Wednesday, February 25, 2009

Institusi Raja perkasa kedaulatan negara

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

IDEA Raja Berperlembagaan lahir daripada cadangan Suruhanjaya Reid (1956). Suruhanjaya ini diberi mandat untuk menggubal Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu seperti termaktub dalam Perjanjian London 1956.

Di antara cadangan dikemukakan ialah negara hendaklah berlandaskan prinsip demokrasi, mewujudkan sebuah Kerajaan Pusat dan Raja Berperlembagaan.

Laporan Suruhanjaya Reid diterbitkan pada Februari 1957 dan Parlimen British menerima cadangan itu pada Mei 1957. Ia kemudiannya disahkan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1957.

Sebenarnya, idea Raja Berperlembagaan yang berasaskan perlembagaan Barat mula bertapak di Johor apabila Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor diperkenalkan oleh Sultan Abu Bakar pada 1895. Undang-undang terbabit menyerap unsur demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan.

Misalnya, dalam aspek pentadbiran negeri, Raja dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan yang menyerupai Parlimen. Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Majlis Negeri dan Jemaah Menteri.

Untuk memastikan kedudukan Raja menjadi lebih mantap dan dihormati, maka pada 18 Januari 1993 kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kekebalan (immunity) Raja-Raja kerana pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-undang tidak lagi dilihat selari dengan perubahan zaman.

Rakyat perlu juga dilindungi daripada dianiaya atau dizalimi oleh Raja. Pastinya, kita tidak mahu berlaku seperti dicatat dalam kitab Sejarah Melayu mengenai Raja Muhammad, anak Sultan Mansur Shah membunuh Tun Besar hanya disebabkan destarnya tercampak ditimpa bola raga yang disepak oleh Tun Besar.

Akibat tindakan zalim anak raja itu, rakyat Melaka tidak sanggup berajakan putera berwatak ganas itu seperti diungkap Bendahara: 'Hamba Melayu tiada pernah durhaka, tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini". Malah, Sultan Mansur Syah tidak menyebelahi anaknya. Baginda bertitah: 'Celakalah si Muhammad ini. Hai Muhammad, apalah dayaku, engkau ditolak bumi Melaka".

Apa pun, kita tidak mahu institusi raja berpindah ke muzium seni dan budaya seperti diungkap Sultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980.

Justeru, kefahaman rakyat terhadap Raja Berperlembagaan mestilah jelas. Anggapan bahawa peranan Raja hanya bersifat 'ceremonial' atau sebagai simbol untuk keraian semata-mata adalah tersasar daripada peranannya yang sebenar. Peranan institusi Raja di negara kita jauh berbeza dengan Raja di England apabila fungsi Queen adalah sepenuhnya berbentuk 'ceremonial'.

Di sisi yang lain pula, Raja kita berbeza dengan kedudukan Raja di Arab Saudi iaitu Raja di negeri terbabit memiliki kuasa eksekutif dan kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan langsung.

Di negara kita, Raja mempunyai kuasa tersendiri mengikut peruntukan Perlembagaan tetapi menjalankan tugas serta mengambil tindakan di atas nasihat Perdana Menteri (Menteri Besar untuk negeri).

Artikel 38 (4) jelas menyatakan bahawa keistimewaan dan kedudukan Raja tidak boleh disentuh oleh mana-mana undang-undang kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja. Sultan dan Raja bukan ahli politik yang sentiasa menonjol diri di pentas politik. Namun, dalam sejarah tanah air, institusi Raja memainkan peranan cukup penting dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu.

Sejarah membuktikan bahawa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Raja-Raja diberi kuasa untuk meneliti pelbagai perkara berkenaan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika itu. Raja seolah-olah bertindak sebagai wakil kepada rakyat untuk mengimbangi kuasa British waktu itu.

Beberapa institusi Melayu yang wujud hari ini seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu, tanah rizab Melayu dan Rejimen Askar Melayu Diraja adalah diperjuangkan oleh Raja Melayu kerana ketika itu parti politik Melayu belum wujud. Perkara terbabit adalah identiti dan jati diri negara yang dimaktubkan dikuatkuasakan dalam Perlembagaan dan undang-undang.

Justeru, cubaan mempertikai, apalagi cubaan menghapuskannya adalah suatu usaha jahat yang harus ditentang. Perlembagaan yang ada hari ini juga meletakkan peranan Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa tertentu berdasarkan bidang kuasa diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 38(2) dan beberapa peruntukan lain.

Lebih jauh daripada itu, Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan mengizinkan Raja-Raja membincangkan apa saja hal berkepentingan nasional. Namun, baginda ada caranya tersendiri. Misalnya, pada setiap kali sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat, maka titah ucapan baginda turut menyentuh perkara berkaitan hal nasional termasuk menegur hal berkaitan pentadbiran kerajaan yang kemudiannya akan dibahas oleh ahli Dewan Rakyat.

Selaku institusi yang bertindak sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan (Artikel 32), maka tidak wajar bagi mana-mana pihak mempersoalkan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja, apatah lagi bersikap biadab dan tidak berakhlak terhadap baginda.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang memayungi seluruh rakyat dan negeri di dalam persekutuan dan kedudukan Sultan-Sultan sebagai ketua negeri dan pelindung kepada rakyat harus dihormati semua pihak. Jangan kerana kebencian politik, maka Sultan dan Raja-Raja Melayu dicaci dan dihina.

Sayugia diingat, dengan ada institusi Raja inilah, maka negeri yang ada dalam persekutuan menikmati kestabilan, kemakmuran dan pembangunan. Raja juga adalah lambang kedaulatan negara. Kesetiaan kepada Raja dan negara adalah sebahagian daripada konsep 'kedaulatan' yang sudah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pencapaian dan keagungan Melaka sebagai pusat politik kesultanan Melayu dikaitkan secara langsung dengan kuasa, keperibadian dan wibawa Raja. Dari sini lahirlah lafaz kalimat 'daulat Tuanku' iaitu istilah konseptual dalam budaya dan politik Melayu. Yang nyata, proses dan organisasi pentadbiran kerajaan Kesultanan Melaka atau mana-mana kesultanan Melayu ketika itu akan berjalan dengan licin dan lancar apabila kuasa dan wibawa Raja dilaksana dengan baik.

- BH 25/2/09

Wednesday, February 18, 2009





Politik kebangsaan memperkasa negara
(BH 18/2/09)

MASYARAKAT majmuk biasanya dicirikan oleh idea, kepercayaan dan amalan bersifat perkauman. Ciri ini lebih menonjol dalam masyarakat pelbagai kaum yang diwariskan penjajah. Pada awal kemerdekaan, negara menampakkan ciri itu, tetapi selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan menyedari bahawa negara memerlukan satu bentuk ideologi dan wawasan bersifat nasional yang boleh menyatukan rakyat pelbagai kaum.
-
Atas kesedaran ini maka lahirlah Rukun Negara sebagai ideologi negara. Agenda pembangunan pula dilaksanakan menerusi pelbagai dasar nasional sehingga kita berjaya membentuk negara-bangsa yang bersatu padu serta memiliki identiti dan wawasan yang jelas.
-
Di sebalik kejayaan itu, politik kebangsaan yang dipelopori Barisan Nasional (BN) menjadi pemangkin utama ke arah kejayaan negara. Malangnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, negara seolah-olah diheret untuk kembali ke arah struktur dan ideologi bersifat perkauman.
-
Keadaan menjadi rumit apabila perjuangan berbau perkauman yang dibawa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dieksploitasi dan dimanipulasikan Pakatan Rakyat demi survival politik mereka.
-
Slogan yang dikumandangkan mereka ialah 'Membina Malaysia Baharu'. Namun, wajah sebenar Pakatan Rakyat terserlah apabila mereka mula menunjukkan amalan pentadbiran berbau perkauman di beberapa negeri yang dikuasainya seperti berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
-
Pentadbiran negeri terbabit kuat dipengaruhi DAP. Keadaan ini menimbulkan tindak balas pertubuhan Melayu yang selama ini sudah menyerap agenda nasional dengan mengetepikan soal perkauman. Mereka terpaksa bangkit bersuara kerana hak dan kedudukan orang Melayu dicabar.
-
Senario ini menyebabkan suasana politik negara seolah-olah menghala ke arah semangat perkauman. Terbaru ialah kes menghina Raja-Raja Melayu seperti berlaku di Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh, berkeras mahu menyaman Sultan Perak kerana mendakwa Sultan Azlan Shah menyalahguna kuasanya dalam pembentukan kerajaan baru di negeri terbabit.
-
Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa di Perak mempolitikkan tindakan Sultan Perak itu. Minda dan emosi rakyat yang terpengaruh dengannya diheret ke arah mencabar kesahihan tindakan Sultan Perak.
-
Ramai yang menjadi tidak rasional sehingga sanggup mencerca Sultan Perak. Kebanyakan blogger yang pro-Pakatan Rakyat bersikap biadab dengan menulis secara tidak beretika menghina Sultan Perak. Menghina Sultan Perak bermakna menghina keseluruhan Raja-Raja Melayu. Yang jelas penulisan kebanyakan blogger itu tidak mampu membawa alur pemikiran rakyat ke arah memperkasa agenda nasional, sebaliknya menanamkan pemikiran kebencian dan keganasan terhadap kerajaan.
-
Saya melihat bahawa selepas pilihan raya umum lalu, wujud satu aliran politik yang cuba membawa negara ini ke arah kancah perpecahan berasaskan kepada ideologi yang pelbagai. Ideologi yang pelbagai ini membangkitkan semangat perkauman yang berbahaya. Realiti terpapar di depan kita ialah Pakatan Rakyat tidak langsung dapat menunjukkan kemampuan untuk mewujudkan gabungan parti politik berasaskan satu ideologi bersama seperti dilakukan BN.
-
Pakatan yang bersifat 'tidur sebantal, mimpi lain-lain' tidak berupaya membawa satu agenda nasional yang dapat mempertahankan perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan kestabilan politik negara. Pakatan Rakyat hanyalah satu pakatan rapuh yang tidak memiliki asas ideologi dan agenda sama. Kita bimbang jika rakyat tidak sedar akan hal ini lalu memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat sehingga mereka mampu membentuk Kerajaan Pusat, maka bencana akan menimpa negara.
-
Asas kebimbangan saya ialah apabila politik berlainan ideologi mengambil tempat mengikut kelompok dan kaum tertentu, maka ia pasti berakhir dengan pertelingkahan dan konflik ideologi kerana apabila sudah berkuasa, masing-masing akan cuba menegak dan menonjolkan ideologi perjuangan mereka.
-
Senario ini akan mengheret negeri dalam persekutuan berasaskan ideologi kepartian – mengikut parti yang memerintah. Kerajaan Pusat juga akan menjadi lemah kerana faktor sama. Ketika itu segala bentuk kontrak sosial yang dibina dan diasaskan oleh tokoh pejuang kemerdekaan tanah air akan musnah dan negara akan berada dalam kancah pertelingkahan dan kemelut politik yang mampu mengheret negara kepada anarkisme serta mengundang campur tangan asing.
-
Justeru, sekiranya Pakatan Rakyat tidak memiliki satu ideologi yang jelas mengenai agenda dan aspirasi nasional yang dapat diterima dan dikongsi bersama, maka bagaimana ia mampu membawa dan membina negara ke arah perpaduan, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan yang terjamin. Ideologi adalah satu konsep yang sukar difahami dan apabila ideologi politik yang berlainan berkonflik, maka ia sangat sukar untuk diharmonikan.
-
Inilah halangan besar yang membelenggu Pakatan Rakyat. DAP masih kekal dengan ideologi sosialisnya. Sosialisme sering berhasrat membawa negara ke arah satu parti yang mengongkong hak-hak asasi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dengan ideologi iberalnya. Liberalisme bertujuan memberikan kebebasan tidak terbatas dan ini sangat berbahaya kepada masyarakat majmuk kerana isu sensitif akan sentiasa mengambil tempat. Pas pula dengan ideologi agama memang tidak serasi dengan kedua-dua ideologi politik itu.
-
Jadi di mana titik pertemuan mereka? Mungkinkah titik pertemuan mereka semata-mata berasaskan kebencian terhadap Umno-BN. Pas tidak sepatutnya berada dalam Pakatan Rakyat, tetapi malangnya parti yang dianggap kental dengan ideologi perjuangan Islam itu boleh cair dengan politik licik PKR dan DAP.
-
Yang nyata, ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat gagal mengharmonikan ideologi masing-masing. Sebaliknya, BN yang terdiri daripada 14 parti komponen, sudah lama berbuat demikian dengan mengutamakan agenda dan aspirasi nasional.BN berjaya menegakkan politik kebangsaan berasaskan nasionalisme rakyat yang dicetuskan dalam perjuangan kemerdekaan tanah air.
-
Politik kebangsaan mengutamakan kesetiaan kepada negara dengan mengetepikan kepentingan dan ideologi kelompok tertentu, sebaliknya ikatan yang erat terhadap tanah air menjadi kepentingan dan agenda utama.

Tuesday, February 10, 2009

Sultan Perak buktikan Raja bijak guna kuasa

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

POLITIK adalah sesuatu yang sukar diramal serta bersifat luar jangkaan. Justeru, Albert Einstein, ahli fizik tersohor mengungkap bahawa politik adalah satu perkara yang lebih sukar daripada fizik. Ungkapan itu bukan bermaksud ilmu politik lebih sukar dipelajari daripada ilmu fizik, tetapi realiti perlakuan politik adalah sukar untuk dimengerti tabiatnya.

'Kuasa' adalah buruan politik. Sarjana Inggeris, Bertrand Russel mengungkap bahawa dalam politik kuasa adalah satu konsep fundamental seperti juga konsep tenaga dalam ilmu fizik.

Kerajaan adalah pengendali kuasa yang menerajui negara. Dalam konteks demokrasi, panduan yang menjadi landasan mengurus kuasa ialah Perlembagaan. Namun, dalam konteks realiti, ahli politik harus menerima hakikat bahawa dunia politik sering memberikan kejutan di luar jangkaan seperti berlaku di Perak.

Siapa menduga Barisan Nasional (BN) akan kembali berkuasa pada 5 Februari lalu? Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kehilangan sokongan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasarudin Hashim melompat parti dengan kembali semula menyertai BN (Umno), manakala tiga lagi Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Dua daripada Adun terbabit adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan seorang dari DAP, iaitu Adun Jelapang, Hee Yit Fong. Ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu menyatakan sokongan penuh kepada BN.

Pada 4 Februari lalu, usaha Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas) untuk mendapat perkenan baginda Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) gagal, sebaliknya baginda menitahkan Mohammad Nizar dan barisan Exconya meletakkan jawatan. Namun, sehingga kini Mohammad Nizar dan barisan Exconya enggan berbuat demikian kerana percaya tindakannya sah di sisi perlembagaan negeri.

Demikianlah kejutan politik yang berlaku di negeri yang terkenal dengan 'peristiwa Pasir Salak' itu. Apa pun, peralihan kuasa itu berlaku mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak itu sendiri. Sebagai sifatnya yang bijaksana serta berpengalaman luas dalam soal perundangan dan kehakiman, Sultan Perak bertindak mengikut perlembagaan bagi menyelamatkan keadaan politik Perak yang kritikal selepas kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan goncang dan tidak stabil kerana hilang sokongan majoriti Adun.

Kenyataan media pejabat Sultan Perak menyebut bahawa baginda menggunakan budi bicaranya di bawah peruntukan 18 (2) (b) dan peruntukan 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. Baginda tidak berkenan membubarkan DUN Perak.

Sebelum membuat keputusan, baginda menemui kesemua 28 Adun BN dan tiga Adun Bebas untuk mengetahui kedudukan mereka sehingga baginda yakin bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Adun. Kesemuanya membuat pengakuan di hadapan baginda Sultan untuk menyokong BN membentuk kerajaan baru.

Sebagai 'payung' bagi negeri Perak, baginda tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Justeru, sikap membantah, mencabar dan mengkritik titah Sultan Perak adalah sikap biadab dan boleh ditafsirkan sebagai perlakuan derhaka menghina baginda Sultan.

Kebiadaban Pakatan Rakyat terserlah apabila mereka memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, melakukan demonstrasi dan ugutan Karpal Singh untuk menyaman Sultan Azlan Shah. Pakatan Rakyat harus akur bahawa semuanya bermula dengan tindakan lompat parti di kalangan ahlinya sendiri.

Bukankah formula lompat parti diharapkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya menjatuhkan Kerajaan Pusat? Isu lompat parti yang dipromosikan Anwar akhirnya memakan dirinya sendiri seperti berlaku di Perak. Ia juga jelas menelanjangkan krisis dalaman Pakatan Rakyat.

Pengerusi DAP, Karpal Singh menyerang keras Anwar yang disifatkannya sebagai pemusnah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kerana membudayakan politik lompat parti. Sikap Anwar itu dianggap tidak bermoral oleh Karpal yang juga penentang kuat hukum hudud yang diperjuangkan Pas. Karpal turut membidas keras dua anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang dikatakan sentiasa mempertahankan Anwar daripada mempertahankannya sebagai Pengerusi DAP.

Hakikatnya, pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak selama 11 bulan sudah pun berakhir. Pada 6 Februari lalu, Adun Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, anak jati Pulau Pangkor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Barisan Exconya mengangkat sumpah semalam. Perkara 12 (1) dan (2) Perlembagaan Negeri Perak memberi kuasa kepada Raja memerintah melantik Menteri Besar di kalangan orang Melayu beragama Islam.

Dalam konteks ini, Mohammad Nizar sepatutnya berterima kasih kepada Sultan Perak kerana selepas Pakatan Rakyat menang di Perak, baginda Sultan perkenan melantiknya sebagai Menteri Besar walaupun Pas bukan parti dominan dalam Pakatan Rakyat. Kini, keadaan politik Perak berubah dan beliau harus menerima hakikat itu. Memang sukar bagi orang yang baru berada di puncak kuasa menerima hakikat bahawa dirinya sudah kehilangan kuasa.

Kita yakin Zambry mampu dan berupaya mewujudkan 'kepercayaan' di kalangan rakyat. Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran pastinya mampu mengurus dan mengharmonikan segala kepentingan yang berlainan di bawah pemerintahan yang adil dan saksama untuk membawa Perak ke arah kecemerlangan. Kita juga yakin beliau memiliki personaliti yang terserlah.

Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa wajar menunjukkan kematangan politik dengan mempamerkan keupayaan untuk bertoleransi, berlapang dada dan menerima hakikat 'real politics' serta menghormati keputusan dibuat Sultan Azlan Shah itu.

Mohammad Nizar sepatutnya melihat apa yang berlaku sebagai rahmat kerana selama 11 bulan bertindak sebagai Menteri Besar, beliau tidak mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan disebabkan pengaruh dan tekanan DAP, parti dominan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

- BH 11/2/09
‘Hutang moral’ Israel, AS dituntut Palestin

Mohd Ayop Abd Razid

SERANGAN tidak berperikemanusiaan Israel ke atas wilayah Gaza baru-baru ini turut membawa kemusnahan besar terhadap kemudahan awam dan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, sekolah dan hospital. Anggaran untuk membangunkan semula wilayah berkenaan adalah sebanyak RM7.2 bilion (AS$2.1 bilion).

Sepatutnya Israel dan Amerika Syarikat (AS) wajar menanggung kos pembangunan semula wilayah itu. Justeru, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus membuat satu ketetapan meminta Israel menanggung segala kos kemusnahan di Gaza dalam bentuk bayaran pampasan munasabah, termasuk bayaran pampasan kepada keluarga yang terkorban dalam serangan terbabit.

Kenyataan maaf Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert kerana serangan yang dilakukan Israel itu menyebabkan ramai penduduk awam terkorban harus dibuktikan dengan menjelaskan hutang moralnya kepada rakyat Palestin.

Israel mula menyerang wilayah itu pada 27 Disember 2008 dan selama 23 hari itu, lebih 1,300 nyawa terkorban, mencederakan berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin serta memusnahkan lebih 20,000 bangunan dan rumah kediaman rakyat Palestin.

Satu lagi cara ialah Israel dan AS menyediakan satu pakej pemulihan pembangunan tanpa sebarang timbal balas yang disyaratkan mereka. Semua ini mesti dilakukan atas dasar ’hutang moral’ Israel dan AS ke atas rakyat Palestin. AS tidak sepatutnya membantu Israel menghukum 1.5 juta penduduk Gaza semata-mata kerana memusuhi Hamas yang dipilih secara demokratik dalam pilihan raya Januari 2006.

Terlalu banyak pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel ketika menceroboh dan menyerang Gaza. AS jangan hanya pandai membantu Israel, tetapi melupakan hutang moralnya terhadap rakyat Palestin. Jika beberapa tahun lalu, AS menerusi memorandum persefahaman dengan Israel sanggup memberi bantuan AS$30 bilion kepada Israel selama 10 tahun, mengapa pula ia tidak membantu membangun semula wilayah Gaza atas rasa tanggungjawab moralnya terhadap rakyat Palestin.

Perjanjian yang ditandatangani itu adalah hasil lobi American Israel Public Affairs Committee (AIPAC), sebuah badan pelobi Yahudi yang berpengaruh. AS juga pernah membantu proses pemulihan semula ekonomi negara Eropah Barat yang terjejas teruk kesan Perang Dunia Kedua.

Ia dilaksanakan melalui program Pelan Marshall (The Marshall Plan) ketika pentadbiran Henry Truman (Demokratik,1945-53). Nama program ini diambil sempena nama George Catlet Marshall, bekas Setiausaha Pertahanan AS (1947-1949) dan Setiausaha Pertahanan AS (1950-1951). Mengapa program seperti itu tidak dilaksanakan AS untuk Palestin?

Walaupun agak sukar untuk membawa Israel ke muka pengadilan kerana dilindungi AS dan sekutunya, tekanan ke atas AS dan Zionis Israel mesti diteruskan oleh masyarakat antarabangsa. Jika Presiden AS, Barack Obama jujur untuk memulihkan hubungan dengan dunia Islam, ia patut memainkan peranan itu secara berani.

Memang sukar untuk Obama membebaskan diri daripada pengaruh dan cengkaman kuasa Yahudi. Pengaruh pelobi Yahudi dalam setiap pelan damai Israel-Palestin sudah berakar umbi sejak 1948 lagi.

Kekuasaan Zionis ke atas pentadbiran, struktur politik, media massa, perekonomian, ketenteraan dan sosial AS adalah kenyataan yang tidak boleh disanggah. Justeru, tidak hairanlah David Luchins, seorang Yahudi Ortodoks pernah berkata, “Kami bukanlah kelompok minoriti, tetapi kami adalah sebahagian daripada majoriti di mana segala sesuatu yang kami inginkan, pasti akan kami miliki dan kuasai.” Apa pun, Obama mesti membuktikan apa yang dijanjikannya kepada dunia Islam.

Bagi kita, sejak wujudnya negara haram Israel di bumi Palestin pada 1948, Malaysia sentiasa peka dan prihatin terhadap serangan bersiri dilakukan Zionis Israel ke atas bumi nabi itu. Ia umpama ‘cubit paha kanan, paha kiri terasa juga’. Demikianlah pertautan persaudaraan dan rasa kemanusiaan umat Islam dan rakyat negara ini terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Namun, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Apa pun, kita sentiasa menghulurkan bantuan yang termampu terhadap penderitaan rakyat Palestin. Terbaru, ketika wilayah Gaza diceroboh dan diserang secara tidak berperikemanusiaan oleh Zionis Israel, rakyat pelbagai kaum di negara ini turut menzahirkan rasa kemanusiaan mereka menerusi gerakan massa secara besar-besaran yang diterajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik bagi membantah dan mengutuk kezaliman Israel itu.

Kerajaan pula mengambil langkah yang lebih bermakna dengan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk membantah pencerobohan Israel itu. Inilah pertama kalinya wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang sepakat membahaskan isu Palestin secara serius di Dewan Rakyat yang diadakan pada 12 Januari lalu.

Mereka juga sebulat suara merumuskan 10 resolusi bagi membantah dan mengutuk kekejaman Israel dan AS di wilayah Palestin itu. Resolusi itu dihantar terus ke PBB, Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain, Parlimen Eropah dan Parlimen di seluruh dunia.

Melalui Kementerian Luar, kerajaan turut menghantar satu memorandum khas kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon untuk membantah sikap pilih kasih AS yang sentiasa menyebelahi Israel. Satu daripada 10 resolusi itu ialah mendesak PBB membentuk Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk mendakwa jenayah perang Israel di Palestin.

Usaha kita untuk mempengaruhi masyarakat dunia supaya membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah satu usaha yang menggambarkan keberanian kerajaan dan rakyat Malaysia untuk menentang kezaliman Israel itu. Desakan kita itu mendapat sokongan daripada pemimpin Asean, negara Islam dan negara Komanwel. - BH 04/2/09

Monday, February 2, 2009


Isu surat perletakan jawatan Adun Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.
  • Pendahuluan

    Dalam pilihanraya lalu, Jamaluddin mendapat 6,771 undi menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

    Mohd Osman pula menang dengan memperolehi 9,411 mengalahkan penyandang dari BN Datuk Mat Isa Ismail yang memperoleh 8,309 undi. (Beliau menang dengan majoriti 1,102 undi )

    Ketika ini, Pakatan Rakyat Perak mempunyai 32 Adun ( termasuk Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR minggu lalu) , manakala BN memiliki 27 DUN.

    Jamaluddin dan Osman menghadapi tuduhan menerima rasuah berhubung kelulusan permohonan projek perumahan bernilai RM180 juta di Sri Iskandar, Perak Tengah.Perbicaraan kes berkenaan akan bermula di Mahkamah Sesyen di Ipoh selama tiga ari bermula 10 Februari ini
  • Bermulanya Isu

    Kedua-dua Adun daripada PKR itu tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lalu.

    31 Jan, desas-desus bahawa Jamaluddin bersama Osman berada di Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya di Pekan.

    1 Feb, Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.
    · 2 Feb. V Sivakumar telah memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak mengenai kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang.
    · Pengarah Pilihan Raya Perak, Ahmad Adli Abdullah mengesahkan ada menerima notis kekosongan dan salinan surat daripada kedua-dua ADUN berkenaan.
    · Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf ketika dihubungi mstar online mengesahkan beliau sudah dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Ahmad Adli Abdullah bahawa telah menerima notis kekosongan daripada Speaker.
    · Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat secara tertutup pada 3 Feb bagi menentukan status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun Perak, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi yang dilaporkan telah meletak jawatan semalam.
    · 2 Feb, pegawai khasnya Jamaluddin, Firdaus Saharuddin mengedarkan kenyataann media di sebuah hotel dekat dengan lapangan antarabangsa KLIAmenafikan jamaluddin telah menghilangkan diri minggu lalu dan telah meletakkan jawatan sebagai Adun Behrang. Beliau mengambil cuti sakit selama tiga hari mulai 28 Januari. Pegawai khas itu juga menafikan wakil rakyat KeADILan itu bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno berhubung desas-desus melompat parti kepada BN.
    · Jamaluddin, juga Exco kerajaan Negeri mencabar kesahihan surat tersebut dan menafikan beliau telah meletak jawatan dan masih kekal sebagai ahli dewan undangan negeri.
    · Dalam sidang media di sebuah hotel di Shah Alam pada 4 petang i, En.Puzi Ghazali, wakil Osman mengedarkan kenyataan exco Perak itu yang menafikan telah keluar PKR seperti dispekulasikan.
    · Saya masih berkhidmat sebagai wakil rakyat seperti biasa dan sehingga kini tidak timbul soal saya telah melompat parti," kata Osman melalui Puzi Ghazali.
    · (* 2 Feb, Mohd Farizal Umar yang mengaku sebagai wakil Osman, membuat laporan polis bagi menafikan peletakan jawatannya sebagai Adun Changkat Jering. Aduan polis kira-kira jam 1.30 pagi itu dibuat di balai polis Seksyen 11, Shah Alam.)
    2 Feb, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengadap Sultan Perak pada kira-kira pukul 10 pagi di Istana Kinta memaklumkan perletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering).

    ura-ura berkaitan Timbalan Speaker Dun Perak, Hee Yit Fong akan menyertai MCA, Ahmad Awang berkata, setakat ini Adun Jelapang itu komited menyokong kerajaan Perak di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin.
  • -
    PAS Perak sedia hadapi dua pilihan raya kecil serentak - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang

    2 Feb, Mesyuarat Lajnah Politik PAS yang diadakan di kediaman Menteri Besar Perak yang bermula jam 10 malam. dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa.
    Turut hadir sama Setiausaha Agung PAS Dato'Kamaruddin Jaffar, Pengarah Pilihanraya PAS Dato' Mustafa Ali, Ketua Penerangan PAS Dato' Mahfuz Omar, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Ahmad Awang, Timbalan Pesuruhjayanya Asmuni Awi dan Ketua Penerangan PAS Negeri Misbahul Munir. Juga hadir sama Menteri Besar Perak Dato Ir Nizar Jamaluddin.
    PAS Perak telah mengadakan seminar dalamannya pada 31 Januari lalu berhubung persediaan bagi menghadapi pilihan raya ke-13.
    -
    * Komen Pesuruhjaya PAS Perak:
    Pesuruhjaya PAS Perak , Ustaz Ahmad Awang mendakwa jika benar mereka mahu keluar dari kerajaan Pakatan Rakyat Perak ia boleh dituduh melanggar ikrar seterusnya menderhaka kepada Sultan.
    "Semasa membentuk kerajaan Perak yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin, dua Adun ini pernah membuat masalah (sebelum pelantikan Menteri Besar) yang menyebabkan Sultan bertitah agar pembentukan kerajaan ini jangan dipermainkan dan jangan suatu hari nanti ada yang akan keluar menyebabkan masalah kepada kerajaan," Bagaimanapun, katanya pelanggaran terhadap ikrar tersebut tidak memperuntukkan tindakan di bawah mana-mana akta mahupun undang-undang berkaitan.
  • -
    * Komen Bekas Pengerusi SPR
    Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi mStar Online memberitahu, mengikut perundangan pilihan raya, sebaik sahaja notis kekosongan diterima daripada Speaker, pilihan raya kecil wajar diadakan.
    kata beliau, mengikut skop perundangan, SPR perlu menerima langkah Speaker mengumumkan kekosongan yang tidak boleh dicabar atau diketepikan.
    "Mengikut undang-undang (Perlembagaan negeri dan persekutuan), SPR perlu menghormati notis pengesahan kekosongan dan mengadakan pilihan raya kecil dengan sewajarnya (dalam 60 hari)," kata beliau yang juga bekas Setiausaha SPR
  • * Komen ketua Pemuda Umno Perak

    Ketua Pemuda Umno Perak, Zainon Fadzi Baharuddin yakin parti itu mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering jika diadakan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi berkenaan.


    Sumber: Utusan Malaysia, Berita Harian, Harakahdaily,Malaysiakini, mstar online

Sunday, February 1, 2009

Nantikan episod pilihara raya kecil lagi.. di Perak beb…

Kehilangan dua Adun PKR sejak beberapa hari lalu akhirnya terjawab apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar menerima surat perletakan jawatan dari kedua-dua Adun tersebut.

Surat perletakan jawatan sebagai Adun yang dihantar melalui faks itu ditereima V.Sivakumar kira-kira jam 5.45 petang di kediaman speakar tersebut hari ini.

Kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering telah kosong ekoran peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu. Kedua-dua mereka juga merupakan ahli exco kerajaan negeri Perak.

Ini bermakna dua pilihanraya kecil akan diadakan kelak. Sebelum ini dua pilihanraya kecil parlimen telah diadakan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Sementara itu, semua berita utama tv hari ini melaporkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat (PR) di Perak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

-megatrambai