Dunia Islam tidak perlu taksub dengan Obama
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
PENGGAL pentadbiran Presiden George W Bush sudah berakhir 20 Januari lalu. Penggantinya, Barack Hussein Obama, 48, sudah dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-44 iaitu rakyat kulit hitam pertama dilantik presiden di sebuah negara yang dibina atas tumpahan darah kaum Red Indian.
Ada yang menggelar Obama sebagai ‘warga dunia’ kerana susur galur keluarganya daripada pelbagai keturunan. Bapanya dari Kenya, ibunya orang kulit putih Amerika, manakala bapa tirinya rakyat Indonesia.
Sejak awal kemenangannya, Obama dilihat akan membawa sinar dan harapan baru kepada dunia yang penuh dengan konflik kesan dasar ‘unilateral’ dan dasar perang diamalkan Bush sepanjang pentadbirannya selama lapan tahun. Francis Fukuyama, penulis buku The End of History menyatakan bahawa Israel sudah melaksanakan doktrin sebenar Bush di Gaza.
Menurut Fukuyama, peperangan adalah doktrin Bush yang mempercayai perubahan hanya boleh dilakukan melalui peperangan. Dengan kuasanya sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera AS, beliau menonjolkan keperibadiannya sebagai ‘Jeneral Perang’ yang suka menumpahkan darah umat Islam.
Kegilaannya terhadap perang terbukti apabila pada saat akhir pentadbirannya, Bush menyokong pencerobohan dan serangan kejam Israel ke atas Gaza pada 27 Disember lalu. Israel umpama ‘anjing gila’ yang dilepaskan tuannya untuk menerkam dan merobek dengan buas tubuh badan mangsanya.
Pencerobohan dan serangan Israel ke atas Gaza selama 22 hari itu seolah-olah melampiaskan naluri kebinatangan dan ketagihan Bush terhadap darah umat Islam. Demikianlah kegilaan seorang Presiden AS terhadap aktiviti perang yang mengorbankan banyak nyawa umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Palestin. Tindakan wartawan Iraq, Muntadhar al-Zeidi melemparkan kasut ke arah Bush boleh diibaratkan lambang kebencian terhadap Bush.
Mampukah Obama membawa perubahan ke arah dunia yang lebih aman adalah sesuatu yang dinantikan? Selama ini AS mengamalkan dasar luarnya yang agresif dan keras, terutama ke atas negara yang tidak disenanginya. Dasar AS yang melindungi negara haram Israel menimbulkan konflik berpanjangan di rantau Asia Barat.
Konflik Israel-Palestin berlarutan 61 tahun dan ia menjadi masalah paling mendasar dalam hubungan AS dengan dunia Islam. Apakah ia akan berakhir dengan kemunculan Obama? Ketika berkempen untuk jawatan berprestij itu, Obama menjadikan slogan ’perubahan’ sebagai ‘mentera’ mujarab untuk meraih sokongan pengundi. Obama turut berjanji akan mengutamakan diplomasi sebagai dasar luarnya.
Diplomasi yang bagaimana? Apakah diplomasi untuk terus melunakkan semua negara Arab supaya menerima dan mengiktiraf kewujudan negara haram Israel? Walaupun ucapan Obama selepas mengangkat sumpah menampakkan kesediaannya untuk membina arah tuju baru terhadap dunia Islam, kita tidak nampak sikap sebenarnya terhadap konflik yang berlaku di Asia Barat, khususnya konflik Israel-Palestin.
Ramai penganalisis percaya Obama akan menampilkan dasar yang berbeza daripada Bush dengan mengutamakan pendekatan diplomasi atau sekurang-kurang mengimbangi di antara dasar keras dan dasar lembut.
Apa pun, dunia Islam tidak boleh bergantung harap sepenuhnya kepada Obama. Dunia Islam perlu ada keberanian dan kemerdekaan diri dalam mengatur langkah membina kekuatan secara bersepadu untuk berdepan sebarang kemungkinan yang mungkin dilakukan pelobi Yahudi bagi mempengaruhi Obama. Zionis Israel tidak akan duduk diam selagi cita-citanya menguasai seluruh bumi Palestin tidak tercapai. Dunia Islam juga jangan lupa dengan rancangan AS untuk menyerang Iran.
Walaupun Obama dilihat akan menggunakan pendekatan diplomasi dengan mengutamakan kepentingan bersama dan saling menghormati, ia bukan jaminan AS dan Israel untuk tidak menggunakan kekerasan ke atas negara republik Islam itu. Iran adalah satu-satunya negara Islam yang tidak mahu tunduk kepada tekanan AS.
Jika berlaku serangan, pastinya Iran sangat mengharapkan sokongan padu dunia Islam untuk menghalang kejahatan AS dan Israel. Sejak awal lagi rejim Zionis sudah mengatur strategi untuk memastikan Obama akan tetap mengikut telunjuknya. Obama melantik Rahm Emanuel, berketurunan Yahudi ortodoks sebagai Ketua Staf Rumah Putih.
Emanuel adalah seorang strategis ketika pentadbiran Bill Clinton. Beliau juga pernah menganggotai kumpulan Irgun, sebuah pertubuhan haram ultranasionalis yang wujud sekitar 1940-an yang mana datuknya, Ezekiel adalah penyeludup senjata untuk kumpulan pengganas itu. Satu lagi kumpulan haram Yahudi yang sealiran ialah kumpulan pengganas Hagana.
Kedua-dua kumpulan terbabit bertanggungjawab melakukan penyembelihan ke atas rakyat Palestin ketika itu. Ketika Perang Teluk pertama, Emanuel menyertai Israel Defence Forces (IDF). Obama turut membawa masuk ke kabinetnya, Carol Browner, bekas orang kanan Madeleine Albright, bekas Setiausaha Negara AS.
Obama juga mempunyai hubungan dengan ramai rakan Yahudi seperti Saul-Alinsky, mentornya di Chicago, Hakim Abner J Mukva, Jay Teatch, Pengarah Majlis Komuniti Yahudi Chicago, Geral Kellman, Robert Schrayer dan banyak lagi. Perlu diingat, di antara faktor kemenangan Obama pada 4 November lalu disebabkan beliau menerima sokongan besar pengundi Yahudi. Di Florida, undi minoriti Yahudi menjadi penentu kepada kemenangan Obama.
Fakta lain yang perlu difahami ialah daripada 300 juta penduduk AS, hanya enam juta orang Yahudi di negara itu, namun pengaruhnya cukup besar dalam politik, ekonomi dan budaya AS. Komuniti Yahudi mempunyai lebih 55 pertubuhan yang aktif dan berpengaruh di seluruh AS. Antara pertubuhan pelobi Yahudi yang sangat berpengaruh ialah American Israel Public Affairs Committee (AIPAC). AIPAC ditubuhkan pada 1953 dengan nama asalnya American Zionist Committee for Public Affairs.
Kesimpulannya, kenyataan Obama untuk memberi perhatian ke atas isu Palestin serta mencari jalan damai konflik Israel-Palestin adalah sama seperti biasa diucapkan oleh Presiden AS terdahulu. Tidak ada satu kenyataan konkrit dan tegas daripada Obama bahawa beliau akan menegakkan keadilan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Pernah dalam ucapannya pada majlis anjuran badan pelobi Yahudi itu di Chicago, Obama menyebut bahawa Israel adalah sekutu kuatnya dan paling berpengaruh di rantau Asia Barat. Justeru, Obama harus memiliki keberanian dan keupayaan untuk membetulkan tindakan dan tingkah laku Israel di bumi Palestin.
-- BH 28/1/09
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment