Oleh Mohd Ayop Abd Razid
'Sudah terang lagi bersuluh’ adalah peribahasa sesuai untuk mengungkapkan betapa jelasnya sejarah bangsa Melayu yang sudah melebihi 1,400 tahun, sezaman dengan ras yang tinggal di bahagian utara Asia. Bangsa Melayu di Nusantara boleh dikenali dari perspektif geografi, sejarah, politik dan budaya, bahasa dan agama (Islam). Banyak sumber sejarah yang boleh berdiri sebagai hujah.
Sekadar contoh, sumber China menyebut sejak 645M sudah wujud sebuah kerajaan terletak di daerah kota Jambi yang dikenali Mo-lo-yue. Demikian juga catatan awal pelayar atau pengembara asing seperti I-Ching pernah mencatatkan bahawa di Tanah Melayu wujud beberapa kerajaan awal seperti Pan-pan, Chih-tu, Tun Sun dan Lang-ya hsia (Paul Wheatly, 1961).
Kajian arkeologi pula membuktikan wujudnya kerajaan Kedah Tua di kawasan Lembah Bujang, kerajaan Gangga Negara, kerajaan Beruas dan beberapa kerajaan lain di Tanah Melayu. Karya Agung Melayu, kitab Sulatus Salatin oleh Tun Seri Lanang membuktikan kehebatan bangsa Melayu dalam membangun tamadunnya.
-
Pemikiran ketamadunan yang dibangunkan dalam kitab ini menggambarkan elemen pemikiran sains dan teknologi terserlah dalam tamadun Melayu. Ia dapat difahami daripada ungkapan ‘peti kaca berkunci berpesawat dari dalam’ (Sulatus Salatin, edisi pelajar, DBP 2000). Demikian juga istilah ‘utus’ yang diguna dalam kitab berkenaan, antara lain bermaksud mahir dalam pekerjaan tangan (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007)
-
Menurut Kamus Dewan, ‘pesawat’ bermaksud alat perkakas, jentera, mesin alat (tali, rantai, bahagian jentera) yang menggerakkan enjin. Oleh itu, ‘peti kaca berkunci berpesawat dari dalam’ menggambarkan ciptaan sebuah kapal yang boleh bergerak di dalam air seperti kapal selam pada zaman moden ini. Ini bermakna orang Melayu ketika itu sudah memiliki kepandaian mencipta berasaskan sains dan teknologi.
-
Bangsa Melayu memiliki kebijaksanaan mentadbir kerajaan dan mengurus perdagangan. Sebagai bangsa yang dekat dengan dunia laut, mereka berinteraksi dengan pedagang dari pelbagai negara seperti Parsi, China, Arab dan juga Eropah. Interaksi global ini membentuk minda dan jiwa bangsa Melayu yang luas serta bersikap terbuka. Ketika itu, China masih mengamalkan dasar pintu tertutup yang keras terhadap dunia luar.
-
Bangsa Melayu sentiasa bertolak-ansur sehinggakan terlalu tingginya semangat toleransi ini menyebabkan banyak yang mereka miliki diberikan kepada orang lain. Begitu pemurahnya bangsa Melayu, namun bangsa bukan Melayu yang menerima kemurahan hati Melayu ini sering bersikap seperti ‘Belanda diberi tanah’ atau seperti kata peribahasa Melayu ‘diberi betis hendak peha’.
-
Salah satu pengorbanan orang Melayu yang tidak ternilai ialah kesediaannya memberi kerakyatan kepada kaum bukan Melayu menjelang kemerdekaan negara. Ketika negara mencapai kemerdekaan, kira-kira 800,000 orang bukan Melayu diterima menjadi warga negara. Masyarakat Ceylon turut mendapat kelonggaran kerakyatan.
-
Daripada jumlah bukan Melayu yang menerima taraf kerakyatan inilah akhirnya berkembang menerusi zuriat mereka yang kini menjadi generasi kedua dan ketiga di negara ini. Perlu diingat, pada awal 1940-an wujud perselisihan di kalangan pegawai British mengenai ‘common citizenship’ yang ingin diberikan kepada orang bukan Melayu.
-
Setiausaha Negara bagi Wilayah Jajahan, OFG Stanley menerusi suratnya kepada Lord Louis Mountbatten bertarikh 13 Jun 1944 menganggap ‘common citizenship’ untuk kaum bukan Melayu sebagai tidak menghiraukan perasaan orang Melayu. Lord Louis Mountbatten adalah pegawai Britain yang menyokong konsep ‘common citenzenship’.
-
Stanley berpendapat jumlah kaum Cina dan India yang ada ketika itu memungkinkan mereka menuntut sesuatu yang istimewa untuk mereka dalam Perlembagaan yang akan dibentuk kelak. Pada awal kemasukan imigran Cina, mereka bertumpu di negeri-negeri Selat, namun dari 1989-1900 hampir 100,000 pendatang Cina masuk ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
-
Selangor mengalami perubahan mendadak komposisi penduduk dan pada 1901, imigran dari China adalah 65 peratus daripada penduduk Selangor ketika itu (W.L.Blyte, 1953). Pada 1903, buruh Cina di lombong timah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu berjumlah 186,377 orang. Angka ini meningkat kepada 231,368 pada 1907, sementara imigran China di sektor perladangan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1909 berjumlah 5,348 orang.
-
Kebanyakan imigrin China berasal dari Kwantung, Pulau Hainan, Fukien dan Kwangsi. Sementara itu, pada 1906 imigran India yang kebanyakannya berasal dari India Selatan (Negapatam dan Madras) mencatatkan kira-kira 95,000 orang masuk ke Tanah Melayu. Pada 1908, dicatatkan 38,801 lagi imigran India masuk ke Tanah Melayu (Chan Hon Chan, The Development of British Malaya 1896-1909, 1967).
-
Apa yang disuarakan Stanley terbukti benar apabila orang Cina dan India menuntut hak kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli, iaitu satu kaedah pemberian kerakyatan secara longgar kepada orang bukan Melayu tanpa perlu mengetahui bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kaum Cina juga berhujah bahawa mereka adalah penyumbang utama cukai kepada kerajaan Inggeris di Tanah Melayu ketika itu.
-
Prinsip jus soli akhirnya ditolak kerana orang Melayu melihat kerakyatan yang terlalu longgar ini adalah sesuatu yang tidak munasabah. Misalnya, Umno Johor melihat kerumitan timbul apabila Kerajaan China ketika itu menetapkan seorang Cina mestilah menjadi rakyat China walau di mana mereka dilahirkan.
-
Akhirnya Perlembagaan yang dibentuk (1957) mengambil kira sejarah, warisan dan tradisi kaum Bumiputera. Justeru, beberapa keistimewaan diberikan kepada orang Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan. Keistimewaan itu dipersetujui bersama oleh kaum lain kerana ia tidak menjejaskan sama sekali taraf, hak dan aktiviti kaum bukan Melayu di negara ini.
-
Kesimpulannya, orang bukan Melayu harus kembali menghayati gagasan ‘tolak ansur’ yang dibina oleh pemimpin pelbagai kaum terdahulu. Tolak ansur sebagai satu gagasan sosial adalah pendekatan ampuh (mujarab) dalam membina perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat majmuk di negara ini.
-
Sejak merdeka, kaum Melayu, Cina dan India berjaya membina semangat toleransi yang bermakna dalam pembinaan negara. Perjanjian murni (kontrak sosial) antara kaum Melayu, Cina dan India yang diterapkan dalam pembentukan Perlembagaan 1957 menggambarkan hakikat tolak ansur dan persefahaman antara kaum.
-
-- BH 24/12/08
No comments:
Post a Comment