Monday, June 30, 2008

Mengembalikan hak, warisan bangsa Melayu

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

SELEPAS 50 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat masih lagi membicarakan mengenai masa depan bangsa Melayu. Ketika era penjajahan, rakyat dihina dan diperbodohkan dengan dasar kolonial yang berjaya mengasingkan bangsa Melayu daripada arus sosioekonomi moden.

Melayu ketika itu hidup dalam lingkaran kemiskinan dan kemunduran. Keadaan ini diburukkan lagi dengan masalah taklid dan faham khurafat yang bukan berasal daripada ajaran Islam. Minda dan psikologi bangsa Melayu ketika itu tidak berkembang secara sihat dan ke hadapan.

Kesedaran mengenai nasib bangsa Melayu mula berputik apabila lahirnya tokoh Islah dan tajdid pada awal abad ke-20 seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad`Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali.

Golongan yang dikenali sebagai ‘Kaum Muda’ ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku. Mereka menyedari kemunduran orang Melayu bukan saja dalam soal sosioekonomi, malah dalam kebekuan ilmu agama yang sudah banyak diresapi ajaran khufarat dan menyeleweng.

Pada 1930-an hingga 1940-an pula lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Pertubuhan ini bergerak dalam pelbagai pendekatan daripada bercorak kebudayaan, sosial hingga kepada yang berbaur perjuangan politik.


Masyarakat Cina yang ketika itu masih bertaraf imigran terus terserap dalam perkembangan ekonomi moden. Masyarakat Cina mendominasi bandar utama di Tanah Melayu. Mereka turut aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal dan mementingkan keuntungan.

Sehingga Jepun menakluki Tanah Melayu, kehidupan orang Melayu tidak banyak berubah, kekal dalam kedaifan dan kemiskinan.

Umno yang lahir pada 1946, berjaya menyatukan orang Melayu sehingga menggagalkan Malayan Union yang dilihat akan menjahanamkan masa depan bangsa Melayu di tanah air mereka. Menerusi perpaduan Melayu di bawah payung Umno yang dipimpin tokoh yang ketika itu sanggup berkorban serta menggunakan sepenuh tenaga serta fikiran memajukan bangsa Melayu, maka bangsa Melayu mula menampakkan semangat untuk berubah.


Ketika pada ambang kemerdekaan, orang Melayu yang mulia hatinya sanggup menerima dan memberi kerakyatan kepada kaum Cina dan India. Inilah kemuliaan hati orang Melayu yang tidak ternilai harganya. Memberikan kerakyatan bermakna memberikan tanah (negara) untuk kehidupan mereka. Ini bukan berniat untuk mengungkit, tetapi sekadar mengimbau kembali pemurahnya hati orang Melayu.


Bukan itu saja, bahkan orang Melayu juga sanggup berkongsi kuasa dengan mereka. Orang bukan Melayu pula bersetuju menerima ‘kontrak sosial’ yang memberikan sedikit keistimewaan kepada orang Melayu yang pada hakikatnya tidak pun dapat menebus pengorbanan orang Melayu yang ratusan tahun dijajah, juga sebagai tuan punya negara ini.

Allah SWT mengurniakan setiap bangsa ini kawasan untuk mereka diami. Bangsa Eropah ada wilayah tempat kehidupan mereka, bangsa Arab ada kawasan mereka, kaum Negro Afrika juga ada wilayah mereka, bangsa China, Jepun dan India ada wilayah mereka.

Begitu juga dengan bangsa lain, semuanya ada wilayah yang dikurniakan Allah SWT untuk mereka hidup. Begitu juga bangsa Melayu diberikan bumi yang asalnya bernama Tanah Melayu lalu ditukar kepada Malaysia (1963), tetapi bangsa Melayu ini sedia menerima orang lain hidup bersama mereka.

Orang Melayu tidak tamak dan tidak pernah merampas harta orang lain, tetapi hari ini ketuanan Melayu dan hak keistimewaan mereka sudah berani dipertikai dan diperlekeh.

Kontrak sosial sudah mula menjadi sasaran kritikan. Kemajuan Melayu yang mula dikecapi sudah mula dicemburui dan dipersoalkan sedangkan mereka sudah jauh lebih maju dan menguasai hampir segenap kehidupan di bumi Malaysia ini.

Mereka mendakwa hidup di bumi Malaysia sebagai warga kelas kedua, sedangkan sebahagian besar ‘kek ekonomi’ negara dikuasai orang lain. Rumah kedai, taman perumahan dan pelbagai bentuk perniagaan dikuasai mereka.

Yang menjadi kelas kedua pada hakikatnya ialah orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan memberikan sedikit keistimewaan kepada bangsa Melayu juga dikritik sedangkan menerusi dasar ini mereka turut membina kekayaan dan kemewahan.

Tidak dapat dinafikan banyak kelemahan orang Melayu yang menyebabkan mereka gagal dalam mencapai sasaran DEB, tetapi apa masalahnya dengan mereka yang mempersoalkan orang Melayu yang kononnya mendiskriminasikan mereka menerusi DEB. Sekali lagi, mereka berpura-pura membuat heboh dan kalut dalam hal ini.

Pengorbanan, toleransi dan kemuliaan hati orang Melayu kurang dihargai. Kita ingin bertanya kepada golongan ini apakah toleransi dan kemuliaan hati mereka yang diberikan kepada bangsa Melayu?

Sejak kebelakangan ini, banyak isu yang menyakitkan hati orang Melayu mula dibangkitkan mereka. Begitu juga, dalam soal sejarah negara sudah mula kedengaran suara mempertikaikan kedudukan bangsa Melayu seolah-olah mahu menghilangkan ketulenan sejarah bangsa Melayu daripada lipatan sejarah tanah air.

Orang Melayu harus sedar perjuangan Umno untuk mengangkat ‘karamah’ (kemuliaan) dan martabat bangsa Melayu adalah fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan. Umno sudah berusaha memenuhi tanggungjawab menegakkan ‘ketuanan Melayu’ melalui kedudukannya sebagai parti tonggak dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memastikan segala dasar pembangunan negara mengambil kira kepentingan dan kemajuan bangsa Melayu.

Sebagai parti ‘keramat’ untuk bangsa Melayu, Umno memiliki nilai dan kehebatan yang dapat dibanggakan, Justeru, wajar sekali Umno dilihat sebagai warisan bangsa Melayu. Namun, pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, Umno dihukum oleh bangsanya sendiri. Kita yakin hukuman ini bersifat sementara untuk membawa Umno balik ke landasan perjuangannya yang sebenar.

Di bawah kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’, Umno masih diyakini untuk terus memantapkan ‘ketuanan Melayu’. Sejak kelahirannya, penghayatan terhadap konsep dan falsafah ‘ketuanan Melayu’ benar-benar mendorong Umno menyusun gerak kerjanya untuk mengisi agenda perjuangan bangsa.

Parti komponen dapat menerima konsep dan falsafah ketuanan Melayu itu. Fakta sejarah jelas meletakkan Melayu adalah ‘the definitive race’ dalam konteks bangsa induk (bangsa peribumi). Ingatlah, atas faktor warisan dan hak inilah, maka Malayan Union (1946) yang cuba merungkai hak dan warisan orang Melayu, ditentang habis-habisan oleh orang Melayu.

Perpaduan bangsa sebagai satu keutamaan perlu dimantapkan bukan saja di kalangan ahli Umno, bahkan seluruh bangsa Melayu di negara ini. Umno dan Pas sebagai dua parti politik terbesar orang Melayu perlu kembali bermuzakarah dan masing-masing perlu ada sikap berlapang dada (tasamuh) dalam mencari titik persamaan.

Umno perlu menerima realiti ia kini mula ditolak oleh orang Melayu dan tidak boleh terus berlagak sombong. Orang Melayu sewajarnya melihat penghakisan kuasa politik Melayu adalah malapetaka yang mampu menghancurkan bangsa Melayu.

Perpecahan akan menyebabkan bangsa Melayu terus dilemahkan oleh golongan tertentu yang menunggu peluang untuk berkuasa. Mereka sangat sabar menanti saat yang membolehkan mereka membina sejarah baru yang terpisah daripada akar umbi warisan dan budaya Melayu.

Inilah yang berlaku ke atas Singapura, dengan sejarahnya sudah diolah mengikut kehendak parti PAP yang masih dibayangi Lee Kuan Yew.

Umno mesti segera menyelesaikan isu kepemimpinan yang berbangkit di dalam parti yang sudah banyak berbakti kepada bangsanya. Pelbagai penyakit yang melanda Umno seperti perebutan kuasa, politik adu domba, fitnah memfitnah dan politik wang perlu ditangani dengan berkesan.

Umno juga harus membetulkan arah perjuangan golongan mudanya yang dilihat semakin lari daripada landasan perjuangan Umno yang sebenar, iaitu untuk agama, bangsa dan tanah air.

Umno mesti kembali memberikan perhatian kepada nasib bangsanya yang kini dihimpit pelbagai tekanan hidup disebabkan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini penting diberi perhatian oleh Umno supaya orang Melayu kembali menyokongnya.

Umno tidak boleh asyik berbangga dengan angka pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sedangkan orang Melayu tidak menikmatinya dalam erti kata sebenar.


Kesimpulannya, orang Melayu mesti kekal mewarisi negeri dan hak serta warisan asal mereka. Melayu mesti kembali menjadi bangsa dominan dalam politik dan pemerintahan negara. Seluruh orang Melayu harus kembali menilai kedudukan mereka, khususnya masa depan politik orang Melayu. ------- Berita Harian Jun 2008

No comments: