Umno dan survival politk melayu
Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan kita masih lagi membicarakan tentang masa depan bangsa melayu.
Melayu sebelum merdeka
Semasa era penjajahan kita telah dihina dan diperbodohkan dengan dasar-dasar kolonial yang berjaya mengasingkan bangsa melayu dari arus sosioekonomi moden.
Melayu ketika itu hidup dalam lingkaran kemiskinan dan kemunduran. Keadaan ini diperburukkan lagi dengan masalah taklid dan faham khurafat yang bukan berasal dari ajaran Islam. Minda dan psikologi bangsa melayu ketika itu tidak berkembang secara sihat dan ke hadapan.
Kesedaran tentang nasib bangsa Melayu mula berputik apabila lahirnya tokoh-tokoh Islah dan tajdid di awal abad ke 20 seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Hj Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku.
Mereka menyedari kemunduran umat-Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu agama yang telah banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat dan menyeleweng.
Tahun-tahun 1930an hingga 1940an pula lahir banyak persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan melayu yang cuba menyendarkan orang melayu supaya membuat perubahan. Pertubuhan-pertubuhan ini bergerak dalam berbagai pendekatan dari bercorak kebudayaan, sosial hinggalah kepada bernafaskan perjuangan politik.
Sementara itu, masyarakat Cina yang ketika itu masih bertaraf imigran terus terserap dalam perkembangan ekonomi moden.Masyarakat Cina mendominasi bandar-bandar utama di Tanah Melayu. Mereka turut aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal dan mementingkan keuntungan. Sehingga Jepun menakluki Tanah Melayu, kehidupan orang Melayu tidak banyak berubah, kekal dalam kedaifan dan kemiskinan.
Melayu yang mulia hati
UMNO yang lahir pada tahun 1946 telah berjaya menyatukan orang melayu sehingga menggagalkan Malayan Union yang dilihat akan menjahanamkan masa depan bangsa melayu ditanah air mereka. Melalui perpaduan Melayu di bawah payung UMNO yang dipimpim oleh tokoh-tokoh yang ketika itu sanggup berkorban serta menggunakan sepenuh tenaga dan fikiran memajukan bangsa melayu maka bangsa melayu telah mula menampakkan semangat untuk berubah.
Ketika di ambang kemerdekaan orang melayu yang mulia hatinya sanggup menerima dan memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India. Inilah kemuliaan hati orang melayu yang tidak ternilai harganya. Memberikan kerakyatan bermakna memberikan tanah (negara) untuk kehidupan mereka. Ini bukan ungkitan tetapi sekadar mengimbau kembali betapa pemurahnya hati orang melayu ini.
Bukan itu sahaja, bahkan orang melayu juga sanggup berkongsi kuasa dengan mereka. Orang bukan melayu pula bersetuju menerima ‘kontrak sosial’ yang memberikan sedikit keistemewaan kepada orang melayu yang pada hakikatnya tidak pun dapat menebus pengorbanan orang melayu yang beratus-ratus tahun dijajah, juga sebagai tuan punya negara ini.
Allah s.w.t. mengurniakan tiap-tiap bangsa ini kawasan untuk mereka diami. Bangsa Eropah ada wilayah tempat kehidupan mereka, bangsa Arab ada kawasan mereka, kaum Negro Afrika juga ada wilayah mereka, bangsa Cina, Jeopun dan India ada wilayah mereka dan demikian juga dengan bangsa-bangsa yang lain semuanya ada wilayah yang dikurniakan Allah untuk mereka hidup. Begitu juga bangsa melayu diberikan bumi yang asalnya bernama Tanah Melayu lalu ditukar kepada Malaysia (1963) tetapi bangsa melayu ini sedia menerima oang lain hidup bersama mereka.
Melayu mula diperlekeh
Orang melayu tidak tamak dan tidak pernah merampas harta orang lain tetapi hari ini mereka dihina, agama mereka dinista, budaya dan bahasa mereka diperlekehkan dan hak-hak keistemewaan yang mereka miliki itu pun mula dipertikaikan. Kontrak sosial telah mula menjadi sasaran kritikan. Kemajuan melayu yang mula dikecapi telah mula dicemburui dan dipersoalkan sedangan mereka telah jauh lebih maju dan menguasai hampir segenap kehidupan di bumi Malaysia ini.
Mereka mendakwa hidup mereka di bumi Malaysia sebagai warga kelas kedua, sedangkan sebahagian besar ‘kek ekonomi’ negara dikuasai mereka. Rumah-rumah kedai, taman-taman perumahan dan berbagai bentuk perniagaan dikuasai mereka. Yang menjadi kelas kedua pada hakikatnya ialah orang melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memberikan sedikit keistemewaan kepada bangsa melayu juga dikritik sedangkan melalui dasar ini mereka turut membina kekayaan dan kemewahan.
Tidak dapat diafikan banyak kelemehan orang melayu yang menyebabkan mereka gagal dalam mencapai sasaran DEB tetapi apa masalahnya dengan mereka yang mempersoalkan orang melayu yang kononnya telah mendiskriminasikan mereka melalui DEB. Sekali lagi mereka berpura-pura membuat heboh dan kalut dalam hal ini.
Pergorbanan, toleransi dan kemuliaan hati orang melayu tidak pernah dihargai. Kita ingin bertanya kepada golongan ini apakah toleransi dan kemuliaan hati mereka yang diberikan kepada bangsa melayu. Sejak kebelakangan ini banyak isu-isu yang menyakitkan hati orang melayu mula dibangkitkan mereka. Begitu juga dalam soal sejarah negara telah mula kederangan suara-suara yang mempertikaikan kedudukan bangsa melayu seolah-olah mahu menghilangkan ketulenan sejarah bangsa melayu dari lipatan sejarah tanah air.
"parti keramat" dan 'bangsa induk'
Orang melayu harus sedar perjuangan Umno untuk mengangkat “karamah” (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Umno telah berusaha memenuhi tanggungjawab menegakkan ‘ketuanan Melayu’ melalui kedudukannya sebagai parti tunggak dalam kerajaan Barisan Nasional dengan memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kemajuan bangsa Melayu.
Sebagai parti “keramat” untuk bangsa melayu, Umno memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan, Justeru, wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Namun, dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) Umno telah dihukum oleh bangsanya sendiri. Kita yakin hukuman ini bersifat sementara untuk membawa Umno balik ke landasan perjuanganya yang sebenar.
Di bawah kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’, Umno masih diyakini untuk terus memantapkan “ketuanan Melayu”. Sejak kelahirannya, penghayatan terhadap konsep dan falsafah ‘ketuanan Melayu’ telah benar-benar mendorong Umno menyusun gerak kerjanya untuk mengisi agenda perjuangan bangsa. Parti-parti komponen dapat menerima konsep dan falsafah ketuanan melayu itu.
Fakta sejarah jelas meletakkan Melayu adalah 'the definitive race' dalam konteks bangsa induk (bangsa peribumi). Ingatlah, atas faktor warisan dan hak inilah maka Malayan Union (1946) yang cuba merongkai hak dan warisan orang Melayu telah ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.
penghakisan kuasa politik melayu
Perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan perlu dimantapkan bukan sahaja di kalangan ahli Umno bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini. Umno dan Pas sebagai dua buah parti politik terbesar melayu perlu kembali bermuzakarah dan masing-masing perlu ada sikap berlapang dada (tasamuh) dalam mencari titik persamaam. Umno kena menerima realiti ia kini mula ditolak oleh orang melayu dan tidak boleh terus berlagak sombong.
Orang melayu sewajarnya melihat penghakisan kuasa politik melayu adalah malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa melayu. Perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Mereka sangat sabar menanti saat yang membolehkan mereka membina sejarah baru yang terpisah dari akar umbi warisan dan budaya melayu. Inilah yang telah berlaku ke atas Singapura di mana sejarahnya telah diolah mengikut kehendak parti PAP yang diketuai Lee Kuan Yew.
Umno perlu merawat penyakitnya
Umno mesti segera menyelesaikan isu-isu kepemimpinan yang berbangkit di dalam parti yang telah banyak berbakti kepada bangsanya. Berbagai penyakit yang melanda Umno seperti perebutan kuasa, politik adu domba, fitnah menfitnah dan politik wang perlu ditangani dengan berkesan. Umno juga harus membetulkan arah perjuangan golongan mudanya yang dilihat semakn lari dari landasan perjuangan Umno yang sebenar iaitu untuk bangsa, agama dan tanah air.
Umno mesti kembali memberikan perhatian kepada nasib bangsanya yang kini diimpit pelbagai tekanan hidup akibat kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini penting diberi perhatian oleh Umno supaya orang melayu kembali menyakini perjuangannya. Umno tidak boleh asyik berbangga dengan angka-angka pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sedangkan orang melayu tidak menikmatinya dalam erti kata yang sebenar.
Kesimpulannya, orang melayu mesti kekal mewarisi negeri dan hak-hak serta warisan asal mereka. Melayu mesti kembali menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara. Seluruh orang melayu harus kembali menilai kedudukan mereka, khususnya masa depan politik orang melayu.
1 comment:
ermmmmmmmmmm byk politik niiiii...propaganda kerajaan...
Post a Comment