Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Konsep, falsafah 'ketuanan Melayu-Islam' wajar dipertahan, usah dipersenda
NAIB Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, mahu istilah ketuanan Melayu tidak dibangkitkan lagi kerana bimbang ia akan menimbulkan perasaan kurang selesa dan salah faham di kalangan kaum lain. Katanya, istilah itu yang sering dibangkitkan sejak akhir-akhir ini, tiada kaitan dengan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun, ungkapan ketuanan Melayu yang melambangkan hak Raja-Raja sebagai pemerintah negara ini tidak wajar dipolitikkan sebagai isu perkauman sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat majmuk di sini. Seperti kata Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketuanan Melayu dalam konteks sejarah bermakna kedudukan tanah Melayu sebagai milik Raja-Raja Melayu harus dihormati keseluruhan rakyat.
"Ketuanan Melayu bukan bermakna orang lain atau kaum lain menjadi hamba, sebaliknya ini hanya pengiktirafan kepada kuasa Raja-Raja. Pada hakikatnya, hanya seseorang berketurunan Melayu boleh menjadi Raja. Namun, ini tidak bermakna kaum lain tidak boleh menerima institusi Raja ini. Jika di England orang boleh menerima Ratu Elizabeth kenapa tidak di sini," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pula berkata jika rakyat negara ini menafikan ketuanan Melayu, sama seperti menolak kewujudan Raja Melayu di Malaysia
"Istilah ini tidak perlu dibincangkan apatah lagi mahu dihapuskan kerana hakikatnya ialah berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu. Apa yang perlu dipertikaikan?" katanya seperti dilaporkan media.
Memang diakui perpaduan Melayu sudah menjadi mauduk utama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini. Kedaulatan dan politik Melayu dilihat sesetengah pemimpin Melayu berada dalam 'kecemasan' berikutan wujudnya trend penolakan orang Melayu terhadap Umno, parti yang dilihat banyak berjasa kepada masyarakat Melayu.
Pandangan ini nampaknya dikongsi bersama bukan saja di kalangan pemimpin politik Melayu, bahkan juga di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan cendekiawan Melayu.
Agenda yang menjadi keutamaan ialah perpaduan dan 'ketuanan Melayu'. Saya lebih gemar menambah atau menggabungkan perkataan Melayu dan Islam menjadi 'Ketuanan Melayu-Islam'. Lojiknya ialah Melayu tanpa Islam akan menjadikan 'bangsa' sebagai ideologi utama yang mungkin melahirkan semangat perkauman keras dan ekstrem.
Sebaliknya, jika perjuangan kita dihubungkan dengan Islam, maka Islam akan memandu kita ke arah keadilan dan kesejahteraan.
Asas utama pengukuhan orang Melayu ialah perpaduan. Justeru, kita wajar merenung ayat 4 daripada Surah As-Saaf yang dengan terang menyatakan bahawa Allah SWT menyukai dan mengasihi barisan (jemaah) yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan kukuh.
Apa yang dinyatakan dalam al-Quran itu adalah berkaitan dengan perpaduan atau ukhwah Islamiyyah. Ia adalah teras dalam berjihad, dalam apa bentuk jihad sekali pun. Memperkukuh politik Melayu-Islam supaya tidak mudah diperkotak katikkan oleh musuh adalah juga jihad yang harus diperjuangkan oleh orang Melayu.
Dalam konteks politik, Umno dan Pas perlu mencari jalan untuk bersatu dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing. Walaupun Umno dan Pas berbeza dari segi pendekatan politik, kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan asas, iaitu bangsa dan agama.
Namun, wajar juga pemimpin Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) duduk sama demi masa depan orang Melayu. Demikian juga perpaduan Melayu tidak harus terbatas kepada Melayu di Semenanjung saja, malah mesti merangkumi Melayu di Sabah dan Sarawak.
Walaupun kita mungkin berbeza dari segi pendekatan politik, mengapa tidak kita bersatu atas kepentingan bangsa dan agama? Yang penting sentimen kebencian wajar diketepikan. Walaupun Umno masih berkuasa, parti ini harus menanggalkan sifat egonya terhadap Pas.
Begitu juga Pas yang mendakwa ia lebih Islamik perlu membuang sifat egonya terhadap Umno. Dalam hal ini, kaedah terbaik yang diajar Islam ialah muzakarah. Apa ruginya kita bermuzakarah jika ia diniatkan kerana Allah dan demi kepentingan bangsa dan watan. Orang bukan Melayu tidak harus curiga. Selama ini mereka bebas mengamalkan agama dan budaya yang diwarisinya. Mereka juga aktif berpolitik dan semakin memperkukuhkan kedudukan dalam politik tanah air.
Bersatunya Melayu bukan untuk menzalimi orang (kaum) lain. Asas perpaduan Melayu adalah Islam dan Islam adalah agama yang menekankan keadilan. Justeru, tiada sebab orang bukan Melayu perlu bimbang dengan usaha menyatukan orang Melayu. Tanpa menafikan Islam turut dianuti kaum lain di negara ini, kedudukan orang Melayu sebagai penganut utama Islam sudah menjadi teras kepada keseimbangan dan kestabilan struktur masyarakat Malaysia.
Justeru, kekuatan dan perpaduan orang Melayu menjadi wajib bagi menjamin keharmonian dan perpaduan negara. Ia juga penting bagi memastikan Islam terus dipertahankan. Perpaduan sebagai prasyarat kekuatan perlu menjadi keutamaan dan kemestian.
Ia perlu dimantapkan oleh seluruh bangsa Melayu di negara ini. Perpecahan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang memiliki agenda peribadi. Kita tidak nafikan sukar untuk menyatukan seluruh bangsa Melayu.
Semua bangsa di dunia demikian keadaannya. Namun, kita perlu mengecilkan perbalahan dan perpecahan sesama kita supaya tidak menjejaskan keseluruhan entiti kita sebagai satu bangsa.
Pemimpin Melayu daripada Umno, Pas dan PKR wajar melihat perpecahan bangsa sebagai malapetaka yang dapat menghancurkan bangsa dan agama. Orang Melayu perlu ingat, apa pun corak dan perkembangan masa depan politik tanah air adalah bergantung kepada kekuatan politik Melayu.
Jika politik Melayu menjadi lemah, maka kita akan lihat senario politik negara juga akan turut berubah dan ketika itu arah tujunya mungkin tidak lagi berpihak kepada realiti budaya serta sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Usaha mendaulatkan Islam juga akan terhalang dan kita mungkin senasib dengan bangsa Palestin.
Penghayatan terhadap konsep dan falsafah 'ketuanan Melayu-Islam' wajar dipertahankan dan jangan dipersendakan, khususnya di kalangan generasi muda Melayu. Walaupun pengaruh globalisasi mempengaruhi perubahan pemikiran generasi muda, dalam keadaan tertentu, demi kelangsungan 'politik Melayu-Islam', maka orang Melayu mesti mempunyai semangat kasih dan sayangkan bangsanya.
Kasih dan sayangkan bangsa adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Hampir semua bangsa maju di rantau sebelah sini seperti Jepun, Korea dan China terus memperkukuhkan jati diri dan semangat nasionalisme mereka.
Bangsa kita pula ke mana? Apakah Melayu akan terus kekal mewarisi tanah air dan hak serta warisan asal mereka? Apa pun keadaannya, Melayu mesti menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara.
Ingatlah 'sejarah adalah guru' sesuatu bangsa. Negara haram Israel dibina di atas semangat sejarah kenabian yang diyakininya. Al-Quran juga mengajar kita mengembara (melancong) ke bahagian lain dunia ini untuk melihat dan mengambil iktibar daripada kesan sejarah yang berlaku ke atas umat terdahulu.
Fakta sejarah dengan jelas meletakkan Melayu adalah 'bangsa induk' (bangsa pribumi). Sejak berabad lamanya kerajaan Melayu-Islam sudah wujud di rantau Nusantara (alam Melayu), termasuk di Tanah Melayu.
Memang benar sebelum kedatangan Islam, kerajaan Melayu-Hindu melingkungi alam Melayu tetapi penerimaan Islam menukar akidah, pemikiran, budaya dan watak Melayu ke arah yang lebih dinamik dan berjiwa. Roh akidah tauhid menukar pandangan hidup orang Melayu dengan begitu pesat sekali.
Ingatlah, atas kesedaran faktor warisan dan hak inilah maka Malayan Union (1946) yang cuba merungkai hak dan warisan orang Melayu ditentang habis-habisan. Namun, perlu diingat bahawa pengisian kecemerlangan ke arah bangsa Melayu yang gemilang bukan dengan retorika semata-mata. Ia perlu dilaksanakan berasaskan tanggungjawab memandu bangsa dalam segenap aspek termasuk politik, kemasyarakatan, sosial dan ekonomi.
-- Berita Harian, Rabu 14/5/2008
No comments:
Post a Comment