Thursday, October 28, 2010

Globalisasi ekonomi tuntut negara lakukan transformasi
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Globalisasi merupakan salah satu isu utama abad ke-21. Kesan globalisasi terhadap mana-mana negara adalah besar dan ia telah pun mula dirasai di negara kita. Apakah maksud globalisasi itu? Globalisasi adalah satu proses perubahan kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat merentasi sempadan ‘geo-politik’ yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat di seluruh dunia.
-
Ini bermakna segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara. Kemajuan teknologi komunikasi dan pemerosesan maklumat menjadi semakin canggih membolehkan kita mengetahui segala peristiwa dan kejadian yang telah dan sedang berlaku di seluruh penjuru dunia dalam tempoh yang singkat sahaja.
-
Globalisasi dikatakan membawa pelbagai peluang kepada masyarakat dunia (negara). Namun, di sebalik itu timbul pelbagai cabaran yang harus dihadapi dan ditangani dengan bijaksana. Di antara ciri dan sifat utama globalisasi ialah persaingan, manakala bentuk globalisasi yang paling menonjol ialah globalisasi ekonomi. Perlu difahami bahawa kesan daripada globalisasi ekonomi ini menyebabkan batasan geografi dan sosial juga turut mengecil.
-
Bagi negara yang mahu terus maju maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam keseluruhan ekonomi antarabangsa. Ini adalah jeranaglobalisasi ekonomi menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global. Proses ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak mudah merentasi sempadan geo-politik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.
-
Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geo-politik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain.
-
Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan berubah dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa. Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah bersifat dinamik dan akomodatif. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
-
Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa. Negara seharusnya sedia membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara.
-
Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula mampu melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana koporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang. .
-
Rakyat juga mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Tiada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Justeru, rangka pembangunan ekonomi nasional mestilah terus bersifat dinamik, kreatif dan inovatif bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif sifatnya.
-
Justeru, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini. Pelancaran Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara-negara maju – negara maju berpendapatan tinggi.
-
Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencanakan agenda transformasi ekonomi dan pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan domestik dan antarabangsa dapat menggerakkan organisasi ke satu tahap kecemerlangan melalui usaha-usaha konkrit bagi memupuk sikap yang positif ke arah budaya kerja dan pengurusan yang cemerlang.

Sunday, October 24, 2010

Bahaya jiwa Perlembagaan dicabuli

Oleh MOhd Ayop Abd Razid
-
APABILA meneliti Perlembagaan Persekutuan, kita dapati dalam perlembagaan wujud lima perkara asas yang tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan. Apakah lima perkara asas itu? Ia membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk pribumi Sabah dan Sarawak, hak kewarganegaraan, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan.
-
Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut kelima-lima perkara asas itu sebagai politik perlembagaan yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid. Ia dimasukkan dalam Perlembagaan selepas berlakunya proses perundingan, permuafakatan atau kata sepakat secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika itu.
-
Hakikatnya, kelima-lima perkara itu adalah satu bentuk kontrak sosial yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Menurut Dr Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya, kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British.
-
Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah pun menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mencabuli atau menghapuskan lima perkara asas itu boleh menimbulkan pelbagai sentimen termasuk perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat seterusnya menjerumuskan negara ini ke kancah kebinasaan.
-
Ia juga adalah satu bentuk kompromi politik atau politik permuafakatan di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Datuk Prof Dr Zainal Keling, melihat politik kompromi itu sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia.
-
Pendekatan ini sangat berkesan kerana segala program perpaduan dan integrasi nasional dapat dilaksanakan dengan jaya. Malah segala perselisihan faham dapat diselesaikan di meja rundingan. Ini bermakna politik kompromi yang diamalkan selama ini berjaya membentuk politik persetiaan murni atau bargain formula antara tiga ras terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara.
-
Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan ini ialah apabila pada 1955 apabila Britain memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu. Pilihan raya itu merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik yang dinamakan Perikatan (kini Barisan Nasional).
-
Perikatan mengemukakan manifesto yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-tiga kaum terbabit. Antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan ialah mengenai politik di mana Perikatan berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Berperlembagaan Negeri baginda masing-masing.
-
Untuk itu, Perikatan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu dan kepentingan istimewa orang Melayu. Dalam perkara mengenai pelajaran, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan.
-
Mengenai bahasa pula, Perikatan bersetuju untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dianggap acuan untuk membentuk sebuah negara. Perikatan juga dalam manifestonya berjanji mendapatkan kemerdekaan negara dalam masa empat tahun.
-
Menurut Zainal Abidin Wahid (1971), pilihan raya umum pertama itu merekodkan 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi itu ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu keluar untuk mengundi.
-
Perikatan meletakkan calon bagi semua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Menariknya, calon bukan Melayu dari Perikatan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihan raya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon bukan Melayu di kawasan mereka.
-
Manifesto yang dikemukakan Perikatan itu juga jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu sama-sama bersetuju dan memperjuangkan perkara mengenai warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama menyetujui kepentingan satu jenis Sekolah Kebangsaan bagi kepentingan perpaduan.
-
Kelima-lima elemen politik perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan. Justeru, kita bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan politik perlembagaan itu.
-
Perkara asas Perlembagaan Persekutuan itu dipertikai dan dipersenda malah dipolitikkan sewenang-wenangnya. Terbaru ialah pendedahan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa sudah ada pihak mewujudkan perlembagaan baru yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Ia menandakan bahawa sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk mencabuli apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara. - BH 4/9/2010

Monday, October 18, 2010

Memahami maksud, tanggungjawab transformasi
Oleh Mohd Ayob Abd Razid - BH 18 Okt 2010


"Rakyat mesti bersama galas usaha jayakan pembangunan sejajar misi, visi pemimpin"
-

TRANSFORMASI menjadi agenda utama kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa yang dimaksudkan dengan ‘transformasi’? Soalan ini sengaja dilontarkan kerana ramai tidak memahami erti transformasi, kabur istilahnya dan gagal memahami apa yang ingin dimaksudkan Perdana Menteri mengenai transformasi yang beliau bawa.
-
Jika mahu dihuraikan pengertian transformasi, kita perlu meneliti akar kata atau kata dasar yang membentuk perkataan itu. Istilah transformasi adalah daripada perkataan Inggeris iaitu transformation yang dibina daripada dua kata dasar iaitu trans dan form.
-
Trans bermaksud melintasi dari satu sisi ke sisi lainnya (across), atau melampaui (beyond), manakala kata form bererti bentuk. Jika istilah transformasi digunakan dalam bentuk kata kerja, maka kita menyebutnya sebagai mentransformasikan yang bermakna mengubah (rupa, bentuk, sifat dan fungsi) dan juga bererti mengalihkan.
-
Jelas, perkataan transformasi yang digunakan oleh kerajaan hari ini bukan istilah jargon yang tidak mempunyai makna signifikan terhadap kehidupan masyarakat dan negara. Ia mempunyai makna sangat luas.
-
Jika dikaitkan kepada perubahan sistem pentadbiran negara, maka kata transformasi itu merujuk perubahan dalam pembangunan nasional yang menjadi visi dan misi pemerintahan kerajaan pada hari ini. Ini bermakna transformasi mengandung makna perubahan yang biasanya menyebabkan perpindahan bentuk atau corak yang jelas. Ia berlaku secara terarah dan bertahap, bukan radikal tetapi tetap mengikut perancangan, malah ada jangka masanya.
-
Demikian, dalam usaha membangun dan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 maka agenda transformasi menjadi sangat mendesak. Untuk memulakannya Najib terlebih dulu memperkenalkan Gagasan 1Malaysia menjadi asas dan landasan penting bagi menjayakan agenda itu.
-
Gagasan itu mendukung falsafah ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Slogan ini menjadi asas beberapa program transformasi kerajaan lain. Dalam bidang pentadbiran, Najib memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), manakala dalam bidang ekonomi diperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
-
Sambutan hari kemerdekaan tahun ini juga memakai tema ‘1Malaysia Menjana Transformasi’.
-
Usaha melaksanakan transformasi membabitkan seluruh rakyat. Ia bukan satu haluan transformasi yang mementingkan kelompok tertentu. Rakyat diberi harapan dan perubahan selari dengan objektif, maksud dan tujuan transformasi itu sendiri.
-
Satu lagi perkara perlu difahami ialah untuk menjayakan transformasi bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Rakyat sebagai aset modal insan harus membabitkan diri secara aktif dalam menjayakan transformasi nasional. Mereka harus didorong untuk memikul sama usaha menjayakan transformasi. Ia perlukan transformasi pola atau cara berfikir dan pola perilaku (budaya) rakyat untuk membentuk dinamisme perubahan yang diharapkan itu.
-
Masyarakat yang mempunyai kesedaran penuh terhadap sikap dan tindakan dirinya untuk menjayakan transformasi akan berupaya membentuk momentum transformasi yang memberangsangkan. Sebab itu, lapan nilai yang digariskan di bawah gagasan 1Malaysia adalah nilai yang harus dihayati rakyat supaya agenda transformasi dapat dilakukan dengan lancar dan efektif.
-
Lapan nilai itu ialah ketabahan, penerimaan, pendidikan, integriti, meritokrasi, rendah hati, kesetiaan, budaya kecemerlangan. Lapan nilai itu harus dapat merubah penampilan, sikap, paradigma, tingkah laku dan kebiasaan diri supaya daya tenaga masyarakat melonjakkan daya saing negara, terutama untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.
-
Justeru, sudah sampai masanya kita membentuk masyarakat yang inovatif, kreatif dan produktif. Elemen inovatif dan kreativiti harus menyerap dalam seluruh sistem masyarakat iaitu pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pertahanan dan pelbagai sistem lain.
-


Jelas, makna transformasi terletak pada perubahan bentuk atau penampilan yang holistik supaya keberhasilan transformasi dapat menzahirkan impak yang berskala luas merangkumi seluruh sistem masyarakat itu.
-
Mungkin ini telahan penulis terhadap maksud kata-kata Najib: “Saya mengajak rakyat untuk sama-sama menjayakan transformasi besar ini”. Ia bukan dinamakan transformasi jika ia hanya sekadar membuat sedikit pembaikan atau perubahan dalam aspek tertentu. Apa yang nyata ialah agenda transformasi sangat diperlukan bagi menjayakan wawasan negara dan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dapat dicapai sepenuhnya.

Monday, October 11, 2010

Ahli politik perlu hormati “politik perlembagaan”

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Di dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat beberapa perkara asas yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini. Perkara-perkara asas tersebut ialah kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk Pribumi Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam dan Bahasa Kebangsaan. Perkara-perkara tersebut tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kerana ia termasuk perkara-perkara sensitif yang ditegah oleh perlembagaan.

Perkara-perkara tersebut merupakan manifestasi nilai-nilai budaya, sejarah dan ketamadunan negara. Mohd Foad Sakdan di dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut perkara-perkara asas tersebut sebagai “politik perlembagaan” yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan setelah berlakunya proses perundingan dan permuafakatan secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum. Perkara-perkara tersebut juga merupakan satu bentuk ‘kontrak sosial’ yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Menurut Dr. Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum-kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British. Misalnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan peruntukan perlembagaan yang bertujuan mengimbangi kedudukan Melayu dengan kaum-kaum lain.

Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mempersoal, mencabuli atau menghapuskan perkara-perakara asas itu akan menimbulkan sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat dan menjerumuskan negara ini ke arah kehancuran.

Perlembagaan yang dibentuk itu juga melambangkan wujudnya satu bentuk ’kompromi politik’ atau ’politik permuafakatan’ di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Politik kompromi yang diamalkan selama ini telah berjaya membentuk politik ‘persetiaan murni’ antara kaum yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara. Pendekatan ini telah terbukti dapat menyelesaikan segala perselisihan faham melalui meja rundingan
Prof. Dr. Zainal Keling melihat ‘politik kompromi’ sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia. Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan murni tersebut ialah apabila pada tahun 1955 British memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum yang pertama di Tanah Melayu.

Pilihan raya ini telah merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama ynag diwakili oleh UMNO-MCA-MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik ynag dinamakan Perikatan(kini BN). Perikatan telah mengemukakan ’manifesto’ yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-kaum terbabit.

Di antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan itu ialah mereka berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua berpelembagaan negeri baginda masing-masing. Untuk itu, Perikatan akan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-raja Melayu dan kepentingan istemewa orang Melayu.

Dalam perkara mengenai pelajaran pula, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Selain itu, Perikatan juga bersetuju untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan demi mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagi kaum di negara ini. Di dalam manifesto itu juga, Perikatan berjanji akan mendapatkan kemerdekaan negara dalam tempoh empat tahun.

Menurut sejarawan negara, Zainal Abidin Wahid (1971), Pilihan Raya Umum pertama itu merekodkan sebanyak 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi telah mendaftar sebagi pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu telah keluar untuk membuang undi.

Parti Perikatan telah meletakkan calon bagi kesemua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh Pas. Menariknya, calon-calon bukan Melayu dari parti Perikatan yang bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihanraya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon-calon bukan melayu di kawasan mereka sebagai wakil rakyat.

Manifesto Perikatan itu jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu telah bersetuju untuk memperjuangkan perkara-perkara yang berkaitan warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama-sama menyetujui kepentingan mewujudkan sekolah kebangsaan yang memakai Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar demi kepentingan perpaduan rakyat di negara ini.

Hakikatnya, kelima-lima elemen ‘politik perlembagaan’ yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara itu tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh perlembagaan. Justeru, ucapan-ucapan yang mempertikai dan menghina serta usaha untuk merubah perkara-perkara tersebut boleh dianggap sebagai satu hasutan atau jenayah. Tindakan-tindakan seperti itu boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Justeru, kita merasa bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan perkara-perkara asas Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara asas perlembagaan tersebut telah mula dipertikaikan dan dipolitikkan sewenang-wenangnya.

Sudah ada mereka yang bersuara lantang menuntut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dihapuskan bagi memberi layanan sama rata di antara kaum di negara ini. Tidak berapa lama dulu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pernah mendedahkan bahawa sudah ada pihak yang cuba mewujudkan perlembagaan baru yang mahu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga sudah ada anak-anak muda yang berani mempertikai dan menghina perkara-perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Kebanyakkan mereka menggunakan media siber sebagai salurannya.Sebenarnya keberanian mereka itu adalah hasil daripada ”kejahatan lidah-lidah” politikus tertentu yang bersifat anti-perlembagaan dan berhasrat mahu menghapuskan fasal-fasal penting tersebut. Anak-anak muda itu kebanyakannya jahil tentang perkara-perkara asas yang tidak boleh dipertikai atau dicabar di Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ramai di kalangan mereka termakan ”racun” hasutan itu sehingga ada yang sanggup memperlekeh institusi Raja, kedudukan agama Islam serta mempertikai perkara-perkara berkaitan dengan fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkembangan ini mesti dipantau rapi dan perlu ada tindakan yang konkrik dari segi perundangan negara terhadap mana-mana pihak yang berani bermain api dengan meniupkan isu-isu sensitif yang tegah oleh Perlembagaan Negara.