Sunday, November 16, 2008


KUALA LUMPUR, 15 Nov - Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu bertindak kreatif dalam menyebarkan maklumat serta peranan agensi mereka secara berkesan.
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata mereka perlu berfikir lebih kreatif dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada orang ramai tanpa bergantung kepada Kementerian Penerangan.
“Kementerian tidak boleh bergantung kepada RTM sahaja untuk sebarkan informasi mereka tetapi perlu cari alternatif lain yang lebih menarik. Sebaliknya RTM juga bersaing dengan stesen televisyen lain,” katanya pada Majlis Malam Mesra Media sempena pelancaran sistem e-Press di sini.
Sistem e-Press adalah perkhidmatan sebaran nota kepada pengarang dan siaran media secara online mengenai aktiviti kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan kenyataan rasmi pemimpin negara sama ada di peringkat pusat dan peringkat negeri.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kewujudan blog penulisan yang diilhamkan dari kemajuan teknologi mencetuskan situasi di mana tidak memerlukan organisasi media yang besar untuk menyebarkan maklumat.
Katanya, dalam lima tahun akan datang, generasi muda mungkin menerima blog dan ruangan perbualan seperti “facebook”, “skype”, “yahoo messenger” dan “YouTube” sebagai media aliran utama mereka berbanding televisyen, radio dan suratkhabar.
“Ini cabaran kepada pegawai perhubungan awam kita supaya bertindak lebih pantas lagi. Kalau anak umur 15 tahun sudah ada facebook, tahu guna You Tube, blog…jadi kita memerlukan pendekatan baru dengan e-Press,” katanya.
Beliau berkata Sistem e-Press akan memudahkan dan mempercepatkan sebaran maklumat terkini kepada semua media tempatan mengenai aktiviti pemimpin negara untuk dibuat liputan.
Perkhidmatan e-Press boleh dilayari secara percuma di laman web Jabatan Penerangan Malaysia iaitu www.media.inform.gov.my/e-press.
– BERNAMA

2 comments:

taipingmali said...

"Blogger amat diperlukan" kata Tun Mahathir. Pihak pembangkang telah berjaya mengurangkan majoriti 2/3 BN di Parlimen dan merampas 5 negeri adalah kerana kuasa IT yang digunakan secara total.

Pemimpin UMNO dan BN tidur dan mengenepikan IT. Saya bukan MP dan buka AJK Bahagian Umno tetapi sebelum PRU12 terpaksa berdebat dan berlawan dengan beratus-ratus menyokong pembangkang yang rata-rata adalah kakitangan kerajaan dan swasta yang mempunyai capai internet di pejabat mereka.

Menteri Penerangan ketika itu memang tidak suka kepada blog dan menyamakan mereka dan pembaca sebagai goblog(bodoh) dalam bahasa jawa.

Hari ini selepas PRU beratus-ratus blogger bebas yang muncul menghentam Pakatan Rakyat.

Mana dia bloggor dari kalangan Umno? Yang ada tak berapa kerat. Setiap bahagian UMNO memerlukan 1000 bloggers.

Saya di Taiping akan berusaha supaya UMNO Taiping di bawah kepimpinan baru dapat melahirkan 1000 bloggers. Cadangan akan disampaikan kepada mereka.

bungaraya said...

Saya setuju dengan saranan Datuk A Shabery Cheek tersebut. Saya sendiri telah membuka blog sendiri. Lawatlah chilliriver.blogspot.com. Saya salah seorang pegawai JASA dibawah Kementerian Penerangan.