Makanan asas ‘ancam’ kedaulatan
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
KRISIS makanan dunia semakin meruncing dengan sekurang-kurangnya tiga negara pengeluar utama beras bertindak menguatkuasakan larangan eksport, menyebabkan harga komoditi itu melambung di pasaran antarabangsa, kelmarin.
Langkah Vietnam, Brazil dan India menyekat eksport beras bagi menjamin bekalan mencukupi untuk rakyatnya juga mencetuskan kebimbangan sehingga mendorong mereka menyorok bahan itu, manakala beberapa negara lain menaikkan harganya.
Menurut seorang pegawai Bank Dunia, Thailand membekalkan sepertiga bekalan beras dunia mungkin mengehadkan jualannya tahun ini, manakala bekalan gandum, jagung dan kacang soya juga semakin sukar diperoleh, menyebabkan ketegangan di beberapa negara, termasuk Haiti dan Mesir.
Beras adalah makanan ruji atau makanan asas negara. Justeru, perkara berkaitan sekuriti makanan perlu menjadi keutamaan negara. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) (1983) mendefinisikan sekuriti makanan sebagai ‘akses’ bagi semua penduduk ke atas makanan yang cukup untuk hidup sihat dan aktif.’
Konsep sekuriti makanan mengikut tahap antarabangsa pula ialah tanggungjawab semua negara untuk memastikan pasaran dan harga makanan stabil, manakala pada tahap negara pula ia didefinisikan sebagai keupayaan untuk memastikan penawaran makanan yang stabil dalam pasaran domestik.
Biasanya sesebuah negara mempunyai dua pilihan dalam menentukan bekalan makanannya, iaitu sama ada mengimport atau menghasilkannya sendiri. Jika negara memutuskan untuk mengimport makanan dari negara lain, maka negara harus bersedia mengambil risiko.
Pilihan terbaik ialah kita mengurangkan pergantungan terhadap negara luar sebaliknya meningkatkan pengeluaran makanan secara berstrategi dan terancang.
Dalam keadaan dunia berdepan krisis makanan global, maka persoalan mengenai sekuriti makanan negara perlu diberi perhatian serius, bukan saja dari sudut bekalan, malah sudut akses kepada makanan. Kita wajar melihat makanan asas rakyat membabitkan soal kedaulatan dan maruah negara.
Persoalan ini amat jelas apabila kita masih bergantung kepada pengimportan makanan melebihi RM12 bilion setahun. Pada 1996, import makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding RM4.6 bilion pada 1990. Pada 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Hari ini ia sudah melebihi RM12 bilion.
Negara hanya mampu menghasilkan kira-kira 1.1 juta tan metrik padi setahun. Jumlah ini hanya mampu menampung kira-kira 75 peratus daripada jumlah penduduk negara. Untuk menampung kekurangan beras, negara terpaksa mengimport dari luar, terutama dari Thailand yang mampu menghasilkan 30 juta tan metrik padi setahun. Pada 2005, import beras negara mencecah nilai hampir RM700 juta.
Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) adalah satu-satunya pengimport tunggal beras negara hanya mampu menyimpan kira-kira 600,000 tan metrik beras untuk tempoh selama enam bulan. Kedudukan semasa menunjukkan harga beras putih yang diimport naik lebih 150 peratus, iaitu meningkat daripada AS$328 satu tan metrik pertengahan tahun lalu kepada AS$567 satu tan metrik bulan lalu.
Dalam keadaan negara kekurangan makanan, maka sudah pasti kita terpaksa bergantung kepada ihsan negara luar. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kedaulatan dan maruah negara terancam.
Keadaan ini sudah berlaku di kebanyakan negara miskin yang mengharapkan belas ihsan badan dunia seperti FAO, Bank Dunia dan kuasa unipolar Amerika Syarikat kerana sudah menjadi tabiat negara Barat apabila menghulurkan bantuan atas nama kemanusiaan, mereka tetap mempunyai agenda lain.
Di kebanyakan negara miskin dan sedang membangun, penguasaan syarikat transnasional dan multinasional ke atas sebahagian besar input pertanian negara berkenaan memberikan tekanan kepada kerajaan dan rakyat negara itu sehingga mereka hilang maruah dan kedaulatan.
Negara berkenaan bukan saja terpaksa bergantung kepada input pertanian, malah sistem pemasaran, mekanisme simpanan dan penghantaran turut dikuasai syarikat pertanian konglomerat luar.
Rakyat Malaysia masih boleh berasa lega kerana kerajaan masih berupaya mengurus hala tuju pertanian negara, sekali gus dapat menjamin sekuriti makanan negara berada di landasan betul.
Dasar Pertanian Negara tetap mengambil kira keselamatan bekalan makanan negara dan kesan liberalisasi perdagangan terhadap daya saing pengeluaran dan perdagangan pertanian.
Bagaimanapun, seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita tidak boleh menunggu sehingga keadaan bekalan makanan negara meruncing baru bertindak. Justeru, langkah perlu diambil sejak awal lagi. Dalam keadaan populariti kerajaan merosot selepas pilihan raya umum lalu, maka kerajaan mesti berhati-hati kerana jika negara terperangkap dalam krisis makanan, kerajaan akan terus menjadi sasaran.
Kerajaan harus mampu menganalisis kesan krisis yang bakal dihadapi dengan melihat kemungkinan yang boleh berlaku. Apa yang penting ialah dalam keadaan dunia berdepan kekurangan dan kenaikan harga makanan asasi disebabkan beberapa faktor global seperti pertumbuhan ekonomi dunia yang rendah, kenaikan minyak mentah dan perubahan iklim serta cuaca bersifat ekstrem, kerajaan perlu menyediakan mekanisme tertentu bagi mengatur langkah segera supaya bekalan dan pengeluaran makanan negara dapat dijamin kestabilannya.
Justeru, kita mengalu-alukan langkah kerajaan untuk melaksanakan Dasar Jaminan Makanan Negara dengan peruntukan awal sebanyak RM4 bilion.
Rakyat pula harus memiliki emosi yang stabil supaya tidak berlaku pembelian panik dan dalam masa sama mampu mengubah cara dan tabiat pemakanan. Di samping itu, rakyat juga harus bersedia memberikan maklumat segera kepada kerajaan mengenai sebarang kegiatan menyorok beras dan barang keperluan lain yang dilakukan oleh peniaga dan pemborong tidak beretika.
Antara faktor penting dalam pengeluaran makanan ialah tanah. Justeru, amatlah tidak wajar dalam keadaan krisis makanan semakin mengancam, kita dengan mudahnya menukarkan tanah pertanian kepada tanah pembangunan.
Abdullah pernah mengingatkan semua kerajaan negeri tidak ‘kedekut’ menyediakan tanah untuk kegiatan pertanian dan industri asas tani.
Kita juga boleh berasa lega apabila Sarawak akan dijadikan jelapang padi kesembilan negara. Sabah juga dilihat berpotensi dalam hal ini. Usaha itu hendaklah dipercepatkan supaya Sarawak yang masih mempunyai kawasan tanah luas benar-benar muncul sebagai negara jelapang padi baru.
Mana-mana tanah terbiar wajarlah dihidupkan semula untuk pertanian dan kerajaan patut memberi insentif kepada sesiapa saja yang sanggup menghidupkan semula kawasan pertanian terbiar, khususnya sawah padi. Dalam konteks ini minda rakyat, terutama generasi muda yang berpendidikan harus melihat industri pertanian bukan sektor orang miskin, tetapi ‘pertanian adalah perniagaan’ yang menguntungkan.
Berita Harian, Sabtu 26/4/2008
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment