Tuesday, January 20, 2009


Penstrukturan semula RTM banyak manfaat
Oleh Mohd Ayop Abdul Razid
-
BADAN penyiaran memainkan peranan cukup penting untuk menerang dan memberi liputan secara meluas mengenai dasar serta rancangan kerajaan kepada rakyat. Justeru, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai agensi penyiaran negara tidak boleh kekal dalam keadaan statik. Stesen TV yang dikendalikannya perlu menjadi saluran media negara berwibawa, cekap dan berkesan, khususnya dalam mengurus dan menyalurkan maklumat serta memberi pendidikan dan hiburan kepada rakyat.
-
Langkah penstrukturan semula RTM yang diperkenalkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dilihat sebagai perubahan yang selari dengan perkembangan dan kecanggihan teknologi penyiaran dunia hari ini. Penyiaran global hari ini semakin menuju ke arah pendigitalan.
-
Cirinya adalah lebih efisien, berkualiti dan interaktif. Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara Eropah sudah melaksanakan pendigitalan dalam siaran TV mereka. Beberapa negara Asean seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Vietnam sudah melaksanakan sistem itu. Malah, Myanmar, negara yang dianggap miskin juga sudah mula melangkah ke arah pendigitalan.
-
Penstrukturan semula menekankan dua perubahan utama. Pertama, melaksanakan proses pendigitalan bagi menggantikan sistem analog yang dipakai selama ini. Kedua, penstrukturan semula isi kandungan program yang lebih bermutu dan menarik. Proses pendigitalan dilihat sebagai langkah dinamik ke arah mempersembahkan siaran TV yang lebih bermutu.
-
Pada 2012 nanti, RTM akan menggunakan sepenuhnya sistem digital dalam siaran TV kendaliannya. Tempoh tiga tahun diperlukan kerana ia adalah satu proses yang memerlukan kepakaran, pengalaman, latihan dan penyusunan semula kakitangan serta memerlukan peruntukan kewangan yang besar.
-
Menjelang tahun itu, saluran RTM dijangka bertambah daripada dua kepada 19 saluran atau mungkin lebih. Ini bermakna, lebih banyak bahan dapat disalurkan kepada rakyat. Dasar RTM mengutamakan filem keluaran tempatan. Justeru, pertambahan saluran akan memberi peluang kepada penerbit filem tempatan memasarkan filem, drama dan dokumentari tempatan yang dihasilkan.
-
Penerbit muda, terutama graduan yang mengikuti kursus seni dan perfileman termasuk penerbitan filem animasi dan muzik turut berpeluang menghasilkan hasil kreatif mereka. RTM sudah memulakan pengkhususan siaran kandungan melalui dua saluran sedia ada. Awal tahun ini, TV1 (saluran Informasi) dijadikan saluran berita di samping menyiarkan kandungan bersifat pengetahuan dan maklumat dalam bentuk dokumentari, rencana, temu bual dan diskusi.
-
TV2 (Dunia Ria) pula menjadi saluran hiburan yang menghidangkan pelbagai filem tempatan dan luar negara. Berita TV1 merangkumi berita nasional dan berita bersifat wilayah serta daerah. Berita bersifat breaking news juga akan menjadi sebahagian nafas baru TV1. Breaking news akan disiarkan apabila berlaku sesuatu peristiwa yang perlu diketahui rakyat dari semasa ke semasa.
-
Contohnya, peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini mendapat liputan dari semasa ke semasa. Jika diteliti, usaha dibuat oleh RTM adalah usaha kementerian terbabit mengurus maklumat secara profesional, terarah dan berkesan.
-
Siaran berita, khususnya waktu malam disiar secara berurutan dalam pelbagai bahasa bermula 7.30 malam dengan Nasional@1 (Tamil), diikuti 8 malam dengan Nasional@1 (Mandrin), 8.30 malam Wilayah@1 (bahasa Melayu) dan pada jam 9 malam Nasional@1 (bahasa Melayu) mula memberikan kesan positif kepada rakyat. Misalnya, berita nasional dalam bahasa Melayu yang disiarkan pada 9 malam kini dapat ditonton oleh ramai orang.
-
Berita wilayah dan daerah pula memberi peluang kepada penduduk kawasan terbabit mengetahui dengan lebih jelas perkembangan yang berlaku di kawasan mereka. Satu lagi kebaikan ialah semua kandungan berita dalam pelbagai medium bahasa dapat dikawal dan diurus secara profesional supaya memenuhi aspirasi dan agenda nasional.
-
Penstrukturan semula isi kandungan juga memperlihatkan keupayaan RTM memenuhi beberapa prinsip dan ciri penyiaran unggul iaitu siaran dapat diterima oleh semua rakyat (kesejagatan geografik), memenuhi kepentingan dan cita rasa dalam negara (kesejagatan kepentingan), pelbagai segmen dalam kehidupan masyarakat ditonjolkan, golongan minoriti diberi tempat sewajarnya, menggalakkan semangat identiti nasional dan komuniti serta merangsang saingan untuk menerbitkan rancangan lebih bermutu.
-
Perkembangan industri televisyen dunia masa kini menampakkan dua aliran yang menonjol dari segi keutamaan isi kandungan. Pertama, kebanyakan televisyen di dunia sudah menjadi satu alat hiburan semata-mata. Justeru, hampir semua syarikat hiburan gergasi seperti Sony, Warner, Fox, Disney dan Virgin berusaha mendominasi isi kandungan skrin televisyen di kebanyakan negara.
-
Kedua, penonjolan syarikat berita global seperti National Broadcasting Corporation (NBC), American Broadcasting Corporation (ABC), British Broadcasting Corporation (BBC) dan Cable Network News (CNN).
-
Namun, di AS penonton syarikat berita global seperti CNN adalah jauh berkurangan daripada penonton bagi Muzik TV, Sports TV dan saluran filem. Justeru, ramai pemikir masyarakat bimbang bahawa dunia hiburan yang keterlaluan akan merosakkan generasi muda AS. Penstrukturan semula RTM mengambil kira kedua-dua aliran terbabit.
-
Di negara kita matlamat televisyen bertujuan menerang dan memberi liputan secara meluas serta mendalam mengenai dasar dan rancangan kerajaan supaya berlaku perubahan sikap yang positif di kalangan rakyat di dalam menjayakan agenda nasional.
-
Selain itu, ia membantu mewujudkan perpaduan nasional melalui kesedaran sivik dan perkembangan seni serta kebudayaan Malaysia. Kita tidak nafikan keperluan kepada hiburan, namun, persoalan timbul apabila stesen milik swasta mempunyai hak untuk menyiarkan sebarang filem dan rancangan yang dikehendakinya.
-
Hari ini, wujud fenomena stesen TV kita dibanjiri dengan pelbagai filem hiburan dari luar yang boleh meruntuhkan nilai moral dan kemanusiaan. Dalam konteks ini, saya kira kerajaan perlu mengkaji dan membincangkan keperluan penggubalan satu dasar baru penyiaran nasional sebagai sebahagian daripada dasar informasi negara yang terarah dan berkesan.
-
Singapura adalah negara yang mengawal semua perkara berkaitan penyiaran. Di negara kita banyak agensi terbabit dalam hal penyiaran mengikut bidang kuasa masing-masing seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Dalam Negeri. Justeru, kita perlu menyemak semula perkara ini supaya agenda nasional dapat disalurkan dengan berkesan melalui media televisyen, sekali gus dapat membina identiti masyarakat yang terarah.
-
BH 21 Jan 2008

No comments: