Wednesday, December 31, 2008



Pas hanya kosmetik dalam Pakatan Rakyat
-
PARTI Islam seMalaysia (Pas) menganggap Umno parti sekular, taghut dan asabiyyah. Anehnya Pas sanggup bekerjasama dan bersekutu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah gabungan Pakatan Rakyat.
-
Bolehkah Pas berasa tenang dan tenteram dalam Pakatan Rakyat kerana kedua-dua sekutunya itu mempunyai ideologi yang jauh berbeza. Tidakkah Pas sedar bahawa DAP adalah parti bersifat sekular yang terang-terang menempelak dan menolak perjuangan menegakkan negara Islam dan undang-undang hudud.
-
Karpal Singh (DAP) pernah mencabar Pas supaya melangkah mayatnya sebelum melaksanakan cita-cita itu. Ketika menjelangnya pilihan raya kecil Permatang Pauh sebelum ini, DAP di dalam kongresnya menegaskan bahawa parti itu tidak dapat menerima kewujudan negara Islam.
-
Terbaru ialah kenyataan dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang menegaskan bahawa undang-undang hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat dan menegaskan bahawa Malaysia mestilah kekal sebagai negara sekular.
-
Mungkin kerana 'trauma' dengan cabaran keras Karpal itu menyebabkan Pas tidak berani menyebut agenda 'negara Islam' dan undang-undang hudud ketika kempen pilihan raya 8 Mac lalu. Tidakkah ini satu 'kebaculan' politik Pas sehingga sanggup menggadai prinsip perjuangannya?
-
Seandainya Pas terpaksa meninggalkan DAP, bolehkah Pas kekal bersama PKR? PKR sebagai sebuah parti beraliran liberal sentiasa menghindarkan diri daripada membicarakan isu Melayu dan hal berkaitan Islam sedangkan Islam dan Melayu adalah mauduk utama perjuangan Pas.
-
Walaupun dalam kongres tahunannya yang lalu, PKR seolah-olah memperjuangkan isu kekebalan raja-raja Melayu tetapi ia hanyalah 'pemanis' bertujuan memenangi hati raja-raja. Saya yakin, parti yang beraliran liberal ini tidak begitu berminat dalam soal kedudukan raja-raja dan hak-hak istimewa Melayu, apatah lagi untuk berjuang menegakkan negara Islam.
-
PKR lebih mesra dengan perjuangan DAP yang memperjuangkan 'Malaysia Malaysian' yang menjadi perjuangan asal Lee Kuan Yew. Kongres tahunan PKR lalu juga menunjukkan hubungan dingin Pas dan PKR. Ia dapat difahami apabila hanya seorang pemimpin tertinggi Pas, Husam Musa yang hadir.
-
Beliau mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga termasuk dalam pasukan 'Erdogan' iaitu kelompok ulama muda dan golongan profesional dalam Pas yang mahukan pembaharuan dan mereka menyokong kuat perjuangan Anwar.
-
Kewujudan kumpulan 'Erdogan' sekali gus membuktikan politik licik Anwar berjaya mewujudkan sekelompok golongan di dalam Pas yang akan terus menyokong perjuangannya. Pemikiran Islam Anwar juga dilihat tidak selari dengan pemikiran Pas. Anwar dengan pemikiran Islam yang bersifat liberal tidak berhasrat menjadikan perjuangan Islam agenda utama PKR.
-
Telahan saya berasaskan kepada minat Anwar mengenai idea reformasi Indonesia. Ketika bangkitnya era reformasi Indonesia, ramai pemikir Islam progresif Indonesia turut melahirkan idea liberal mengenai politik dan masyarakat Islam.
-
Anwar mempunyai ramai tokoh reformis Islam termasuk tokoh 'Islam liberal' dari Indonesia. Istilah-istilah seperti 'politik sivil' dan 'ketuanan rakyat' adalah slogan yang diperjuangkan oleh tokoh reformis politik Indonesia.
-
Justeru, dapatkah Pas menerima pendekatan Islam yang cuba dibawa oleh Anwar? Pas sepatutnya sedar, dalam banyak hal ia mempunyai banyak persamaan dengan Umno. Pas sendiri asalnya dari sebuah Biro Agama Umno tetapi pada 15 Ogos 1951, Ahmad Fuad, Ketua Biro Agama Umno bersama Ustaz Abdul Raub menganjurkan Persidangan Alim Ulama di Kuala Lumpur yang membawa kepada penubuhan Persatuan Alim Ulama seMalaysia (Pas). Ia bertujuan memperjuangkan Islam dan hak ketuanan Melayu.
-
Selepas Ahmad Fuad meninggalkan Pas (1956), Dr Abbas Alias memangku Yang Dipertua (YDP) Pas sehingga Dr Burhanuddin Al-Helmi, bekas aktivis Persatuan Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) dilantik sebagai YDP (1956-1964) dan meletakkan Islam dan kebangsaan sebagai teras perjuangan Pas. Pada 31 Mei 1955, Pas didaftarkan sebagai sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Islam seTanah Melayu untuk membolehkannya bertanding dalam Pilihan Raya Persekutuan 1955.
-
Walaupun perlembagaan Umno menegakkan negara Islam sebagai agenda, perjuangannya tetap mempunyai matlamat sama iaitu untuk agama, bangsa dan tanah air. Sumbangan Umno dalam menegakkan syiar Islam di negara ini adalah hakikat yang diketahui umum.
-
Pas juga harus sedar bahawa dalam pilihan raya 8 Mac lalu, ia mendapat sokongan pengundi Cina adalah kerana undi protes terhadap BN atas beberapa sebab. Pas hanyalah sebuah parti kecil dalam kerajaan campuran di Selangor dan Perak. Di kedua-dua negeri itu, Pas berada dalam dilema kerana terpaksa tunduk kepada kehendak serta tekanan DAP dan PKR.
-
Di Pulau Pinang, Pas langsung tidak diberi 'muka'. Ini satu penolakan secara 'halus' oleh DAP terhadap Pas di Pulau Pinang. Dua ahli Exco Melayu daripada PKR yang dilantik dalam kerajaan DAP hanyalah sebagai 'kosmetik' dan 'boneka' semata-mata.
-
Di Perak, Menteri Besarnya dilantik daripada Pas bukan kerana ia suara majoriti tetapi kerana Sultan mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar di kalangan orang Melayu beragama Islam seperti mana terkandung dalam perkara 12 (1) (2) perlembagaannya.
-
Pas jangan lupa apa yang pernah diungkapkan Dr Burhanuddin dalam mempertahankan hak orang Melayu. Dr Burhanuddin ketika mesyuarat agung Pas yang ke-12 (1964) menegaskan dalam ucapannya: "Kalau Tanah Melayu ini misalnya, mengikut hak asasi dan hak asalnya dipunyai oleh bangsa Melayu, maka tentu salah hendaknya ada bangsa lain bernafsu jahat untuk merebut dan menjadikan negeri ini hak bangsanya pula.
-
"Tiap-tiap bangsa di dunia ini berhak mempertahankan hak bangsanya sendiri. Soal mempertahankan hak sesuatu bangsa itu bukanlah soal perkauman, itu adalah soal bangsa." (Kamaruddin Jaafar,1980).
-
Penyelesaian terbaik ialah Pas dan Umno duduk bermuzakarah dan kembali bertaut memperjuangkan Islam dan kedudukan Melayu yang semakin dicabar sejak kebelakangan ini. Kedudukan orang Melayu di negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor semakin tidak menentu kerana pengaruh DAP yang kuat di dalam pentadbiran negeri-negeri terbabit.
-
Maal Hijrah yang baru disambut harus dijadikan azam baru bagi kedua-duanya kembali bertaut dan bersatu demi masa depan dan kekuatan ummah di negara ini. --- BH 31/12/08

No comments: