Thursday, April 28, 2011

Kehidupan memburu keseronokan musnahkan generasi muda

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


REALITI kehidupan hari ini menunjukkan di mana-mana, termasuk di negara kita seperti wujud satu bentuk kekeliruan di kalangan generasi muda berkaitan pengamalan nilai baru yang menerjah kehidupan mereka. Proses pengaliran nilai baru ini berlaku begitu pantas melalui kepesatan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Anak muda yang tidak kukuh iman dan jati diri akan mudah menerima nilai kebebasan yang merosakkan kehidupan mereka.

-

Nilai kebebasan yang dibawa fahaman ’liberalisme’ di era globalisasi ini menjadikan generasi muda kita terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang boleh merosak dan memusnahkan jati diri anak bangsa kita. Falsafah liberalisme mengutamakan kebebasan sepenuhnya kepada individu tanpa batasan.

-
Kehidupan memburu keseronokan atau hedonisme tanpa batasan yang kononnya dikaitkan dengan sikap keterbukaan dan kebebasan kini menjadi budaya yang membimbangkan kita. Apa tidaknya, pelbagai gejala sosial yang wujud dalam masyarakat kita pada hari ini adalah kesan daripada budaya hedonisme yang mampu menghancurkan akal budi anak muda kita.
-
Pelbagai masalah sosial yang berlaku itu menunjukkan bahawa generasi muda kita semakin ketandusan nilai kerohanian dan adab yang seharusnya mereka miliki selaku khalifah di muka bumi ini. Walaupun masalah sosial di kalangan generasi muda kita belum begitu parah, ia tetap membimbangkan kerana ada tanda-tanda yang menunjukkan gejala negatif ini semakin berkembang, khususnya di bandar besar.

-

Pernah satu kajian dijalankan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Haslinda Abdullah, pada 2009 terhadap sekumpulan remaja berisiko di sekitar Lembah Klang mendapati hampir separuh daripada 270 remaja yang disoal selidik terbabit dalam pelbagai aktiviti dilarang adat, budaya dan agama.

-

Sebenarnya, mereka yang lemah jati diri itu cenderung memiliki ‘minda terjajah’ atau ‘minda tertawan’. Individu yang memiliki minda tertawan ini akan menjadi kagum dengan nilai kemodenan dan kebebasan tanpa menilai buruk baiknya. Justeru, mereka mudah meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan yang dibawa fahaman yang boleh mengheret kehidupan mereka ke arah kehancuran.

-

Apa yang saya sebutkan ini tidak bermakna kita perlu menolak secara mutlak segala yang datang dari luar tamadun dan peradaban kita. Masyarakat wajar mengambil yang terbaik daripada globalisasi tetapi pada masa sama kita perlu mempertahankan nilai dan budaya bersifat positif yang selama ini menjadi elemen penting dalam pembentukan jati diri kita. Sebagai warga negara, kita perlu memupuk nilai positif yang dapat membantu secara dinamik proses pembinaan negara–bangsa yang mantap.

-

Asas pembinaan jati diri kita sudah ada iaitu Rukun Negara yang kukuh dengan nilai 1Malaysia. Justeru, Penghayatan terhadap Rukun Negara dan nilai 1Malaysia secara mantap dan penuh sedar mampu menjadi pendinding generasi muda kita. Jika kita amati dan hayati, kelima-lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu adalah sesuatu yang sangat dekat dengan tradisi dan budaya masyarakat kita. Pegangan yang kukuh terhadap lima prinsip Rukun Negara akan dapat memenuhi aspirasi 1Malaysia yang bertujuan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan seterusnya menjadikan negara ini maju menjelang 2020 nanti. - BH 20 April 2011

Wednesday, April 6, 2011

Pluralisme Agama perosak akidah Islam Oleh Mohd Ayop Abd Razid Antara doktrin asas Pluralisme Agama ialah meletakkan semua agama adalah sama taraf dan semuanya mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di Akhirat. Mengikut fahaman ini, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak kerana semua agama adalah bersifat relatif. - Jika dilihat kepada doktrin Pluralisme Agama ini, maka ia memang bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama benar dan diterima di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepadaNya berserah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan” (Surah Ali-Imran, ayat 83). - Oleh kerana doktrin Pluralisme Agama itu bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar maka pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa mengharamkan Pluralisme Agama. Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman itu. = Pernah satu wacana membahas Pluralisme Agama diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Disember tahun lalu, dinamakan ‘Wacana Membenteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah’ itu telah mengeluarkan resolusi meminta pihak berkuasa Agama di semua peringkat di Malaysia perlu memantau Gerakan Pluralisme Agama dan mengambil langkah mencegah dengan apa sekali pun. - Wacana itu anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). - Semua wakil dan peserta wacana memutuskan supaya pihak berkuasa agama memanggil individu atau Jawatankuasa Organisasi yang menganut faham Pluralisme Agama untuk diberi kaunseling, nasihat dan ajaran mengenai akidah Islam yang sebenar. - Pengharaman tersebut adalah wajar kerana doktrin yang dibawa oleh Pluralisme Agama memang menyesatkan. Pengasasnya, John Hick, Professor Teologi di Claremont Graduate School California USA yang dianggap sebagai “nabi” mengajarkan semua agama berkongsi sebahagian kebenaran (partial truth) dan kebenaran mutlak hanya ada pada “Hakikat Ultima yang Tunggal” (Tuhan). - Menurut Hick, semua agama menuju ke satu titik pusat, iaitu ‘Realiti Tunggal’ (Tuhan) tetapi tuhan itu dijelmakan dalam pelbagai bentuk dan cara tertentu mengikut ajaran agama masing-masing (Dr. Anis Malik Thoha, 2010). - Selain Prof. John Hick, fahaman ini turut dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar, Wilfred Cantwell Smith dan Fritjhof Schuon, John L. Esposito dan Seyyed Hossein Nasr adalah di antara sarjana dunia Islam yang terpengaruh dengan fahaman ini. - Di Indonesia, ia digerakkan oleh beberapa tokoh terpelajar seperti Nurcholish Madjid (Cak Nur), Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman dan Azyumardi Azra. - Nurcholish Madjid yang dianggap pengasas dan mahaguru ‘Islam Liberal’ di Indonesia telah mengubah makna Kalimah Syahadah dengan pengertian “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun (mana-mana agama) adalah benar. - Sebenarnya ajaran Pluralisme Agama ini merupakan fahaman yang pernah diketengahkan oleh beberapa tokoh falsafah dunia seperti Nietsche (1844-1900), tokoh falsafah Jerman dan Mahatma Ghandi (1917-184). Tokoh-tokoh tersebut menyatakan bahawa semua agama adalah cabang-cabang yang berasal dari pohon yang sama. - Malah, sejarah menunjukkan bahawa Maharaja Moghul yang bernama Akhbar (1560-1605) merupakan pemimpin yang menganut faham Pluralisme Agama. Beliau yang terpengaruh dengan ajaran Kabir dan Nanak telah memperkenalkan agama baru yang dinamakan “Din Illahi” iaitu campuran daripada ajaran Islam, Hindu, Zooaster dan pemujaan terhadap matahari. - Fahaman Pluralisme Agama mencetuskan banyak percanggahan dalam syariat Islam. Golongan Islam Liberal menganggap tidak ada satu pun aspek syariat Islam yang suci kerana menurut mereka syariat adalah hasil ciptaan manusia. - Justeru, tidak hairanlah penganut fahaman ini mengizinkan perkahwinan berlainan agama. Malah, mereka juga memperjuangkan homoseksual seperti yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam Liberal di Indonesia. - Di Malaysia, gerakan Pluralisme Agama belum begitu ketara. Namun, ianya dipercayai mempunyai pengikut di kalangan mereka yang terpelajar. - Satu perkara yang memerlukan penelitian ialah, Pluralisme Agama mendakwa memperjuangkan toleransi agama. Benarkah dakwaan itu? Jika kita meneliti ajaran tokoh-tokoh Pluralisme Agama maka kita dapati bahawa mereka sebenarnya tidak menjaja idea atau prinsip toleransi agama. - Misalnya, Peter Byrne, Professor di King’s College London menyebut bahawa Pluralisme Agama merupakan persenyawaan semua agama-agama besar dunia. Selain itu, doktrin asas fahaman itu melihat semua agama bersifat relatif yang terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali. Justeru, mana mungkin toleransi agama diperjuangkan oleh Pluralisme Agama. - Gambaran toleransi agama seharusnya seperti mana sikap yang ditunjukkan oleh Dalai Lama yang menyebut, “Saya menghormati dan mengkagumi kawan saya yang beragama Kristian dan yang beragama Islam. Kalaulah menyatupadukan itu maksudnya mencampur adukkan maka itu adalah mustahil, dan tidak berfaedah” (Uthman El-Muhammady, 2010). - Kesimpulan, Pluralisme Agama merupakan fahaman yang jelas boleh merosakkan akidah umat Islam. Fahaman ini sarat dengan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan manusia. Ia adalah satu usaha musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah dan agama suci umat Islam. Oleh itu fahaman ini wajar ditentang dengan penuh kekuatan tenaga, fikiran dan penguatkuasaan undang-undang. - BH 5/4/2011

Monday, April 4, 2011

Belia kritis, produktif acuan pembangunan negara - Oleh Mohd Ayop Abd Razid - BELIA merupakan aset penting untuk negara. Golongan ini amat penting kerana mereka adalah pelapis dan pewaris kepemimpinan negara pada masa depan. Golongan ini juga merupakan penyumbang besar kepada tenaga kerja negara. - Siapakah belia itu? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mentakrifkan belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun, manakala pertubuhan Komanwel pula meletakkan umur 15 hingga 29 tahun sebagai belia. - Di negara kita, definisi belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) mentakrifkan belia sebagai individu yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun. Husain Mohamed (1977) mentakrifkan belia sebagai ‘orang muda’ yang bertenaga dan lebih produktif serta menguntungkan dari segi tenaga kerja (modal insan). - Menurut Husain, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki tendensi untuk menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus sekiranya golongan ini bersifat anti-sosial dan radikal. Justeru, belia adalah satu golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Di negara kita, golongan belia membentuk lebih daripada 40 peratus daripada populasi negara. - Justeru, dasar pembangunan belia secara holistik mesti diberi fokus penting supaya golongan ini dapat memainkan peranan aktif dan berkesan dalam proses pembangunan negara terutamanya dalam usaha menjadikan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti. Pengabaian terhadap golongan ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif kepada aspek pembangunan sosioekonomi negara. - Pada amnya pembangunan belia di negara ini dibangunkan melalui sistem pendidikan negara. Namun, secara khususnya, Kementerian Belia dan Sukan mempunyai tanggungjawab besar dalam soal pembangunan belia di negara ini. Selain itu, peranan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga sentiasa didambakan dalam membantu usaha membangun dan memajukan golongan belia di negara ini. - Ada pihak yang membuat komentar bahawa Kementerian Belia dan Sukan hari ini lebih banyak memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan sedangkan pembangunan belia dalam aspek-aspek lain kurang diberi perhatian. Sejauh mana benarnya komentar itu haruslah dijawab oleh kementerian berkenaan secara berfakta dan tuntas. - Secara umumnya, golongan belia pada masa kini harus diberikan peranan yang lebih dalam proses membuat keputusan. Peranan ini harus ditekankan dalam usaha mengisi ruang peranan belia secara dinamik dalam proses pembangunan negara. Soalnya, bagaimana proses membuat keputusan beliau ini boleh dimainkan secara berkesan? - Pada hemat saya cara terbaik ialah melalui persatuan-persatuan belia di mana tenaga dan idea mereka boleh digarap dan dilaksanakan secara melalui pelbagai aktiviti. Persatuan-persatuan belia harus diberi kebebasan untuk membuat keputusan dalam melaksanakan aktiviti mereka, bermula dari peringkat perancangan aktiviti sehinggalah kepada pelaksanaan projek atau program. Kementerian berkenaan mungkin boleh berperanan sebagai fasilitator, penasihat, pembimbing dan membantu dari segi kewangan. Mereka juga mesti diberi ruang dan peluang dalam proses pembuatan keputusan dalam Dasar Belia Negara. - Persatuan belia yang diterajui oleh kepemimpinan yang dinamik penting dalam menggerakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Persatuan belia juga mesti mempunyai komitmen untuk memperjuangkan perkara berkaitan hak asasi dan demokrasi di negara ini. Tidak ada maknanya jika negara mempunyai banyak persatuan belia tetapi bersifat pasif dan hanya bergantung pada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti. Pada tahun 2005 terdapat 8,000 persatuan belia dengan keanggotaan 2.8 juta ahli. - Saya yakin sekiranya persatuan belia dapat memainkan peranan aktif maka belia di negara ini akan melalui sosialisasi politik yang bermakna dalam kehidupan mereka. Ia sekali gus dapat membina potensi kepemimpinan sebagai pewaris negara pada masa depan. Berdasarkan Kajian Indeks Belia 2006 menunjukkan sosialisasi politik belia di negara ini adalah di tahap sederhana dan ia perlu dipertingkatkan lagi. Jika diambil kira kelayakan umur mengundi di negara ini maka sudah tentu golongan ini mempunyai pengaruh yang besar dalam kejayaan sesebuah parti politik yang bertanding dalam proses pilihan raya di negara ini. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pernah mengeluarkan statistik yang menunjukkan sehingga Disember 2007 terdapat 15.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun layak mendaftar sebagai pemilih. Namun, lebih 4.6 juta belum berbuat demikian. - Dalam konteks perhubungan kaum, belia yang hidup dalam kepelbagaian (diversity) sama ada dari segi etnik, bahasa, budaya dan agama harus memiliki kemampuan berkomunikasi secara efektif serta bersifat persuasif dengan rakan-rakan pelbagai keturunan. Dalam berinteraksi pula belai harus memiliki ‘moral reasoning’ dengan pegangan prinsip dan etika yang jelas supaya gagasan 1Malaysia yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan negara dapat dicapai dengan jayanya. - Persatuan belia harus mampu melihat sesuatu dari perspektif sendiri supaya pembentukan sikap dan pemikiran dapat dibina secara terarah dan dapat dimanfaatkan untuk proses pembangunan negara. Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang diwakili oleh pelbagai pertubuhan belia harus dimanfaatkan sepenuhnya. - MPBN yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu diibaratkan sebagai ‘Parlimen Belia’ mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan membangun dan memajukan beliau di negara ini. Justeru, persatuan-persatuan belia yang bernaung di bawah MPBN ini wajar mengambil peluang untuk memperjuangkan dasar, idea serta hasrat belia pada hari ini. - Belia dan kerajaan mesti membina komunikasi efektif supaya segala dasar, perancangan dan aktiviti belia dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi kepentingan bangsa dan negara. Persatuan beliau harus membantu kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan beliau. Setakat ini belum terserah persatuan belia mengambil inisiatif menganjur seminar bagi membahaskan isu-isu belia di negara serta menyediakan perancangan tuntas bagi membantu kerajaan menanganinya. - Dalam konteks ini, persatuan belia harus dapat mengenal pasti dan mendefinisikan masalah dengan jelas supaya dapat mengemukakan sebanyak mungkin penyelesaian dengan pelbagai metodologi. Ia memerlukan belia berfikir secara kritikal dengan menggunakan ‘inferens’ dan ‘reasoning’ yang baik supaya mampu memilih alternatif yang tepat dan berkesan. - BH 12/3/11