Tuesday, July 22, 2008

Mampukah negara hadapi cabaran
Oleh Mohd Ayop Abd Razid


SEJAK kebelakangan ini, ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu berikutan lonjakan harga minyak, krisis bekalan makanan dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Kejatuhan nilai dolar pula memberi impak cukup ketara dalam pertumbuhan ekonomi global yang dilihat lembap.
Kadar inflasi dunia yang meningkat adalah sebahagian daripada kesan kejatuhan dolar. Krisis pinjaman subprima AS dilihat sebagai petanda awal krisis kredit global. Kebimbangan kemungkinan berulangnya krisis ekonomi yang dikaitkan dengan kejatuhan dolar sudah pun disuarakan oleh pakar ekonomi terkemuka AS, Paul Krugman.
Janji pemimpin kumpulan lapan (G8) ketika sidang kemuncak mereka di Tokyo, Jepun untuk menurunkan harga minyak dan makanan dunia sekurang-kurangnya memberikan sedikit harapan kepada pemulihan ekonomi global. Apapun harapan dunia, senario ekonomi menunjukkan tekanan kos semasa berlaku di merata dunia. Ini sekali gus mengancam ekonomi domestik negara terbabit.
Malaysia sudah mengambil langkah awal memisahkan diri daripada mengikat mata wang negara dengan dolar AS pada 2005. Ia adalah langkah bijak supaya ringgit tidak terikat dengan arah pergerakan dolar.
Dagangan kita dengan AS juga sudah dikurangkan, sebaliknya negara sudah menjalin hubungan dagangan yang akrab dan kukuh dengan China, India, Korea Selatan, negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan negara Asean.
Walaupun struktur ekonomi negara masih kukuh, bersifat pelbagai dan anjal, seperti ungkapan popular, ‘apabila AS batuk, negara-negara lain akan selesema atau demam’. Justeru, Malaysia juga tidak boleh lari daripada menerima tempiasnya.
Menurut Bank Negara, kadar inflasi negara untuk 2008 ialah enam peratus. Keupayaan kerajaan membendung kenaikan inflasi adalah penting supaya ia tidak terus mengekang pertumbuhan ekonomi negara serta memberikan tekanan kepada kehidupan rakyat. Kita tidak mahu kesan ekonomi yang lemah akan mencipta kembali jurang sosioekonomi yang luas antara kaum yang selama ini dapat dikecilkan.
Banyak perkara perlu diperhalusi dan diberi fokus oleh kerajaan secara serius. Keupayaan mengekalkan momentum yang baik dalam aliran perdagangan luar negara serta keupayaan membawa masuk pelaburan asing (FDI) ke dalam negara adalah penting.
Untuk kekal menarik FDI, iklim politik negara mesti sihat dan berada dalam keadaan stabil. Dalam konteks ini, kerajaan harus berupaya menyelesaikan sebarang bentuk krisis politik.
Polisi dan dasar kewangan negara perlu diteliti semula supaya sektor kewangan akan terus berdaya saing, pasaran modal akan terus sihat serta nilai ringgit akan kekal kukuh walaupun mengalami sedikit penurunan. Operasi bank perlu dikawal supaya bank tidak memberi tekanan kepada pelanggan dengan pelbagai peraturan yang tidak munasabah khususnya kepada usahawan tempatan.
Kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap peningkatan kadar pengangguran serta pemberhentian pekerja berikutan penutupan firma dan industri kecil yang tidak berupaya mempertahankan operasi mereka. Kita bimbang sekiranya pengangguran meningkat dalam keadaan negara mengalami tekanan inflasi yang tinggi, maka stagflasi akan berlaku, iaitu keadaan tingkat harga umum meningkat dengan mendadak.
Kerajaan wajar memberikan perlindungan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) dan industri perkhidmatan kerana sektor ini adalah nadi kepada ekonomi rakyat. Syarikat luar yang bersifat multinasional mudah meninggalkan negara apabila keadaan ekonomi meruncing dan tidak memberikan keuntungan kepada mereka.
Justeru, sektor PKS perlu dijaga dan dibantu supaya ia terus memberi sumbangan kepada negara, terutama ketika berdepan krisis ekonomi global.
Beberapa isu seperti soal ketirisan, penyelewengan dan rasuah perlu dikawal dan diatasi. Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu diberi nafas baru supaya ia dapat menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang lebih bermakna dan berkesan.
Peranan pihak swasta juga tidak kurang pentingnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi negara. Syarikat dan firma swasta wajar melaksanakan pelbagai inisiatif membantu kerajaan mengatasi inflasi. Ini dapat dilaksanakan dengan cara menghasilkan produk nilai tambah yang tinggi bagi mengatasi persaingan harga.
Kesimpulannya, negara perlu responsif terhadap semua perkembangan ekonomi global supaya tindakan dan rangka kerja dalam mengurus ekonomi negara benar-benar dapat membendung keadaan supaya ia tidak memberi impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Negara perlu menyedia pelan kecemasan yang tuntas untuk berdepan sebarang kemungkinan krisis ekonomi dunia. Kita yakin berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui oleh negara ketika berlakunya krisis kewangan serantau 1997/98, maka kerajaan dilihat mampu mempertahankan kestabilan ekonomi negara.
---- BH 23/7/08

Sunday, July 20, 2008

Negara tak boleh terima bulat-bulat syarat Mufta

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


EKONOMI global hari ini tidak memungkinkan kita lari daripada kuasa pasaran sejagat. Bahkan, kuasa asas globalisasi itu sendiri adalah ekonomi. Dalam banyak hal, 'globalisasi ekonomi' memerlukan penghapusan segala bentuk halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain.
Dalam konteks ini, ada tiga perkara utama menjadi sasaran perubahan iaitu corak perdagangan, pelaburan dan kewangan. Unsur inilah yang menjadi perkara pokok dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kini menjadi mekanisme penting dalam hubungan dagangan dua hala.
FTA adalah perjanjian perdagangan bebas dalam bentuk dua hala di antara negara yang terbabit. Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) di antara Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada 1 Januari 1994 adalah perjanjian pertama yang tercatat dalam sejarah FTA.
AS juga melaksanakan FTA dengan beberapa negara Amerika Latin seperti Peru, Nicaragua, Costa Rica, Chile, Republik Dominican, Guetama dan beberapa negara lain seperti Australia, Jordan, Oman dan Maghribi.
Pada Jun 2006, Malaysia dan Amerika Syarikat memulakan rundingan FTA. Rundingan ini lebih dikenali sebagai Mufta. Syarikat korporat bertaraf transnasional, terutama Dewan Perniagaan AS-Malaysia adalah badan utama yang mahukan rundingan ini dilaksanakan antara kedua-dua negara.
Bagi Presiden AS, George W Bush, ia mahukan rundingan ini dapat disempurnakan sebelum tempoh jawatan presidennya tamat. Apa pun harapan AS, kerajaan Malaysia tetap berhati-hati dalam rundingan itu.
Ini memandangkan beberapa kesan negatif (keburukan) yang mungkin timbul daripada FTA. Justeru, perundingan mengenai perkara berkenaan masih terus berjalan, khususnya dalam memperhalusi syarat perjanjian.
Jika kerajaan berpuas hati, Mufta boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat, maka kerajaan bersedia untuk menandatanganinya. Malaysia sebelum ini sudah menandatangani FTA dengan Jepun yang dikenali sebagai Japan-Malaysia Co-operation Partnership (JMEPA).
Tidak seperti perjanjian JMEPA, Mufta pada awalnya menimbulkan banyak pandangan kontroversi atau tentangan terutama daripada badan bukan kerajaan (NGO), usahawan dan beberapa tokoh penganalisis perdagangan dan ekonomi melihat Mufta akan lebih banyak menguntungkan AS.
Mereka melihat sekiranya kerajaan tidak berhati-hati, perjanjian Mufta mungkin akan menjadi berat sebelah kerana AS dilihat condong mengenakan syarat perjanjian menekan dan tidak adil. Negara dikatakan boleh dijajah semula melalui penguasaan ekonomi AS disebabkan perjanjian yang tidak adil.
Walaupun pada peringkat awal rundingan Mufta hanya berpaksikan pasaran tanpa sebarang agenda politik, kelicikan AS menyelitkan agenda dan maksud jahatnya perlu diawasi dengan serius dan penuh teliti. Negara perlu memastikan impak rundingan benar-benar tidak mengorbankan kepentingan negara.
Sikap mengalah dan menerima apa saja yang disyaratkan oleh AS dalam perjanjian itu harus dielakkan.
Selama ini hubungan dagangan kita dengan AS tetap menguntungkan. Pada 2005, statistik perdagangan kita dengan AS berjumlah AS$44 bilion. Dari segi pertumbuhan eksport kita ke AS menunjukkan antara 2002-2006, ia mengalami pengembangan sebanyak 50 peratus iaitu daripada AS$24 bilion kepada AS$36 bilion.
Namun, kita bimbang keadaan sebaliknya akan berlaku jika kita tersalah langkah dengan menerima Mufta yang tidak bersifat adil atau 'menang-menang'. Dalam kes Nafta misalnya, majoriti rakyat Mexico berasa kesan buruknya kerana selepas dilaksanakan, Nafta lebih memihak kepada syarikat korporat besar milik AS dan Kanada berbanding dengan syarikat tempatan.
Syarikat tempatan Mexico tidak mampu menyaingi dari segi pelaburan dan daya saing disebabkan amalan berat sebelah dalam pelaksanaan Nafta. Begitu juga dengan negara lain yang memeterai FTA dengan AS, dikatakan mula merasai bahang ketidakadilan perjanjian itu.
Ada di kalangan negara terbabit yang terpaksa berhutang dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang juga berada di bawah telunjuk dan pengaruh AS.
Di Asia Tenggara, Singapura adalah satu-satunya negara yang sudah melaksanakan FTA dengan AS. Begitu juga dengan Israel di rantau Asia Barat sudah mengadakan perjanjian FTA dengan AS. Mungkin Israel dan Singapura menikmati perjanjian seimbang kerana kedua-duanya mempunyai hubungan politik dan ketenteraan yang cukup akrab dengan AS.
Kita masih ingat lagi ugutan AS ketika berlangsungnya beberapa pusingan awal rundingan Mufta. Pada 1 Januari 2007, Tom Lantos, ahli kongres kanan AS mendesak rundingan FTA dengan Malaysia ditangguhkan semata-mata kerana kita membuat perjanjian dengan Iran, iaitu perjanjian penerokaan dan pembangunan gas di tenggara Iran serta pembinaan loji gas cecair asli di antara National Iranian Oil Company dan SKS Ventures (syarikat swasta) dari Malaysia.
Perjanjian itu disifatkan sesetengah ahli politik Amerika Syarikat sebagai melanggar Akta Sekatan terhadap Iran, sedangkan perjanjian yang dibuat itu tidak membabitkan Kerajaan Malaysia dan ia sama sekali tidak membabitkan soal nuklear.
Sebelum itu, AS pernah membangkitkan isu buruh dan alam sekitar dengan menuduh negara melanggar peraturan antarabangsa. Isu ini digunakan AS sebagai ugutan untuk menangguhkan rundingan FTA dengan Malaysia. Inilah cara ugutan digunakan AS untuk menjayakan agenda mereka.
Kita tidak sepatutnya mengambil kisah dengan ugutan AS jika perjanjian itu tidak membawa hubungan perdagangan yang adil kepada negara. Tindakan yang wajar kita ambil ialah meneruskan corak hubungan dagangan dengan AS seperti yang sedia terjalin.
Ada banyak perkara yang perlu kita beri perhatian mengenai perjanjian ini. Yang nyata perjanjian ini nanti akan membuka ruang liberalisasi perdagangan lebih luas dengan AS.
Liberalisasi perdagangan dalam bidang perkhidmatan seperti perbankan, insurans, pengangkutan dan pendidikan, pelaburan, kesihatan, pembekalan dan pembinaan, pertanian, harta intelektual dan banyak lagi memungkinkan syarikat tempatan menghadapi ancaman syarikat gergasi AS yang akan memberikan saingan dari segi daya saing, pasaran modal dan penguasaan ke atas institusi kewangan kita.
Selain itu, bidang pemerolehan kerajaan yang selama ini dinikmati syarikat tempatan mungkin turut terjejas kerana polisi awam yang terpaksa diubah untuk memenuhi syarat perjanjian itu. Contohnya, liberalisasi perkhidmatan memungkinkan tender pembekalan kepada kerajaan terpaksa dibuka kepada syarikat AS.
Kita boleh berasa lega dengan jaminan kerajaan bahawa perkara ini tidak akan berlaku. Perkara lain yang patut difikirkan kerajaan ialah bentuk barangan dan perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam senarai perjanjian itu.
Ini penting kerana barang dan perkhidmatan dari AS yang akan masuk secara bebas dalam pasaran negara akan memberikan kesan kepada rakyat selaku pengguna. Ini termasuklah dalam sektor kesihatan, sektor pertanian, modal insan bahkan juga dari segi perundangan negara.
Kita mengharapkan perdagangan yang adil, bukannya perdagangan bebas yang boleh mengorbankan segala kepentingan negara dan rakyat negara ini. Keputusan ada di tangan kerajaan dan kita berharap kerajaan berhati-hati dalam perkara ini, jangan nanti 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.'
-- BH Jun 2008

Sunday, July 13, 2008

Fitnah politik undang bencana

Fitnah politik undang bencana

Oleh Mohd Ayop Abd Razidayop_60@yahoo.com


POLITIK tanah air sejak kebelakangan ini nampaknya semakin kalut dan gawat. Melihat apa yang tersurat dan tersirat dalam politik tanah air yang disaluti dengan pelbagai 'fitnah politik', maka jelas wujud suatu 'peperangan' merebut kuasa sedang berjalan menerusi plot politik yang merunsingkan.

Datuk Seri Najib Razak menggambarkan bahawa politik kita makin kotor. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri turut kecewa terhadap trend politik fitnah yang semakin bermaharajalela sekarang.

Berikutan fitnah politik, kehidupan rakyat menjadi tidak menentu. Disebabkan fitnah, ia bukan saja membawa kehinaan kepada orang lain, malah juga mengganggu keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Kestabilan masyarakat boleh punah seperti yang pernah dialami Kesultanan Melayu Melaka. Kesultanan Melaka hancur kerana politik fitnah sehingga ada yang tergamak bersekongkol dengan kuasa asing untuk menjatuhkan kerajaan terbabit.

Kita bimbang 'peperangan' sesama sendiri akan menghancurkan rasa kemanusiaan dan fikiran rasional sehingga yang muncul hanya penganiayaan dan kezaliman. Kita juga bimbang kerana 'fitnah politik' negara akan terdedah kepada campur tangan asing.

Hari ini sudah kedengaran ada kuasa asing yang memberi amaran kepada kita dan ini adalah satu situasi yang mencabar maruah dan kedaulatan negara. Sifat tamak haloba kepada kedudukan, jawatan dan pangkat, mengetepikan kepentingan negara.

Fitnah politik juga meninggalkan persepsi tidak baik kepada negara dan kerajaan. Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, masing-masing menumpukan kepada usaha melaksanakan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

Namun, kita tidak habis-habis bertengkar dan 'berperang' untuk kuasa. Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim asyik sibuk mencipta spekulasi, dakyah dan propaganda untuk merampas Kerajaan Pusat.

Semua orang tahu bahawa beliau mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Kemenangan yang diperoleh PR di beberapa negeri, sudah menjadikan mereka angkuh dan mabuk dengan kuasa.

Anwar memang dilihat sebagai pemimpin licik dan penuh muslihat. Beliau cekap mencipta plot cerita dalam 'drama' ciptaannya semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan meraih simpati. Demikianlah gambaran diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar seperti ditulis Datuk Hishamuddin Aun dalam kolumnya 'Kaca Mata' dalam Berita Minggu, baru-baru ini.

Ketika mengulas mengenai demonstrasi yang diadakan oleh sesetengah pihak serta perkembangan politik terkini, Perdana Menteri dipetik oleh Bernama sebagai berkata: "Pilihan raya sudahpun selesai. Rakyat sudah menentukan amanah yang diberikan kepada parti politik pilihan mereka.

Rakyat sudah memilih Barisan Nasional untuk terus memerintah. Dengan itu, saya tidak nampak apa kewajarannya lagi berdemonstrasi atau bermain politik yang hanya untuk menimbulkan ketidakstabilan yang boleh mengancam keselamatan rakyat. Ia juga bertujuan untuk menumbangkan kerajaan pilihan rakyat."

'Fitnah politik' yang berlaku di kalangan pemimpin Melayu sangat mengecewakan kita. Rakyat pula kian muak dengan perkembangan ini. Apa yang berlaku hari ini melambangkan kejelekan karektor sesetengah ahli politik kita yang semakin terhakis integriti moralnya.

Mereka sanggup mencipta pelbagai fitnah jahat hingga rakyat menjadi keliru siapa yang berada pada pihak yang benar.

Yang perlu direnungkan ialah apakah politik kita sudah jauh daripada nilai akhlak dan moral? Apakah kita sudah lupa Tuhan (agama) kerana kita menjadikan 'kuasa' sebagai buruan dan matlamat utama. Tidakkah kita sedar bahawa fitnah adalah dosa besar yang digambarkan oleh al-Quran sebagai perbuatan yang lebih besar bahayanya daripada pembunuhan (al-Baqarah:191).

Fitnah (namimah) adalah penyakit rohani yang membawa kepada kebencian, permusuhan dan pecah belah dalam masyarakat. Paling buruk dan jelek ialah apabila fitnah politik disebarkan itu cuba diyakinkan dengan perakuan bersumpah.

Kesimpulannya, walaupun politik ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai perilaku manusia yang berorientasikan kuasa, kepemimpinan Islam (al-khilafah) meletakkan akhlak sebagai prasyarat utamanya.

Justeru, pemimpin politik mesti memiliki akhlak politik yang tinggi. Mereka mesti memiliki integriti moral yang tinggi. Perkara inilah yang nampaknya semakin terhakis daripada persada politik tanah air.

Keghairahan merebut kuasa menjadikan 'kuasa adalah Tuhan'. Kesannya, politik kotor dengan menabur pelbagai fitnah menjalar dalam masyarakat kita.

Justeru, penyakit fitnah yang melanda dunia politik kita hari ini wajib dibendung kerana ia boleh mengancam kestabilan masyarakat dan keselamatan negara.

BH 09 Julai 2008

Monday, July 7, 2008

Muslihat politik AS mewarnai hubungan Islam-Barat


Muslihat politik AS mewarnai hubungan Islam-Barat
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
TESIS Samuel P Huntington menyebut bahawa konflik global abad ke-21 bertitik tolak kepada perbezaan budaya daripada tamadun yang berbeza. Huntington menyebut bahawa cabaran utama kapitalis Barat ialah Islam.
John Naisbit pula dalam bukunya Global Paradox menyebut dunia pada abad ke-21 ini akan dihadapkan dengan beberapa kecenderungan paradok. Beliau menyatakan arus ideologi baru berpengaruh mencipta konflik antara budaya dan agama.
Kenyataan itu nampaknya benar terutama selepas berakhir Perang Dingin antara Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union. Barat bimbang Islam akan menjadi ancaman pasca komunisme.
Selepas keruntuhan ideologi komunis, Barat yang diketuai AS melihat Islam bukan saja sebagai saingan, malah juga sebagai musuh yang mesti dihapuskan. Persepsi buruk ini menimbulkan apa yang dinamakan Islamophobia.
Islamophobia adalah masalah psikologi barat yang terbit hasil daripada tanggapan salah terhadap Islam. Tanggapan salah ini lebih kepada kejayaan propaganda dan dakwah jahat dimainkan media barat terhadap Islam.
Usaha jahat Barat ini dimulakan secara berterusan sejak kejayaan Revolusi Iran (1979) dan kebangkitan beberapa gerakan Islam. Tragedi 11 September menyemarakkan lagi propaganda jahat media Barat terhadap dunia Islam.
John L Esposito pernah menyatakan tragedi 11 September 2001 sudah mengubah hubungan konstruktif Islam dan Barat yang dibina sekian lama. Tragedi itu mengubah hubungan harmoni itu kembali menjadi tegang dan berkonflik.
Ia seolah-olah mengingat sejarah lalu ketika perang salib (crusade) yang mewarnai hubungan tegang Islam dan Barat. Justeru, tidak hairanlah tindakan AS memerangi Afghanistan, Iraq dan kini terus bermusuh dengan Iran dinilai oleh sesetengah pihak sebagai gerakan crusade moden memerangi dunia Islam.
Ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa insiden jelek dilakukan Barat yang dapat digambarkan sebagai penghinaan dan provokasi ke atas umat Islam. Terbaru ialah isu penghinaan al-Quran yang dilakukan tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba yang mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Sebenarnya terlalu banyak tindak- tanduk Barat, terutama selepas peristiwa 11 September yang memperlekeh Islam, meledakkan konflik antara Barat dan Islam. Kesombongan Barat yang gemar memprovokasi Islam dan beberapa tindakan mereka terhadap dunia Islam mengundang reaksi militan di kalangan beberapa kelompok gerakan Islam seperti al-Qaeda, Hizbullah dan Taliban.
Tentangan militan inilah yang dilabelkan sebagai tindakan ganas. Pertentangan Islam dan Barat juga banyak didasari oleh muslihat politik AS yang mahu memastikan sistem kapitalis dan demokrasi Barat kekal mendominasi sistem politik dunia.
Propaganda AS melalui agenda memerangi keganasan sebenarnya satu strategi jahat untuk memerangi negara umat islam yang tidak pro kepadanya. Ini jelas dalam kes serangan dan pencerobohan AS ke atas Afghanistan dan Iraq, AS juga nampaknya bersedia menggunakan kekuatan ketenteraan untuk berdepan Iran yang tidak mahu tunduk kepada tekanannya.
Jika ini berlaku, maka ia pasti memburukkan lagi konflik peradaban di antara Islam dan barat.
Propaganda jahat AS ini membentuk citra negatif Islam yang mendominasi pemikiran Barat. Secara psikologinya, ia membangkitkan 'dendam masa lampau' seperti yang pernah diungkapkan oleh orientalis, Montgomery Watt yang menyatakan Barat sudah lama menjadi ahli waris prasangka masa lalunya.
Di pihak Islam pula, kebimbangan timbul apabila Barat yang diketuai AS menampilkan wajah agresif mereka untuk mengekang kemunculan beberapa negara Islam yang dianggap mencabar kewujudan negara haram tajaan mereka iaitu Israel.
Justeru, campur tangan mereka di rantau Asia Barat dilihat sebagai usaha melemahkan beberapa negara umat Islam yang dilihatnya berpotensi mencabar dan menggugat Israel. Malah niat AS untuk menguasai minyak yang kebanyakannya berada di rantau teluk adalah sebagai usaha melemahkan kebangkitan kuasa Islam.
Gerakan Islam pula melihat kebanyakan pemerintah negara umat Islam bersifat tunduk dan pro-AS. Oleh itu, mereka bergerak sebagai satu kekuatan militan yang sanggup berdepan dengan kuasa Barat terutama AS.
Ini jelas dalam kes al-Qaeda, menentang kerajaan Saudi yang dianggap pro-Amerika. Begitu juga Taliban di Afghanistan. Tindakan mereka dijadikan alasan AS untuk masuk campur urusan politik di negara umat Islam yang dituduh menjadi pangkalan gerakan Islam seperti al-Qaeda.
Gerakan Islam yang dianggap militan menolak apapun yang berbau Barat. Tindak tanduk barat yang menampilkan wajah kolonialisme membimbangkan dunia Islam. Justeru, Barat seharusnya menilai semula tindakan agresifnya terhadap dunia Islam.
Dalam banyak hal, kejahilan Barat terhadap Islam yang dilihat berat sebelah menjadikan Islam mangsa ketidakadilan barat. Barat berkelakuan keterlaluan sehingga Islam dianggap sebagai musuh kepada tamadun manusia.
Barat juga cuba melupai sejarah bahawa Islam pada satu ketika dulu berjasa kepada tamadun Barat, khususnya dalam bidang ilmu. Pandangan konservatif kedua-dua pihak menjejaskan keharmonian dua peradaban ini, sekali gus menjejas masa depan peradaban global.
Justeru, usaha pihak tertentu untuk meneruskan dialog peradaban antara Islam dan barat patut disokong supaya kedua-dua peradaban ini dapat dilihat dalam bingkai dialektika peradaban kemanusiaan.
Prinsip dialektika peradaban itulah yang akan mampu mengembalikan keharmonian hubungan Barat-Islam kerana prinsip ini secara asasnya mengandaikan bahawa tidak ada satu peradaban yang universal dalam mempengaruhi tamadun global hari ini.
Untuk mencapainya Barat harus menghargai sumbangan tamadun lain dalam mewujudkan perdamaian, pencerahan dan kemanusiaan. Barat juga tidak harus membutakan matanya bahawa dalam banyak hal, mereka adalah pemusnah nilai kemanusiaan.
Misalnya, dalam konteks sistem ekonomi kapitalis yang lahir daripada tamadun moden Barat menunjukkan dimensi ketidakadilan terhadap nilai kemanusiaan. Kekejaman yang ditimbulkan kapitalisme Barat meninggalkan impak cukup besar terhadap penindasan negara miskin dengan bebanan hutang yang tidak mampu ditanggung oleh mereka.
Berikutan itu, kemiskinan tercetus di negara terbabit dan Barat dilihat kurang mempedulikannya. Di sisi yang lain, meskipun Barat berjaya membawa kemajuan material dan keilmuwan, namun kemajuan yang dipisahkan dari agama ini membawa kepada kemerosotan kehidupan spiritual manusia yang mengikutinya.
Ramai pemikir Barat memberi penilaian terhadap masalah ini. Z Brezinsky, seorang pemikir Barat menyatakan bahawa di Barat nilai agama tidak lagi berperanan sebagai acuan akhlak sama ada dalam membentuk tingkah laku peribadi mahupun masyarakat.
Dunia Barat dan Islam harus lebih terbuka dan sewajarnya mampu berdialog secara rasional dengan mengikis sikap mengagungkan tradisi masa lampau masing-masing. Masa lampau harus dilihat dalam pandangan positif terutama bagi mengembangkan peradaban yang mengajar nilai kemanusiaan.
Sejarah membuktikan bangkit dan berkembangnya sesuatu tamadun itu selalunya berkait rapat dengan kerjasama keilmuwan. Ketika permulaan kebangkitan Islam, pengaruh ilmu dan filsafat Yunani turut mempengaruhinya.
Demikian juga halnya peradaban Barat yang bangkit pada abad pertengahan banyak dipengaruhi karya penting pemikir Muslim seperti Al-Farabi, Al-Kindi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan al-Ghazali. Karya mereka diterjemahkan ke dalam bahasa Latin bahkan Al-Quran juga turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1143 M.
Justeru, kebijaksanaan Barat tidak seharusnya disandarkan kepada kekuasaan tentera yang bersifat sementara, sebaliknya Barat dan Islam harus memberi perhatian terhadap masa depan keilmuwan yang mempunyai peranan sangat signifikan bagi pembinaan tamadun global yang lebih manusiawi.
Umat Islam harus melihat dialog peradaban sebagai satu ruang dan peluang untuk menyampaikan dakwah secara berhikmah. Jika dilihat dari segi positifnya, dialog peradaban ini sepatutnya memberi peluang kepada umat Islam menjelaskan bahawa Islam memiliki doktrin dan gagasan jelas mengenai nilai kemanusiaan, hak asasi manusia, demokrasi, etika politik, hubungan antarabangsa, prinsip keadilan, kebebasan bersuara dan sebagainya yang bukan saja dapat dikemukakan secara konseptual, malah juga secara praktikal.
--- Berita Harian 2 Jualai 2008