Saturday, September 13, 2008



USM penanda aras tahap dunia

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

Tahniah kepada Universiti Sains Malaysia (USM) kerana memperoleh status universiti Apex yang diumumkan kerajaan pada 4 September lalu. Sebagai bekas pelajar USM saya turut bangga dengan pencapaian USM itu.

Status universiti Apex merupakan satu bentuk pengiktirafan yang diberikan kepada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Mewujudkan universiti apex merupakan salah satu cadangan yang terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 27 Ogos tahun lalu.

Kertas cadangan penubuhan Universiti Apex telah dikemukakan kepada kerajaan ketika Datuk Mustapa Mohamed menjadi Menteri Pengajian Tinggi.Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha mempertingkat mutu pencapaian IPTA yang dilihat merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, "Universiti Apex akan menjadi penanda aras peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi dan langkah memperkenalkan status itu di negara ini dibuat Perdana Menteri sendiri ketika melancarkan PSPTN Ogos tahun lalu”.

Cadangan mewujudkan universiti Apex merupakan satu idea proaktif dan progressif yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengangkat taraf pengajian tinggi negara ke mercu kegemilangan bertaraf dunia.

Terdapat tujuh buah universiti tempatan yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan status tersebut. Jawatankuasa Pemilihan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan(Apex) menyenarai pendekkan hanya empat universiti penyelidikan yang akan dipilih menerima status universiti Apex iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Akhirnya status itu diberikan kepada USM.

Penilaian yang digunakan untuk memilih USM adalah berasaskan sudut kuantitatif dan kualitatif yang mengambil kira tiga kriteria iaitu tahap kesediaan, pelan transformasi dan kesediaan untuk berubah. Pengiktiran ini sekali gus membuka satu lembaran baru dalam sejarah USM kerana ia diiktiraf sebagai universiti tempatan yang akan menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi. Kini, USM mula memikul tanggung jawab dan peranan penting untuk menjadi salah sebuah universiti terbaik dan tersohor dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Dalam tempoh tersebut pengurusan tertingi USM harus memastikan USM mampu mencapai sasaran untuk disenaraikan dalam ranking 100 universiti terbaik dan seterusnya mencapai ranking 50 terbaik menjelang 2020. Selari dengan kertas cadangannya bertema 'Perubahan Pengajian Tinggi Untuk Kestabilan Hari Esok', USM berhasrat melonjak usaha mentransformasikan pengajian tinggi bagi mewujudkan dunia yang sejahtera berteraskan pembangunan lestari.

Kemampuan USM untuk menjadi pusat kepakaran serantau bagi pendidikan lestari amat bergantung kepada pembangunan kesarjanaan dan penyelidikan bertaraf dunia. Sejak tahun 2005 USM telah memiliki Pusat Latihan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita yakin USM berupaya muncul sederet dengan universiti-universiti yang terkemuka di dunia. Sebelum ini, USM beberapa kali mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Misalnya, dalam International Invention, Industrial Design & Technology Exhibition (I-Tex 2003) USM telah menerima pelbagai pingat untuk 27 daripada 36 produk yang dipamerkan, iaitu 7 pingat emas, 8 pingat perak dan 10 gangsa disamping satu hadiah khas dan hadiah gerai terbaik. USM juga pernah mencatatkan kejayaan para saintisnya menerokai benua Antartika dari dua penjuru yakni, Australia dan Argentina. Ekspedisi tersebut dilakukan melalui usaha sama dengan Akademi Sains Malaysia bertujuan mengkaji sistem ekologi akuatik.

Tradisi kecemerlangan USM wajar dibangunkan berlandaskan konsep think-out-of-the-box supaya dapat melahirkan lebih banyak idea inovatif dan kreatif dalam penerokaan dan penyebaran ilmu dan persaingan untuk mencari niche area serta menjadikan USM pusat perkembangan termaju dalam penyelidikan. Inilah harapan yang pernah diungkapkan Naib Canselor USM, Prof. Dato' Dzulkifli bin Abdul Razak ketika berucap di Malam Anugerah Sanggar Sanjung pada 12 Februari 2005, di Hotel Equatorial, Pulau Pinang.

Kita yakin USM tidak menghadapi masalah untuk memacu kecemerlangan kerana 75 peratus para pensyarahnya memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD). USM juga memilki tradisi penyelidikan yang membaggakan. Dengan kekuatan yang ada itu USM mampu menggembeling tenaga kepakarannya ke arah menjana kesarjanaan yang unggul dan sekali gus mampu meningkatkan kredibilitinya sebagai sebuah universiti Apex.

Namun, untuk mempertikatkan prestasinya maka USM wajar mengambil lebih ramai pensyarah dan pelajar luar negara yang benar-benar berkualiti. Ini penting supaya USM mampu melahirkan para penyelidik bertaraf Nobel Laureate. USM juga perlu melipat gadakan kerjasama erat dengan pelbagai institusi luar melalui kerjasama penyelidikan dan penerokaan.

Dengan status universiti Apex, USM bakal memilik autonomi dari segi pengurusan, kepimpinan tertinggi, kewangan, skim perkhidmatan, pengambilan pelajar dan penetapan yuran pengajian. Justeru, dalam konteks mengembalikan kecemerlangan kesarjanaan negara, pengurusan tertinggi USM perlu memilki keazaman untuk menjadikan USM sebagai ”markas intelektual” yang tersohor di peringkat dunia melalui penerokaan dan penyelidikan yang berkualiti, bukan sahaja dalam bidang sains dan teksnologi tetapi juga dalam bidang sains sosial dan kemasyarakatan.

BH 10/9/08

No comments: