Tuesday, March 11, 2008

Ekonomi mantap bukti keupayaan BN

*Ekonomi mantap bukti keupayaan BN


Kerajaan cekap, mampu tingkat pembangunan diperlukan untuk cabaran mendatang TAHUN lalu menyaksikan ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu. Kenaikan harga minyak, pergolakan politik dunia, khususnya di rantau Asia Barat dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat adalah antara faktor menyebabkan pertumbuhan ekonomi dunia kurang memberangsangkan.
Malaysia sebagai negara yang turut bergantung kepada perkembangan ekonomi dunia turut merasai tempiasnya. Namun, di sebalik ekonomi dunia yang tidak menentu, ekonomi negara tetap mengalami pertumbuhan yang sederhana. Ini selari dengan prospek ekonomi global bagi 2007 dan 2008 yang dijangka berada pada kadar pertumbuhan yang sederhana. Pengurusan ekonomi yang baik dan cekap menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara pada 2007 berada pada kedudukan yang baik dan ia dijangka kekal sepanjang tahun ini. Dasar ekonomi makro yang propertumbuhan dengan keupayaan negara mempelbagaikan sumbernya berjaya mewujudkan ketahanan daya saing yang tinggi.

Selain itu, pembangunan dan transformasi ke arah ekonomi yang berlandaskan teknologi dan pengetahuan melahirkan corak tenaga kerja atau modal insan yang memiliki kompentensi yang tinggi dan berdaya saing selari dengan keperluan industri masa kini. Tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan berupaya meningkatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus memberikan penekanan ke arah melahirkan modal insan berkualiti. Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Malaysia adalah antara negara yang menikmati kestabilan politik di rantau ini.

Ia ditambah dengan suasana kondusif yang menjadi faktor tarikan pelabur luar untuk melabur di Malaysia. Selama 50 tahun mentadbir dan mengurus negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya meletakkan struktur dan asas ekonomi kukuh, yang sekian lama menyaksikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang memberangsangkan. Justeru, tidak hairanlah Laporan Doing Business Bank, terbitan Bank Dunia dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) pernah melaporkan Malaysia adalah 25 ekonomi paling mesra perniagaan di dunia dan negara juga dikatakan berada di kedudukan 24 daripada 78 ekonomi yang selesa untuk perniagaan. Malaysia adalah antara lima negara Asia Tenggara yang kekal menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI). Kajian Prospek Pelaburan Dunia 2007-2009 dalam kenyataannya pada 5 Oktober 2007 menyatakan bahawa Malaysia berada pada kedudukan 20 ekonomi utama dunia yang berupaya menarik FDI.
Ada banyak indikator yang menunjukkan ekonomi negara berada dalam pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada 2007, negara merekodkan lebihan akaun semasa RM1.01 trilion. Ketika pelaburan awam terus berkembang pada kadar lapan peratus, pelaburan sektor swasta turut berkembang pada 10.5 peratus. Sektor pembuatan terus tumbuh kukuh 6.8, sektor perkhidmatan juga enam peratus, sektor pertanian 4.7 peratus dan sektor pembinaan terus berkembang pada kadar 3.7 peratus. Mata wang negara berada dalam kedudukan yang stabil dan kukuh. Nilai ringgit kita masih mencatatkan pengukuhan iaitu pada paras RM3 berbanding AS$1. Kadar inflasi negara berada pada paras yang rendah iaitu pada 2.4 peratus pada Disember 2007, berbanding 3.6 peratus pada 2006. Penurunan kadar inflasi itu adalah manifestasi keupayaan kerajaan mengawal dan menstabilkan harga barang keperluan. Ini dibuktikan dengan Indeks Harga Pengguna (HIP) yang meningkat daripada 103.6 (2006) kepada 105.7 (2007).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur pada 24 Januari lalu menyatakan pada 2007, IHP Malaysia hanya 2.3 peratus berbanding Indonesia (6.7 peratus), Singapura (4.2 peratus), Thailand (3.0 peratus), Filipina (3.2 peratus), Korea Selatan (3.5 peratus), Taiwan (4.8 peratus) dan China (6.9 peratus). Lonjakan pasaran saham turut dijadikan ukuran dalam membuktikan pembangunan ekonomi negara. Indeks Komposit pada Januari 2007 berada pada paras 1,100 mata melonjak mencecah 1,500 mata pada awal Januari 2008. Pada Februari 2007 Bursa Malaysia mencatatkan jumlah dagangan melonjak kepada 2.347 bilion saham adalah satu paras tertinggi dalam sejarah.
Harga di Bursa Saham pada penghujung 2007 (28 Disember) mencecah paras tertinggi pada 1,447.04 mata, sementara indeks komposit Kuala Lumpur (IKKL) turut naik 9.22 mata (0.64 peratus) berbanding ketika ditutup hari sebelumnya pada 1,437.82 mata. Pada awal Januari 2008 Indeks Komposit Pasaran Saham mencecah 1,500 mata. Kejayaan Permodalan Nasional Bhd menjual semua 500 juta unit tambahan Amanah Saham Nasional (ASM) dalam masa 39 minit pada 18 Julai 2007 juga membuktikan bahawa ekonomi negara pada 2007 berada dalam keadaan yang kukuh. Keadaan ini dijangka berterusan tahun ini kerana negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
Sistem Kewangan Islam turut berkembang dan diiktiraf dunia. Buktinya pada 11 Januari 2007, Bank Negara Malaysia adalah bank pusat negara dipilih sebagai Bank Pusat terbaik dalam undian Bank Islam terbaik 2006 anjuran Islamic Finance. Pada April 2007 institusi kewangan Islam turut menyaksikan dua kejayaan utama iaitu pada 2 April, Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFHMB) dinobatkan sebagai `Bank Islam Terbaik Malaysia'. Pada 6 April pula Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), menjadi bank Islam pertama di negara ini yang mencatat keuntungan dalam tempoh enam bulan pertama berakhir pada 31 Disember 2006 sebanyak RM165.8 juta, iaitu keuntungan sebelum zakat dan cukai. Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Abdullah menyediakan beberapa langkah dan strategi konkrit ke arah memantapkan lagi pembangunan ekonomi negara.
Dasar propembangunan BN terkandung di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Bajet 2008. Ketika pelancaran RMK-9, kerajaan memperkenalkan Misi Nasional yang menggariskan lima teras utama. Di antara penekanan utamanya ialah meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara, mempertingkatkan modal insan serta memupuk minda kelas pertama. Hasil perancangan dan wawasan jauh BN, negara dijangka menikmati pertumbuhan dan pembangunan pelbagai sektor menerusi pelaksanaan koridor pembangunan ekonomi merangkumi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan Johor, Wilayah Utara (NCER) dan Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER). Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak akan turut menyaksikan pembangunan wilayah yang akan meletakkan kedua-dua negeri berkenaan sama maju seperti kemajuan yang dinikmati di Semenanjung. WPI menerima pelaburan RM4.1 bilion daripada empat firma terkemuka Asia Barat. ECER yang membabitkan pelaburan RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang akan berupaya membangunkan 227 projek untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk di wilayah ini yang majoritinya adalah bangsa Melayu. Koridor Pembangunan Sabah dan Sarawak juga akan turut menjadi strategi pembangunan wilayah yang seimbang di antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung. Secara khususnya, ECER akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi orang Melayu di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Mersing, Johor. Ini adalah kerana lebih 80 peratus orang Melayu tinggal di wilayah ini dan di sinilah juga paras kemiskinan adalah tinggi.
Secara amnya pula, ECER akan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Justeru, rakyat Malaysia sewajarnya mengambil kesempatan daripada pembangunan semua koridor wilayah ekonomi di negara ini. Jelaslah bahawa kerajaan yang mantap dan berkemampuan mengurus ekonomi negara dengan cekap amat diperlukan bagi memastikan negara terus berupaya berhadapan dengan tekanan ekonomi global yang semakin tidak menentu untuk tahun-tahun mendatang. Dalam hal ini, kerajaan BN membuktikan keupayaan mengurus ekonomi negara melalui agenda dan dasar pembangun yang propertumbuhan yang membolehkan rakyat meraih segala peluang ekonomi yang disediakan.
INFO Perkembangan ekonomi negara
 Laporan Doing Business Bank dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) melaporkan Malaysia adalah 25 ekonomi paling mesra perniagaan di dunia dan berada pada kedudukan 24 daripada 78 ekonomi yang selesa untuk perniagaan.
 Malaysia di antara lima negara Asia Tenggara yang kekal menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI).
 Pada 2007, negara merekodkan lebihan akaun semasa RM1.01 trilion. Ketika pelaburan awam terus berkembang pada kadar lapan peratus, pelaburan sektor swasta turut berkembang pada 10.5 peratus.
 Sektor pembuatan terus tumbuh kukuh 6.8, sektor perkhidmatan juga enam peratus, sektor pertanian 4.7 peratus dan sektor pembinaan terus berkembang pada kadar 3.7 peratus.
 Mata wang negara berada dalam kedudukan yang stabil dan kukuh. Nilai ringgit masih mencatatkan pengukuhan iaitu pada paras RM3 berbanding AS$1.
 Kadar inflasi negara berada pada paras yang rendah iaitu pada 2.4 peratus pada Disember 2007 berbanding 3.6 peratus pada 2006.
 Kejayaan Permodalan Nasional Bhd menjual semua 500 juta unit tambahan Amanah Saham Nasional (ASM) dalam masa 39 minit pada 18 Julai 2007 juga membuktikan ekonomi negara berada dalam keadaan yang kukuh.
____________________________________________________________
*Berita Harian, 30 Jan 2008 (Khamis)

No comments: