Sejarah kajian fakta, bukan propaganda
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
APABILA kita berbicara atau mengkritik hal yang ada kaitan dengan sejarah, maka ia memerlukan penelitian fakta. Sejarah bukannya mitos. Penyelidikan sangat diperlukan dalam sejarah. Justeru, pelik rasanya apabila sejarah orang Melayu yang sudah terang dan nyata, dipertikai oleh mereka yang jahil. ’Si jahil’ ini menganggap sejarah orang Melayu sama dengan kaum imigran di negara ini.
Perkataan history yang berasal daripada perkataan Yunani purba, historia membawa pengertian penyelidikan. Seseorang perlu membuat penyelidikan mengenai proses sejarah berkaitan sesuatu peristiwa lampau yang ingin disentuhnya.
Jika ia tidak berupaya membuat penyelidikan, maka eloklah ia merujuk kepada sejarawan yang sudah mengkaji dan mentafsir sesuatu peristiwa itu melalui disiplin ilmu yang betul. Mungkin mereka yang berhasrat mahu mengubah sejarah tanah air boleh melakukan ‘propaganda sejarah’ apabila mereka berkuasa nanti.
Namun, hakikat dan realiti sejarah akan terus diketahui dan dirakam oleh sejarawan yang jujur. Sejarah adalah satu dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dan masa lampau. Asas yang mendasarinya ialah fakta. E H Carr, sejarawan Barat terkenal menegaskan ‘sejarah adalah satu proses interaksi berterusan antara ahli sejarah dengan faktanya.’
Sejarah adalah rakaman maklumat mengenai peristiwa yang sememangnya berlaku pada waktu lampau dan peristiwa lampau ini membentuk proses perjalanan sesuatu peristiwa itu. Ia adalah rakaman peradaban dan warisan sesuatu bangsa.
Ahli sejarah mengkajinya mengikut disiplin ilmu untuk mengambil pengertian dan menjadi petunjuk serta memandu generasi terkemudian mengenal akar umbi, susur galur sesuatu peristiwa dan warisan sesuatu bangsa.
Sejarawan tanah air, Zainal Abidin Abdul Wahid dalam bukunya Kepentingan Sejarah (DBP, 1958) menjelaskan ‘Sejarah membolehkan kita memeriksa, mengambil pengertian dan menimbangkan satu-satu perkara itu dengan lebih saksama dan sempurna. Sejarah juga boleh menjadi petunjuk dan pemandu kita’.
Sejarah harus dipersembahkan secara objektif tanpa berat sebelah, emosional mahupun pengadilan moral. Fakta berasaskan sumber utama yang sahih mesti dijadikan sandaran dan hujahan. Donald V Gawronski dalam History meaning and method: A primier of historical method (1969) menyatakan bahawa fakta sejarah mesti tidak dipengaruhi oleh perasaan memihak dan prasangka.
Ini penting supaya ia bebas daripada sifat berat sebelah, mempunyai kepentingan peribadi dan agenda tertentu. Unsur-unsur ini tidak diperlukan dalam kajian sejarah. Justeru, sejarah yang objektif sifatnya mengetepikan propaganda. Sebenarnya ada banyak aspek berhubung disiplin sejarah yang perlu diketahui.
Di antaranya pelbagai ilmu membantu dalam kajian sejarah, sumber sejarah, kritikan dan pentafsiran sejarah, cakupan sejarah yang membahaskan cabang sejarah seperti sejarah politik, sejarah pemikiran, sejarah ekonomi, sejarah sosial, falsafah sejarah, psikologi sejarah dan sosiologi sejarah.
Ahli sejarah terdahulu seperti Herodotus dan Thucydides menggunakan kaedah pemerhatian peristiwa serta budaya sesebuah masyarakat yang dikajinya.
Demikian juga Tun Sri Lanang yang menulis Sejarah Melayu. Ibn Khaldun, tokoh sosiologi dan sejarawan Islam juga menggunakan pendekatan serupa tetapi beliau lebih maju lagi dengan mengumpul sumber maklumat daripada masyarakat yang dikajinya.
Sarjana tempatan, Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Yahya dalam buku Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan Karya (DBP,1988) menyatakan sumber sejarah harus dikaji asal usulnya, meneliti kebenaran fakta dan mengkaji sebab peristiwa berlaku. Seseorang ahli sejarah mesti bersikap jujur dan bertanggungjawab mengenai kritikan dilakukan terhadap sumber sejarah.
Menurut Profesor Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim, dalam bidang sejarah tidak sepatutnya ada individu yang menyatakan betul atau salah tanpa menghiraukan pendapat ahli sejarah yang lain. Tidak dinafikan bahawa ahli sejarah berbeza dari sudut pemikiran, ideologi dan kepakaran tetapi perbezaan school of thought tidak sepatutnya mengetepikan kebenaran sejarah seperti keadaannya yang sebenar.
Inilah yang ditegaskan Leopold Von Ranke, sejarawan Barat abad ke-20. Kritikan terhadap sumber sejarah atau ke atas ahli sejarah perlu bersifat profesional. Tafsiran sumber perlu dibuat setepat yang mungkin berasaskan pendekatan dan disiplin ilmu sejarah.
Justeru, ahli sejarah yang profesional tidak menolak sesuatu sumber itu sesuka hati atau sewenang-wenangnya tanpa memberikan alasan dan bukti kukuh. Garraghan G J dalam buku A Guide To Historical Method (1948) menyatakan bahawa kaedah mentafsir sumber sejarah memerlukan kepakaran dan kemahiran tinggi. Ini penting supaya fakta yang tepat dapat dihasilkan dan dapat dipertanggungjawabkan.
Kesimpulannya, negara wajar mempunyai kelompok sejarawan yang menguasai kesarjanaan atau bidang mereka. Ini penting untuk memastikan sejarah bangsa dikaji, dianalisis, ditafsirkan dan seterusnya dirakam serta disimpan supaya generasi berikutnya dapat mengenali akar umbi dan warisan sejarah peradaban, budaya bangsanya.
Memandangkan peranan mereka amat penting maka adalah wajar kerajaan memberikan insentif dan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka. Ingat, di antara punca kita tewas mempertahankan kedaulatan Batu Putih di Mahkamah Keadilan Dunia adalah kerana kita gagal menyimpan dokumen dan rekod sejarah secara berkesan.
Sejarah wajar dijadikan guru. Sejarah mesti menjadi tenaga penyedar bagaimana kita membina negara yang bersatu, membina permuafakatan masyarakat dan membina semangat patriotisme terhadap negara. Keunikan dan keistimewaan sejarah negara sewajarnya dapat memperluas wawasan dalam perspektif yang luas ke arah membentuk negara bangsa (nation-state) yang dapat menyinar dan menyumbang kepada peradaban dunia.
Sikap antagonis terhadap sejarah, warisan dan budaya bangsa harus diperbetulkan. Pemahaman dan penghayatan terhadap sejarah kebangsaan harus menjadi salah satu unsur penting dalam memupuk perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini.
Di Amerika Syarikat, pengajian sejarah sudah menjadi satu kekuatan negara terbabit membina semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyatnya.
BH 19/11/08
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment