Rasuah politik kikis semangat kebangsaan
Oleh Mohd Ayob Abd Razid
DUNIA politik sering dikatakan kotor pada hal asal politik tidaklah begitu. Dunia politik menjadi kotor kerana persaingan kuasa. Ia menjadi kotor kerana jiwa pemainnya kotor dan bermasalah. Ia bukan saja berlaku di peringkat politik tempatan, malah politik antarabangsa.
Pada hakikatnya persaingan kekuasaan dan konflik politik sering didorong oleh 'nafsu besar' ahli politik untuk mencapai agenda peribadi. Seperti juga dalam perniagaan, 'peniaga politik' yang bernafsu besar ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengetepikan nilai dan etika berpolitik.
Sifat dan tabiat buruk ini akhirnya menjadikan dunia politik itu penuh dengan kejelekan. Dalam lagu berjudul 'Gila kuasa' nyanyian Wahid Satay dan Zainal Abidin daripada filem Celorong Celoreng, ada lirik yang berbunyi 'kita mulia kerana kuasa, mabuk kuasa mula jadi gila' baik untuk direnungi ahli politik untuk diambil iktibar.
Demikianlah politik yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan bangsa, agama dan tanah air akan bertukar menjadi agenda dan kepentingan peribadi apabila aktor politiknya bersifat 'gila kuasa'. Penyakit gila kuasa juga menjadi penyebab saluran demokrasi menjadi 'tersumbat' sehingga demokrasi tidak dapat berfungsi dengan baik dan akhirnya hancur.
Demikianlah politik gila kuasa mendorong sesetengah aktor politik menjadikan 'matlamat menghalalkan cara.' Oleh itu, tidak hairanlah politik wang menjadi penyakit yang bukan saja mengancam masa depan sesebuah parti politik, malah turut mengancam bangsa dan negara.
'Politik wang' adalah amalan menabur wang yang dilakukan seseorang calon yang bertanding sama ada dalam pemilihan parti atau sesuatu pilihan raya bagi meraih sokongan dan undi untuk jawatan yang ditandinginya.
Sebenarnya 'rasuah politik' ini bukan saja menjadikan wang sebagai unsur meraih kemenangan, malah ia mungkin diberi dalam bentuk lain seperti janji mendapatkan kontrak, tender atau habuan memegang jawatan tertentu.
Namun, penggunaan wang adalah kaedah paling popular sementara habuan berbentuk jawatan adalah terhad kepada penyokong yang berpengaruh saja yang biasanya adalah 'broker' utama bagi seseorang calon perasuah mendapatkan sokongan akar umbi.
Masalahnya, ramai yang tahu keburukannya tetapi mereka tidak menghiraukannya. Hati dan fikiran mereka ditutup daripada kebenaran mengenai kesan buruk politik wang. Apa yang penting ialah keuntungan besar menjadi hasrat mereka yang bernafsu besar ini.
Justeru, tidak hairanlah dunia politik kita hari ini semakin dipenuhi penipuan dan pelbagai skandal yang mengaibkan. Mereka seolah-olah lupa firman Allah SWT yang bermaksud: 'Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata." (Surah Al-Baqarah:168).
Hari ini ramai ahli politik dan pendukung parti yang sanggup menjadi hipokrit kerana budaya politik wang. Penulis sendiri sering mendengar kata-kata daripada akar umbi bahawa 'kekuasaan ditentukan wang dan tipu daya politik', 'untuk apa memegang jawatan kalau tidak memberikan apa-apa pulangan', dan 'siapa yang berduit dialah yang berkuasa'.
Kita bimbang jika penyakit politik wang ini tidak dibendung, maka tujuan sebenar kuasa itu sudah tidak tercapai. Penaburan wang untuk membeli kuasa dan kemenangan ditentukan jumlah wang yang ditaburkan hanya akan melahirkan ahli politik yang menipu diri sendiri dan menipu rakyat.
Politik wang menyebabkan pemilihan pemimpin bukan lagi dibuat atas siapa yang sanggup memperjuangkan kehendak rakyat dan kepentingan negara, sebaliknya siapa yang banyak menabur wang dan menjanjikan habuan kepada pengikutnya jika menang.
Hakikat politik wang ialah kita sebenarnya mengajar pengikut menjadi tidak bertanggungjawab dan kita mendidik mereka untuk menipu. Kuasa bukan lagi untuk kepentingan masa depan, sebaliknya kuasa menjadi jambatan kekayaan. Kesannya, politik kita semakin jauh daripada perjuangan politik kebangsaan.
Politik kekuasaan hanya akan melahirkan golongan ahli politik kaya raya yang menggunakan kuasa dan kekayaan untuk 'menjajah' pemikiran rakyat. Apabila politik wang sudah membarah serta tidak dapat diubati lagi, maka ia membantutkan penyertaan politik yang bermoral dan beretika.
Jangan marahkan rakyat, khususnya bangsa Melayu sekiranya mereka terus meminta minta dan mengharapkan tongkat kerana puncanya adalah didikan ahli politik yang gilakan kuasa menabur wang untuk menang dalam persaingan kuasa.
Rakyat yang dididik dengan suapan politik wang akan memiliki pemikiran politik yang tertutup dan kesannya akan lahir masyarakat yang tidak lagi mampu menggunakan hak politik mereka untuk mengangkat ahli-ahli politik yang dapat membina pemerintahan yang sihat.
Mereka dilihat sebagai pemimpin kerdil yang tidak diperlukan dalam parti dan politik tanah air. Keadaan ini perlu diperbetulkan. Justeru, kita berharap Umno yang setakat ini masih kekal sebagai parti terbesar dan parti teras dalam politik nasional mengorak langkah membina semula penyertaan politik di kalangan ahlinya secara sihat, berakhlak dan beretika.
BH 15/10/08
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
2 comments:
Bungaraya says.
Pandangan anda ini sungguh bernas dan sepatutnya dibaca dan didengar oleh pemimpin UMNO sekalian. Diantara lain, Ia membawa bahawa kita selaku pemimpin melayu, hendaklah mengelakkan diri kita dari terjerumus dalam kancah politik wang yang maha hina itu.
Sekarang tidak kenampakkan kesan langsung yang sangat hina itu, tetapi zaman berganti zaman, akhirnya melayu terkubur dipersada dunia ini dek kerana kesan politik wang dan lain-lain yang sdr ungkapkan dalam pandangan sdr itu.
Kalau TDM, Dt najib, Tan Sri Mahyuddin, DS Ali Rustam, Tan Sri Mohd Taib, Kj, Mukriz, Hishamuddin, DSAI, Tan Sri Khalid dll itu membaca warkah Sdr ini sepatutnya mereka bermuhasabah diri. Akur akan kesalahan yang selama ini mereka sengaja biarkan dan mungkin ikut serta itu.
Terima kasih atas komentar tuan. Itulah harapa kita ynag sayangkan agama, bangsa dan tanah air. Sama-sama kita doakan moga-moga pemimpin kita kembali ke landandasan yang haq. sesungguhnya yang hak itu hanya datang dari Allah swt.
Post a Comment