Wednesday, May 28, 2008


Krisis dalaman Umno terus cipta kekeliruan


Oleh Mohd Ayop Abd Razid



KEPEMIMPINAN Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicabar dan diuji lagi dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 83, mengumumkan keluar daripada parti Isnin lalu.


Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir turut menyokong tindakan bapanya itu, namun beliau membuat keputusan untuk tidak keluar Umno. Sebaliknya, seorang lagi anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Mokhzani, memutuskan untuk keluar Umno bagi mengikut jejak langkah ayahnya.


Dr Mahathir melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2003 selepas 22 tahun memimpin kerajaan. Beliau melantik Abdullah sebagai penggantinya, tetapi selepas hampir setahun Abdullah berkuasa, Dr Mahathir dengan lantang mengkritiknya.


Abdullah dianggapnya lemah serta gagal meneruskan dasar pemerintahannya. Serangannya pada peringkat awal berkisar kepada soal maruah mengenai kedaulatan negara dalam kes Malaysia dan Singapura, jambatan bengkok, pengaruh tingkat empat Putrajaya dan lain-lain yang sudah dijawab oleh kepemimpinan Abdullah.


Umum melihat tindakan Dr Mahathir itu adalah satu lagi tekanan yang cuba dikenakan ke atas Abdullah supaya meletakkan jawatan selaku Presiden Umno. Ini jelas apabila Dr Mahathir menegaskan bahawa tindakannya itu kerana beliau sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepemimpinan Abdullah sebagai presiden parti dan Perdana Menteri yang dilihatnya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.


Pembangkang pula melihat tindakan Dr Mahathir mempunyai kaitan dengan siasatan klip video peguam Datuk V K Lingam dan juga arahan Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta terhadap segala tuduhan ke atas individu yang dinamakan dalam laporan suruhanjaya kes berkenaan.


Bagaimanapun, Dr Mahathir menafikan tindakannya itu ada kaitan dengan perkara terbabit. Pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula memberi komennya bahawa masalah dalaman Umno semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih.


Pas yang pernah bersama dalam kerajaan campuran BN di era kepemimpinan Allahyarham Datuk Asri Muda berpandangan tindakan Dr Mahathir sebagai mencermin dan membuktikan Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.


Itu semua adalah kata-kata musuh politik yang mengandungi serangan psikologi untuk melemahkan ahli Umno. Anwar sendiri pernah dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan dan parti oleh Dr Mahathir pada 1998 atas tuduhan salah laku seks dan penyelewengan. Sejak itu Anwar dan Dr Mahathir adalah dua musuh ketat yang nampaknya tidak akan berdamai.


Justeru, ada yang berpendapat tindakan Dr Mahathir yang terus menerus menekan Abdullah adalah disebabkan kebimbangannya terhadap Anwar yang mungkin mengambil kesempatan untuk berkuasa di atas 'kelemahan' Abdullah. Itu tanggapan Dr Mahathir terhadap Abdullah.


Setakat ini, kita tidak tahu sejauh mana kesan desakan Dr Mahathir yang meminta ahli Umno mengikut jejak langkahnya meninggalkan parti itu.


Namun, Dr Mahathir meminta ahli Umno yang keluar parti tidak menyertai mana-mana parti lain dan beliau akan menyertai semula Umno sekiranya Pak Lah melepaskan jawatannya. Masyarakat umum di luar Umno pula terus memperkatakan hal ehwal Umno yang mereka lihat semakin kalut. Kini, orang Melayu bertambah keliru terhadap apa yang berlaku dalam Umno.


Kepemimpinan Umno yang ada sekarang boleh menasihatkan ahlinya bertenang dan tidak mengambil langkah yang boleh merosakkan parti. Tetapi bagaimana pula orang Melayu di luar parti, yang sudah memandang sinis terhadap Umno, terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.


Pergolakan yang berlaku dalam Umno boleh menghilangkan terus keyakinan mereka terhadap Umno, khususnya di kalangan mereka yang menolak Umno dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Mereka yang sayangkan Umno pula khuatir mengenai kesan yang bakal terjadi jika ada di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Umno yang menyahut seruan Dr Mahathir untuk keluar parti. Namun, kita boleh berasa lega apabila Ahli Parlimen Umno mengumumkan akan terus menyokong kepemimpinan Abdullah. Begitu juga pergerakan Puteri Umno akan terus menyokong Presiden parti. Malah Majlis Tertinggi (MT) Umno pada mesyuarat khasnya baru-baru ini turut memberi sokongan padu kepada Pak Lah.


Soalan lain ialah tidakkah tindakan Dr Mahathir boleh menghilangkan kepercayaan Ahli Parlimen di luar parti Umno terhadap Umno sehingga memungkinkan tindakan melompat parti seperti mana diharapkan Anwar. Jika ini terjadi, tidakkah akan menyebabkan berlakunya peralihan Kerajaan Pusat kepada Pakatan Rakyat?


Selain itu, rakyat turut keliru dengan kenyataan Tun Musa Hitam bahawa 'duri dalam daging' sudah terkeluar. Rakyat melihat ungkapan Musa ini seolah-olah menganggap Dr Mahathir adalah faktor utama yang mencetuskan masalah dalam Umno.


Rakyat mula bertanya benarkah Dr Mahathir yang diangkat sebagai negarawan dan 'bapa pemodenan' negara serta turut mempunyai jasa dalam Umno di anggap sebagai 'duri dalam daging'. Persoalan ini menimbulkan lagi kekeliruan rakyat terhadap masalah yang melanda Umno.


Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyatakan bahawa Musa tidak sewajarnya menyifatkan tindakan Dr Mahathir keluar Umno bagaikan 'duri dalam daging sudah terkeluar'.


"Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dikeluarkan kerana Dr Mahathir adalah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Perkara ini memang tidak boleh kita nafikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen kelmarin.


Umno sudah pun menerima kejutan dan pukulan hebat dalam pilihan raya umum lalu selain beberapa parti komponen mengalami kemerosotan sokongan yang besar serta tewas di lima negeri dan juga di Wilayah Persekutuan.


Dr Mahathir mendakwa bahawa Abdullah menghancurkan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP), dalam pilihan raya umum lalu.


Abdullah dalam reaksinya yang terkejut dengan tindakan Dr Mahathir itu menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk terhadap tekanan bekas bosnya itu supaya melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.


Bagi Abdullah apa yang penting ialah sokongan majoriti ahli Umno terhadapnya akan menjadi kekuatan kepadanya untuk meneruskan tanggungjawab dan terus berjuang bersama-sama mereka bagi memperkukuhkan kedudukan bangsa.


Pada waktu yang kritikal ini, apa yang penting ialah ketaatan dan kesetiaan ahli Umno untuk terus mendokong pucuk pimpinan parti. Umno perlu menyelesaikan masalahnya melalui musyawarah bukannya berbalah secara terbuka kerana ia tidak melambangkan Umno sebagai satu keluarga.


Justeru, Umno mesti segera mencari formula penyelesaian yang berkesan. Pelbagai konflik yang berlaku dalam parti berkenaan mesti segera diatasi sebelum 'nasi menjadi bubur'.


--- Berita Harian 24/5/2008























































































No comments: