Tuesday, August 28, 2007

KUASA POLITIK MELAYU PERLU DIPERTAHANKAN

KUASA POLITIK MELAYU PERLU DIPERTAHANKAN

Kuasa politik Melayu bukan sahaja penting dalam membela dan membina bangsa melayu yang bermaruah, dinamik, progresif , produktif, kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran alaf baru- abad ke 21 ini, malah ia juga penting dalam konteks kesejahteraan, keharmonian, kestabilan dan keamanan Malaysia.

Bangsa melayu perlu sedar bahawa penghakisan dan kejatuhan kuasa politik melayu di negara ini bermakna kehidupan kaum melayu sendiri akan terancam. Pastinya dalam keadaan begini bangsa melayu akan dibelenggui masalah sosioekonomi yang mungkin tidak terbela. Justeru perpecahan di kalangan orang melayu harus dibendung sama ada perpecahan di dalam parti tunggak orang melayu, iatu UMNO mahu pun perpecahan di dalam masyarakat melayu yang difaktorkan kepada perpecahan ideolgi kepartian.

Orang melayu tidak sepatutnya mempunyai banyak pertubuhan politik. Cukuplah UMNO dan Pas wujud. Pun begitu, kedua-dua parti besar melayu ini tidak harus bertelagah sehingga menimbulkan kemelut dan perpecahan yang boleh membawa kepada lunturnya ukwah dan solidarity dalam masyarakat melayu. Pas tidak harus bersikap ekstrim dalam melabel dan menuduh UMNO sebagai parti secular, atau lebih ekstrim lagi menuduh UMNO tidak Islamik. Pas da UMNO perlu duduk semeja mencari titik persamaan demi kepentingan bangsa melayu.

Kedua-dua parti politik melayu ini perlu mengamalkan politik pemikiran rasional walaupun pada asasnya politik bertujuan untuk mendapatkan kuasa dan bagaimana menggunakan kuasa itu. UMNO sepanjang diberi mandat memerintah negara ini telah menggunakan kuasa sebaik mungkin untuk memajukan orang melayu. UMNO telah melakukan sumbangan yang besar dalam memajukan syiar Islam di negara ini. Pas harus mengurangkan retorik dalam menyerang UMNO. Isu mengenai negara Islam tidak harus dijadikan bahan polimek oleh Pas kerana pandangan mengenai konsep negara Islam adalah pelbagai dan membina Negara Islam perlu strategi yang praktikal bukannya dengan retorik dan kata-kata yang muluk.

Memang diakui bahawa politik bukanlah faktor mutlak dalam menentukan nasib sesuatu bangsa itu. Pencapaian dan kemajuan ekonomi juga mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan maruah dan martabat sesuatu bangsa. Malah, hari ini kemajuan dalam bidang ekonomi mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam mempengaruhi kejayaan mempertahankan kuasa politik. Namun perlu disedari dalam konteks kedudukan negara yang begitu kompleks perseimbangan ras, sosiobudaya dan dalam keadaan bangsa melayu yang dianggap masih ketinggalan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sector ekonomi maka kuasa politik melayu harus dipandang penting sebagai mekanisme yang menjadi pemangkin ke arah memotivasikan halacara kemajuan kaum melayu. Melayu harus terus mengungguli corak dan perjalanan politik negara ini.

Bila kita berbicara mengenai pengekalan dan pengukuhan kuasa politik melayu, kita tidak bermaksud kepemimpinan melayu yang menunjangi politik negara harus mengetepikan sikap tolerensi dan politik kompromi dengan kaum-kaum lain kepada tingkahlaku politik yang berbau kezaliman, penindasan, penganiayaan dan diskriminasi. Sikap seperti ini tidak membawa apa-apa faedah selain dari menimbulkan konflik dan ketegangan kaum yang boleh menyuburkan gerakan-gerakan anarkisme di dalam negara. Semangat politik kompromi Barisan Nasional harus dikekal dan diteruskan. Ia telah menjadi formula berkesan dalam membina perpaduan dan kemajuan negara.

Apa yang perlu dalam konteks meneruskan kesinambungan kuasa politik melayu sebagai teraju pemerintahan negara ialah dengan merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi dan dasar negara yang memberikan penekanan tehadap pembangunan masyarakat melayu terutama dalam bidang di mana kaum melayu jauh ketinggalan. Sesungguhnya menjadikan kaum melayu mencapai taraf kehidupan yang seimbang dan setaraf dengan kaum lain adalah satu langkah yang adil sementara membiarkan nasib melayu tanpa pmbelaan adalah satu ketidakadilan. Justeru, adalah wajar hak-hak keistemeaan orang melayu yang diperolehi melalui kontrak social semasa negara mencapai kemerdekaan perlu dipertahan dan diteruskan. Pelaksanaannya selama ini membuktikan bahawa ia sama sekali tidak menzalimi kaum-kaum lain malah kaum-kaum lain turut meneriam banyak faedah dari kontrak social ini.

1 comment:

ari - prihatin said...

kalau diselidiki keakar hati dan perasaan orang Melayu, pegangan agama Islam adalah segala-galanya bagi mereka. Perasaan curiga, cemburu,bimbang dan sebagainya terhadap kaum lain dinegara ini kerana bukan Melayu itu tidak seagama dengan mereka. Perasaan ini tidak ketara terhadap India Muslim dan Cina Mualaf.

Kalau nak disamatarafkan ekonomi orang Melayu dengan Bukan Melayu mungkin 100 tahun lagipun tidak berjaya. Ini adalah diibaratkan orang Melayu berlari anak mengejar orang Cina berlari laju. Tak terkejar beb. Memang tak dapat punya. Lihat pemilikan tanah orang bukan Melayu sebelum 31 Ogos 1957 dan bandingkan dengan pemilikan tanah oleh mereka pada 31 Ogos 2007. Senang congak. Lihat saja taman perumahan yang ada di negara ini siapa banyak beli sejak 1957 hingga 2007.?

Itu sebab saya sejak dulu secara pribadi mahu supaya LPPKN jalankan kempen kahwin campur antara kaum supaya persaudaraan antara kaum sampai keakar hati. Kita tak kisah lagi siapa jadi kaya kerana yang kaya itu orang Islam. Orang Islam itu akan berzakat, bersedekah, derma, berwakaf dan sebagainya. Kemudian LPPKN galakkan sebuah keluarga Melayu mempunyai satu keluarga angkat terdiri daripada kaum yang
lain. Sebenarnya langkah ini belum dicuba lagi dalam tempuh 50 tahun merdeka.