Sunday, June 28, 2009

Semua agama relevan jayakan 1Malaysia

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KONSEP 1Malaysia, gagasan diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak bertujuan memperkukuh perpaduan rakyat. Pelbagai perspektif sudah dibahas mengenai gagasan terbabit merangkumi perspektif pentadbiran, pembangunan, sosial, politik dan keselamatan.

Rencana ini cuba menjelaskan nilai yang ada dalam beberapa ajaran agama utama di negara kita. Nilai yang dibincangkan ini diharap dapat memberi gambaran daripada perspektif agama, gagasan 1Malaysia sangat relevan dalam membina negara bangsa yang kukuh.

Penulis tidak bercadang menyentuh nilai ajaran Islam kerana ia sudah banyak ditulis di samping buku mengenainya mudah diperoleh. Pemikiran agama atau 'pemikiran luhur' menjadi asas utama dalam tamadun ketimuran, terutama di rantau Asia dan Asia Barat.

Dalam konteks negara kita, ia menjadi semakin penting kerana kepelbagaian agama yang wujud di negara ini memerlukan setiap penganutnya memahami dan menghormati antara satu sama lain. Prasangka terhadap orang lain wujud apabila kita meletakkan minda kita berada dalam tembok perkauman atau keagamaan sempit terhadap orang lain.

Islam misalnya, agama mengajar kepelbagaian bangsa yang wujud bertujuan saling kenal mengenal antara satu sama lain (Surah Al-Hujurat, ayat 13). Justeru, di dalam ajaran Islam wujud dua sistem perhubungan manusia, iaitu perhubungan secara 'vertikal' antara manusia (hamba) dengan Allah dan perhubungan secara 'horizontal' antara manusia sesama manusia.

Demikian juga bagi penganut agama lain pasti mempunyai ajaran tertentu dalam perkara mengenai hubungan sesama manusia bagi melahirkan kehidupan harmoni dalam masyarakat dan negara. Di negara kita kepercayaan kepada Tuhan menjadi prinsip utama dalam Rukun Negara yang menjadi panduan hidup rakyat.

Nilai mulia yang ada dalam ajaran pelbagai ajaran agama juga dilihat selari prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan'. Kita mulai dengan ajaran Hinduisme. Tokoh etika Hinduisme, Patan Jali menerangkan wujud dua konsep dalam Hinduisme.

Pertama, konsep Yamas yang menitikberatkan pembinaan sahsiah diri. Ia mengandungi lima prinsip etika, iaitu tidak menghasut (asteya), tidak tamak haloba (aparigraha), tidak menipu dan amanah (sathya), baik fizikal dan rohani (bramacharia) dan pemikiran baik (ahimasa).

Konsep kedua ialah Niyamas iaitu nilai etika untuk kepentingan masyarakat. Ia mengandungi lima prinsip etika merangkumi bersih perlakuan (saucha), hormati orang lain (santhosa), membantu orang lain (tepaha), dermawan (iswariaparanidha) dan hidup berdisiplin (suadhyaya).

Dalam konteks masyarakat majmuk, tabiat menghasut antara kaum boleh menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara serta mengancam keselamatan negara. Justeru, seseorang penganut Hindu yang baik mengamal prinsip etika itu pasti akan menjadi rakyat yang baik, sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ajaran Buddhisme yang diasaskan oleh Sinddharta Gautama Buddha turut mengajar beberapa nilai mulia untuk diamalkan penganutnya. Walaupun ajaran Buddhisme lebih berpusat kepada diri manusia, ajaran sila (moral) Buddha menekankan hukum sejagat berlandaskan sebab akibat, iaitu perbuatan baik akan meninggalkan kesan baik, sebaliknya perbuatan jahat akan meninggalkan kesan buruk pada individu itu. Dalam ajaran 'Jalan Lapan Lapis Mulia', seorang penganut Buddha perlu memiliki pandangan betul, fikiran betul, pertuturan betul, kesedaran betul, tumpuan betul dan pemahaman serta usaha yang betul.

Semua lapan nilai terbabit menekankan cara berfikir, sikap dan amalan betul bagi mencapai kedamaian dalam hidup. Ini tidak bermaksud semua penganut Buddha perlu menjadi sami (rahib) tetapi cukup nilai itu diamalkan dalam kehidupan mereka. Justeru, sekiranya penganut Buddha menghayati dan mengamalkan 'Jalan Lapan Lapis Mulia' itu, pasti mereka menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan.

Ajaran Buddha turut menekankan kasih sayang sesama manusia. Pastinya kasih sayang terhadap orang lain akan terbit apabila wujudnya perasaan hormat menghormati dan saling mempercayai di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Hormat menghormati dan saling mempercayai antara kaum dan agama adalah dua asas penting dalam gagasan 1Malaysia. Dalam Konfucianisme pula, ajarannya yang bersifat falsafah menekankan etika dan nilai moral.

Prinsip moralnya terangkum dalam ajaran 'Lima Kebaikan' iatu Ren'(perasaan kasih sayang), Li (cara pentadbiran yang baik), Yi (kebaikan hati), Zhi (kebijaksanaan) dan Sin'(dapat dipercayai). Ajaran Konfucius mengajar penganutnya bahawa sifat kemanusiaan amat penting dalam hidup bermasyarakat.

Antara sifat yang terangkum dalam sifat kemanusiaan termasuk berlapang dada, boleh dipercayai, bersopan santun, rajin berusaha dan bersifat lemah lembut. Ren yang dianggap nilai moral tertinggi dalam ajaran Konfucius kerana mengajar kasih sayang sesama manusia.

Ajaran Kristian pula mementingkan etika ke arah betul atau salah satu perbuatan itu. Sumber ajaran Kristian ialah Bible yang terdiri daripada Old Testament yang mengandungi 'Sepuluh Rukun' (The Ten Commandments).

New Testament pula mengandungi 11 prinsip ajaran. Penulis mengenalpasti dalam The Ten Commandments terdapat empat nilai yang ada kaitan langsung dengan kehidupan bermasyarakat iaitu jangan merampas hak jiran, jangan membunuh, jangan berzina dan jangan mencuri. Di dalam New Testament pula nilai yang ada kaitan langsung dengan masyarakat ialah jangan menghina orang lain, jangan tamak, berikan kasih sayang kepada orang lain dan kasihkan jiran.

Akhirnya, penulis menyorot nilai mulia yang ada dalam agama Sikh. Agama Sikh yang berasal daripada ajaran Kabir yang mencampurkan ajaran Islam dan Hindu dikumpul oleh pengikut dalam kitabnya yang dikenali Bijak.

Ajaran Kabir kemudiannya dikembangkan oleh Guru Nanak. Seorang lagi guru Sikh bernama Arjan menghasilkan kitab Adi Granth (Kitab Utama) yang memuatkan khutbah Guru Nanak, sajak Kabir dan beberapa guru lain sebelumnya. Antara nilai utama dalam ajaran agama Sikh ialah kesamarataan, tidak sombong, menghormati guru dan menyebarluaskan kasih sayang sesama manusia.

Kesimpulan, dilihat daripada perspektif pelbagai agama, konsep 1Malaysia amat relevan untuk membina perpaduan erat di kalangan rakyat. Ia dapat membina tamadun Malaysia yang unik dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama tetapi bertunjangkan 'bangsa Malaysia' yang bersatu padu. Sebahagian nilai yang disebutkan dalam beberapa ajaran agama ada persamaan dengan beberapa nilai yang dihurai dan dijelaskan oleh Najib di dalam blognya. - BH 24/6/09

Sunday, June 21, 2009

Nik Aziz terima bersyarat kerajaan perpaduan - Bernama

KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini membuat kenyataan lebih "lembut" dan memberi persetujuan bersyarat terhadap rundingan mengenai kerajaan perpaduan PAS dan Umno hasil cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau seorang yang degil kerana "berkeras" menentang kerajaan perpaduan, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau seorang yang "istiqamah", tegas memperjuangkan perkara yang benar.

Katanya, sikapnya itu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Muktamar Tahunan Pas di Ipoh setahun lalu iaitu Pas mesti bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Ada yang kata saya degil kerana enggan terima kerajaan perpaduan. Saya nak jawab saya bukan berdegil tapi saya beristiqamah.

"Degil bermakna kita pertahan benda salah bermati-matian, dah tahu benda salah tapi pertahankan juga, itu degil namanya. Tapi bila barang (perkara) yang benar, yang betul, itu kita istiqamah.

"Jadi kalau ada pihak dalam Pas yang nak perpaduan dengan Pakatan Rakyat dan nak juga perpaduan dengan Umno, itu sudah kacau. Jangan buat begitu," katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata, beliau boleh menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan namun ia perlu dibuat mengikut salurannya.

"Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepikan keputusan mesyuarat (muktamar) dan pandai-pandai buat keputusan sendiri, tak boleh.

"Kalau nak juga bawa cerita perpaduan ni, bawa dulu ke Pas Pusat, bahas di peringkat negeri-negeri dan lepas tu bawa ke Pakatan. Sekarang ni Pakatan pun sudah marah pada kita," katanya.

Menurutnya, perbincangan dengan Umno juga perlu berkisar kepada isu Islam, bukan isu Melayu.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mahu Pas dan Umno membuka lembaran hubungan baru, ketika melawat Kuala Krai Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau mahu Umno memohon maaf kepada Pas terlebih dahulu.

Nik Aziz juga berkata, beliau masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Naib Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, dan Nasharudin juga belum menghubungi beliau untuk menjernihkan suasana tidak enak yang timbul di antara mereka berdua.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok kerana kesungguhannya untuk menjayakan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Aziz berkata, satu pertemuan akan diadakan membabitkan beliau, Abdul Hadi, Nasharudin dan beberapa pemimpin lain malam esok untuk meredakan ketegangan dalam parti itu. - Bernama

Wednesday, June 17, 2009

Majoriti rakyat tidak mahu Chin Peng kembali - Datuk Abdullah Morad

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Isu kepulangan Chin Peng berbangkit dan hangat diperkatakan oleh rakyat negara ini berikutan wujud cadangan daripada pihak tertentu yang mahu supaya Chin Peng dibenarkan pulang atas dasar kemanusiaan. Malah, ada pemimpin pembangkang yang menyokong cadangan tersebut.

Baru-baru ini Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mahu Chin Peng dibenarkan pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air. Apakah motif Anwar menyokong kepulangan Chin Peng yang rakyat rata-ratanya menolak cadangan tersebut. Yang nyata ianya hanyalah modal Anwar dan PKR mennarik simpati dari golongan tertentu.

Menurut sumber Jabatan Penerangan 80 peratus rakyat tidak mahu Chin Peng pulang ke tanah air. Kajian yang dijalankan oleh Jabatan penerangan mendapati semua kaum tidak dapat melupakan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu.

Ketika merasmikan Program Sepakat Bestari di Yan baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata kajian yang membabitkan 10,000 responden itu mendapati kira-kira 80 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mahu Chin Peng dibenarkan kembali atau diberi kerakyatan negara ini. Kaji selidik ynag melibatkan pelbagai kaum di seluruh negara mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai Kemerdekaan.

Catatan: Tahukah anda bahawa kerajaan membelanjakan $300,000 sehari selama 12 tahun dalam usaha menghapuskan komunis.
Lihat remaja secara positif
Oleh Megatrambai
-
Saya, anda dan mereka yang kini berada dalam golongan dewasa pernah satu ketika dahulu merasai zaman remaja. Hodohke, indahke, maniske atau pahitke yang kita lalui ia adalah bergantung kepada proses sosiolisasi ynag kita lalui ketika alam remaja dulu. Perkembangan dan pengalaman-pengalaman kendiri yang kita lalui dan alami itu banyak mempengaruhi syahsiah diri kita.
-
Semua itu adalah proses pengujian yang membina imej-imej kendiri serta membentuk pemikiran kita. Kedinamikan hidup kita bergantung kepada imej-imej yang terbentuk itu. Jika imej-imej itu positif maka dinamik@positiflah kehidupan kita, jika imej-imej yang dibentuk itu negatif maka lesu dan pesimislah hidup kita.
-
Remaja adalah satu golongan yang berumur 15-25 tahun, memilik sifat-sifat, nilai-nilai, identiti dan tingakahlaku tersendiri. Zaman remaja adalah satu zaman transisi dari zaman kanak-kanak ke zaman dewasa. Dalam tempoh transisi inilah dikatakan oleh pakar psikologi bahawa remaja akan mengalami perubahan fizikal dan emosi yang ketara. Pendek kata, remaja dalam tempoh ini akan mengalami perubahan psikososial yang nyata.
-
Justeru, remaja dalam tempoh ini mengalami apa yang dinamakan konsep ‘STORM AND STRESS’ – period yang penuh pertarungan emosi, cabaran, lintang pukang, berkecamuk, hura hara, pemberontakan dan apa lagi ye.......... fikir-fikirkan le.
-
Namun, bukan semuanya begitu. Bagi mereka yang pandai megurus perubahan tersebut maka remaja terbabit akan mengalami perubahan dan perkembangan emosi yang sihat termasuk sihat dalam aspek intelektual, emosi dan sosial. Yang penting mereka harus ada ’A SENSE OF DIRECTION’ (RASA ADA ARAH) , ‘SELF ESTEEM’ DAN ‘ILTIZAM’ (KOMITMEN) yang jelas. Elemen-elemen ini akan dapat membantu pembinaan identiti remaja. Oleh itu, bersikap positiflah bahawa remaja adalah golongan yang boleh dibentuk dan dididik.
-
Yang penting, bagi mereka yang dekat dengan remaja perlu memahami perubahan-perubahan yang berlaku pada anak remaja kita adalah satu proses ke arah kedewasaan dan kematangan. Seperti yang saya kata tadi ia perlu diurus dengan baik dan berhemah.
-
Institusi keluarga, sekolah, masyarakat, media dan rakan sebaya..... mungkin ahli politik juga kot ( fikir-fikirkan ) memainkan peranan penting dalam membantu remaja ke arah pertumbuhan dan perkembangan syahsiah yang sihat. Semestinya penghayatan agama yang mantap sangat membantu dalam hal ini. Semuanya amat berkait rapat dengan penyesuaian psikososial dalam proses sosialisasi yang dilalui. Persekitaran sekeliling juga sangat memberi kesan sama ada menyubur atau menghancurkan remaja itu sendiri.
-
Soalan untuk difirkan: Adakah ahli-ahli politik kita turut mempengaruhi perangai dan syahsiah diri remaja kita? Ingat remaja yang sudah berumur 21 tahun dinegara ini sudah berhak untuk mengundi. Tentu sekali ahli politik akan mempengaruhi tingkah laku politik dan keputusan politik meraka.

Monday, June 15, 2009

GAGASAN 1MALAYSIA - FAKTA-FAKTA PENJELASAN NAJIB DI DEWAN RAKYAT

Oleh Megatrambai

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Isnin) -Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat penjelasan mengenai gagasan "IMalaysia" di Dewan Rakyat.

Berikut adalah fakta-fakta mengenainya:-

1. Konsep 1 Malaysia diperkenalkan pada 3 April lalu sebaik sahaja Datuk Seri Najib dilantik menjadi PM. Tema 1 Malaysia : "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" . Tema ini membawa maksud ia menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia. Di samping itu, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat.

2. 1Malaysia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Ia merupkan kesinambungan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara terdahulu yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

3. Justeru, ia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

4. 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Bangsa Malaysia' yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu.

5. 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Ia dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.

6. 1Malaysia berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum dan melihatnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

7. 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep "Malaysian Malaysia" parti pembangkang kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Ia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

8. 1Malaysia menekankan sikap "penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.

9. Asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini bermakna nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh.

10. Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara iaitu sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan keadilan sosial.

12. Teras perpaduan didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia. Ia termasuk nilai-nilai hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

13. Formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan masyarakat untuk berdaya maju dan berjaya.Elemen-elemen itu merangkumi: budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara;
kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

14. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri.

Friday, June 12, 2009

Liberalisasi kewangan perlu pantauan penuh

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PADA awal kemerdekaan, sistem kewangan negara masih dikuasai bank perdagangan asing, terutama dari Britain dan Singapura. Instrumen kewangan kita tertumpu di pasaran kewangan London. Pada Januari 1959 Bank Negara Malaysia (BNM) ditubuhkan mengikut Ordinan Bank Pusat 1958.

Kewujudannya membawa kepada transformasi sektor dan sistem kewangan negara. Sektor terbabit mula melalui proses pembangunan yang cergas dengan pelbagai pembaharuan dilaksanakan untuk memantapkan sistem kewangan negara. Kerajaan mula menstruktur semula sistem kewangan negara menyebabkan ia secara aktif memangkin dan meningkatkan penguasaan negara terhadap instrumen kewangan.

Usaha penstrukturan semula itu membolehkan kerajaan mengarah dan memberikan kuasa kepada BNM (1967) mengeluarkan mata wang daripada lembaga mata wang yang berpusat dan beroperasi di Singapura. Melalui kuasa yang ada, BNM mula meningkatkan beberapa instrumen kewangan domestik seperti bil perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga, bon Islam dan sekuriti kewangan yang dapat mengaktifkan pasaran kewangan negara. Beberapa institusi kewangan bon ditubuhkan yang mengkhusus dalam urus niaga tertentu. Antaranya ditubuhkan rumah diskaun pada 1963.

Dengan peralihan penguasaan instrumen kewangan, menyebabkan berlaku peningkatan deposit dan pinjaman bank domestik. Sesuai dengan kedudukannya sebagai bank pusat, BNM menjadi institusi penting membangunkan ekonomi negara. BNM berupaya bertindak sebagai institusi penting bagi mewujudkan sistem kewangan yang stabil serta dapat mengagih dana secara lebih aktif.

Beberapa sektor seperti sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan mendapat manfaat besar daripada sistem perbankan dan pasaran modal, terutama untuk mendapatkan pembiayaan. Kedua-dua sektor itu menyumbang sebanyak 72.8 peratus daripada keseluruhan sumber pembiayaan bagi tempoh 1991-1994. Sektor terbabit juga berupaya mengubah struktur ekonomi negara dan menyumbang kira-kira 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ini berbeza pada 1960-an yang mana negara sangat bergantung kepada perdagangan getah dan timah. Pada era 1950-an dan 1960-an pertumbuhan KDNK kita berada pada kadar 4.1 peratus. Kadar itu meningkat sekali ganda kepada 8.1 peratus sepanjang 1980-an. Namun, kesan kemelesetan ekonomi menyebabkan ia menurun tetapi melonjak semula selepas 1987 dengan purata kadar pertumbuhan KDNK 8.5 peratus (1987-1995).

Pada suku ketiga 1997 ia kembali menurun dengan kadar pertumbuhan lima peratus. Walaupun pelbagai faktor menyumbang dalam turun naiknya ekonomi negara, namun BNM sentiasa menjadi institusi penting dalam mengawal senario pertumbuhan ekonomi. Misalnya, pembangunan dan kawalan terhadap sektor perbankan oleh BNM sangat penting dalam usaha memastikan ekonomi negara mampu berhadapan dengan sebarang cabaran dan perubahan sistem kewangan dan ekonomi global.

BNM sentiasa menyedia dan melaksanakan dasar yang fleksibel dan pragmatik tetapi berhati-hati. Dalam tempoh 1959-1985, BNM melaksana kawalan sistem kewangan yang ketat bagi memastikan langkah menstruktur sistem kewangan negara dapat diarah kepada memenuhi keperluan domestik. Di antaranya tidak membenarkan penubuhan cawangan baru bank asing selain operasi cawangan bank asing sedia ada diarah memenuhi keperluan domestik.

Instrumen kewangan baru yang diwujudkan iaitu sijil deposit boleh niaga hanya dibenarkan kepada bank perdagangan dan bank saudagar yang utama. Selain itu beberapa bentuk halangan dan kawalan dilaksana untuk meminimumkan persaingan bagi tujuan mengawal institusi kewangan domestik yang baru ditubuhkan. Namun, dasar mata wang negara dalam tempoh itu tidaklah terlalu ketat kerana masih wujud beberapa langkah liberalisasi kewangan. Misalnya, sejak 1973, kadar diskaun bil Perbendaharaan ditentukan melalui sistem tender. Pada 1973 negara melaksanakan pengapungan ringgit dan penubuhan firma broker wang untuk memangkinkan pasaran pertukaran asing.

Jelas bahawa untuk membangunkan sistem kewangan domestik maka proses liberalisasi sistem kewangan menjadi penting. Ia menjadi kaedah berkesan untuk menarik modal luar negara serta membawa negara terbabit secara aktif dalam pasaran kewangan antarabangsa. Hari ini, aliran modal bebas menjadi semakin penting dalam proses liberalisasi kewangan.

Ia juga penting dalam mewujudkan impak kepada ekonomi domestik sesebuah negara itu. Kerjasama serantau, khususnya dalam konteks koordinasi dan integrasi blok ekonomi juga menjadi semakin penting dalam arus globalisasi kewangan dan negara tidak boleh memencilkan diri darinya.

Trend atau aliran ini jelas apabila tamatnya Rundingan Dagang Pusingan Uruguay dan penubuhan WTO pada pertengahan 1990-an menyebabkan banyak negara anggota tiada pilihan melainkan mematuhi Perjanjian Am Perdagangan Perkhidmatan (GATS). Dari segi sejarah, pembaharuan dan liberalisasai kewangan negara bermula dengan liberalisasi penuh kadar faedah pada 1978. Ia bertujuan meningkatkan persaingan serta mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

Cara ini terbukti dapat meningkatkan pembangunan institusi bank dan institusi kewangan lain seperti syarikat insurans dan syarikat sekuriti. Operasi bank tempatan menjadi lebih cekap dan mempunyai aset lebih kukuh. Ini dibuktikan apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengumumkan liberalisasi kewangan negara pada 27 April lalu, perbankan domestik sudah memiliki modal kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pada 12.5 peratus dan purata saiz aset RM91.6 bilion.

Untuk tahun ini, liberalisasi terbaru yang diumumkan itu membuka peluang kepada pemodal asing untuk membuka dua perbankan Islam, dua perbankan perdagangan kepakaran khusus dan dua syarikat takaful keluarga.

Pada 2011 pula tiga perbankan perdagangan bertaraf dunia dibenarkan dibuka di negara ini. Kelonggaran akan diberi untuk menambah had ekuiti asing bank pelaburan, bank Islam, syarikat Insuran dan syarikat takaful daripada 49 peratus kepada 70 peratus. Had pegangan ekuiti asing untuk bank perdagangan tempatan pula kekal pada 30 peratus.

Langkah ini mampu memperkukuh potensi perniagaan serta meningkatkan prospek pertumbuhan institusi kewangan melalui kepakaran antarabangsa dan rangkaian hubungan global pemilik asing. Liberalisasi ini juga akan menjadikan negara sebagai hab kewangan Islam. Langkah liberalisasi kewangan juga ada kaitannya dengan langkah liberalisasi 28 subsektor perkhidmatan pada 22 April lalu.

Apa pun, liberalisasi yang tidak diurus dengan baik tetap mempunyai kesan negatif. Justeru, BNM sentiasa mengkaji dan memantau serta menyediakan dasar yang berhati-hati dalam melaksanakan dasar liberalisasi kewangan terbabit. Inilah yang dilakukan kebanyakan negara yang sedang muncul sebagai negara ekonomi baru di rantau Asia seperti China, Taiwan, Korea Selatan dan beberapa negara lain. - BH 10/6/09

Saturday, June 6, 2009


Rakyat tidak mudah lupa keganasan komunis
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
-
CHIN Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hwa dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di No 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan, Perak. Beliau adalah bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM). Perjuangan revolusi (bersenjata) yang didokongnya banyak menumpahkan darah.
-
Tidak sedikit air mata yang mengalir, penderitaan, kesedihan, ketakutan dan trauma yang mendalam dialami rakyat akibat kekejaman komunis ketika zaman Darurat (1948-1960). Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan di estet getah seluruh negara berdepan dengan ancaman nyawa, harta benda dan tanaman mereka dimusnahkan.
-
Pastinya perajurit tanah air yang berjuang menentang komunis tidak dapat melupakan kezaliman dan kekejaman komunis. Selagi hayat dikandung badan, maka segala pengalaman itu tetap menjadi kenangan pahit buat mereka.
-
Manja Mohd Ludin dalam buku Psikologi Sosiologi dan Falsafah Dalam Pendidikan (DBP, 1990) mencatat seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Ramai perajurit yang cacat kerana bertempur dengan komunis masih hidup hingga kini. Di kalangan orang awam pula, sebanyak 2,473 terbunuh , 1,385 cedera dan 810 ditawan komunis. Kematian pihak gerila komunis adalah 6,710 dan yang ditawan seramai 3,989 orang.
-
Elok rasanya kita menyingkap sekelumit sejarah pergerakan komunis di negara kita. Ideologi komunis mula menyerap masuk ke Tanah Melayu pada 1920-an. Melalui Biro Timur Jauh, ejen komunis antarabangsa (Comintern), terutama dari China dan Russia berjaya mempengaruhi kebanyakan pertubuhan buruh, kesatuan sosialis dan kesatuan pengguna yang kebanyakannya dianggotai kaum Cina. Bahan penerbitan komunis seperti surat berita keluaran Rosita dan Delta News Agency, buku dan risalah komunis dari China dan Russia mempengaruhi kebanyakan orang Cina. Buku berjudul Komunisme dan Negeri China karangan Fung Tsz You adalah di antara buku yang dibaca.
-
Kelas malam yang wujud di Kuala Lumpur turut dijadikan markas penyebaran fahaman komunis. Pada Mei 1926, Kesatuan Sekerja Am Nanyang ditubuhkan di bawah pengaruh Communist International TradeUnion Organisation (Profintern). General Labour TradeUnion’ di Singapura turut dipengaruhi komunis. Kedua-duanya mendalangi beberapa siri mogok sekitar 1920-an. Pada 1928 Parti Komunis Nanyang ditubuhkan dengan sayap utamanya Liga Anti Imperialis Nanyang. Akhirnya, atas arahan Commintern, maka PKM ditubuhkan pada 1930 menggantikan Parti Komunis Nanyang. Sayap pemudanya dikenali sebagai Malayan Communist Youth.
-
Pada 1935, pemogokan pekerja didalangi komunis berlaku di Singapura dan Kuala Lumpur. Ia menjadi serius pada 1937 apabila buruh estet getah dan bijih turut mogok menyebabkan ekonomi negara terancam. British di Tanah Melayu melaksanakan ‘Punishment Ordinance’ dengan menangkap pemimpin kesatuan buruh yang disyaki sebagai aktivis komunis. Namun, mereka terus berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur dan keadaan menjadi serius apabila buruh lombong arang batu di Batu Arang merampas lombong serta mengawal pengurusannya.
-
Ia akhirnya memaksa majikan bersetuju menerima beberapa tuntutan mereka seperti kenaikan gaji, syarat bekerja yang lebih baik dan kemudahan pekerja yang sewajarnya. Ketika Jepun menawan Tanah Melayu, PKM turut bangkit menentang Jepun menyebabkan British mengiktirafnya sebagai pertubuhan yang sah (1945-1948).
-
Sentimen anti-Jepun di kalangan orang Cina dan PKM mendorong mereka menubuhkan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk menentang Jepun. Selepas tamatnya perang (16 Ogos 1945), MPAJA atau dikenali sebagai Bintang Tiga menguasai negara selama 14 hari dengan melakukan pelbagai kezaliman dan kekejaman.
-
Apabila British kembali pada awal September 1945 dan mengharamkan MPAJA, maka ahlinya menganggotai Old Comrades Association yang ditubuhkan akhir 1945. Di antara 1946-1947 terdapat hampir 300 pemogokan didalangi komunis. Pada 1947, Chin Peng dilantik menjadi Setiausaha Agung PKM. Beliau tertarik dengan pendekatan revolusi komunis di China pimpinan Mao Zedong. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).
-
Perjuangannya bersarang di hutan belantara dengan melakukan serangan hendap serta menggunakan kaedah perangkap samar yang mengorbankan banyak nyawa dan kecacatan. Pada 1955, Chin Peng menolak perjanjian Damai Baling dan meneruskan perjuangan bersenjata dengan berselindung di sebalik nama Pembebasan Nasional Malaya (TPNM). Pada November 1957 Persidangan International Communist Movement di Moscow mengiktiraf PKM sebagai parti komunis yang mewakili pertubuhan komunis antarabangsa di Tanah Melayu.
-
Wakil PKM yang hadir dalam persidangan itu ialah Siu Cheong dan Musa Ahmad. Nama seperti Rashid Maidin, Musa Ahmad, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Shamsiah Fakeh, Ahmad Baki, Ali Majid dan Abdul Rahman membawa kita kepada persoalan mengenai pembabitan orang Melayu dalam perjuangan fahaman kiri ini. Untuk mempengaruhi orang Melayu, komunis menerbit dan menyebarkan risalah dalam bahasa Melayu seperti Suara Boeroeh Malaya dan Ingatan. Mereka juga menubuhkan Jawatankuasa Tempatan Komunis dan Liga Anti-Imperialis. Aktivis Parti Komunis Indonesia (PKI) juga digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu dan orang Jawa di beberapa negeri.
-
Apabila pemberontakan PKI (1926) gagal, ramai tokoh ternamanya seperti Tan Malaka, Hasanoesi, Alimen, Sutan Pateh, Moeso, dan Boedisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang. Wakil PKM iaitu Rashid Maidin pernah hadir dalam persidangan Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA) di Maahad II Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol pada Mac 1947. Beliau cuba membangkitkan semangat orang Melayu supaya menentang British melalui kekerasan tetapi usahanya gagal kerana ulama menolak perjuangan mereka. Sekitar 1960-an, masih wujud usaha mempengaruhi orang Melayu melalui penubuhan beberapa sekolah tajaan komunis untuk orang Melayu tetapi gagal.
-
Sekitar 1970-an, terdapat dua siri pembunuhan dilakukan oleh ejen komunis ke atas pegawai tertinggi Polis Di-Raja Malaysia iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim (1974) dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong (1975). Tugu Negara juga turut dibom pada 1975. Komunis meletakkan senjata selepas diadakan Majlis Perjanjian Damai di antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Haadyai, Thailand pada 1 Disember 1989.
-
Kesimpulannya, perjuangan komunis gagal kerana ia tidak mendapat sokongan orang Melayu yang berakidah Islam. Perjuangan komunis bukanlah satu sumbangan kemerdekaan tanah air kerana cita-cita PKM mahu membentuk sebuah Republik Komunis Tanah Melayu adalah satu bentuk penjajahan baru yang tidak dapat diterima sama sekali, khususnya di kalangan orang Melayu beragama Islam. Justeru, wajarkah satu perjuangan songsang diberi pengiktirafan di negara ini? - BH 3/6/09