Thursday, December 18, 2008

Dasar proaktif, efisien pastikan ringgit kukuh

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


KRISIS ekonomi global yang berpunca daripada krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) dijangka semakin tenat menjelang tahun depan. AS kini berdepan keruntuhan sistem kewangan bernilai AS$3 trilion (RM10.5 trilion), beban defisit sebanyak AS$290 bilion (RM1,015 bilion) dan hutang domestik sekitar AS$10 trilion (RM35 trilion).
-
Semua beban ini bakal dipikul Barack Obama apabila beliau menduduki kerusi Presiden AS pada Januari depan. AS adalah lokomotif perekonomian dan sistem kewangan dunia. Dari negara inilah bangkitnya pelbagai syarikat gergasi termasuk gergasi kewangan yang menguasai dunia. Nilai dolarnya mempengaruhi pasaran antarabangsa.
-
Justeru, krisis ekonomi yang dialaminya memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan sistem kewangan dunia. Negara kita tidak terkecuali daripada menerima kesan krisis ekonomi global. Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun depan dijangka 3.5 peratus berbanding tahun ini 5.4 peratus.
-
Walaupun pelabur asing masih menunjuk minat untuk melabur, kerajaan perlu mempunyai pelan komprehensif mengawal pengaliran keluar pelaburan langsung asing (FDI), di samping menarik lebih banyak pelabur ke negara ini.
-
Inflasi negara menunjukkan peningkatan daripada 4.8 peratus dalam suku kedua kepada 8.4 peratus dalam suku ketiga tahun ini. Inflasi menandakan nilai mata wang merosot kerana sejumlah wang yang sama tidak lagi mampu membeli jumlah barang yang dapat dibeli sebelumnya. Menurut kenyataan Bank Negara, kenaikan inflasi kali ini adalah kesan penstrukturan semula subsidi minyak pada 4 Jun lalu serta kenaikan tarif elektrik. Bank Negara menjangkakan inflasi akan kembali pada kadar sederhana tahun depan.
-
Kerajaan perlu bersikap tegas terhadap pengeluar dan peniaga yang enggan mengurangkan harga barangan walaupun harga minyak sudah diturunkan beberapa kali. Ketegasan kerajaan dalam hal ini penting kerana harga pasaran domestik turut mempengaruhi kadar inflasi. Kadar inflasi yang tinggi membawa kesan rantaian yang pelbagai seperti lemahnya kuasa membeli, terjejasnya kualiti hidup, tuntutan kenaikan gaji, pengangguran dan pelbagai masalah ekonomi dan sosial.
-
Pengangguran akan menjadi isu ketika krisis ekonomi berlanjutan. Namun, kerajaan bersikap proaktif apabila pada November lalu melancarkan Pelan Tindakan Negara bagi Pengangguran yang akan menjadi agenda menyedia hala tuju bidang pekerjaan negara. Dalam Bajet 2009, agenda membangun modal insan menjadi agenda penting dalam membangun tenaga kerja negara yang kompetitif.
-
Apa yang penting ialah pelaksanaannya, bukan hanya ‘indah di atas kertas’. Kerajaan perlu menyemak kembali dasar pengambilan buruh asing yang kini berjumlah 2.1 juta daripada sembilan juta pekerja negara. Selain ancaman keselamatan dan sosial, pengaliran keluar ringgit patut dikawal. Pada tahun ini dianggarkan RM18.1 bilion mengalir keluar melalui pekerja asing di negara ini.
-
Pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap memberi kesan kepada pertumbuhan instrumen kewangan global. Ia boleh memberi kesan kemerosotan kepada nilai mata wang negara terbabit. Justeru, pemantauan perlu dilakukan secara berkesan ke atas ringgit untuk memastikan nilainya tidak merosot. Nilai ringgit yang lemah memungkinkan perancangan dan keputusan pelaburan sama ada pelaburan domestik mahu pun pelaburan luar terjejas.
-
Pelabur mungkin mengambil langkah memindahkan risiko untuk mengelak jurang pergerakan tukaran asing yang merugikan. Kira-kira 70 peratus urus niaga perdagangan luar kita dilakukan dengan dolar. Adalah wajar kita menggalakkan sebut harga eksport barangan Malaysia dalam mata wang negara pembeli. Cara ini mungkin dapat meningkatkan rizab negara dalam pelbagai mata wang asing.
-
Rizab antarabangsa adalah simpanan negara dalam mata wang asing dan jumlah rizab antarabangsa yang dimiliki negara menjadi antara ukuran kewangan negara. Apapun corak perkembangan yang sedang dan bakal berlaku, negara harus berkeupayaan membaca dengan cepat dan tepat perubahan ekonomi dunia serta menganalisis pergerakan dan perkembangannya supaya kita berupaya menyediakan pelan tindakan yang konstruktif dan komprehensif.
-
Majlis Ekonomi Negara perlu bertindak proaktif dan efisien dalam memantau perkembangan ini serta menyarankan tindakan berkesan dan praktikal. Walaupun ekonomi negara mempunyai tiga kelebihan iaitu dasar yang kukuh, berdaya tahan dan bersifat menyeluruh, kita harus berhati-hati dan mengelak daripada sebarang tindakan salah kerana kesannya adalah besar.
-
Kegagalan mengurus ekonomi dan kewangan negara boleh meningkatkan defisit, menaikkan inflasi dan krisis perbankan yang mampu membawa gelodak besar kepada ekonomi negara serta mengancam kestabilan sosiopolitik negara.
-
Justeru, keupayaan kita mencipta suasana kewangan yang stabil dan ‘predictable’ akan membolehkan wujudnya pertumbuhan ekonomi berdaya tahan. Perlu diingat, kegagalan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Alan Greenspan mencegah Presiden George W Bush menggelembungkan defisit anggaran serta meramalkan terjadinya ‘bubble’ di sektor perumahan menyebabkan berlakunya krisis kewangan di AS sekarang.
-
Greenspan adalah tokoh yang dikagumi, disebut sebagai ‘a rock-star central-banker’ berpengalaman selama 20 tahun mengurus Rizab Persekutuan serta berjaya berdepan pelbagai peristiwa seperti ‘Black Monday’ yang meruntuhkan saham di Bursa New York (akhir 1987) dan beberapa krisis dunia yang lain.
-
Namun, beliau gagal mengekang ‘nafsu buas’ Bush dalam berbelanja yang akhirnya menyebabkan AS terjebak dalam krisis kewangan. Yang jelas, tanggungjawab Gabenor Bank Pusat adalah penting untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pucuk kepemimpinan negara.
-
Kita yakin dengan kewibawaan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengendalikan dasar monetari negara. Pemilihan beliau menganggotai Suruhanjaya Reformasi Sistem Kewangan dan Monetari Global membuktikan kewibawaannya. Justeru, dalam mengemudi ekonomi dan kewangan negara, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak pasti dapat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang ada pada beliau. _BH 17/12/08
-
Posted by Miss Qistina at 7:50 AM
Labels: ARTIKEL MENARIK / http://missqitina.blogspot.com/
4 comments:
-
mensrea said...
Interesting to note that the columnist seems to parrot Tun M's suggestion in para 10 of this article...kami di private sector dah mula ikat perut. Kena belajar jd freegan..heh3
December 17, 2008 10:34 AM
Miss Qistina said...
oo mensrea pon private sector jugak ye.. :)
December 17, 2008 11:38 AM
mensrea said...
Ha'ah all the while...ader own firm to take care of...pening jugak nak fikir whether or not to give any increment to the staff next year or have a wait and see stand first. Most businesses start to feel the pinch in the final quarter of the year..so whatever profit yang ader for the earlier months kena potonglah...sori Qis, cakap business plak..heh3x
December 17, 2008 2:19 PM
Miss Qistina said...
takpe laa mensrea cakap pasai ekonomi ni mencabar minda sket...heheisk..isk..amerika punya pasai habis satu dunia tunggang langgang ye..
December 17, 2008 8:13 PM

No comments: