Thursday, June 12, 2008

Umno mesti tampil kepemimpinan dinamik

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

UMNO mengadakan Program Retreat Majlis Tertinggi (MT) di sebuah hotel di Shah Alam minggu lalu dan sudah pasti banyak perkara dibincangkan secara tertutup. Program selama dua hari disertai 52 ahli MT itu antara lain dikatakan membincangkan strategi pengukuhan parti serta penjenamaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan keyakinan ahli dan rakyat terhadap parti.

Bagaimanapun, suasana politik Umno masih kelihatan tegang. Kejutan dilakukan beberapa aktor politik tertentu menjadikan suhu politik Umno terus meningkat tanpa menunjukkan keredaan yang meyakinkan rakyat.

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno secara bersyarat adalah tindakan tidak diduga dan ia mengejutkan semua pihak. Kini Dr Mahathir bergerak di luar Umno untuk terus mengkritik parti itu.

Kesannya memang ada, khususnya dalam konteks keteguhan dan kekuatan Umno itu sendiri. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengenai wujudnya dua orde, iaitu 'orde lama' dan 'orde baru' pula ditafsirkan sesetengah pihak sebagai membina garis pemisah di dalam Umno.

Orde lama ialah golongan yang tidak dapat menerima perubahan, manakala orde baru ialah mereka yang dapat menerima perubahan.

Beliau juga menunjukkan reaksi kekecewaan apabila menyatakan bahawa hari ini tindakan mempertahankan Presiden parti juga boleh dikenakan tindakan. Pandangan yang dilontarkan itu ada kaitan dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyatakan Zaid, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej Umno pada mata rakyat.

Tindakan ketiga-tiga mereka itu dianggap menyalahi pekeliling diedarkan ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar Umno, khususnya pada media massa.

Keluarnya Dr Mahathir disambut dengan kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor. Sekali lagi rakyat yang mengikuti perkembangan politik Umno berasa terkejut bahkan di dalam Umno sendiri pelbagai reaksi daripada pemimpin tertingginya terhadap kemasukan semula Ezam itu yang mengundang pelbagai tafsiran.

Sama ada kemasukan Ezam ke dalam Umno akan memberi sebarang kekuatan kepada parti itu, sukar diukur buat masa ini. Yang kedengaran setakat ini ialah keikhlasan Ezam terhadap Umno terus dipersoal beberapa pemimpin atasan parti.

Kemasukan Ezam disambut sendiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah sendiri yang menerima borang keahlian seumur hidup Ezam ke dalam Umno. Rata-rata ahli Umno melihat ia satu keistimewaan terhadap Ezam yang sebelum ini dilihat pengkritik utama Umno-BN, tetapi dengan tiba-tiba berubah menukar haluan untuk menyertai Umno.

Pak Lah dilihat pemimpin yang lembut hati dan berprasangka baik terhadap orang lain. Mungkin sukar bagi sebahagian besar ahli Umno melupakan maki hamun, kata nista serta penghinaan yang pernah dilemparkan Ezam ketika di luar Umno.

Namun, Pak Lah adalah orang yang sedia dan sentiasa memberi ruang dan peluang untuk sesiapa yang pernah keluar parti, kembali semula ke pangkuan Umno. Semua ahli Umno dianggap aset kepada parti.

Kita seharusnya bergerak dinamis di atas landasan politik yang mengutamakan perpaduan dan penyatuan bangsa, bukannya mencipta pecah belah yang merugikan. Keutamaan kita sekarang ialah merancang masa depan bangsa melalui wadah perjuangan Umno, bukannya menghancurkan bangsa melalui wadah politik balas dendam dan adu domba.

Kita harus memiliki sikap bertasamuh atau berlapang dada dalam mengharungi cabaran. Hari ini, rakyat berdepan dengan pelbagai isu yang membebankan kehidupan mereka. Kita boleh berasa lega dengan kepemimpinan Pak Lah yang melakukan pelbagai tindakan berkesan bagi menangani beberapa isu dihadapi rakyat.

Demikian juga, keprihatinan Pak Lah terhadap Sabah yang mempunyai pelbagai masalah. Lawatan Pak Lah ke Sabah pada 31 Mei 2008 menyaksikan Negeri di Bawah Bayu itu akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

Beberapa langkah serta-merta dibuat seperti pembubaran Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah dan digantikan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah. Sabah juga diberikan peruntukan berbilion ringgit bagi penyelesaian pelbagai masalah dihadapi rakyat negeri itu, termasuk masalah pendatang tanpa izin.
Mungkin Pak Lah akan turut membawa perkhabaran gembira apabila melakukan lawatan sehari ke Sarawak esok.
Perlu diingat, kerajaan Umno-BN harus terus memberikan perkhidmatan berlipat ganda kepada lima negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat supaya BN kembali berkuasa pada pilihan raya akan datang.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat ini berlaku kepada Umno-BN. Memandangkan pemilihan parti akan diadakan pada Disember tahun ini, sudah tentu ramai yang ingin mengadu nasib dan sudah kedengaran mereka yang mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan tertentu.

Apa yang penting ialah ruang demokrasi yang mula terserlah di dalam Umno hari ini perlu diurus dan digunakan dengan baik dan betul, bukannya menimbulkan keadaan kucar-kacir yang tidak menentu.

Yang penting ialah kepemimpinan haruslah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak terlalu memikirkan kedudukan sehingga tidak mempedulikan apa yang akan berlaku kepada Umno nanti.

---- Berita Harian 7/6/08

No comments: