Sultan Perak buktikan Raja bijak guna kuasa
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
POLITIK adalah sesuatu yang sukar diramal serta bersifat luar jangkaan. Justeru, Albert Einstein, ahli fizik tersohor mengungkap bahawa politik adalah satu perkara yang lebih sukar daripada fizik. Ungkapan itu bukan bermaksud ilmu politik lebih sukar dipelajari daripada ilmu fizik, tetapi realiti perlakuan politik adalah sukar untuk dimengerti tabiatnya.
'Kuasa' adalah buruan politik. Sarjana Inggeris, Bertrand Russel mengungkap bahawa dalam politik kuasa adalah satu konsep fundamental seperti juga konsep tenaga dalam ilmu fizik.
Kerajaan adalah pengendali kuasa yang menerajui negara. Dalam konteks demokrasi, panduan yang menjadi landasan mengurus kuasa ialah Perlembagaan. Namun, dalam konteks realiti, ahli politik harus menerima hakikat bahawa dunia politik sering memberikan kejutan di luar jangkaan seperti berlaku di Perak.
Siapa menduga Barisan Nasional (BN) akan kembali berkuasa pada 5 Februari lalu? Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kehilangan sokongan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasarudin Hashim melompat parti dengan kembali semula menyertai BN (Umno), manakala tiga lagi Adun Pakatan Rakyat bertindak keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Dua daripada Adun terbabit adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan seorang dari DAP, iaitu Adun Jelapang, Hee Yit Fong. Ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu menyatakan sokongan penuh kepada BN.
Pada 4 Februari lalu, usaha Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas) untuk mendapat perkenan baginda Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) gagal, sebaliknya baginda menitahkan Mohammad Nizar dan barisan Exconya meletakkan jawatan. Namun, sehingga kini Mohammad Nizar dan barisan Exconya enggan berbuat demikian kerana percaya tindakannya sah di sisi perlembagaan negeri.
Demikianlah kejutan politik yang berlaku di negeri yang terkenal dengan 'peristiwa Pasir Salak' itu. Apa pun, peralihan kuasa itu berlaku mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak itu sendiri. Sebagai sifatnya yang bijaksana serta berpengalaman luas dalam soal perundangan dan kehakiman, Sultan Perak bertindak mengikut perlembagaan bagi menyelamatkan keadaan politik Perak yang kritikal selepas kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan goncang dan tidak stabil kerana hilang sokongan majoriti Adun.
Kenyataan media pejabat Sultan Perak menyebut bahawa baginda menggunakan budi bicaranya di bawah peruntukan 18 (2) (b) dan peruntukan 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan. Baginda tidak berkenan membubarkan DUN Perak.
Sebelum membuat keputusan, baginda menemui kesemua 28 Adun BN dan tiga Adun Bebas untuk mengetahui kedudukan mereka sehingga baginda yakin bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota Adun. Kesemuanya membuat pengakuan di hadapan baginda Sultan untuk menyokong BN membentuk kerajaan baru.
Sebagai 'payung' bagi negeri Perak, baginda tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Justeru, sikap membantah, mencabar dan mengkritik titah Sultan Perak adalah sikap biadab dan boleh ditafsirkan sebagai perlakuan derhaka menghina baginda Sultan.
Kebiadaban Pakatan Rakyat terserlah apabila mereka memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, melakukan demonstrasi dan ugutan Karpal Singh untuk menyaman Sultan Azlan Shah. Pakatan Rakyat harus akur bahawa semuanya bermula dengan tindakan lompat parti di kalangan ahlinya sendiri.
Bukankah formula lompat parti diharapkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usahanya menjatuhkan Kerajaan Pusat? Isu lompat parti yang dipromosikan Anwar akhirnya memakan dirinya sendiri seperti berlaku di Perak. Ia juga jelas menelanjangkan krisis dalaman Pakatan Rakyat.
Pengerusi DAP, Karpal Singh menyerang keras Anwar yang disifatkannya sebagai pemusnah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kerana membudayakan politik lompat parti. Sikap Anwar itu dianggap tidak bermoral oleh Karpal yang juga penentang kuat hukum hudud yang diperjuangkan Pas. Karpal turut membidas keras dua anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang dikatakan sentiasa mempertahankan Anwar daripada mempertahankannya sebagai Pengerusi DAP.
Hakikatnya, pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak selama 11 bulan sudah pun berakhir. Pada 6 Februari lalu, Adun Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, anak jati Pulau Pangkor mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Barisan Exconya mengangkat sumpah semalam. Perkara 12 (1) dan (2) Perlembagaan Negeri Perak memberi kuasa kepada Raja memerintah melantik Menteri Besar di kalangan orang Melayu beragama Islam.
Dalam konteks ini, Mohammad Nizar sepatutnya berterima kasih kepada Sultan Perak kerana selepas Pakatan Rakyat menang di Perak, baginda Sultan perkenan melantiknya sebagai Menteri Besar walaupun Pas bukan parti dominan dalam Pakatan Rakyat. Kini, keadaan politik Perak berubah dan beliau harus menerima hakikat itu. Memang sukar bagi orang yang baru berada di puncak kuasa menerima hakikat bahawa dirinya sudah kehilangan kuasa.
Kita yakin Zambry mampu dan berupaya mewujudkan 'kepercayaan' di kalangan rakyat. Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran pastinya mampu mengurus dan mengharmonikan segala kepentingan yang berlainan di bawah pemerintahan yang adil dan saksama untuk membawa Perak ke arah kecemerlangan. Kita juga yakin beliau memiliki personaliti yang terserlah.
Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa wajar menunjukkan kematangan politik dengan mempamerkan keupayaan untuk bertoleransi, berlapang dada dan menerima hakikat 'real politics' serta menghormati keputusan dibuat Sultan Azlan Shah itu.
Mohammad Nizar sepatutnya melihat apa yang berlaku sebagai rahmat kerana selama 11 bulan bertindak sebagai Menteri Besar, beliau tidak mempunyai kebebasan dalam membuat keputusan disebabkan pengaruh dan tekanan DAP, parti dominan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.
- BH 11/2/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
Nice blog, thanks for posting.
Post a Comment