Zaid Ibrahim kecam ISA, Ahmad Shabery minta polis perjelaskan
Oleh Megatrambai
Sebelum ke masjid untuk bertarawih saya sempat menonton Berita Buliten Utama (14 Sept: 8.00 malam), TV3. Antara yang menarik ialah berita tentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menjaga hal-ehwal perundangan tidak bersetuju dengan penggunaan ISA.
Sebelum itu saya sempat melihat beberapa berita terkini Bernama.com. Di antaranya Bernama melaporkan Zaid sebagai berkata, "Tujuan asal (ISA), digunakan terhadap pengganas bersenjata, orang yang hendak menggulingkan kerajaan secara paksaan...komunis. Jadi, kita perlu tetap dengan itu".
Jelaslah, bagi menteri yang menjaga undang-undang itu penggunaan ISA sepatutnya dikhususkan untuk pengganas, komunis dan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan secara paksa. Menurutnya isu-isu seperti ketegangan kaum dan yang mengancam keselamatan negara boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang lain bagi menangganinya.
Katanya, "Di dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak polis untuk menahan mereka tanpa menggunakan ISA. "Kita ada undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa menggunakan ISA.”
Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery meminta Polis memberi penjelasan mengenai penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kelmarin.
Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, "Adalah lebih baik dan sesuai sekiranya polis dapat memberi penjelasan (mengenai perkara itu)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Tanglung di ibunegara malam tadi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyebut penahanan wartawan tersebut adalah sebahagian daripada langkah pantas polis untuk memastikan keselamatan Tan yang dilaporkan menerima ugutan.
Tan dibebaskan oleh Ibu pejabat Polis kontinjen Pulau Pinang pada kira-kira jam 2.30 petang semalam.
*** Demikianlah adanya Menteri yang menjaga undang-undang pun tidak bersetuju dengan penggunaan ISA, kecuali untuk mereka yang mahu menggulingkan kerajaan secara paksaan.
1 comment:
Terima kasih atas komen bujang senang. Demikianlah rempah ratus politik. Adakalnya ganjil kita memikir tingkahlaku politikus kita. Ganjil juga rasanya bila anak buah melawan tauke.
Post a Comment