Wednesday, August 29, 2007

PEMBANGUNAN WILAYAH ISKANDAR TIDAK MENGADAI NEGARA

PEMBANGUNAN WILAYAH ISKANDAR TIDAK MENGADAI NEGARA

Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) merupakan rancangan pembangunan lima tahun (2006-2010) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006. RMK-9 telah menetapkan dasar dan strategi utama negara ialah ke arah mencapai Misi Nasional iaitu mencapai status negara maju pada tahun 2020 (Wawasan 2020).

RMK-9 dijangka akan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara pada tahap yang lebih tinggi. Kini, RMK-9 telah menampakkan momentum pertumbuhan ekonomi negara mencapai hampir enam peratus bagi tahun ini dan ia dijangka akan berterusan sehingga 2008.

Rakyat wajar memahami bahawa matlamat RMK-9 adalah bertujuan mencapai pembangunan seimbang supaya masyarakat yang bersatu padu, progresif dan adil dapat dijelmakan secara utuh di negara ini. Seperti yang dijelaskan dalam pembentangan RMK-9 di Parlimen bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan diurus secara pembangunan berasaskan sentuhan insan (development with a human touch). Ia lebih merupakan pembangunan yang berpusat kepada rakyat (people-centered development).

Cara pegurusan ekonomi seperti ini diyakini akan dapat dikongsi dan diagihkan kepada rakyat. Seluruh agensi dan jabatan kerajaan terutama yang bersifat memberi perkhidmatan terus kepada rakyat telah pun mula meningkatkan sistem penyampaian masing-masing. Elemen sistem penyampaian ini amat penting supaya pembangunan yang berasaskan sentuhan insan (development with a human touch) atau pembangunan yang berpusat kepada rakyat (people-centered development) ini akan benar-benar dapat manfaatnya kepada rakayat.

Kini kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah sedang rancak melaksanakan apa yang telah dirangka dan diprogramkan di bawah rancangan tersebut. Salah satu usaha atau pendekatan yang dilaksananakan di bawah RMK-9 ialah memacu pembangunan wilayah. Pendekatan pembangunan wilayah dilihat cara terbaik dalam mencapai pembangunan seimbang dan pengagihan kekayaan kepada semua rakyat termasuk di luar bandar.

Salah satu projek pembangunan yang sedang rancak berjalan ialah projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). WPI merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di Selatan Johor yang berpotensi menjadi kawasan pembangunan bertaraf antarabangsa. Dengan penduduk berjumlah 1.4 juta WPI memiliki kawasan seluas 2,217 kilometer persegi (tiga kali ssiz Singapura) merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (utara), Pelabuhan Tanjung Pelepas (barat daya) dan Pelabuhan Pasir Gudang (tenggara). Pembangunan Bandar Nusajaya yang dianggap pembangunan bandar terbesar di Asia Tenggara serta bertaraf dunia yang sedang kini dibangunkan turut terletak dalam WPI ini.

Seperti biasa setiap projek pembangunan kerajaan akan menerima kritikan yang datang dari pelbagai pihak, khususnya dari parti-parti pembangkang. Kerajaan sentiasa mengalu-alukan kritikan dan pandangan yang membina. Ini adalah amalan demoktarik yang sentiasa dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, masalah timbul apabila ada pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda dan kepentingan sendiri menghentam dan mengkritik kerajaan dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas.

Dalam program WPI kerajaan dituduh akan menyerahkan kedaulatan negara kepada Singapura. Tuduhan ini dilemparkan atas alasan yang tidak betul kononnya dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Malaysia-Singapura untuk memantau pembagunan WPI akan membawa kepada tergadainya maruah dan kedaulatan negara.

Tudahan ini tidak berasas dan pihak yang mengkritik sebenarnya berada dalam kejahilan mengenai mekanisme pemantauan pembangunan di WPI.. Perlu diingat, seperti mana yang telah dijelaskan oleh kerajaan bahawa Jawatankuasa Khas Malaysia-Singapura bagi projek WPI hanyalah berfungsi sebagai panel yang dilantik untuk memudahkan urusan-urusan tertentu berkaitan selatan Johor dan Singapura seperti mengurus penggunaan kad pintar bagi proses keluar masuk, promosi pelancongan dan alam sekitar dan sebagainya. Is tidak memiliki kuasa esekutif sama sekali. Jkuasa akan berusaha mengoptimankan sinergi pertumbuhan dan pelaburan di WPI. Kepentingan komersial menjadi matlamat kita dan Singapura tertaktuk kepada semua syarat-syarat yang ditetap Malaysia.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah pun menegaskan bahawa Jawatankuasa ini bukanlah satu entiti perunding yang boleh memberi keputusan muktamad mengenai pembangunan di koridor selatan itu tetapi segala keputusan muktamad yang berkaitan dengan polisi adalah dibuat oleh Perdana Menteri dan jemaah Kabinet, bukannya jawatankuasa berkenaan. Selain itu Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (Irda) merupakan badan yang boleh membuiat keputusan berhubung pelaburan domestik dan asing di WIP. Juteru, tidak timbul kerajaan akan menyerahkan kedaulatan negara kepada Singapura. Jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa untuk meneliti segala bentuk pelaburan yang akan dibuat sebaliknya perkara ini berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa Johor Selatan.

Hakikatnya WPI bukan untuk pelaburan Singapura semata-mata tetapi ia membuka penyertaan kepada negara-negara lain seperti Eropah, Asia Barat, China, Jepun, Korea , Taiwan dan lain-lain untuk melabur di WPI. Kerajaan juga akan memberikan peluang yang luas kepada pelabur tempatan dengan merangka inisiatif sosioekonomi kepada mereka. Segala langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan untuk WPI adalah mengambil kira manfaatnya kepada negara dan rakyat.

WPI ini diyakini akan menarik lebih kurang RM47 bilion pelaburan dalam jangka masa lima tahun. Apa yang pasti ialah segala usaha pembangunan wilayah yang dirangka oleh kerajaan akan memberikan peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat dan peluang perniagaan, khususnya kepada kontraktor-kontraktor, ahli-ahli koperat dan para usahawan di negara ini. Rakyat mestilah mengambil kesempatan yang disediakan untuk meraih rezeki yang terbuka luas ini.

Tuesday, August 28, 2007

KUASA POLITIK MELAYU PERLU DIPERTAHANKAN

KUASA POLITIK MELAYU PERLU DIPERTAHANKAN

Kuasa politik Melayu bukan sahaja penting dalam membela dan membina bangsa melayu yang bermaruah, dinamik, progresif , produktif, kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran alaf baru- abad ke 21 ini, malah ia juga penting dalam konteks kesejahteraan, keharmonian, kestabilan dan keamanan Malaysia.

Bangsa melayu perlu sedar bahawa penghakisan dan kejatuhan kuasa politik melayu di negara ini bermakna kehidupan kaum melayu sendiri akan terancam. Pastinya dalam keadaan begini bangsa melayu akan dibelenggui masalah sosioekonomi yang mungkin tidak terbela. Justeru perpecahan di kalangan orang melayu harus dibendung sama ada perpecahan di dalam parti tunggak orang melayu, iatu UMNO mahu pun perpecahan di dalam masyarakat melayu yang difaktorkan kepada perpecahan ideolgi kepartian.

Orang melayu tidak sepatutnya mempunyai banyak pertubuhan politik. Cukuplah UMNO dan Pas wujud. Pun begitu, kedua-dua parti besar melayu ini tidak harus bertelagah sehingga menimbulkan kemelut dan perpecahan yang boleh membawa kepada lunturnya ukwah dan solidarity dalam masyarakat melayu. Pas tidak harus bersikap ekstrim dalam melabel dan menuduh UMNO sebagai parti secular, atau lebih ekstrim lagi menuduh UMNO tidak Islamik. Pas da UMNO perlu duduk semeja mencari titik persamaan demi kepentingan bangsa melayu.

Kedua-dua parti politik melayu ini perlu mengamalkan politik pemikiran rasional walaupun pada asasnya politik bertujuan untuk mendapatkan kuasa dan bagaimana menggunakan kuasa itu. UMNO sepanjang diberi mandat memerintah negara ini telah menggunakan kuasa sebaik mungkin untuk memajukan orang melayu. UMNO telah melakukan sumbangan yang besar dalam memajukan syiar Islam di negara ini. Pas harus mengurangkan retorik dalam menyerang UMNO. Isu mengenai negara Islam tidak harus dijadikan bahan polimek oleh Pas kerana pandangan mengenai konsep negara Islam adalah pelbagai dan membina Negara Islam perlu strategi yang praktikal bukannya dengan retorik dan kata-kata yang muluk.

Memang diakui bahawa politik bukanlah faktor mutlak dalam menentukan nasib sesuatu bangsa itu. Pencapaian dan kemajuan ekonomi juga mempunyai pengaruh yang besar dalam menentukan maruah dan martabat sesuatu bangsa. Malah, hari ini kemajuan dalam bidang ekonomi mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam mempengaruhi kejayaan mempertahankan kuasa politik. Namun perlu disedari dalam konteks kedudukan negara yang begitu kompleks perseimbangan ras, sosiobudaya dan dalam keadaan bangsa melayu yang dianggap masih ketinggalan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam sector ekonomi maka kuasa politik melayu harus dipandang penting sebagai mekanisme yang menjadi pemangkin ke arah memotivasikan halacara kemajuan kaum melayu. Melayu harus terus mengungguli corak dan perjalanan politik negara ini.

Bila kita berbicara mengenai pengekalan dan pengukuhan kuasa politik melayu, kita tidak bermaksud kepemimpinan melayu yang menunjangi politik negara harus mengetepikan sikap tolerensi dan politik kompromi dengan kaum-kaum lain kepada tingkahlaku politik yang berbau kezaliman, penindasan, penganiayaan dan diskriminasi. Sikap seperti ini tidak membawa apa-apa faedah selain dari menimbulkan konflik dan ketegangan kaum yang boleh menyuburkan gerakan-gerakan anarkisme di dalam negara. Semangat politik kompromi Barisan Nasional harus dikekal dan diteruskan. Ia telah menjadi formula berkesan dalam membina perpaduan dan kemajuan negara.

Apa yang perlu dalam konteks meneruskan kesinambungan kuasa politik melayu sebagai teraju pemerintahan negara ialah dengan merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi dan dasar negara yang memberikan penekanan tehadap pembangunan masyarakat melayu terutama dalam bidang di mana kaum melayu jauh ketinggalan. Sesungguhnya menjadikan kaum melayu mencapai taraf kehidupan yang seimbang dan setaraf dengan kaum lain adalah satu langkah yang adil sementara membiarkan nasib melayu tanpa pmbelaan adalah satu ketidakadilan. Justeru, adalah wajar hak-hak keistemeaan orang melayu yang diperolehi melalui kontrak social semasa negara mencapai kemerdekaan perlu dipertahan dan diteruskan. Pelaksanaannya selama ini membuktikan bahawa ia sama sekali tidak menzalimi kaum-kaum lain malah kaum-kaum lain turut meneriam banyak faedah dari kontrak social ini.

Sunday, August 26, 2007

REMAJA HARUS KEMBALI KE LANDASAN YANG BETUL

REMAJA HARUS KEMBALI KE LANDASAN YANG BETUL

Berita dan rencana mengenai kisah mat rempit, penagih dadah, pergaulan/seks bebas dan berbagai masalah lain termasuk masalah disiplin di kalangan pelajar remaja acap kali dipaparkan di dada akhbar dan skreen tv kita. Kisah terbaru (beberapa minggu lalu) ialah cerita mengenai sembilan pelajar perempuan yang terlibat dalam “keganasan” menyerang seorang mangsa perempuan.Dalam tindakan agresif kumpulan remaja perempuan itu mereka telah bertindak memotong baju dalam dan coli mangsa. Kesemuanya melibatkan anak-anak melayu beragama Islam.

Walaupun masalah remaja ini dianggarkan hanya sekitar 5% dari keseluruhan jumlah remaja di negara ini namun ia tidak boleh dipandang enteng begitu sahaja. Dalam Islam perkara mungkar tetap diberi perhatian dan perlu diatasi walaupun jumlahnya kecil. Jika kita mahu berfikir secara serius maka senario keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini sudah cukup membuatkan kita cemas mengenai masa depan remaja di negara ini. Kebimbangan kita terhadap perkara ini ada asasnya kerana merekalah yang bakal mewarisi negara bahkan penentu keutuhan jati diri bangsa pada masa depan.

Perlakuan-perlakuan sosial yang bersifat ‘deviant’ ini amat tidak menguntungkan bukan sahaja kepada kehidupan remaja malah kepada masyarakat dan negara. Kebiasaannya remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak akan mampu membina kecemerlangan dalam hidup yang sepatutnya dibina sewaktu usia muda yang penuh bertenaga ini, khususnya dalam meraih kecemerlangan pendidikan. Selain itu maruah sesuatu bangsa itu boleh tercemar sekiranya anak-anak remajanya mendominasi sesuatu gejala negatif yang merosakkan.

Selaku penganut agama Islam remaja kita harus sedar bahawa semua nilai-nilai dan peraturan-peruaturan hidup mestilah diasaskan kepada nilai akhlak yang dituntut oleh agama dan adat kita. Betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan umat Islam dapat dimengertikan melalui doa baginda rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Ya Allah, jadikanlah pada akhlakku mulia sebagaimana Engkau menjadikan jasadku baik” (hadis riwayat Ahmad). Orang yang berakhlak mulia dicintai nabi dan di akhirat kelak golongan yang baik akhlaknya akan berada dekat dengan nabi sepertimana maksud sebuah hadis riwayat Ahmad, “Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan sangat dekat kedudukannya kepadaku pada hari akhirat ialah orang Islam yang paling baik akhlaknya dan sesungguhnya orang yang paling dibenci di kalangan kamu di sisiku dan yang paling jauh dariku di akhirat ialah orang yang buruk akhlaknya”.

Justeru untuk membina imej dan maruah remaja maka kita mesti membangun dan membetulkan semula landasan akhlak mereka. Kita perlu kembali menitik beratkan pendidikan akhlak yang tapak awalnya bermula dari rumah dan kemudiannya nilai-nilainya diperkaya dan diperkukuhkan lagi melalui institusi-institusi pendidikan formal. Apa yang perlu disedari ialah sumber pembinaan akhlak dan membentuk jati diri kita telah pun ada iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Inilah satu-satunya warisan dan khazanah suluhan hidup kita di dunia ini. Selain itu budaya dan beberapa adat bangsa yang selari dengan ajaran Islam perlu juga diterapkan kepada generasi muda .

Masalah yang melanda kita ialah kerana kita tidak menghayati nilai akhlak yang telah sedia ada dalam kitabbullah dan kitab-kitab hadis nabi s.a.w. Justeru, remaja kita perlu membangkitkan keazaman ke arah meninggalkan semua amalan dan tindakan yang merugikan. Elakkan bertindak dan berperangai seperti orang yang tidak mempunyai panduan dan cahaya dalam hidup ini. Memang benar ilmu psikologi melihat zaman remaja adalah zaman penuh godaan dan pancaroba. Ia adalah zaman di mana remaja ingin mencuba dan melakukan segala sesuatu yang mencabar dan baru. Mencuba sesuatu yang baru adalah baik dan digalakkan tetapi ianya biarlah dalam perkara-perkara yang positif serta menguntungkan negara dan bangsa. Sebaliknya dalam perkara-perkara yang melibatkan hawa nafsu yang merosakkan maruah dan akhlak maka ianya harus dijauhi. Kita yakin sekiranya akhlak Islam dapat dihayati dan dipraktikkan semuanya dapat dihadapi dengan tenang dan bijak.

Remaja perlu mempunyai sikap berlumba-lumba dalam mencari ilmu dan kemahiran yang kini banyak disediakan berbagai agensi kerajaan. Beranikan diri untuk berdikari dalam kerja-kerja yang menguntungkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya ini lebih berfaedah daripada menjerumuskan diri ke dalam aktiviti yang membinasakan masa depan dan mencemarkan maruah diri. Janganlah kita merosak “karamah” (kemuliaan) dan darjat diri selaku umat Islam. Islam menyuruh kita membina budaya dan tamadun yang memiliki nilai akhlak yang tinggi. Justeru, kejar dan capailah kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi tetapi dalam masa yang sama janganlah diabaikan persoalan akhlak.

Sesunguhnya akhlak tidak boleh dipisahkan dari kehidupan kita kerana ia lambang terhadap penghayatan iman dan taqwa. Dalam konteks negara pula ia telah menjadi salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Ingatlah pesanan dan nasihat pemimpin kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru umat Islam supaya kembali mendokong konsep khalifah dalam pengertiaannya yang betul. Di antara ciri dan sifat yang perlu ada dalam konsep khalifah itu ialah berakhlak dengan akhlak Islam.


50 TAHUN MERDEKA: PERTAHANKAN ISLAM SEBAGAI JATI DIRI MELAYU

50 TAHUN MERDEKA: PERTAHANKAN ISLAM SEBAGAI JATI DIRI MELAYU

31 Ogos 2007 adalah tarikh bersejarah buat negara yang tercinta ini. Pada tarikh ini genaplah setengah abad atau 50 tahun kita menikmati kemerdekaan. Sejak merdeka kita bebas mengurus, mentadbir dan memerintah negara tanpa campurtangan asing.Kita bebas membangun negara mengikut acuan dan wawasan kita.

Sepanjang kemerdekaan bangsa melayu telah melangkah maju dalam banyak bidang kehidupan. Terima kasih kepada kerajaan yang ditunjangi UMNO kerana telah membina negara dan bangsa ini ke arah sebuah negara-bangsa (nation state) yang dihormati. Lafaz Alhamdulillah kita zikirkan dihati dan lidah sebagai tanda bersyukur kita kehadrat Allah s.w.t. di atas nikmat yang dikurniakan. Di antara nikmat agung yang diberikan kepada kita selama ini ialah nikmat iman dan Islam.

Sesungguhnya Melayu dan Islam merupakan dua elemen yang sukar dipisahkan bagaikan irama dan lagu jika dipisahkan rosaklah ia. Sekian lama Islam telah memperelok dan memperindah kehidupan orang melayu dengan tasawur (world view) yang jelas; dunia dan akhirat. Sesungguhnya jati diri orang melayu amat kuat dipengaruhi oleh Islam walau pun dari segi amalannya ia boleh dipersoalkan.

Jati diri adalah lambang dan keperibadian sesuatu bangsa. Di antara elemen-elemen utama yang membentuk jati diri bangsa ialah bahasa, adat, budaya, agama, nilai hidup dan sebagainya. Dalam perkara mengenai agama, Islam sebagai keperibadian hidup orang melayu telah dimaktubkan di dalam perlembagaan negara. Perkara 160 (2) Perlembagaan Negara dengan jelas mendifinisikan orang melayu sebagai “seseorang yang menganut agama Islam, kebiasaannya bercakap melayu dan mengamalkan adat melayu”. Sesiapa pun di Malaysia ini boleh dianggap melayu sekiranya ketiga-tiga perkara berkenaan mendarah daging pada dirinya. Itu tafsiran melayu dari sudut perlembagaan.

Oleh kerana Islam sinonim dengan orang melayu maka orang melayu tidak sewajarnya meninggalkan agamanya atau dengan perkataan lain murtad. Murtad adalah isu yang amat sensitif dan kontroversi bagi orang melayu. Di sisi Islam murtad adalah perbuatan jenayah yang membawa hukuman berat di sisi hukum Islam. Justeru, di antara punca agama Islam menjadi teguh di kalangan orang melayu, bahkan umat Islam diseluruh dunia adalah disebabkan adanya hukum jenayah murtad ini. Pada adatnya seorang anak melayu-Islam tidak mungkin menjadi murtad setelah ia dididik dan diberi pengetahuan secara baik mengenai asas-asas agamanya.

Orangmelayu sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan Islam. Ajaran Islam sendiri meminta penganutnya bersungguh-sungguh mempertahankan aqidah dan kematian dalam mempertahankannya adalah dianggap mati syahid. Mati syahid adalah satu kemuliaan di sisi Islam. Contoh terbaik dalam mengambarkan semangat orang melayu ini ialah kes Natrah pada tahun 1951. Natrah adalah seorang gadis berbangsa Belanda yang telah dibesarkan dalam keluarga melayu. Apabila mahkamah di Singapura membenarkan gadis yang telah Islam ini dikembalikan kepada keluarga asalnya maka orang melayu telah memberontak dan sanggup mengadaikan nyawa menentang keputusan tersebut.

Dalam sejarah penjajahan di Tanah Melayu, kuasa-kuasa Barat bermula dari Portugis (Melaka), Belanda (Melaka) dan Inggeris (seluruh Tanah Melayu) kesemuanya telah gagal memurtadkan orang melayu. Usaha kristianisasi yang cuba mereka kembangkangkan dalam masyarakat melayu di era penjajahan gagal mencapai matlamat dan sasarannya. Begitulah hebatnya orang melayu mempertahankan aqidah mereka. Kekuatan ini lahir dari keteguhan aqidah dan iman mereka yang ditanamkan oleh tuan-tuan guru, para ustaz, alim ulama bahkan ibu-bapa kita.

Malangnya hari ini, di saat orang melayu semakin lemah aqidahnya usaha memurtadkan orang melayu nampaknya mula diambil kesempatan oleh golongan musyrik dan kufar. Mereka menggunakan beberapa peruntukan perlembagaan yang dirasakan boleh memihak kepada mereka bagi memurtadkan anak-anak muslim yang telah terjebak dalam perangkap mereka. Mereka begitu bersemangat untuk melihat umat melayu dinegara ini menjadi murtad. Beberapa kes seperti Aishah Bokhari, Lina Joy (Azlina Jalani) dan beberepa kes lain yang penuh kontoversi menunjukkan betapa usaha mereka adalah satu usaha yang serius dan penuh bersungguh-sungguh.

Sebaliknya orang Islam di negara ini tidak pernah memaksa dengan menggunakan mana-mana peruntukan perlembagaan bagi memastikan seseorang itu memeluk Islam. Jika seseorang yang bukan Islam mahu memeluk Islam sedangkan keluarga asalnya menentang maka umat Islam di negara ini tidak pernah menggunakan perlembagaan atau undang-undang seperti mana dalam kes Aishah Bokhari di mana keluarganya sendiri telah dituduh melakukan tahanan salah tehadap Aishah. Mereka telah membuat permohonan sedemikian atas alasan hak kebebasan beragama sepertimana terkandung dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutruan.

Dalam kes Lina Joy walau pun keputusan kes ini telah memberikan kemenangan moral kepada umat Islam di negara ini namun dari segi hakikat ajaran Islam mereka telah berjaya memurtadkan Lina Joy dan inilah juga pilihan beliau. Sesungguhnya kita tidak boleh terus bergantung kepada undang-undang kerana undang-undang hanyalah tatacara yang bertujuan memberikan keadilan mengikut perspektif dan tafsiran undang-undang.

Sesungguhnya usaha memurtadkan orang melayu adalah sesuatu yang amat sensitif. Justeru, kita masih ingat lagi di sekitar tahun 1988 kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas ke atas seorang paderi melayu-Kristian dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi membendung isu yang cukup sensitif ini.

Umat Islam di negara ini cukup sabar menghadapi kerenah pihak-pihak yang suka memprovokasi agama Islam melalui saluran perlembagaan dan undang-undang. Kita tidak mahu sikap mereka menjadi ” melampau” kerana sebagai umat Islam kita turut mempunyai maruah dan tanggungjawab menjaga agama. Umat Islam perlu melipat gandakan pendidikan aqidah, khususnya kepada generasi muda melalui semua saluran sama ada pendidikan keluarga, pendidikan sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi, pendidikan di madrasah, surau dan masjid serta melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan dari masa ke semasa.

Ingatlah, dalam keadaan kita dihimpit dengan berbagai persoalan/masalah di tanah air sendiri maka aqidah Islamiahlah yang akan terus memberikan kekuatan dan tenaga kepada kita untuk menghadapi cabaran. Seandainya aqidah kita terus menjadi lemah dan cair maka nantikanlah kehancuran bangsa ini. Kemerdekaan tanah air kita harus dipertahankan bersama dengan kemerdekaan aqidah islamiyah. Tidak ada maknanya kita mengecapi kemerdekaan seandainya anak bangsa kita mencari jalan atau agama lain selain Islam.

Friday, August 24, 2007

Welcome to My blog


Assalamualaikum w.b.t.,


Selamat datang dan melayari blog megatrambai.