Monday, April 7, 2008

Pastikan UMNO terus relevan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid


KITA tidak mahu generasi muda kita terlalu terpengaruh dengan slogan pembangkang yang mahu mencorak masa depan baru untuk Malaysia sepertimana yang diuar-uarkan oleh DAP dan PKR.
Rakyat, khususnya orang Melayu harus kritis menilai apakah wajah Malaysia baru yang ingin dicipta itu. Apakah ia akan terpisah daripada hakikat kedudukan Melayu sebagai ‘bangsa induk’ di negara ini?

Kita juga tidak mahu orang Melayu lebur dalam impian permainan politik pembangkang yang kini, jika direnung dan dianalisis menampakkan arah aliran atau trend yang berpaut kepada sentimen perkauman yang akan memusnahkan masa depan negara.
Jika UMNO mahu terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa Melayu, khususnya di kalangan generasi muda maka teruslah melangkah dengan membuat perubahan yang drastik dan meyakinkan. Aspek integriti UMNO itu sendiri mesti dipulihkan. Kini harapan besar umat Melayu masih disandarkan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti terbesar Melayu ini. Keupayaan beliau untuk berbuat demikian masih diyakini oleh sebahagian besar orang Melayu. Beliau diharap akan dapat mewariskan UMNO yang kukuh kepada pelapis Melayu selanjutnya.
UMNO harus bijak mengembalikan perjuangannya ke landasan yang betul dan murni supaya dapat menawan minda dan hati generasi Melayu agar berpaut dan bersatu di bawah satu kesatuan yang bertitik tolak kepada fakta sejarah bahawa Melayu adalah teras dan bangsa induk kepada negara ini di mana survival politiknya perlu dipertahankan.
Ini adalah cabaran getir buat UMNO yang kepimpinannya mula dipertikai dan ditolak oleh bangsanya sendiri, sedangkan orang lain mula membina kekuatan daripada penolakan ini.
Selama 50 tahun UMNO telah menjadi teras dan pengimbang perpaduan dan kemajuan negara melalui pakatan BN yang berasaskan permuafakatan dan toleransi tulen telah mula tidak diyakini rakyat.
Perasaan
UMNO perlu ada perasaan untuk membersih segala kekotoran dan najis yang melanda tubuh badannya. Sementara generasi muda yang mula agresif untuk mengambil alih warisan kepimpinan UMNO perlu ditarbiyah erti perjuangan UMNO yang sebenarnya iaitu untuk bangsa, agama (Islam) dan tanah air bukannya untuk agenda dan kepentingan diri.
Tanpa prejudis kepada UMNO, saya melontarkan pandangan bahawa jika parti ini terus gagal memahami hati nurani bangsanya sendiri maka tidak mustahil satu-satunya jalan untuk orang Melayu meletakkan kepercayaan nasib mereka ialah kepada parti Pas. Pas akan berada dalam kotak minda Melayu sebagai penyelamat maruah bangsa dan agama. Ini adalah lontaran soalan yang mencabar jati diri dan keikhlasan UMNO untuk memikirkannya. UMNO jangan menafikan kemungkinan ini.
Perkara ini tidak mustahil kerana pilihan raya umum baru-baru ini telah menampakkan kecenderungan orang Melayu menyokong Pas adalah jelas. Pas juga mula mendapat kepercayaan orang bukan Melayu kerana berlaku ramai pengundi Cina dan India turut mengundi parti itu. Selain itu, terdapat ramai petugas di kalangan anak muda Cina dan India yang membantu parti Pas di pondok-pondok panas mereka. Suasana ini dapat dilihat di kebanyakan kawasan di Selangor.
Jika UMNO mahu terus menjadi parti yang relevan untuk bangsa Melayu, khususnya di kalangan generasi muda maka teruslah melangkah dengan membuat perubahan yang drastik dan meyakinkan. Aspek integriti UMNO itu sendiri mesti dipulihkan. Kini harapan besar umat Melayu masih disandarkan kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden parti terbesar Melayu ini. Keupayaan beliau untuk berbuat demikian masih diyakini oleh sebahagian besar orang Melayu. Beliau diharap akan dapat mewariskan UMNO yang kukuh kepada pelapis Melayu selanjutnya
- Utusan Malaysia- 21 Mac 2008

No comments: