Tuesday, September 23, 2008

Usah rungkai, 'nodai' asas perpaduan negara

Mohd Ayop Abd Razid
--

PERPADUAN adalah 'kunci' dan prasyarat kekuatan dan keutuhan negara. Justeru, Dasar Perpaduan Nasional (DPN) bertujuan menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu keseluruhan atau kesatuan yang padu dan kukuh menerusi pemupukan semangat patriotisme yang tinggi.
--

Matlamat akhir DPN ialah membina satu struktur sosial yang piawai supaya ketaatan rakyat ditumpahkan sepenuhnya kepada negara. Saya mentakrifkan perpaduan sebagai satu usaha membina dan membentuk pemikiran serta jiwa rakyat ke arah menghayati semangat patriotisme, kekitaan dan kecintaan terhadap negara.
--

Ia adalah satu proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara ke arah satu identiti dan nilai bersama. Untuk mencapai hasrat itu, kerajaan melaksanakan beberapa bentuk integrasi seperti integrasi wilayah, integrasi sosial, integrasi pendidikan, integrasi kebudayaan, integrasi ekonomi dan integrasi politik.
--

Pada awal kemerdekaan, masyarakat kita masih mempunyai wawasan yang berorientasikan perjuangan etnik dan kaum masing-masing. Ketika itu, pendekatan politik, ekonomi dan sosial wujud dalam kerangka kaum dan bukannya pendekatan integrasi. Selepas tragedi hitam 13 Mei, kerajaan berjaya membentuk wawasan yang berfokus menerusi Rukun Negara (ideologi negara). Rukun Negara terbukti dapat mencorakkan arah tuju dan wawasan hidup yang bersatu padu, adil dan demokratik.
--

Kesedaran yang harus ada ialah kebebasan dan hak untuk hidup di negara ini bukanlah monopoli sesuatu kaum. Setiap kaum perlu hidup secara harmoni, saling bertolak ansur dan bertanggungjawab. Sifat harmoni dan toleransi mestilah dijelmakan dalam aktiviti ekonomi, politik dan sosial. Sebaliknya, sikap mengagungkan bangsa sendiri (etnosentrisme) akan menimbulkan pemisahan etnik (segregasi) dan kecurigaan di antara kaum.
--

Selain faktor sejarah, Perlembagaan, kontrak sosial dan Rukun Negara, proses pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu turut diperkukuhkan melalui visi, misi, wawasan dan cita-cita negara yang dirangka serta dibentuk secara dinamik dan pragmatik. Semuanya diasaskan di atas dasar persefahaman, toleransi dan permuafakatan politik pelbagai kaum. Terbukti bahawa semua asas itu berjaya membawa kejayaan dan kemajuan negara dalam semua bidang kehidupan.
--

Namun, seperti yang pernah diungkapkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa isu perkauman masih boleh menjadi masalah dan ancaman kepada negara. Konflik perkauman yang tajam di antara kaum boleh menjadi 'dilema keselamatan'.




Inikah yang kita mahu?
---


Justeru, kita patut berasa bimbang kerana akhir-akhir ini timbul golongan tertentu yang cuba menyemarakkan api perkauman. Asas perpaduan yang dibina selama ini mula dirungkai dan dinodai oleh golongan yang buta sejarah dan bersifat sombong.
--

Sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, lahir suara-suara perkauman yang cuba menggugat keharmonian negara. Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu juga menunjukkan aliran tidak sihat ini. Wajah dan watak perkauman mereka yang jelek menggugat keharmonian masyarakat.
--

Kesan dakyah yang liar ini, terutama yang disebarkan menerusi media blog mampu menyemarak api perkauman dan perbalahan agama. Penulis blog (blogger) yang bersifat perkauman ini umpama 'api dalam sekam'. Kerakusan tokoh dan pakatan politik pembangkang yang cuba mengambil alih kerajaan secara tidak demokratik turut menyumbang kepada 'kegoncangan' politik tanah air.
--

Ia sekali gus mengancam keselamatan negara. Kita tidak menafikan hak mereka untuk berpolitik kerana kebebasan berpolitik dijamin oleh Perlembagaan. Namun, ia sepatutnya berjalan selari dengan semangat Perlembagaan dan sistem demokrasi yang diamalkan selama ini. Lupakah mereka kepada proses pilihan raya sebagai kaedah membentuk kerajaan secara sah? Tidak sanggupkah mereka menanti lima tahun lagi untuk bertarung dalam gelanggang demokrasi?
---

Malaysia dari segi dimensi politiknya memerlukan 'politik permuafakatan' yang dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum secara kukuh. Atas semangat inilah Barisan Nasional (BN) berjaya membina perpaduan dan kejayaan besar dalam pembangunan dan kemajuan negara. Justeru, gabungan parti politik yang rapuh serta mengutamakan ideologi perjuangan masing-masing sukar untuk diterima dan diterjemahkan di negara kita.
--

Rasa bimbang seharusnya wujud dalam diri kita apabila Wisma Putra memperoleh maklumat wujudnya pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) mempergunakan Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan negara. Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya dimaklumkan ada rancangan pihak tertentu di AS untuk memastikan Anwar menjadi pemimpin hadapan negara bagi memudahkan kepentingan negara itu 'masuk' ke Malaysia.
--

Jika rakyat tidak merasionalkan kembali minda dan emosi mereka, maka kita khuatir Anwar akan terus menjadi alat ampuh untuk negara 'koboi' itu mencampuri urusan politik tanah air. Sesungguhnya masa depan negara bergantung sepenuhnya kepada perpaduan kaum yang mantap.
--

Segala isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan integrasi nasional perlu diatasi dengan semangat patriotisme. Rakyat harus mengutamakan negara daripada kepentingan politik individu tertentu. Sepatutnya negaralah yang harus menjadi keutamaan kerana apabila negara hancur, maka hancurlah bangsa kita. Seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik mesti mempertahankan kedaulatan negara daripada diancam dan diganggu gugat kuasa luar.
--

Berita Harian 24/9/08

1 comment:

Anonymous said...

Salam Tuan,
Perkara yang sama berlaku ketika peralihan kuasa kerajaan USNO (Sabah)kepada kerajaan PBS. Malang sekali bila perintah darurat terpaksa di buat,perarakkan haram berleluasa berlaku, kenderaan di bakar dan bom buatan sendiri di letupkan di beberapa kawasan utama negeri itu.Bermacam isu dimainkan termasuklah isu agama dan suku kaum..namun, ianya dapat di redakan dengan cepat dan kini,jurang perbezaan antara kaum di negeri itu telah dapat di kurangkan,bahkan telah menjadi lebih akrab berbanding di semenanjung.