Tuesday, March 18, 2008


Umno dan survival politk melayu



Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan kita masih lagi membicarakan tentang masa depan bangsa melayu.


Melayu sebelum merdeka


Semasa era penjajahan kita telah dihina dan diperbodohkan dengan dasar-dasar kolonial yang berjaya mengasingkan bangsa melayu dari arus sosioekonomi moden.


Melayu ketika itu hidup dalam lingkaran kemiskinan dan kemunduran. Keadaan ini diperburukkan lagi dengan masalah taklid dan faham khurafat yang bukan berasal dari ajaran Islam. Minda dan psikologi bangsa melayu ketika itu tidak berkembang secara sihat dan ke hadapan.


Kesedaran tentang nasib bangsa Melayu mula berputik apabila lahirnya tokoh-tokoh Islah dan tajdid di awal abad ke 20 seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Hj Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku.


Mereka menyedari kemunduran umat-Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu agama yang telah banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat dan menyeleweng.


Tahun-tahun 1930an hingga 1940an pula lahir banyak persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan melayu yang cuba menyendarkan orang melayu supaya membuat perubahan. Pertubuhan-pertubuhan ini bergerak dalam berbagai pendekatan dari bercorak kebudayaan, sosial hinggalah kepada bernafaskan perjuangan politik.


Sementara itu, masyarakat Cina yang ketika itu masih bertaraf imigran terus terserap dalam perkembangan ekonomi moden.Masyarakat Cina mendominasi bandar-bandar utama di Tanah Melayu. Mereka turut aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal dan mementingkan keuntungan. Sehingga Jepun menakluki Tanah Melayu, kehidupan orang Melayu tidak banyak berubah, kekal dalam kedaifan dan kemiskinan.



Melayu yang mulia hati


UMNO yang lahir pada tahun 1946 telah berjaya menyatukan orang melayu sehingga menggagalkan Malayan Union yang dilihat akan menjahanamkan masa depan bangsa melayu ditanah air mereka. Melalui perpaduan Melayu di bawah payung UMNO yang dipimpim oleh tokoh-tokoh yang ketika itu sanggup berkorban serta menggunakan sepenuh tenaga dan fikiran memajukan bangsa melayu maka bangsa melayu telah mula menampakkan semangat untuk berubah.


Ketika di ambang kemerdekaan orang melayu yang mulia hatinya sanggup menerima dan memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India. Inilah kemuliaan hati orang melayu yang tidak ternilai harganya. Memberikan kerakyatan bermakna memberikan tanah (negara) untuk kehidupan mereka. Ini bukan ungkitan tetapi sekadar mengimbau kembali betapa pemurahnya hati orang melayu ini.


Bukan itu sahaja, bahkan orang melayu juga sanggup berkongsi kuasa dengan mereka. Orang bukan melayu pula bersetuju menerima ‘kontrak sosial’ yang memberikan sedikit keistemewaan kepada orang melayu yang pada hakikatnya tidak pun dapat menebus pengorbanan orang melayu yang beratus-ratus tahun dijajah, juga sebagai tuan punya negara ini.


Allah s.w.t. mengurniakan tiap-tiap bangsa ini kawasan untuk mereka diami. Bangsa Eropah ada wilayah tempat kehidupan mereka, bangsa Arab ada kawasan mereka, kaum Negro Afrika juga ada wilayah mereka, bangsa Cina, Jeopun dan India ada wilayah mereka dan demikian juga dengan bangsa-bangsa yang lain semuanya ada wilayah yang dikurniakan Allah untuk mereka hidup. Begitu juga bangsa melayu diberikan bumi yang asalnya bernama Tanah Melayu lalu ditukar kepada Malaysia (1963) tetapi bangsa melayu ini sedia menerima oang lain hidup bersama mereka.


Melayu mula diperlekeh


Orang melayu tidak tamak dan tidak pernah merampas harta orang lain tetapi hari ini mereka dihina, agama mereka dinista, budaya dan bahasa mereka diperlekehkan dan hak-hak keistemewaan yang mereka miliki itu pun mula dipertikaikan. Kontrak sosial telah mula menjadi sasaran kritikan. Kemajuan melayu yang mula dikecapi telah mula dicemburui dan dipersoalkan sedangan mereka telah jauh lebih maju dan menguasai hampir segenap kehidupan di bumi Malaysia ini.


Mereka mendakwa hidup mereka di bumi Malaysia sebagai warga kelas kedua, sedangkan sebahagian besar ‘kek ekonomi’ negara dikuasai mereka. Rumah-rumah kedai, taman-taman perumahan dan berbagai bentuk perniagaan dikuasai mereka. Yang menjadi kelas kedua pada hakikatnya ialah orang melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memberikan sedikit keistemewaan kepada bangsa melayu juga dikritik sedangkan melalui dasar ini mereka turut membina kekayaan dan kemewahan.

Tidak dapat diafikan banyak kelemehan orang melayu yang menyebabkan mereka gagal dalam mencapai sasaran DEB tetapi apa masalahnya dengan mereka yang mempersoalkan orang melayu yang kononnya telah mendiskriminasikan mereka melalui DEB. Sekali lagi mereka berpura-pura membuat heboh dan kalut dalam hal ini.


Pergorbanan, toleransi dan kemuliaan hati orang melayu tidak pernah dihargai. Kita ingin bertanya kepada golongan ini apakah toleransi dan kemuliaan hati mereka yang diberikan kepada bangsa melayu. Sejak kebelakangan ini banyak isu-isu yang menyakitkan hati orang melayu mula dibangkitkan mereka. Begitu juga dalam soal sejarah negara telah mula kederangan suara-suara yang mempertikaikan kedudukan bangsa melayu seolah-olah mahu menghilangkan ketulenan sejarah bangsa melayu dari lipatan sejarah tanah air.



"parti keramat" dan 'bangsa induk'


Orang melayu harus sedar perjuangan Umno untuk mengangkat “karamah” (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Umno telah berusaha memenuhi tanggungjawab menegakkan ‘ketuanan Melayu’ melalui kedudukannya sebagai parti tunggak dalam kerajaan Barisan Nasional dengan memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kemajuan bangsa Melayu.


Sebagai parti “keramat” untuk bangsa melayu, Umno memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan, Justeru, wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Namun, dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) Umno telah dihukum oleh bangsanya sendiri. Kita yakin hukuman ini bersifat sementara untuk membawa Umno balik ke landasan perjuanganya yang sebenar.


Di bawah kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’, Umno masih diyakini untuk terus memantapkan “ketuanan Melayu”. Sejak kelahirannya, penghayatan terhadap konsep dan falsafah ‘ketuanan Melayu’ telah benar-benar mendorong Umno menyusun gerak kerjanya untuk mengisi agenda perjuangan bangsa. Parti-parti komponen dapat menerima konsep dan falsafah ketuanan melayu itu.


Fakta sejarah jelas meletakkan Melayu adalah 'the definitive race' dalam konteks bangsa induk (bangsa peribumi). Ingatlah, atas faktor warisan dan hak inilah maka Malayan Union (1946) yang cuba merongkai hak dan warisan orang Melayu telah ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.


penghakisan kuasa politik melayu


Perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan perlu dimantapkan bukan sahaja di kalangan ahli Umno bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini. Umno dan Pas sebagai dua buah parti politik terbesar melayu perlu kembali bermuzakarah dan masing-masing perlu ada sikap berlapang dada (tasamuh) dalam mencari titik persamaam. Umno kena menerima realiti ia kini mula ditolak oleh orang melayu dan tidak boleh terus berlagak sombong.


Orang melayu sewajarnya melihat penghakisan kuasa politik melayu adalah malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa melayu. Perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Mereka sangat sabar menanti saat yang membolehkan mereka membina sejarah baru yang terpisah dari akar umbi warisan dan budaya melayu. Inilah yang telah berlaku ke atas Singapura di mana sejarahnya telah diolah mengikut kehendak parti PAP yang diketuai Lee Kuan Yew.


Umno perlu merawat penyakitnya

Umno mesti segera menyelesaikan isu-isu kepemimpinan yang berbangkit di dalam parti yang telah banyak berbakti kepada bangsanya. Berbagai penyakit yang melanda Umno seperti perebutan kuasa, politik adu domba, fitnah menfitnah dan politik wang perlu ditangani dengan berkesan. Umno juga harus membetulkan arah perjuangan golongan mudanya yang dilihat semakn lari dari landasan perjuangan Umno yang sebenar iaitu untuk bangsa, agama dan tanah air.


Umno mesti kembali memberikan perhatian kepada nasib bangsanya yang kini diimpit pelbagai tekanan hidup akibat kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini penting diberi perhatian oleh Umno supaya orang melayu kembali menyakini perjuangannya. Umno tidak boleh asyik berbangga dengan angka-angka pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sedangkan orang melayu tidak menikmatinya dalam erti kata yang sebenar.


Kesimpulannya, orang melayu mesti kekal mewarisi negeri dan hak-hak serta warisan asal mereka. Melayu mesti kembali menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara. Seluruh orang melayu harus kembali menilai kedudukan mereka, khususnya masa depan politik orang melayu.

Tuesday, March 11, 2008

Analisis: Sokongan Melayu mula beralih arah

Umno, BN perlu ubah pendekatan kembalikan kepercayaan rakyat


PILIHAN Raya Umum Ke-12 sudah melakarkan sejarah tersendiri. Beberapa kejutan di luar jangkaan berlaku. Bagi Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, keputusan itu amat memeritkan mereka.
Amat jelas sekali pilihan raya umum kali ini memberi mesej kepada kerajaan BN dan Umno bahawa kedudukan mereka sudah mula dicabar oleh rakyat. Justeru, perkembangan yang memeranjatkan ini harus dikaji dan dianalisis secara telus serta jujur.

BN dan Umno tidak harus melihat perkembangan ini semata-mata atas faktor ‘trend sementara’ pengundi dengan mengandaikan pengundi bermain emosi berikutan termakan umpan pembangkang. Jika ini yang difikirkan, maka tidak mustahil prestasi BN-Umno akan terus merosot.

Dalam keadaan prestasi BN dan Umno yang menurun secara drastik dan hanya berjaya memperoleh majoriti mudah di Parlimen, maka pemimpin Umno dan BN janganlah terus mengeluarkan kata-kata yang memperlekehkan rakyat kerana padahnya besar buat BN dan Umno.
Pemikiran rakyat sudah banyak berubah dan ini menuntut Umno-BN mengubah pendekatan dan strategi bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadapnya.
Amat ironis sekali, ketika mana BN memberikan tumpuan penuh kepada Kelantan dan Terengganu, Umno menyaksikan kejatuhan empat negeri yang berada di bawah penguasaannya iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor ke tangan pembangkang.

Wilayah Persekutuan juga turut jatuh ke tangan pembangkang. Kelantan terus kekal di bawah penguasaan Pas dengan mendapat sokongan lebih besar daripada rakyat. Walaupun gagal di Terengganu tetapi Pas mula memperkukuh kembali kedudukan dengan memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menambahkan jumlah undi bagi setiap calonnya yang bertanding.


Di samping kemampuan pembangkang mengekalkan penguasaannya di Kelantan dan menguasai empat negeri dan Wilayah Persekutuan, masih banyak lagi kejutan berlaku pada pilihan raya umum kali ini.
BN kehilangan banyak kerusi Parlimen sehingga pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga untuk BN. Empat menteri kanan dan sepuluh timbalan menteri turut kecundang. Kerusi Parlimen dan DUN yang diraih MCA jauh merosot berbanding pilihan raya umum lalu.

Ada beberapa pola atau aliran pengundi dalam pilihan raya kali ini. Di kawasan majoriti cina, khususnya di bandar besar, pengundi Cina secara tradisinya memang berpihak kepada DAP.


Perubahan berlaku apabila di kebanyakan kerusi Parlimen yang dulunya dikuasai MCA, sudah dirampas DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Di Pulau Pinang, DAP menyapu bersih semua kerusi Parlimen dan PKR turut memperoleh kemenangan besar di Pulau Mutiara.

Sementara itu, pola pengundi Melayu menampakkan kecenderungan kepada Pas, khususnya di Kelantan dan Kedah. Begitu juga perubahan berlaku di kalangan orang Melayu bandar apabila mereka mula memihak kepada calon pembangkang, khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Adalah jelas Umno menerima tamparan hebat apabila negeri yang dikuasai mereka jatuh ke tangan pembangkang. Siapa sangka Kedah, Perak dan Selangor yang nampaknya selamat di bawah payung BN-Umno, tumbang di tangan pembangkang. Ia sesuatu yang perit buat Umno dan BN.

Ramai calon Umno di negeri yang ditawan pembangkang mengalami kekalahan. Ini menggambarkan ‘trend’ penolakan orang Melayu terhadap parti yang dianggap keramat ini ke tangan Pas dan PKR.

Memang Umno masih selamat di Perlis, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor tetapi dengan peningkatan undi untuk calon Pas, maka Umno tidak sepatutnya berasa selesa dan perlu mengatur strategi bagi memenangi semula hati orang Melayu.
Di kawasan campuran pula pengundi pelbagai kaum lebih berpihak kepada PKR, DAP atau Pas. Masyarakat Cina dan India tidak lagi keberatan untuk memberikan undi kepada Pas, khususnya di kawasan di mana kedua-dua kaum itu bukan majoriti dan tidak ada calon DAP.
Trend ini jelas menggambarkan bahawa semacam ada tekad pengundi dalam pilihan raya umum kali ini untuk menjatuhkan kerajaan BN.


Sabah dan Sarawak dilihat telah menyelamatkan BN dengan memenangi hampir kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Seandainya pengaruh pembangkang kuat di Sabah dan Sarawak, sudah pasti BN menghadapi situasi yang sangat genting.


Pengundi India nampaknya turut membuat perubahan dengan memberikan undi kepada pembangkang seperti yang berlaku di Sungai Petani, Sungai Siput, Ijok dan beberapa kawasan lain di Parlimen mahupun DUN.

Apakah Hindraf sudah berjaya mempengaruhi kalangan pengundi India adalah satu kemungkinan yang patut diteliti. Kemungkinan ini memang ada kerana ada beberapa calon India yang boleh dianggap proksi Hindraf bertanding atas tiket DAP dan PKR, berjaya meraih kemenangan besar.

Apa pun BN harus mengkaji semua kemungkinan ini. Di Perak, orang Melayu mula rasa tersepit apabila DAP menguasai lebih banyak kerusi DUN berbanding Pas. Ini boleh menimbulkan dilema kepada orang Melayu.

Umno di Perak harus dapat menyatukan kembali orang Melayu supaya kedudukan mereka menjadi lebih mantap. Begitu juga dengan MCA harus mengembalikan kepercayaan orang Cina perak kepada mereka.


Penguasaan DAP di Pulau Pinang pastinya akan menghimpit terus kuasa dan pengaruh politik orang Melayu. Begitu juga dengan kehidupan sosioekonomi Melayu di Pulau Pinang yang dilihat masih terkebelakang. Masalah sosial generasi muda Melayu Pulau Pinang semakin teruk berikutan tekanan sosioekonomi mereka yang mundur.


Bolehkah pemerintahan DAP berlaku adil kepada orang Melayu di Pulau Pinang adalah sesuatu yang dinantikan. Adakah manifesto mereka yang diuar-uarkan untuk semua kaum akan dapat membela nasib orang Melayu di sana. Yang nyata, Umno akan terus tersepit di Pulau Mutiara itu.


Sukar untuk mencari punca mengapa Cina Pulau Pinang sanggup memilih DAP sedangkan parti Gerakan (komponen BN) yang sudah lama memerintah Pulau Pinang berjaya memberi manfaat besar kepada masyarakat Cina di situ.


Semua ini harus dinilai secara jujur dan telus. Penulis lebih cenderung melihat bahawa BN dengan tunjangnya Umno adalah satu-satunya barisan dan pakatan politik yang benar-benar mewakili wajah perpaduan Malaysia daripada ‘pakatan politik pilihan raya’ pembangkang.
Dalam konteks masyarakat majmuk pakatan politik boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan perpaduan negara kerana gabungan parti pembangkang yang tidak dibuat atas dasar semangat toleransi dan kepentingan negara boleh bertukar menjadi pertelingkahan politik yang membinasakan negara.

Rakyat pula harus kembali menilai semua perkembangan ini. Apakah mereka sudah benar-benar membuat satu perubahan yang sihat atau sebaliknya.
Umno dan BN perlu memandang serius perkembangan ini. Satu kajian dan analisis yang jujur, telus dan terperinci diperlukan. Rakyat tidak mahu kepalsuan dan kepura-puraan di kalangan BN dan Umno semata-mata atas dasar menjaga kepentingan peribadi kerana ini akan membawa kepada kehancuran BN dan Umno.
Ingat sekali ‘tsunami rakyat’ melanda, maka ia tidak boleh disekat dan dihalang seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

- Berita Harian, Rabu 12March 2008

Ekonomi mantap bukti keupayaan BN

*Ekonomi mantap bukti keupayaan BN


Kerajaan cekap, mampu tingkat pembangunan diperlukan untuk cabaran mendatang TAHUN lalu menyaksikan ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu. Kenaikan harga minyak, pergolakan politik dunia, khususnya di rantau Asia Barat dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat adalah antara faktor menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia kurang memberangsangkan.
Malaysia sebagai negara yang turut bergantung kepada perkembangan ekonomi dunia turut merasai tempiasnya. Namun, di sebalik ekonomi dunia yang tidak menentu, ekonomi negara tetap mengalami pertumbuhan yang sederhana. Ini selari dengan prospek ekonomi global bagi 2007 dan 2008 yang dijangka berada pada kadar pertumbuhan yang sederhana. Pengurusan ekonomi yang baik dan cekap menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara pada 2007 berada pada kedudukan yang baik dan ia dijangka kekal sepanjang tahun ini. Dasar ekonomi makro yang propertumbuhan dengan keupayaan negara mempelbagaikan sumbernya berjaya mewujudkan ketahanan daya saing yang tinggi.

Selain itu, pembangunan dan transformasi ke arah ekonomi yang berlandaskan teknologi dan pengetahuan melahirkan corak tenaga kerja atau modal insan yang memiliki kompentensi yang tinggi dan berdaya saing selari dengan keperluan industri masa kini. Tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan berupaya meningkatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus memberikan penekanan ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Malaysia adalah antara negara yang menikmati kestabilan politik di rantau ini.

Ia ditambah dengan suasana kondusif yang menjadi faktor tarikan pelabur luar untuk melabur di Malaysia. Selama 50 tahun mentadbir dan mengurus negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya meletakkan struktur dan asas ekonomi kukuh, yang sekian lama menyaksikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang memberangsangkan. Justeru, tidak hairanlah Laporan Doing Business Bank, terbitan Bank Dunia dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) pernah melaporkan Malaysia adalah 25 ekonomi paling mesra perniagaan di dunia dan negara juga dikatakan berada di kedudukan 24 daripada 78 ekonomi yang selesa untuk perniagaan. Malaysia adalah antara lima negara Asia Tenggara yang kekal menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI). Kajian Prospek Pelaburan Dunia 2007-2009 dalam kenyataannya pada 5 Oktober 2007 menyatakan bahawa Malaysia berada pada kedudukan 20 ekonomi utama dunia yang berupaya menarik FDI.
Ada banyak indikator yang menunjukkan ekonomi negara berada dalam pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada 2007, negara merekodkan lebihan akaun semasa RM1.01 trilion. Ketika pelaburan awam terus berkembang pada kadar lapan peratus, pelaburan sektor swasta turut berkembang pada 10.5 peratus. Sektor pembuatan terus tumbuh kukuh 6.8, sektor perkhidmatan juga enam peratus, sektor pertanian 4.7 peratus dan sektor pembinaan terus berkembang pada kadar 3.7 peratus. Mata wang negara berada dalam kedudukan yang stabil dan kukuh. Nilai ringgit kita masih mencatatkan pengukuhan iaitu pada paras RM3 berbanding AS$1. Kadar inflasi negara berada pada paras yang rendah iaitu pada 2.4 peratus pada Disember 2007, berbanding 3.6 peratus pada 2006. Penurunan kadar inflasi itu adalah manifestasi keupayaan kerajaan mengawal dan menstabilkan harga barang keperluan. Ini dibuktikan dengan Indeks Harga Pengguna (HIP) yang meningkat daripada 103.6 (2006) kepada 105.7 (2007).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu menyatakan pada 2007, IHP Malaysia hanya 2.3 peratus berbanding Indonesia (6.7 peratus), Singapura (4.2 peratus), Thailand (3.0 peratus), Filipina (3.2 peratus), Korea Selatan (3.5 peratus), Taiwan (4.8 peratus) dan China (6.9 peratus). Lonjakan pasaran saham turut dijadikan ukuran dalam membuktikan pembangunan ekonomi negara. Indeks Komposit pada Januari 2007 berada pada paras 1,100 mata melonjak mencecah 1,500 mata pada awal Januari 2008. Pada Februari 2007 Bursa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan melonjak kepada 2.347 bilion saham adalah satu paras tertinggi dalam sejarah.
Harga di Bursa Saham pada penghujung 2007 (28 Disember) mencecah paras tertinggi pada 1,447.04 mata, sementara indeks komposit Kuala Lumpur (IKKL) turut naik 9.22 mata (0.64 peratus) berbanding ketika ditutup hari sebelumnya pada 1,437.82 mata. Pada awal Januari 2008 Indeks Komposit Pasaran Saham mencecah 1,500 mata. Kejayaan Permodalan Nasional Bhd menjual semua 500 juta unit tambahan Amanah Saham Nasional (ASM) dalam masa 39 minit pada 18 Julai 2007 juga membuktikan bahawa ekonomi negara pada 2007 berada dalam keadaan yang kukuh. Keadaan ini dijangka berterusan tahun ini kerana negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
Sistem Kewangan Islam turut berkembang dan diiktiraf dunia. Buktinya pada 11 Januari 2007, Bank Negara Malaysia adalah bank pusat negara dipilih sebagai Bank Pusat terbaik dalam undian Bank Islam terbaik 2006 anjuran Islamic Finance. Pada April 2007 institusi kewangan Islam turut menyaksikan dua kejayaan utama iaitu pada 2 April, Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFHMB) dinobatkan sebagai `Bank Islam Terbaik Malaysia'. Pada 6 April pula Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), menjadi bank Islam pertama di negara ini yang mencatat keuntungan dalam tempoh enam bulan pertama berakhir pada 31 Disember 2006 sebanyak RM165.8 juta, iaitu keuntungan sebelum zakat dan cukai. Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Abdullah menyediakan beberapa langkah dan strategi konkrit ke arah memantapkan lagi pembangunan ekonomi negara.
Dasar propembangunan BN terkandung di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Bajet 2008. Ketika pelancaran RMK-9, kerajaan memperkenalkan Misi Nasional yang menggariskan lima teras utama. Di antara penekanan utamanya ialah meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara, mempertingkatkan modal insan serta memupuk minda kelas pertama. Hasil perancangan dan wawasan jauh BN, negara dijangka menikmati pertumbuhan dan pembangunan pelbagai sektor menerusi pelaksanaan koridor pembangunan ekonomi merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan Johor, Wilayah Utara (NCER) dan Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER). Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak akan turut menyaksikan pembangunan wilayah yang akan meletakkan kedua-dua negeri berkenaan sama maju seperti kemajuan yang dinikmati di Semenanjung. WPI menerima pelaburan RM4.1 bilion daripada empat firma terkemuka Asia Barat. ECER yang membabitkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang akan berupaya membangunkan 227 projek untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk di wilayah ini yang majoritinya adalah bangsa Melayu. Koridor Pembangunan Sabah dan Sarawak juga akan turut menjadi strategi pembangunan wilayah yang seimbang di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung. Secara khususnya, ECER akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi orang Melayu di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Mersing, Johor. Ini adalah kerana lebih 80 peratus orang Melayu tinggal di wilayah ini dan di sinilah juga paras kemiskinan adalah tinggi.
Secara amnya pula, ECER akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya mengambil kesempatan daripada pembangunan semua koridor wilayah ekonomi di negara ini. Jelaslah bahawa kerajaan yang mantap dan berkemampuan mengurus ekonomi negara dengan cekap amat diperlukan bagi memastikan negara terus berupaya berhadapan dengan tekanan ekonomi global yang semakin tidak menentu untuk tahun-tahun mendatang. Dalam hal ini, kerajaan BN membuktikan keupayaan mengurus ekonomi negara melalui agenda dan dasar pembangun yang propertumbuhan yang membolehkan rakyat meraih segala peluang ekonomi yang disediakan.
INFO Perkembangan ekonomi negara
 Laporan Doing Business Bank dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) melaporkan Malaysia adalah 25 ekonomi paling mesra perniagaan di dunia dan berada pada kedudukan 24 daripada 78 ekonomi yang selesa untuk perniagaan.
 Malaysia di antara lima negara Asia Tenggara yang kekal menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI).
 Pada 2007, negara merekodkan lebihan akaun semasa RM1.01 trilion. Ketika pelaburan awam terus berkembang pada kadar lapan peratus, pelaburan sektor swasta turut berkembang pada 10.5 peratus.
 Sektor pembuatan terus tumbuh kukuh 6.8, sektor perkhidmatan juga enam peratus, sektor pertanian 4.7 peratus dan sektor pembinaan terus berkembang pada kadar 3.7 peratus.
 Mata wang negara berada dalam kedudukan yang stabil dan kukuh. Nilai ringgit masih mencatatkan pengukuhan iaitu pada paras RM3 berbanding AS$1.
 Kadar inflasi negara berada pada paras yang rendah iaitu pada 2.4 peratus pada Disember 2007 berbanding 3.6 peratus pada 2006.
 Kejayaan Permodalan Nasional Bhd menjual semua 500 juta unit tambahan Amanah Saham Nasional (ASM) dalam masa 39 minit pada 18 Julai 2007 juga membuktikan ekonomi negara berada dalam keadaan yang kukuh.
____________________________________________________________
*Berita Harian, 30 Jan 2008 (Khamis)