Tuesday, August 23, 2011

Nasionalisme, patriotisme inti pati kemerdekaan
Rakyat Malaysia perlu pertingkat semangat kenegaraan agar mampu kekal harmoni
-
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Ogos diisytiharkan sebagai bulan kemerdekaan . Negara merdeka pada 31 Ogos 1957. Tahun ini merupakan kali ke-54 kita menyambut dan meraikan tarikh keramat ini sebagai hari kemerdekaan negara. Pada tahun ini sambutan hari kemerdekaan yang bertemakan ‘Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ akan ditunda ke 16 September kerana dijangka jatuh pada hari kedua sambutan Aidilfitri.
-
Tarikh 16 September dikira amat sesuai kerana ia adalah hari penubuhan Malaysia. Sabah dan Sarawak menerima kemerdekaan melalui penyertaan mereka ke dalam Persekutuan Malaysia.
-
Sesungguhnya kemerdekaan telah memberikan kebebasan kepada kita untuk mencorakkan negara ini tanpa campur tangan asing. Pada awal pengisian kemerdekaan beberapa halangan terpaksa diharungi negara.
-
Antaranya, saki baki ancaman komunis, tentangan Indonesia dan Filipina terhadap penubuhan Malaysia 1963 dan juga masalah perkauman yang masih menebal sehingga tercetus peristiwa 13 Mei 1969. Semuanya dapat kita hadapi dengan penuh cekal dan berjaya.
-
Peristiwa 13 Mei adalah titik tolak ‘kejuruteraan sosial’ di negara kita. Dari peristiwa inilah lahirnya pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan dan beberapa dasar lain.
-
DEB (1970-1990) telah banyak merubah struktur masyarakat kita. Rukun Negara juga lahir selepas peristiwa hitam 13 Mei.
-
Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip pula telah benar-benar menjadi ideologi, falsafah dan etika hidup seluruh rakyat Malaysia. Rukun Negara telah menjadikan rakyat lebih bersifat patriotik, bersatu padu, toleran dan liberal.
-
Sebenarnya, apakah inti pati kejayaan pengisian kemerdekaan itu sehingga kita berjaya membina sebuah negara yang makmur, harmoni dan bersatu padu. Inti pati kemerdekaan itu ada dua, iaitu nasionalisme dan patriotisme.
-
Kedua-duanya kait mengait antara satu sama lain; dalam nasionalisme ada patriotisme dan dalam patriotisme ada nasionalisme. Apakah maknanya kedua-dua itu?
-
Dalam konteks negara moden, nasionalisme bermaksud rasa kebersamaan sebagai suatu bangsa berasaskan ikatan kewarganegaraan yang dapat membentuk satu semangat kenegaraan (kebangsaan) bersama.
-
Melalui semangat nasionalisme inilah kita dapat membina penegasan identiti dan kepribadian serta sifat bangsa Malaysia yang bertanggungjawab menentuan nasib dan masa depan sendiri, bukannya ditentukan oleh negara atau kuasa luar.
-
Dari nasionalisme inilah lahirnya semangat patriotisme. Patriotisme adalah rasa cinta dan sayangkan negara. Patriotisme menjadikan kita sanggup berkorban mempertahnakan tanah air dari ancaman musuh sama ada yang datang dari dalam ataupun luar.
-
Nasionalisme dan patriotisme sangat penting disduburkan kembali ke dalam jiwa rakyat kita, khususnya dalam kalangan generasi muda. Tidaka salah kita memiliki semangat nasionalisme selagi ianya tidak diasasakan kepada semangat perkauman ynag melulu.
-
Bangsa yang lemah nasionalisme dan patriotismenya akan mudah dikuasai oleh bangsa atau kuasa luar. Demikianlah yang ditegaskan oleh Muhammad Abduh, ulamak dan tokoh reformis dunia Islam yang terkenal.
-
Justeru, sempena sambutan kemerdekaan tanah air yang ke-54 ini marilah seluruh rakyat Malaysia mempertingkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme terhadap tanah air supaya negara terus kukuh dan kuat serta sukar digangu gugat oleh musuh-musuh, sama ada musuh yang bersifat gunting dalam lipatan ataupun musuh yang datang dari luar. - BH 24 Ogos 2011


Implikasi buruk cabar ketetapan Islam agama bagi Persekutuan
Kedegilan kumpulan, pertubuhan agama lain dianggap cabar peruntukan Perlembagaan



Oleh Mohd Ayop Abd Razid


Isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya minggu lalu menimbulkan kembali perbincangan tentang adanya pihak tertentu untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan umat Islam. Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
-
Kontroversi terbaru ini juga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kerana ia termasuk perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan kaum di negara ini.
-
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah “agama bagi Persekutuan”. Mentakrifkan Islam sebagai “agama rasmi” negara adalah tidak tepat kerana perkataan “rasmi” itu sendiri tidak disebut di dalam Perkara 3. Lagi pun frasa “agama rasmi” akan menyempitkan skop pemakaian peruntukan tersebut dan menjadikan agama Islam terhad kepada amalan ritual serta upacara rasmi dan keagamaan semata-mata.
-
Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah. Contoh, di dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (di Mahkamah Persekutuan), Ketua Hakim Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.
-
Perkara 3 harus dipertahankan kerana peruntukkan inilah yang meletakkan Islam berdaulat di negara ini. Ini adalah kerana peruntukan tersebut menyentuh kuasa Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam. Sebelum ini ada kedengaran suara yang mahu peruntukan tersebut dipinda.
-
Justeru, dalam soal meminda peruntukan Perkara 3 ini, ia perlu mendapat pekenan daripada Raja-raja Melayu walaupun telah mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen. Saya yakin, untuk mendapat dua pertiga ahli Parlimen bukannya mudah kerana majoriti ahli parlimen Melayu-Islam tidak tergamak untuk menyokongnya kerana implikasinya sangat buruk terhadap kedudukan agama Islam di negara ini.
-
Walaupun Islam diberikan kedudukan sebagai agama Persekutuan tetapi peruntukan itu urut mengiktiraf hak kebebasan penganut-penganut agama lain mengamalkan agama mereka secara bebas. Sungguhpun begitu, dalam konteks penyebaran agama terdapat sekatan yang melarang agama lain disebarkan kepada penganut Islam seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 11(4).
-
Semua peruntukkan-peruntukkan tersebut sudah jelas dan sejak awal Perlembagaan Persekutuan dirangka semua kaum telah sepakat menerima peruntukan itu. Malangnya ada kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan agama yang menunjukkan kedegilan mereka yang seolah-olah mahu mencabar Perkara 11(4). Mereka menggunakan beberapa cara untuk menyebarkan ajaran mereka di kalangan umat Islam. Ini termasuklah melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan mereka.
-
Pada hemat saya perkara 11 (4) diadakan bagi memberi tanggungjawab pemerintah atau kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak menjadi murtad setelah berada di dalam agama Islam. Murtad atau keluar dari agama Islam adalah dilarang di dalam ajaran Islam yang boleh dikenakan hukum berat ke atasnya.
-
Justeru, peruntukan terbabit tidak harus dilihat sebagai larangan kepada penganut agama lain menyebarkan ajaran mereka kepada umat Islam tetapi ia juga mesti dilihat sebagai peruntukan yang bertujuan untuk membendung gejala murtad di kalangan umat Islam di negara ini.
-
Oleh itu, sekiranya terdapat apa-apa maklumat yang menunjukkan adanya pihak tertentu yang berusaha atau menjalankan apa-apa aktiviti untuk menyebarkan agama lain kepada umat Islam maka menjadi tanggungjawab agensi atau jabatan agama untuk menyiasat dan bertindak ke atas maklumat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh JAIS itu.
-
Ada dua tindakan yang boleh diambil sekira benar perkara itu berlaku. Pertama, sekiranya ada asas kukuh bahawa pihak terbabit menjalankan aktiviti yang menyalahi enakmen syariah negeri, sekali gus Perkara 11(4) maka tindakan undang-undang boleh diambil ke atasnya. Bagi umat Islam yang disyaki telah terpengaruh atau mengikut ajaran agama lain maka pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan ke atasnya mengikut peruntukkan yang ada di dalam enakmen undang-undang syariah.
-
Dalam konteks ini tidak ada siapa yang boleh mempertikai atau menghalang tindakan mahkamah di ambil ke atas orang Islam yang telah melanggar undang-undang syariah. Perkara 121 (A) adalah peruntukan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.
-
Jika orang bukan Islam mahu umat Islam menghormati amalan agama mereka maka mereka juga harus menghormati dan mematuhi agama Islam, khusus Perkara 3 dan Perkara 11 (4) yang terkandung di dalam perlembagaan negara itu. Mereka seharusnya berasa bersyukur kerana Malaysia adalah di antara negara yang memberikan kebebasan agama kepada orang bukan Islam. – BH 9/8/2011


















Barat guna propaganda media sembunyi agenda politik jahat
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Secara teorinya media sepatutnya bergerak melalui ’pasaran idea’ (market place of ideas) serta mewakili suara rakyat. Perkara ini selari dengan Artikel 19 Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 yang menyebut bahawa kebebasan informasi adalah landasan utama bagi manusia.
-




Dalam konteks ini, Barat sering dijulang sebagai contoh unggul dalam mengamalkan kebebasan dan pendemokrasian media. Justeru, pejuang-pejuang kebebasan media termasuk di negara kita sering memomokkan bahawa Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) berjaya mengamalkan kebebasan media secara total dan telus.

-

Reuters, Associated Press (AP), Agence France Presse (AFP) dan United Press International (UPI) adalah sebahagian dari agensi-agensi berita utama dunia yang dimiliki oleh Barat. Agensi-agensi berita terbabit membekalkan 80 peratus berita yang bersifat satu arah, iaitu dari Utara ke Selatan. Kebanyakan berita berkaitan peristiwa-peristiwa yang terjadi di seluruh dunia itu pula ditulis, diolah, disaring, dipotong mengikut kaca mata orang Barat.

-

Kita masih ingat dalam Laporan Perang Teluk media AS dan negara Barat lain telah menyebarkan pelbagai kepalsuan dan propaganda politik yang jijik terhadap dunia Islam, khususnya Irak, Afghanistan dan Iran. Islam digambarkan sebagai zalim dan ganas sehingga media Barat berjaya mencetuskan ’Islamophobia’ di dunia barat. Peristiwa hancurnya World Trade Center di New York dijadikan landasan untuk mempropagandakan ’kebejatan’ Islam.
-
Media Barat menuduh tanpa usaha mencari kebenaran atau sengaja menyembunyikan kebenaran. Propaganda media Barat juga mempunyai agenda tersendiri iaitu untuk melaga-laga dunia Islam dan Barat. Sikap yang sama juga diperlakukan oleh media Barat terhadap dunia ketiga dan negara sedang membangun.
-
Media Barat tidak memberikan perhatian yang sewajarnya mengenai negara ketiga, bersifat berat sebelah dalam pemberitaan dan jarang memuatkan mengenai proses pembangunan negara membangun. Mereka lebih gemar menyiarkan berita-berita mengenai rampasan kuasa yang kebanyakan peristiwa pergolakan politik di negara-negara terbabit itu turut didalangi oleh agenda jahat politik Barat.
-
Justeru, tidak hairanlah Rosemblum (1977) menyatakan bahawa monopoli berita oleh New York, London dan Paris adalah menandakan munculnya kolonialis baru dan dominasi budaya. Galliner (1978) juga menyebut agensi-agensi berita antarabangsa yang dikuasai Barat hanya melaporkan bahagian-bahagian tertentu dunia sahaja dan mengesampingkan bahagian-bahagian dunia yang lain yang tidak memberi dukungan kepada mereka. Jika ada pun maklumat yang dipaparkan ia lebih banyak bersifat ‘manipulatif’ dan negatif semata-mata.
-
Hakikat dan kenyataan sebenar menunjukkan bahawa media Barat sendiri tidak sepenuhnya tepat dan betul dalam amalan media antarabangsanya. Prejudisnya terhadap negara-negara Islam adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan. Sikap prejudis, kegilaan media mencari keuntungan serta trend akhbar-akhbar di AS menyebarkan budaya kurang sihat menyebabkan medianya telah hilang arah.
-
Menyedari akan hakikat tiadanya ’keseimbangan informasi antarabangsa’ itu telah mendorong Setiausaha Agung UNESCO menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Sean MacBride pada tahun 1970an. Suruhanjaya terbabit telah memberi fokus kepada persoalan mengenai kawalan arus informasi antarabangsa yang didominasi oleh media-media barat seperti Reuters, AP, UPI dan AFP.
-
Sewaktu berlangsungnya persidangan UNESCO di Paris (1978), Suruhanjaya itu telah menyerahkan laporan yang diberi nama “Many Voices – One World”. Laporan itu kemudiannya disahkan oleh persidangan UNESCO di Belgrade, 1980. Menariknya, laporan MacBride itu menyarankan negara-negara sedang membangun terutama negara-negara Islam mewujudkan satu saluran media untuk disalurkan ke seluruh dunia.
-
Saranan itu membuktikan bahawa kawalan arus informasi yang didominasi oleh media-media barat itu gagal menyalukan berita yang telus dan seimbang terhadap dunia Islam serta negara-negara membangun. Saranan tersebut telah menyebabkan lahirnya saluran media Al-Jazeera yang diwujudkan pada tahun 1996 yang berpusat di Doha, Qatar. Saluran media alternatif ini telah menjadi pembekal maklumat yang telus dan bebas yang menyalukan sumber-sumber terkini kepada dunia Islam.
-
Kesimpulan, kebabasan media yang bersifat mutlak adalah satu momokan Barat semata-mata. Media Barat sendiri kerap memuatkan liputan berita yang tidak telus dan seimbang.


-BH 26/7/2011