peratus. Had pegangan ekuiti asing untuk bank perdagangan tempatan pula kekal pada 30 peratus.
Langkah ini mampu memperkukuh potensi perniagaan serta meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing. Liberalisasi ini juga akan menjadikan negara sebagai hab kewangan Islam. Langkah liberalisasi kewangan juga ada kaitannya dengan langkah liberalisasi 28 subsektor perkhidmatan pada 22 April lalu.
Apa pun, liberalisasi yang tidak diurus dengan baik tetap mempunyai kesan negatif. Justeru, BNM sentiasa mengkaji dan memantau serta menyediakan dasar yang berhati-hati dalam melaksanakan dasar liberalisasi kewangan terbabit. Inilah yang dilakukan kebanyakan negara yang sedang muncul sebagai negara ekonomi baru di rantau Asia seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan beberapa negara lain. - BH 10/6/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment