Tuesday, November 6, 2007

MENGAPAI AGENDA BANGSA


Tiupan semangat perjuangan ke arah “mengangkasa” dan ‘menglobal’ tamadun bangsa menjadi inspirasi dan dorongan baru yang ditiupkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan persidangan serentak ketiga-tiga pergerakan sayap Umno- Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC ( 5 novemeber) yang bertemakan "Mengangkasa Tamadun Bangsa".
Lima teras yang digariskan dalam ucapannya adalah bertepatan dengan scenario dan cabaran semasa era globalisasi yang dihadapi oleh bangsa kita. Kelima-lima teras tersebut ialah:

Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju.
Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan.
Agama dan budaya sebagai asas peradaban.
Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan.
Kestabilan politik sebagai prasyarat.

Jelas sekali bahawa lima teras yang digariskan itu bertepatan dengan cita-cita besar kepemimpinan melayu untuk membina kecermalangan serta memartabatkan “karamah” (kemuliaan), maruah dan martabat bangsa di persada antarabangsa. Pendek kata , kita terus mahu melangkah daripada apa yang telah dicapai ke tahap yang lebih cemerlang selari dengan cabaran dan persaingan global masa kini - “mengekalkan apa yang telah ada dan merebut apa yang belum ada ” supaya bangsa menjadi lebih mantap dan kukuh, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain sama ada di peringkat local mahupun di peringkat global.’”

Berkampung di hulu dan membumi di darat" dilonjakkan kepada “mengangkasa” dan ‘menglobal’ bangsa. Demikianlah harapan dan cita-cita beliau yang diucapkan sebagai satu amanah buat generasi muda melayu. Ia adalah satu usaha ke arah pengantarabangsaan dan pengangkasaan perjuagan melayu.

Gahkan bunyinyakan! Tetapi kita yakin ianya bukan bunyi tin kosong – ‘full of sound but signifying nothing’ , sebaliknya ia adalah realiti kekuatan yang kini dimiliki bangsa untuk mencapai hasrat dan impian tersebut. Telah banyak bukti yang boleh disandarkan termasuklah yang terkini , iaitu keupayaan dan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang telah berjaya memjadi angkasawan pertama negara. Kejayaannya telah mengharumkan nama negara dan memuliakan martabat bangsa Melayu-Islam yang satu ketika dahulu kita diperlekeh akan keupayaan kita.

`Bangsa Angkasa' ( 'space nation' ) bukan sekadar membawa pengertian keupayaan bangsa meneroka ruang angkasaraya tetapi ia juga sepatutnya dilihat sebagai satu perlambangan yang penuh makna yang memiliki impian (bukan illusi) ke arah membina tamadun yang perkasa. Demikianlah maksud yang diberikan oleh Timbalan Presiden Umno itu, "mengangkasa" ialah suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan dan bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti.

Beliau dengan yakin melihat orang Melayu kini berada pada satu tahap keupayaan untuk membina tamadun setinggi angkasa. Menurutnya, apa yang diperlukan ialah "peta jalan dan batu tanda" yang diikuti dengan perancangan dan strategi ke arah merealitikan impian tersebut. Ia adalah satu dimensi baru yang menuntut lonjakan ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing untuk berlumba ke arah yang terbaik di pentas dunia.

Lima teras yang digariskannya jika difahami, dihayati dan dilaksanakan sudah pasti mampu membawa bangsa melayau ke arah 'melayu glokal' yang memiliki peradaban gemilang . Beliau mengingatkan nostalgia warisan lepas adalah untuk teladan dan sempadan buat bangsa meneruskan perjuangan. Melayu Glokal mampu dicapai melalui minda yang diasah dan diasuh dengan sempurna. Katanya, "Jika kita ingin maju, gunakanlah kapasiti minda ke tahap maksimum untuk bertarung di gelanggang dunia. Sesungguhnya, pertarungan pada masa kini dan masa hadapan merupakan pertarungan minda" (mengimbas kembali ucapannya di perhimpunan yang sama 2006).

Sebagai penutup ingin saya petik kata-kata Dato’Seri Najib dalam ucapannya itu, "Kita akan terus melangkah ke era penerokaan baru untuk memahami ilmu dan teknologi aeroangkasa. Usaha ini bukan sekadar menghantar seorang angkasawan, tetapi adalah simbol impian satu bangsa yang boleh mencapai kejayaan setinggi bintang."

No comments: