Wednesday, October 8, 2008

Umno memaknakan seruan Hang Tuah

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

DALAM meniti perjuangan selama 61 tahun, Umno melakar banyak kejayaan untuk bangsa, agama dan negara. Kelahiran Umno di Istana Johor pada 1946 membawa makna yang cukup penting terhadap perubahan dan kemajuan orang Melayu. Walaupun secara relatifnya, pencapaian bangsa Melayu masih boleh dipersoal, tetapi realitinya Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) berjaya melaksanakan pelbagai dasar dengan mengambil kira kepentingan bangsa Melayu.
--

Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, kedudukannya mula goncang. Walaupun prestasi Umno tidaklah seburuk MCA, MIC dan Gerakan, ia turut menerima kesan. Umno-BN gagal mentadbir Perak dan Selangor kerana kekalahan MCA dan MIC di negeri terbabit.
Sejarah tidak pernah berbohong. Justeru, jika kita mahu menilai secara adil maka kita harus akui Umno bukan saja membawa kemajuan zahir (material), malah juga membangun dan membina minda dan psikologi bangsanya adalah realiti yang boleh ukur.
--
Dalam jangka masa kira-kira 50 tahun selepas merdeka, kemajuan bangsa Melayu melonjak begitu pantas dalam semua bidang sedangkan hampir lima abad penjajah berjaya melemahkan psikologi dan minda bangsa Melayu. Ia sesuatu yang mengagumkan.
--
Dengan mengambil kira kedudukan bangsa Melayu dan kefahaman rakan politik bukan Melayu yang sama-sama merangka 'kontrak sosial', maka aspirasi bangsa Malaysia dicerna melalui pelaksanaan beberapa dasar negara seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
--
Demikianlah untuk tempoh 20 tahun (1971-1990) kerajaan Umno-BN berjaya melaksanakan transformasi sosioekonomi rakyat ke arah mencapai perpaduan negara. Semangat DEB dilanjutkan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sejak 1991 yang diterap dan dilaksanakan melalui rancangan pembangunan lima tahun sehingga 2020.
--
Malangnya, sejak akhir-akhir ini wujud segolongan generasi muda yang saya kira jauh sekali daripada memahami akar umbi dan sejarah tanah air, mula mempersoalkan sejarah bangsa Melayu, ketuanan Melayu, hak-hak keistimewaan orang Melayu bahkan lebih jauh daripada itu mempersoalkan kedudukan agama Islam.
--
Perkara yang sudah sahih ini ditimbulkan melalui pelbagai forum yang dianjurkan oleh golongan yang mempunyai agenda tertentu. Dengan berpandukan teori Barat yang lemah dan diputarbelitkan, golongan ini berani menyatakan bahawa orang Melayu adalah juga kaum pendatang yang berasal dari Yunnan (teori Heine-Geldern) atau berasal dari Champa (teori Hendrick Kern) sedangkan sumber China menyebut sejak 645 Masihi lagi, sudah wujud sebuah kerajaan bernama Mo-lo-yue yang terletak di Kota Jambi.
--
Demikian juga teori yang dibangunkan oleh ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati ras Melayu-Polinesia sudah wujud di alam Melayu sejak ribuan tahun lalu yang bertebaran di seluruh Nusantara.
--
Justeru, saya ingin bertanya suara siapakah yang berniat jahat sebenarnya? Siapakah sebenarnya yang mencetuskan isu-isu sensitif ini terlebih dulu? Suara songsang terbabit seolah-olah mengimbau kembali isu Melayu ketika sebelum kelahiran Umno. Umno lahir atas latar belakang sejarah bangsanya yang cuba dimusnahkan oleh Inggeris secara halus dan licik.
--
Kemuncak melemahkan politik Melayu berlaku selepas Perang Dunia Kedua apabila Inggeris cuba menukar kedudukan negeri Melayu sebagai negeri-negeri naungan (protected states) kepada tanah jajahan Inggeris sepenuhnya melalui perjanjian dengan Raja Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union.
--
Malayan Union mencabar identiti Melayu dan atas kesedaran inilah lahirnya Umno. Orang Melayu sedar bahawa Malayan Union mahu melemahkan sama sekali politik Melayu yang bertunjangkan kepada kedudukan Sultan dan raja-raja Melayu. Namun, orang Melayu tidak hilang arah ketika berdepan saat genting tekanan penjajah.
--
Gagasan Malayan Union yang memerangkap raja-raja Melayu untuk menyerahkan kedaulatan negeri Melayu kepada Inggeris dihadapi melalui semangat perpaduan yang jitu. Hari ini kita dapati konsep 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan kembali oleh golongan tertentu cuba memerangkap orang Melayu sekali lagi.
--
Umno lahir dengan semangat ingin mempertahan dan mengekalkan identiti Melayu. Identiti Melayu bergantung kuat kepada kedudukan Raja-raja Melayu yang berdaulat, Bahasa Melayu, adat istiadat Melayu dan agama Islam. Justeru, bertitik tolak daripada persoalan identiti Melayu yang dicabar inilah, maka Umno meletakkan 'ketuanan Melayu' sebagai asas dan tonggak perjuangannya.
--
Untuk memastikan identiti dan politik Melayu tidak hilang arah, maka Umno bersetuju untuk meletakkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan segala yang bersangkut dengan institusi itu sebagai lambang dan identiti kuasa Melayu. Demikianlah Umno cuba memaknakan seruan Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia'.
--
Jumaat ini, Umno akan memulakan mesyuarat bahagiannya. Walaupun dijangkakan isu kepemimpinan akan menjadi fokus utama, Umno harus serius membincangkan agenda bangsa Melayu. Umno tidak perlu takut atau dayus membincangkan ketuanan Melayu kerana selama ini terbukti ketuanan Melayu tidak merampas hak-hak kaum lain.
--
Sesungguhnya kekuatan Umno bergantung kepada akar umbinya. Akar umbi akan berfungsi dengan baik dan berkesan jika ia tidak mudah dipengaruhi amalan politik wang kerana budaya keji ini boleh menutup pintu demokrasi dalam parti. Dengan jumlah ahli hampir tiga juta, Umno harus menjana kemunculan pemimpin pelapis yang bertenaga dan berwibawa.
-
--- BH 8/10/08

2 comments:

Anonymous said...

Apa masalahnya dengan identiti Melayu di negara ini, kerana ini negara Melayu. Yang jadi masalahnya ialah golongan yang tidak dapat menerima hakikat Melayu di negara ini. Mereka inilah yang menimbulkan pelbagai masalah untuk menafikan hak Melayu sama ada secara nyata ataupun secara tersirat. Misalnya menafikan tulisan Jawi, perlekeh bahasa Melayu, pertikai syariah Islam dan pelbagai lagi.

Anonymous said...

Penulisan ini secara langsung menjawab komen coolooc dalam Tajuk MASA GELAP MELAYU Blog ARAH KITA.
Moga-moga coolooc belajar lagi sejarah kemunculan melayu didunia ini dan tidak semudahnya menghina bangsa melayu.
Untuk pengetahuan coolooc melayu sudah ujud di Tanah ini sejak 645 masihi lagi. Orang cina dan India hanya datang ke sini seawal abad ke 13 sahaja. Itupun kerana penjajahan yang berlaku ke atas tanah melayu.