Thursday, September 6, 2007

KEBEBASAN BERSUARA : 'BIAR SALAH KAIN ,JANGAN SALAH MULUT'

Malaysia terkenal sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi secara meluas. Amalan dan penghayatan demokrasi di Malaysia boleh dilihat dengan jelas dalam sistem politik, sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.

Sebagai sebuah negara demokrasi maka sudah semestinya kebebasan bersuara menjadi ciri utama yang menunjangi proses demokrasi itu sendiri. Malah kebebasan bersuara ini sering menjadi isu dan perbahasan berbagai pihak di negara ini

Sistem perwakilan (Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) yang dibentuk melalui pilihanraya menjadi asas kepada suara rakyat yang melambangkan sistem pemerintahan demokrasi menjadi amalan kita. amalan demokrasi telah memberikan ruang yang luas kepada rakayat untuk bersuara.

Aktiviti berkempen semasa proses piliharaya di mana rakyat Malaysia bebas bersuara dalam memberi pendapat, pandangan malah mengkritik dasar-dasar kerajaan selagi mana ianya tidak melanggar undang-undang juga merupakan fakta betapa kebebasan bersuara diizinkan di negara kita.

Rakyat Malaysia juga tidak pernah disekat daripada mengeluarkan pendapat, pandangan dan kritikan sama ada melalui media-media elektronik mahu pun media-media cetak selagi ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang di negara ini.

Perlembagaa Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini. Di Malaysia, hak mengenai ‘Kebebasan Hak Asasi’ (Fundamental Liberties) dengan jelasnya terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara. Hak-hak tersebut adalah tonggak kepada demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ia juga merupakan perkara-perkara yang terkandung dalam ‘Hak Asasi Manusia Sejagat’ (Universal Human Rights Fundamental Liberties).

Mengenai ‘Kebebasan Bersuara’ (freedom of speech) ianya dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 10 (1) (a) yang menyatakan tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.
Namun begitu, setiap sesuatu ada had dan batasannya. Demikianlah juga dengan kebebasan manusia (baca rakyat) Di bawah Perkara 10(2), diperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan.
Inilah hakikat yang harus diterima dan difahami bahawa tiada satu pun di dunia ini yang bersifat mutlak (absolute). Demikianlah halnya dengan kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan negara kita di mana ianya mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu. Ianya boleh diumpamakan suatu ‘kontrek sosial’ bagi menjamin kerukunan, keharmonian dan solidarity serta keselamatan dan kedaulatan negara daripada diganggu-gugat.
Undang-undang memang diperlukan dalam masyarakat yang bertamadun di mana tanpa tertegaknya undang-undang negara akan menuju anarkisme. Pada umunnya undang-undang diperlukan dalam masyarakat/negara bagi tiga tujuan utama :

· bagi memberi dan mengiktiraf hak-hak individu dan masyarakat;
· bagi melindungi hak-hak tersebut; dan,
· bagi menjamin keselamatan, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.

Undang-undang jugalah yang akan menghukum seseorang yang merampas dan mengancam hak-hak individu dan kesejahteranan masyarakat.
Justeru, walaupun hak kebebasn bersuara dan kebebasan hak asasi yang lain dijamin oleh perlembagaan namun kebebasan bersuara di Malaysia berada di bawah lingkungan kawalan dan sekatan beberapa undang-undang termasuk statutes. Di antara undang-undang yang ada kaitannya dengan kawalan terhadap kebebasan bersuara di Malaysia termasukklah:

· Akta Asutan 1948
· Akta Kefitnahan 1957 (Akta 286)
· Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
· Akta Rahsia Rasmi 1972
· Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301)
· Akta PolisLain-lain akta berkaitan (termasuk Kanun Kesiksaan)
Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia , kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan/percakapan dan melahirkan buah fikiran melalui media cetak atau elektronik haruslah mengelakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara. Kebebasan bersuara juga mempunyai tanggungjawab akhlak dan moral di mana ianya mestilah tidak merosakkan akhlak/moral rakyat, misalnya menulis dan menerbitkan buku-buku, majalah-majalah atau apa-apa kaedah penerbitan yang berunsur lucah.

Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan sewajarnya digunakan dengan baik. Menyalah gunakan kebebasan bersuara atau mana-mana hak asasi sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketengangan dalam masyarakat boleh membawa kepada kehancuran negara-bangsa adalah ditegah sama sekali. Kebebasan menyuarakan pendapat sama ada melalui pengucapan, penulisan dan apa-apa bentuk kaedah komunikasi mestilah berhati-hati dan bertanggungjawab. Kepentingan negara harus diutamakan agar perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian yang sudah lama wujud tidak diroboh dan dihancurkan. Semangat mengekalkan perpaduan antara kaum harus disemai dan diperkukuhkan lagi.

Ruang kebebasan bersuara yang diberikan bukalah “lesen” untuk memperkatakan sesuatu tanpa tanggunjawab di sisi undang-undang. Negara sentiasa melihat dan memastikan hak asasi dilaksanakan dengan berpegang kepada konsep ‘hak berserta tanggungjawab’ (rights with responsibility). Jadi apabila kita bercakap tentang hak maka tanggungjawab itu sendiri adalah hak yang perlu dilaksanakan.

Dalam memelihara kedamaian dan keamanan serta kedaulatan negara maka rakyat berbagai kaum dan amalan agama di negara ini mestilah lebih berhati-hati dalam membincangkan isu-isu yang boleh memarakkan api perkauman seperti soal-soal agama, bahasa, pendidikan, budaya, ekonomi dan elakkan perkara-perkara yang berunsur subversif, menghasut dan menfitnah yang boleh mencetuskan kekacauan dalam masyarakat dan negara.

Perasaan cauvinis mesti dielek dan ditentang. Soal Keselamatan negara tidak boleh dipandang remeh semata-mata kerana ‘kebebasan bersuara’ hingga mengizinkan golongan yang bersifat cauvinis dan pelampau mengambil kesempatan meniupkan api perkauman, fitnah dan hasutan. Rakyat patut menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ikhtibar dan pengajaran buat selama-lamanya.

Elakan ‘bermain api’ dengan isu-isu sensitif seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan dan Undang-undang yang terdapat di negara kita. Ingatlah ‘kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa’. Disebabkan kebebasan bersuara yang tiada kawalan, maka negara boleh menuju ke arah kehancuran (anarkisme). Oleh itu berhati-hatilah dalam menggunakan kebebasan bersuara. ‘Biar salah kain, jangan salah mulut’ .

No comments: