Wednesday, June 2, 2010

Keharmonian masyarakat majmuk bermula di Melaka

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KETIKA keagungannya pada abad ke-15, Melaka adalah sebuah kota antarabangsa yang makmur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Negeri yang terkenal dengan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak dan kehandalan Laksamana Hang Tuah itu, banyak meninggalkan asas kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.

Misalnya, sistem beraja dan undang-undang bertulis negeri Melaka menjadi asas kepada sistem kenegaraan negara kita.

Dalam konteks sejarah sosial, Melaka ialah negeri yang mula-mula mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beberapa pengkaji sejarah seperti O W Wolters dan Wang Gungwu, Melaka mula mengamalkan sikap liberal dan terbuka sejak pemerintahan Iskandar Syah (Parameswara) dan dua orang pengganti selepasnya.

Mereka menggalakkan pedagang dan orang luar datang ke pelabuhan Melaka sehingga terbentuknya masyarakat majmuk di kota Melaka.

Melaka ketika itu bukan saja didatangi pelbagai etnik dari Nusantara (kepulauan Melayu), malah pelbagai bangsa dari berbagai tempat di dunia seperti Parsi, Arab, India, China, Burma dan Kemboja (Champa). Menurut Pires, selepas kemangkatan Parameswara, penduduk Melaka kira-kira 6,000 orang.

Winstedt dalam bukunya History of Malaya menyebut penduduk Melaka meningkat kepada 40,000 orang dewasa ketika pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190,000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka.

Kaum pendatang di Melaka ketika itu sangat menghormati budaya dan adat rakyat tempatan (orang Melayu). Mereka bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sehingga ada di kalangan orang asing itu diberi peluang dalam mobiliti sosial dengan terbabit langsung dalam institusi pentadbiran Melaka.

Melaka juga sejak awal lagi merakamkan bahawa proses asimilasi budaya pernah berlaku di negeri itu sehingga mewujudkan beberapa komuniti masyarakat yang unik iaitu komuniti Cina Peranakan yang dikenali sebagai Nyonya Baba dan India Peranakan yang dikenali sebagai komuniti Ceti.

Justeru, apabila kita membicarakan mengenai perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat, Melaka harus dijadikan rujukan dalam memahami keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Dalam tulisan ini saya cuba mencatatkan sekelumit gambaran mengenai keharmonian hidup masyarakat majmuk di Melaka berasaskan beberapa catatan Abdullah Munsyi dalam bukunya Hikayat Abdullah (Pustaka Antara, 1963).

Abdullah Munsyi di dalam hikayatnya itu mencatatkan penduduk kota Melaka terdiri daripada pelbagai komposisi bangsa atau kaum. Abdullah menyebut bahawa Melaka sudah pun dihuni penduduk pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Nasrani (Portugis).

Pada bab enam buku berkenaan, beliau menyebut pelbagai bangsa yang hidup di Melaka itu hidup dalam suasana aman dan damai. Abdullah menggambarkan bahawa keadaan keharmonian masyarakat berbilang kaum itu wujud kerana ada sifat setia dan taat kepada pemerintah ketika itu.

Keharmonian hidup rakyat Melaka seperti digambarkan Abdullah itu dapat dikesan seperti dalam catatannya:

“…. maka segala orang Melaka daripada empat bangsa orang pun terlalu sangat kasih dan berajakan Tuan Farquhar itu, maka adalah pada masa itu negeri Melaka pun dalam sentosanya, dan dagang pun terlalu banyak keluar masuk, datang daripada segala pihak negeri berniaga.”

Walaupun pemerintah yang dimaksudkan Abdullah itu ialah Inggeris kerana Abdullah menulis ketika Melaka sudah berada di bawah pentadbiran Inggeris, mesejnya ialah kesetiaan kepada pemerintah menjadi elemen kepada faktor wujudnya kesetiaan dan perpaduan rakyat Melaka ketika itu.

Abdullah mencatatkan hubungan antara kaum di Melaka begitu kuat dan harmonis sehingga seorang budak yang nakal dari satu bangsa boleh ditegur oleh bangsa lain. Malah, boleh dipukul oleh ibu bapa bangsa lain. Ibu bapa budak yang dipukul atau ditegur itu akan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat perlakuan atau perangai anaknya.

Perkara itu jelas dicatat (bab empat) oleh Abdullah apabila beliau menulis; “… dalam negeri Melaka, baik bangsa apa, seseorang menaruh malu akan seseorang, dan seseorang takut akan seseorang. Maka jika kiranya anak Melayu membuat pekerjaan jahat atau barang sebagainya yang tidak baik, dilihat orang Cina atau bangsa mana pun, maka boleh diajarnya dan dipukulnya akan dia, maka itu dipuji oleh ibu bapa budak itu.”

Demikianlah eratnya hubungan antara kaum dan indahnya suasana harmonis yang wujud di Melaka seperti dicatat Abdullah itu. Saya masih ingat, ketika saya kecil dulu ( 1960-an dan 1970-an), masyarakat di tempat penulis lahir dan dibesarkan (di Melaka) masih dapat melihat suasana demikian dengan bangsa lain boleh menegur anak jiran daripada bangsa lain tanpa rasa takut atau bimbang dimarahi ibu bapa budak yang ditegur itu.

Malah, ada yang merotan sekali dua di kaki atau punggung budak yang nakal atau melakukan kejahatan di hadapannya. Hari ini semua sudah berubah kerana masyarakat semakin bersifat individualistik. Hari ini, jangan dikatakan menjentik anak jiran, malah menegur sekali pun boleh mengundang pergaduhan dan perseteruan.

Alangkah indahnya masyarakat kita sekiranya perpaduan yang sekarang sedang kita janakan semula melalui gagasan 1Malaysia boleh mencapai tahap seperti itu. Rasanya sukar untuk kita alami suasana seperti itu kembali.

Namun, apa yang penting ialah perlunya kita memperkukuhkan perasaan saling hormat menghormati, bertolak ansur, rendah hati dan berbudi bahasa antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Amalan itu adalah nilai murni yang ingin diterapkan melalui gagasan 1Malaysia.
- BH 1/6/2010

No comments: