Wednesday, February 18, 2009





Politik kebangsaan memperkasa negara
(BH 18/2/09)

MASYARAKAT majmuk biasanya dicirikan oleh idea, kepercayaan dan amalan bersifat perkauman. Ciri ini lebih menonjol dalam masyarakat pelbagai kaum yang diwariskan penjajah. Pada awal kemerdekaan, negara menampakkan ciri itu, tetapi selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan menyedari bahawa negara memerlukan satu bentuk ideologi dan wawasan bersifat nasional yang boleh menyatukan rakyat pelbagai kaum.
-
Atas kesedaran ini maka lahirlah Rukun Negara sebagai ideologi negara. Agenda pembangunan pula dilaksanakan menerusi pelbagai dasar nasional sehingga kita berjaya membentuk negara-bangsa yang bersatu padu serta memiliki identiti dan wawasan yang jelas.
-
Di sebalik kejayaan itu, politik kebangsaan yang dipelopori Barisan Nasional (BN) menjadi pemangkin utama ke arah kejayaan negara. Malangnya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, negara seolah-olah diheret untuk kembali ke arah struktur dan ideologi bersifat perkauman.
-
Keadaan menjadi rumit apabila perjuangan berbau perkauman yang dibawa beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dieksploitasi dan dimanipulasikan Pakatan Rakyat demi survival politik mereka.
-
Slogan yang dikumandangkan mereka ialah 'Membina Malaysia Baharu'. Namun, wajah sebenar Pakatan Rakyat terserlah apabila mereka mula menunjukkan amalan pentadbiran berbau perkauman di beberapa negeri yang dikuasainya seperti berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
-
Pentadbiran negeri terbabit kuat dipengaruhi DAP. Keadaan ini menimbulkan tindak balas pertubuhan Melayu yang selama ini sudah menyerap agenda nasional dengan mengetepikan soal perkauman. Mereka terpaksa bangkit bersuara kerana hak dan kedudukan orang Melayu dicabar.
-
Senario ini menyebabkan suasana politik negara seolah-olah menghala ke arah semangat perkauman. Terbaru ialah kes menghina Raja-Raja Melayu seperti berlaku di Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh, berkeras mahu menyaman Sultan Perak kerana mendakwa Sultan Azlan Shah menyalahguna kuasanya dalam pembentukan kerajaan baru di negeri terbabit.
-
Pakatan Rakyat yang kehilangan kuasa di Perak mempolitikkan tindakan Sultan Perak itu. Minda dan emosi rakyat yang terpengaruh dengannya diheret ke arah mencabar kesahihan tindakan Sultan Perak.
-
Ramai yang menjadi tidak rasional sehingga sanggup mencerca Sultan Perak. Kebanyakan blogger yang pro-Pakatan Rakyat bersikap biadab dengan menulis secara tidak beretika menghina Sultan Perak. Menghina Sultan Perak bermakna menghina keseluruhan Raja-Raja Melayu. Yang jelas penulisan kebanyakan blogger itu tidak mampu membawa alur pemikiran rakyat ke arah memperkasa agenda nasional, sebaliknya menanamkan pemikiran kebencian dan keganasan terhadap kerajaan.
-
Saya melihat bahawa selepas pilihan raya umum lalu, wujud satu aliran politik yang cuba membawa negara ini ke arah kancah perpecahan berasaskan kepada ideologi yang pelbagai. Ideologi yang pelbagai ini membangkitkan semangat perkauman yang berbahaya. Realiti terpapar di depan kita ialah Pakatan Rakyat tidak langsung dapat menunjukkan kemampuan untuk mewujudkan gabungan parti politik berasaskan satu ideologi bersama seperti dilakukan BN.
-
Pakatan yang bersifat 'tidur sebantal, mimpi lain-lain' tidak berupaya membawa satu agenda nasional yang dapat mempertahankan perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan kestabilan politik negara. Pakatan Rakyat hanyalah satu pakatan rapuh yang tidak memiliki asas ideologi dan agenda sama. Kita bimbang jika rakyat tidak sedar akan hal ini lalu memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat sehingga mereka mampu membentuk Kerajaan Pusat, maka bencana akan menimpa negara.
-
Asas kebimbangan saya ialah apabila politik berlainan ideologi mengambil tempat mengikut kelompok dan kaum tertentu, maka ia pasti berakhir dengan pertelingkahan dan konflik ideologi kerana apabila sudah berkuasa, masing-masing akan cuba menegak dan menonjolkan ideologi perjuangan mereka.
-
Senario ini akan mengheret negeri dalam persekutuan berasaskan ideologi kepartian – mengikut parti yang memerintah. Kerajaan Pusat juga akan menjadi lemah kerana faktor sama. Ketika itu segala bentuk kontrak sosial yang dibina dan diasaskan oleh tokoh pejuang kemerdekaan tanah air akan musnah dan negara akan berada dalam kancah pertelingkahan dan kemelut politik yang mampu mengheret negara kepada anarkisme serta mengundang campur tangan asing.
-
Justeru, sekiranya Pakatan Rakyat tidak memiliki satu ideologi yang jelas mengenai agenda dan aspirasi nasional yang dapat diterima dan dikongsi bersama, maka bagaimana ia mampu membawa dan membina negara ke arah perpaduan, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan yang terjamin. Ideologi adalah satu konsep yang sukar difahami dan apabila ideologi politik yang berlainan berkonflik, maka ia sangat sukar untuk diharmonikan.
-
Inilah halangan besar yang membelenggu Pakatan Rakyat. DAP masih kekal dengan ideologi sosialisnya. Sosialisme sering berhasrat membawa negara ke arah satu parti yang mengongkong hak-hak asasi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dengan ideologi iberalnya. Liberalisme bertujuan memberikan kebebasan tidak terbatas dan ini sangat berbahaya kepada masyarakat majmuk kerana isu sensitif akan sentiasa mengambil tempat. Pas pula dengan ideologi agama memang tidak serasi dengan kedua-dua ideologi politik itu.
-
Jadi di mana titik pertemuan mereka? Mungkinkah titik pertemuan mereka semata-mata berasaskan kebencian terhadap Umno-BN. Pas tidak sepatutnya berada dalam Pakatan Rakyat, tetapi malangnya parti yang dianggap kental dengan ideologi perjuangan Islam itu boleh cair dengan politik licik PKR dan DAP.
-
Yang nyata, ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat gagal mengharmonikan ideologi masing-masing. Sebaliknya, BN yang terdiri daripada 14 parti komponen, sudah lama berbuat demikian dengan mengutamakan agenda dan aspirasi nasional.BN berjaya menegakkan politik kebangsaan berasaskan nasionalisme rakyat yang dicetuskan dalam perjuangan kemerdekaan tanah air.
-
Politik kebangsaan mengutamakan kesetiaan kepada negara dengan mengetepikan kepentingan dan ideologi kelompok tertentu, sebaliknya ikatan yang erat terhadap tanah air menjadi kepentingan dan agenda utama.

No comments: