Wednesday, June 29, 2011

Usah tunduk anasir subversif
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Kuala Lumpur
-
PERPADUAN adalah nikmat yang wajar disyukuri dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat. Kesan daripada wujudnya perpaduan yang utuh itulah kita dapat mengecapi kestabilan politik dan kemakmuran sosioekonomi yang berterusan.
-
Di kebanyakan negara yang komposisi penduduknya bersifat majmuk, termasuk di negara Barat seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis, ketegangan dan konflik kaum dan agama sering berlaku. Ia berpunca daripada sikap prejudis kulit putih terhadap bangsa yang berlainan kulit dengannya.
-
Dalam masyarakat majmuk, kebebasan dan hak untuk hidup secara harmoni dan damai sepatutnya tidak dicemari dengan anasir-ansir jahat yang boleh memporak perandakan negara.
Segenap kaum sepatutnya berkongsi hidup sebagai warga negara dengan penuh harmoni, saling bertoleransi, bantu membantu dan bertanggungjawab antara satu sama lain.
-
Seluruh rakyat sepatutnya menjauhi sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan keamann negara.
-
Justeru, perhimpunan atau demonstrasi haram seperti yang mahu dianjurkan oleh himpunan Bersih 2.0 seharusnya dijauhi rakyat walaupun mereka mendakwa berniat baik.
-
Biasanya dalam perhimpunan raksasa seperti yang mahu dianjurkan gabungan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu pasti akan menyelinap masuk golongan yang mempunyai agenda tertentu. Mereka mahu melihat negara bertukar menjadi kucar-kacir sehingga meninggalkan kesan tidak baik terhadap kestabilan politik negara.
-
Mereka yang mempunyai agenda subversif ini biasanya bersikap keras kepala dan lebih gemar menggunakan pendekatan demonstrasi haram yang boleh bertukar menjadi ganas.
-
Kaedah perundingan tidak popular bagi mereka kerana niat mereka mahu sentiasa membangkitkan emosi rakyat yang disalut dengan kebencian terhadap pemerintah walaupun pemerintah sedia ada telah mengamalkan ciri-ciri demokrasi yang tinggi.
-
Amat malang bagi rakyat dan negara apabila perhimpunan yang mahu dianjurkan mereka pada 9 Julai itu nanti berkemungkinan boleh bertukar kepada sesuatu yang boleh mengocak dan mengganggu ketenteraman awam.
-
Perhimpunan haram seperti itu boleh bertukar kepada keganasan yang boleh membawa ancaman terhadap keselamatan negara. Jika ini berlaku, ia akan menjadi satu 'dilema keselamatan' kepada negara.
-
Ancaman bukannya datang dari luar negara semata-mata tetapi ancaman keselamatan juga boleh muncul dari dalam negara sendiri. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membendung di peringkat awal lagi.
-
Golongan pelampau yang keras kepala tidak boleh dibiarkan mempengaruhi psikologi, emosi dan minda rakyat kerana kesannya cukup mendalam yang boleh membawa kepada anarkisme dan kehancuran negara.
-
Kesan sebaran dakyah mereka yang liar dan mempunyai agenda tertentu itu mampu menyemarakkan kebencian terhadap kerajaan sebagaimana pengalaman kita dalam peristiwa 13 Mei 1969.
-
Perlu difahami bahawa persoalan berkaitan hak kebebasan seperti yang terkandung dalam perlembagaan bukannya hak yang diberikan secara mutlak.
-
Hak kolektif atau hak awam juga tidak harus diketepikan. Justeru, di bawah Perkara 10(2-4) Perlembagaan Negara memperuntukkan bahawa Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi tujuan mengenakan sekatan demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
-
Malah, Artikel 29(2) Piagam Mengenai Hak Assai Manusia ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan oleh undang-undang bagi tujuan mengiktiraf dan menegakkan hak kebebasan orang lain, menjaga ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam sesebuah masyarakat demokrasi.
-
Ini bermakna sekiranya hak-hak kebebasan yang diamalkan itu boleh mengundang keburukan, kerajaan sewajarnya awal-awal lagi mengambil tindakan pencegahan terhadapnya.
-
Justeru, tidak sepatutnya ada tolak ansur dan ruang kepada anasir-anasir subversif yang pandai mempermainkan isu-isu kebebasan bersuara dan hak-hak asasi manusia. - Utusan 30/6/2011