Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Pemanasan global, tumpuan biofuel jejas bekalan punca kenaikan harga
KRISIS makanan dunia kini sudah sampai ke tahap kecemasan. Inilah kenyataan dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, beberapa hari lalu.
Krisis ini sudah meningkatkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman kontan seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Beberapa negara Asia turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.
Keadaan ini memaksa Kerajaan Thailand dan Filipina mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya. Di Indonesia, keadaan menjadi gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya.
Negara Arab juga tidak terlepas daripada krisis ini. Mereka berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan lalu. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20 peratus.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan dunia bimbang krisis global ini memungkinkan berlakunya lebih banyak rusuhan terutama di negara miskin. Protes keganasan sudah pun berlaku di beberapa negara seperti Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina, Mexico, Senegal dan Burkina Faso.
Program Pemakanan Sedunia (WFP) sebuah organisasi yang mengurus bantuan kepada pelarian turut bimbang kenaikan harga barangan yang berterusan akan menjejaskan usaha mereka membantu kira-kira empat juta pelarian rakyat Iraq, Yaman, Palestin dan Mesir.
Keadaan menjadi semakin gawat apabila beberapa negara pengeluar mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain. Mesir sudah mula menghentikan eksport beras mereka bagi memastikan bekalan domestiknya kekal pada harga murah, di samping memastikan rakyatnya tidak berdepan krisis kekurangan makanan.
Ban melihat krisis makanan global boleh mengancam usaha badan dunia itu, khususnya dalam kempen memerangi kelaparan kemiskinan sejagat. Ada kira-kira 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah empat juta orang, setiap tahun.
Untuk menangani krisis kekurangan makanan, beliau meminta masyarakat antarabangsa bertindak segera secara bersepadu supaya ia tidak membawa kepada kesan lebih parah yang boleh mengancam politik dan keselamatan dunia.
Setiausaha Agung PBB itu mencadangkan langkah kecemasan jangka pendek perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan makanan yang mendesak di samping melaksanakan tindakan jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran bijirin. Usaha ini dilihat amat mendesak bagi mengelak berlakunya kebuluran di banyak rantau di dunia.
Bolehkah masyarakat antarabangsa mengotakan janji untuk menyumbang bantuan kewangan bagi menangani masalah harga makanan yang semakin meningkat ketika ini? Setakat ini Amerika Syarikat (AS), sudah menghulur bantuan kecemasan sebanyak AS$200 juta (RM640 juta) bagi membantu negara yang mengalami kenaikan harga makanan.
Bantuan ini dikeluarkan AS daripada rizab makanannya yang dikenali sebagai Dana Amanah Kemanusiaan Bill Emerson.
Bantuan yang dihulurkan AS itu bertujuan membantu memenuhi keperluan makanan penduduk di negara Afrika dan rantau lain untuk tempoh masa yang pendek. Bantuan AS itu juga bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi ke atas program bantuan makanan kecemasan AS.
Perkembangan semasa menunjukkan harga makanan dunia meningkat sebanyak 40 peratus dan kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah. Di antara punca peningkatan harga barang makanan dunia adalah kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah.
Kini minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka mencecah harga tertinggi iaitu sehingga AS$118 (RM371.70) setong. Ketua Pengarah FAO, Jacque Diouf pernah menyatakan kepada akhbar Telegraph bahawa peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia bakal mengundang krisis sosial yang teruk pada masa depan.
Kenaikan harga minyak mentah yang tinggi ini memaksa negara maju seperti AS dan Australia membeli bahan bijirin seperti gandum, jagung dan soya dengan harga tinggi untuk penyelidikan biofuel.
Langkah negara maju ini memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan makanan terutama di negara miskin. Selain itu, perubahan iklim dunia turut menjejaskan pengeluaran bahan makanan di beberapa tempat sehingga menyebabkan kenaikan harga makanan yang mendadak.
Perubahan iklim disebabkan pemanasan global mula dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perubahan ini menyebabkan beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada menjadi kering-kontang. Cuaca yang tidak menentu juga turut menjejaskan pengeluaran gandum.
Beberapa negara Asia sudah mula merasai masalah kekurangan bekalan makanan ruji. Begitu juga di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan India.
Pemanasan global memberi impak kepada perubahan geografi seperti daratan, tumbuhan, haiwan dan sumber air serta habitatnya. Semuanya dilihat semakin susut dan mengancam manusia. Bencana alam yang berlaku saban hari di kebanyakan tempat di dunia. Tahun lalu WFP melaporkan 57 negara termasuk 29 di Afrika, 19 di Asia dan sembilan di Amerika Latin dilanda banjir buruk yang menjejaskan sumber makanan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay adalah sebahagian daripada bencana yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan dunia.
PBB turut mendedahkan hasil pertanian dan ternakan terus susut berbanding kepesatan penduduk. Pertambahan penduduk dunia dalam masa 50 tahun meningkat daripada tiga bilion orang (1957) kepada 9.5 bilion orang (2007). Peningkatan ini tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin berkurangan.
Laporan FAO menyebut keluasan tanah bagi setiap orang semakin mengecil atau susut iaitu daripada 0.38 hektar pada 1970 kepada 0.23 hektar pada 2000 dan cuma 0.15 hektar pada 2050. FAO mendakwa, 30 peratus ternakan dan 75 peratus hasil pertanian pelbagai genetik sudah pupus.
Persoalannya mampukah dalam tempoh terdekat PBB mencari jalan untuk menangani masalah global ini? Dapatkah PBB memastikan bantuan kecemasan AS$500 juta (RM1.6 bilion) kepada WFP diperoleh selewat-lewatnya 1 Mei ini?
Ini memerlukan tindakan segera yang harus dilakukan Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick tetapi ramai mengetahui bahawa Bank Dunia sering dipengaruhi oleh agenda tertentu.
Persoalan lain ialah apakah krisis global ini ada kaitannya dengan kezaliman, penindasan, kekufuran dan ketidakadilan yang semakin berleluasa dalam masyarakat antarabangsa hari ini sehingga mengundang bala dari Allah SWT?
Sama-samalah kita renungkan dan ia terpulang kepada akidah dan kepercayaan masing-masing.
No comments:
Post a Comment