Monday, June 30, 2008

Mengembalikan hak, warisan bangsa Melayu

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

SELEPAS 50 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat masih lagi membicarakan mengenai masa depan bangsa Melayu. Ketika era penjajahan, rakyat dihina dan diperbodohkan dengan dasar kolonial yang berjaya mengasingkan bangsa Melayu daripada arus sosioekonomi moden.

Melayu ketika itu hidup dalam lingkaran kemiskinan dan kemunduran. Keadaan ini diburukkan lagi dengan masalah taklid dan faham khurafat yang bukan berasal daripada ajaran Islam. Minda dan psikologi bangsa Melayu ketika itu tidak berkembang secara sihat dan ke hadapan.

Kesedaran mengenai nasib bangsa Melayu mula berputik apabila lahirnya tokoh Islah dan tajdid pada awal abad ke-20 seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali.

Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku. Mereka menyedari kemunduran orang Melayu bukan saja dalam soal sosioekonomi, malah dalam kebekuan ilmu agama yang sudah banyak diresapi ajaran khufarat dan menyeleweng.

Pada 1930-an hingga 1940-an pula lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Pertubuhan ini bergerak dalam pelbagai pendekatan daripada bercorak kebudayaan, sosial hingga kepada yang berbaur perjuangan politik.


Masyarakat Cina yang ketika itu masih bertaraf imigran terus terserap dalam perkembangan ekonomi moden. Masyarakat Cina mendominasi bandar utama di Tanah Melayu. Mereka turut aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal dan mementingkan keuntungan.

Sehingga Jepun menakluki Tanah Melayu, kehidupan orang Melayu tidak banyak berubah, kekal dalam kedaifan dan kemiskinan.

Umno yang lahir pada 1946, berjaya menyatukan orang Melayu sehingga menggagalkan Malayan Union yang dilihat akan menjahanamkan masa depan bangsa Melayu di tanah air mereka. Menerusi perpaduan Melayu di bawah payung Umno yang dipimpin tokoh yang ketika itu sanggup berkorban serta menggunakan sepenuh tenaga serta fikiran memajukan bangsa Melayu, maka bangsa Melayu mula menampakkan semangat untuk berubah.


Ketika pada ambang kemerdekaan, orang Melayu yang mulia hatinya sanggup menerima dan memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India. Inilah kemuliaan hati orang Melayu yang tidak ternilai harganya. Memberikan kerakyatan bermakna memberikan tanah (negara) untuk kehidupan mereka. Ini bukan berniat untuk mengungkit, tetapi sekadar mengimbau kembali pemurahnya hati orang Melayu.


Bukan itu saja, bahkan orang Melayu juga sanggup berkongsi kuasa dengan mereka. Orang bukan Melayu pula bersetuju menerima ‘kontrak sosial’ yang memberikan sedikit keistimewaan kepada orang Melayu yang pada hakikatnya tidak pun dapat menebus pengorbanan orang Melayu yang ratusan tahun dijajah, juga sebagai tuan punya negara ini.

Allah SWT mengurniakan setiap bangsa ini kawasan untuk mereka diami. Bangsa Eropah ada wilayah tempat kehidupan mereka, bangsa Arab ada kawasan mereka, kaum Negro Afrika juga ada wilayah mereka, bangsa China, Jepun dan India ada wilayah mereka.

Begitu juga dengan bangsa lain, semuanya ada wilayah yang dikurniakan Allah SWT untuk mereka hidup. Begitu juga bangsa Melayu diberikan bumi yang asalnya bernama Tanah Melayu lalu ditukar kepada Malaysia (1963), tetapi bangsa Melayu ini sedia menerima orang lain hidup bersama mereka.

Orang Melayu tidak tamak dan tidak pernah merampas harta orang lain, tetapi hari ini ketuanan Melayu dan hak keistimewaan mereka sudah berani dipertikai dan diperlekeh.

Kontrak sosial sudah mula menjadi sasaran kritikan. Kemajuan Melayu yang mula dikecapi sudah mula dicemburui dan dipersoalkan sedangkan mereka sudah jauh lebih maju dan menguasai hampir segenap kehidupan di bumi Malaysia ini.

Mereka mendakwa hidup di bumi Malaysia sebagai warga kelas kedua, sedangkan sebahagian besar ‘kek ekonomi’ negara dikuasai orang lain. Rumah kedai, taman perumahan dan pelbagai bentuk perniagaan dikuasai mereka.

Yang menjadi kelas kedua pada hakikatnya ialah orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memberikan sedikit keistimewaan kepada bangsa Melayu juga dikritik sedangkan menerusi dasar ini mereka turut membina kekayaan dan kemewahan.

Tidak dapat dinafikan banyak kelemahan orang Melayu yang menyebabkan mereka gagal dalam mencapai sasaran DEB, tetapi apa masalahnya dengan mereka yang mempersoalkan orang Melayu yang kononnya mendiskriminasikan mereka menerusi DEB. Sekali lagi, mereka berpura-pura membuat heboh dan kalut dalam hal ini.

Pengorbanan, toleransi dan kemuliaan hati orang Melayu kurang dihargai. Kita ingin bertanya kepada golongan ini apakah toleransi dan kemuliaan hati mereka yang diberikan kepada bangsa Melayu?

Sejak kebelakangan ini, banyak isu yang menyakitkan hati orang Melayu mula dibangkitkan mereka. Begitu juga, dalam soal sejarah negara sudah mula kedengaran suara mempertikaikan kedudukan bangsa Melayu seolah-olah mahu menghilangkan ketulenan sejarah bangsa Melayu daripada lipatan sejarah tanah air.

Orang Melayu harus sedar perjuangan Umno untuk mengangkat ‘karamah’ (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Umno sudah berusaha memenuhi tanggungjawab menegakkan ‘ketuanan Melayu’ melalui kedudukannya sebagai parti tonggak dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kemajuan bangsa Melayu.

Sebagai parti ‘keramat’ untuk bangsa Melayu, Umno memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan, Justeru, wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Namun, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, Umno dihukum oleh bangsanya sendiri. Kita yakin hukuman ini bersifat sementara untuk membawa Umno balik ke landasan perjuangannya yang sebenar.

Di bawah kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’, Umno masih diyakini untuk terus memantapkan ‘ketuanan Melayu’. Sejak kelahirannya, penghayatan terhadap konsep dan falsafah ‘ketuanan Melayu’ benar-benar mendorong Umno menyusun gerak kerjanya untuk mengisi agenda perjuangan bangsa.

Parti komponen dapat menerima konsep dan falsafah ketuanan Melayu itu. Fakta sejarah jelas meletakkan Melayu adalah ‘the definitive race’ dalam konteks bangsa induk (bangsa peribumi). Ingatlah, atas faktor warisan dan hak inilah, maka Malayan Union (1946) yang cuba merungkai hak dan warisan orang Melayu, ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.

Perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan perlu dimantapkan bukan saja di kalangan ahli Umno, bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini. Umno dan Pas sebagai dua parti politik terbesar orang Melayu perlu kembali bermuzakarah dan masing-masing perlu ada sikap berlapang dada (tasamuh) dalam mencari titik persamaan.

Umno perlu menerima realiti ia kini mula ditolak oleh orang Melayu dan tidak boleh terus berlagak sombong. Orang Melayu sewajarnya melihat penghakisan kuasa politik Melayu adalah malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa Melayu.

Perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Mereka sangat sabar menanti saat yang membolehkan mereka membina sejarah baru yang terpisah daripada akar umbi warisan dan budaya Melayu.

Inilah yang berlaku ke atas Singapura, dengan sejarahnya sudah diolah mengikut kehendak parti PAP yang masih dibayangi Lee Kuan Yew.

Umno mesti segera menyelesaikan isu kepemimpinan yang berbangkit di dalam parti yang sudah banyak berbakti kepada bangsanya. Pelbagai penyakit yang melanda Umno seperti perebutan kuasa, politik adu domba, fitnah memfitnah dan politik wang perlu ditangani dengan berkesan.

Umno juga harus membetulkan arah perjuangan golongan mudanya yang dilihat semakin lari daripada landasan perjuangan Umno yang sebenar, iaitu untuk agama, bangsa dan tanah air.

Umno mesti kembali memberikan perhatian kepada nasib bangsanya yang kini dihimpit pelbagai tekanan hidup disebabkan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini penting diberi perhatian oleh Umno supaya orang Melayu kembali menyokongnya.

Umno tidak boleh asyik berbangga dengan angka pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sedangkan orang Melayu tidak menikmatinya dalam erti kata sebenar.


Kesimpulannya, orang Melayu mesti kekal mewarisi negeri dan hak serta warisan asal mereka. Melayu mesti kembali menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara. Seluruh orang Melayu harus kembali menilai kedudukan mereka, khususnya masa depan politik orang Melayu. ------- Berita Harian Jun 2008

Wednesday, June 18, 2008

Thursday, June 12, 2008

Umno mesti tampil kepemimpinan dinamik

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

UMNO mengadakan Program Retreat Majlis Tertinggi (MT) di sebuah hotel di Shah Alam minggu lalu dan sudah pasti banyak perkara dibincangkan secara tertutup. Program selama dua hari disertai 52 ahli MT itu antara lain dikatakan membincangkan strategi pengukuhan parti serta penjenamaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan keyakinan ahli dan rakyat terhadap parti.

Bagaimanapun, suasana politik Umno masih kelihatan tegang. Kejutan dilakukan beberapa aktor politik tertentu menjadikan suhu politik Umno terus meningkat tanpa menunjukkan keredaan yang meyakinkan rakyat.

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno secara bersyarat adalah tindakan tidak diduga dan ia mengejutkan semua pihak. Kini Dr Mahathir bergerak di luar Umno untuk terus mengkritik parti itu.

Kesannya memang ada, khususnya dalam konteks keteguhan dan kekuatan Umno itu sendiri. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mengenai wujudnya dua orde, iaitu 'orde lama' dan 'orde baru' pula ditafsirkan sesetengah pihak sebagai membina garis pemisah di dalam Umno.

Orde lama ialah golongan yang tidak dapat menerima perubahan, manakala orde baru ialah mereka yang dapat menerima perubahan.

Beliau juga menunjukkan reaksi kekecewaan apabila menyatakan bahawa hari ini tindakan mempertahankan Presiden parti juga boleh dikenakan tindakan. Pandangan yang dilontarkan itu ada kaitan dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyatakan Zaid, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej Umno pada mata rakyat.

Tindakan ketiga-tiga mereka itu dianggap menyalahi pekeliling diedarkan ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar Umno, khususnya pada media massa.

Keluarnya Dr Mahathir disambut dengan kemasukan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor. Sekali lagi rakyat yang mengikuti perkembangan politik Umno berasa terkejut bahkan di dalam Umno sendiri pelbagai reaksi daripada pemimpin tertingginya terhadap kemasukan semula Ezam itu yang mengundang pelbagai tafsiran.

Sama ada kemasukan Ezam ke dalam Umno akan memberi sebarang kekuatan kepada parti itu, sukar diukur buat masa ini. Yang kedengaran setakat ini ialah keikhlasan Ezam terhadap Umno terus dipersoal beberapa pemimpin atasan parti.

Kemasukan Ezam disambut sendiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah sendiri yang menerima borang keahlian seumur hidup Ezam ke dalam Umno. Rata-rata ahli Umno melihat ia satu keistimewaan terhadap Ezam yang sebelum ini dilihat pengkritik utama Umno-BN, tetapi dengan tiba-tiba berubah menukar haluan untuk menyertai Umno.

Pak Lah dilihat pemimpin yang lembut hati dan berprasangka baik terhadap orang lain. Mungkin sukar bagi sebahagian besar ahli Umno melupakan maki hamun, kata nista serta penghinaan yang pernah dilemparkan Ezam ketika di luar Umno.

Namun, Pak Lah adalah orang yang sedia dan sentiasa memberi ruang dan peluang untuk sesiapa yang pernah keluar parti, kembali semula ke pangkuan Umno. Semua ahli Umno dianggap aset kepada parti.

Kita seharusnya bergerak dinamis di atas landasan politik yang mengutamakan perpaduan dan penyatuan bangsa, bukannya mencipta pecah belah yang merugikan. Keutamaan kita sekarang ialah merancang masa depan bangsa melalui wadah perjuangan Umno, bukannya menghancurkan bangsa melalui wadah politik balas dendam dan adu domba.

Kita harus memiliki sikap bertasamuh atau berlapang dada dalam mengharungi cabaran. Hari ini, rakyat berdepan dengan pelbagai isu yang membebankan kehidupan mereka. Kita boleh berasa lega dengan kepemimpinan Pak Lah yang melakukan pelbagai tindakan berkesan bagi menangani beberapa isu dihadapi rakyat.

Demikian juga, keprihatinan Pak Lah terhadap Sabah yang mempunyai pelbagai masalah. Lawatan Pak Lah ke Sabah pada 31 Mei 2008 menyaksikan Negeri di Bawah Bayu itu akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

Beberapa langkah serta-merta dibuat seperti pembubaran Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah dan digantikan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah. Sabah juga diberikan peruntukan berbilion ringgit bagi penyelesaian pelbagai masalah dihadapi rakyat negeri itu, termasuk masalah pendatang tanpa izin.
Mungkin Pak Lah akan turut membawa perkhabaran gembira apabila melakukan lawatan sehari ke Sarawak esok.
Perlu diingat, kerajaan Umno-BN harus terus memberikan perkhidmatan berlipat ganda kepada lima negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat supaya BN kembali berkuasa pada pilihan raya akan datang.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat ini berlaku kepada Umno-BN. Memandangkan pemilihan parti akan diadakan pada Disember tahun ini, sudah tentu ramai yang ingin mengadu nasib dan sudah kedengaran mereka yang mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan tertentu.

Apa yang penting ialah ruang demokrasi yang mula terserlah di dalam Umno hari ini perlu diurus dan digunakan dengan baik dan betul, bukannya menimbulkan keadaan kucar-kacir yang tidak menentu.

Yang penting ialah kepemimpinan haruslah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak terlalu memikirkan kedudukan sehingga tidak mempedulikan apa yang akan berlaku kepada Umno nanti.

---- Berita Harian 7/6/08

Tuesday, June 3, 2008

Renung dan tafsir sendiri

“Everythig flows and nothing abides; everything gives way and nothing fixed. You cannot step twice into the same river, for other waters are continually flowing on”.

– (Heraklitus, pemikir Yunani)

Monday, June 2, 2008

‘Biar salah kain, jangan salah mulut’

Amalan dan penghayatan demokrasi di Malaysia boleh dilihat dengan jelas dalam sistem politik, pemerintahan dan pentadbiran negara.

Kebebasan bersuara menjadi ciri utama yang menunjangi proses demokrasi itu sendiri dan ia sering menjadi isu yang dikemundangkan oleh parti politik dan beberapa NGO tertentu.

Sistem perwakilan rakyat di parlimen pada asasnya adalah lambang kebebasan bersuara yang sekali gus melambangkan sistem pemerintahan demokrasi menjadi amalan kita.

Aktiviti berkempen semasa proses piliharaya di mana rakyat bebas bersuara dan mengkritik dasar-dasar kerajaan selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang juga merupakan fakta betapa kebebasan bersuara subur di negara ini.

Rakyat tidak pernah disekat daripada mengeluarkan pendapat, pandangan dan kritikan sama ada melalui media elektronik, media media cetak dan media siber (internet). Selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang di negara ini kerajaan sentiasa memberikan ruang secukupnya

Di Malaysia, hak mengenai ‘Kebebasan Hak Asasi’ (Fundamental Liberties) dengan jelasnya terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.Perlembagaa Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada setiap warganegara.

Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights Fundamental Liberties).

Mengenai ‘Kebebasan Bersuara’ (freedom of speech), ianya dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.

Namun begitu, setiap sesuatu ada had dan batasannya. Demikianlah juga dengan kebebasan manusia (baca rakyat).

Satu hakikat yang harus diterima dan difahami ialah tiada satu pun di dunia ini yang bersifat mutlak (absolute). Demikianlah halnya dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara di mana ianya mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu. Ianya boleh diumpamakan suatu ‘kontrek sosial’ bagi menjamin kerukunan, keharmonian dan solidarity serta keselamatan dan kedaulatan negara daripada diganggu-gugat.

Undang-undang memang diperlukan dalam masyarakat yang bertamadun di mana tanpa tertegaknya undang-undang negara akan menuju anarkisme. Umunnya undang-undang diperlukan dalam masyarakat/negara bagi tiga tujuan utama :

· bagi memberi dan mengiktiraf hak-hak individu dan masyarakat;
· bagi melindungi hak-hak tersebut; dan,
· bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.



Undang-undang jugalah yang akan menghukum seseorang yang merampas dan mengancam hak-hak individu dan kesejahteranan masyarakat.

Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia ini, kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan/percakapan dan melahirkan buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara.

Beberapa perkara utama yang harus dikawal oleh warganegara dalam memenuhi konsep kebebasan bersuara di negara ini ialah:

· Isu-Isu Sensitif : Bagi Isu-isu sensitif yang telah ditentukan oleh Perlembagaan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1971 melalui Akta (Pindaan) Perlembagaan (Akta A30),yang mula berkuatkuasa mulai 10 Mac 1971, menjelaskan sesiapa yang mempermainkan/mempersoalkan isu-isu sensitif maka ia menjadikannya sebagi satu hasutan atau jenayah. Isu-isu sensitif itu ialah seperti hak dan keistemewaan sebagai mana yang telah ditetapkan atau diperlindungkan oleh peruntukan Perlembagaan berkenaan dengan kewarganegaraan, bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa-bahasa lain secara tidak rasmi, berkenana dengan kuota bagi orang melayu dan penduduk bumiputera Sabah dan Sarawak dan juga berkenaan kedaulatan raja-raja.

· Keselamatn Negara: Di bawah Perkara 10(2) mejelaskan demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. Ini bermaksud sesuatu ucapan atau apa-apa bentuk pengaliran fikiran yang boleh menjejaskan keselamatan negara adalah dilarang.

Ketenteraman Awam: Peruntukan Perkara 10(2) juga menyentuh alasan ketenteraman awam seperti mengapi-apikan isu pertkauman adalah terlarang.

Akhlak dan moral: Kebebasan bersuara dalam negara mempunyai tanggungjawab moral di mana ianya mestilah tidak merosakkan akhlak/moral rakyat. Misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.

· Penghinaan terhadap mahkamah.

· Menghina kedudukan raja-raja.

Mempertikai hak-hak keistemewaan yang telah ditentukan oleh perlembagaan.

· Fitnah atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

· Menyibarkan berita-berita palsu.

· Menghasut seperti terkandung dalam Akta Asutan 1948 (Semakan 1969) yang meliputi :


(a) mendatangkan perasaan benci, penghinaan atau membangkitkan “perasaan tidak suka” (disaffection) terhadap mana-mana raja atau kerajaan - (“perasaan tidak suka” bermaksud tidak setia, bermusuhan atau berseteru).

(b) Membangkitkan rakyat atau penduduk supaya cuba untuk mengubah apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang dengan cara yang tidak sah;

(c) Mendatangkan perasaan benci atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan dalam Malaysia atau mana-mana negeri;

(d) Menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak suka di kalangan rakyat Yang di_pertuan Agong atau rakyat raja mana-mana negeri atau di kalngan penduduk Mlaysia;

(e) Mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk Malaysia; dan,

(af Mempersoalkan apa-apa perkara, hak taraf. Kedudukan, keistemewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntrukan undang-undang bahagian 3, Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. (Perkara 152 – Bahasa Kebangsaan, Perkara 153 – Kuota untuk orang melayu, 181 – Kedaulatan raja-raja).


Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan sewajarnya digunakan dengan baik. Menyalah gunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketengangan dalam masyarakat boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa adalah ditegah sama sekali.

Kebebasan menyuarakan pendapat sama ada melalui pengucapan, penulisan dan apa-apa bentuk kaedah komunikasi mestilah berhati-hati dan bertanggungjawab. Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.

Ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukalah “lesen” untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggunjawab di sisi undang-undang. Negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’ (rights with responsibility). Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.

Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara maka rakyat pelbagai kaum dan amalan agama di negara ini mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu-isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara-perkara yang berunsur subversif, menghasut dan menfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.

Perasaan cauvinis mesti dielek dan ditentang. Soal Keselamatn negara tidak boleh dipandang remeh semata-mata kerana ‘kebebasan bersuara’ hingga mengizinkan golongan yang bersifat cauvinis dan pelampau mengambil kesempatan meniupkan api perkauman, fitnah dan hasutan. Rakyat patut menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ikhtibar dan pengajaran buat selama-lamanya.

Elakan ‘bermain api’ dengan isu-isu sensitif seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan dan Undang-undang yang terdapat di negara kita. Ingatlah ‘kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa’. Disebabkan kebebasan bersuara yang tiada kawalan, maka negara boleh menuju ke arah kehancuran (anarkisme). Oleh itu berhati-hatilah dalam menggunakan kebebasan bersuara. ‘Biar salah kain, jangan salah mulut’ .