Friday, September 7, 2007

5 TANGGUNGJAWAB PENULIS INTERNET (BLOGGER)

Bidang blogging merupakan salah satu bentuk ‘media baru’ yang semakin berkembang selari dengan kepesatan kemajuan ICT. Kemudahan internet telah membuka ruang yang cukup luas kepada sesiapa sahaja untuk berpartisipasi dalam ‘media baru’ ini. Perkembangan ini adalah satu hakikat yang perlu diterima sebagai fenonema baru dunia tanpa sempadan.

Kewujudan ‘media baru’ telah menjadikan lebuh raya maklumat dipenuhi dengan berjuta-juta informasi yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja. Negara kita tidak terkecuali dalam hal ini. Kewujudan ribuan laman blog setiap hari di negara kita tanpa sebarang kawalan dan pemantauan boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Kebanyakan penulisan ‘bloggers’ tidak dapat dipertahankan kebenarannya kerana ia tidak mengandungi nilai integriti intelektual dan rohani (moral). Inilah pandangan yang pernah dilontarkan oleh Dr. Muhamamad Uthman el-Muhammady (Konspirasi intelektual serang institusi mufti ,Berita Minggu, 15 Julai 2007) sehingga istilah yang terpaksa digunakan beliau untuk mengambarkan golongan yang tidak bertanggungjawab ini ialah golongan “intelektual pariah”.

Perkembangan ini patut dipantau dan dikawal oleh kerajaan supaya “gelembong gergasi” (istilah Dr. Muhammad Uthman) yang tidak sihat ini tidak berterusan menjatuhkan martabat jiwa bangsa. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyekat dan menghapuskan segala bentuk keburukan yang ditimbulkan oleh penulis internet (‘blogger’) yang bersikap biadap dalam penulisan mereka. Memang diakui tidak semua ‘bloggers’ bersikap sedemikian rupa tetapi jumlah blogger yang memiliki nilai integriti adalah terlalu kecil.

Hakikatnya, trend yang masih mewarnai dunia blogger di negara ini ialah kurangnya nilai dan sifat profesionalisme kewartawanan yang menulis secara beretika dan berintegriti. Justeru, berbagai bentuk penulisan berita, dan rencana adalah kebanyakannya berbentuk fitnah, provokasi, hasutan, prejudis, emosional, suka mengaib dan menghina dengan menggunakan bahasa yang tidak berakhlak, serangan-serangan berunsur perkauman secara keterlaluan dan tidak berasas yang bersalut kebenciaan terhadap pihak yang dikrikit mengambarkan betapa parahnya jiwa penulis sedemikian rupa.

Mauduk penulisan yang paling banyak bersifat demikian ialah penulisan yang berkaitan dengan isu sosio-politik tanah air. Ini adalah gejala yang tidak sihat yang sedang berkembang dalam penyalahgunaan kemudahan komunikasai maya (siber) yang wujud pada hari ini. Sifat “keegoaan” atau “keakuan” yang berlandaskan nafsu menjadi sifat kebanyakan ‘bloggers’ yang tidak bertanggungjawab ini.

Apa yang dapat saya sarankan di sini ialah penulis-penulis internet (blogger) seharusnya memiliki lima tanggungjawab utama apabila mahu meletakkan diri sebagai penulis yang bertanggungjawab. Kelima-lima tanggungjawab itu ialah tanggungjawab etik (moral), tanggungjawab intelektual, tanggungjawab spiritual, tanggungjawab politik dan tanggungjawab agama. Dalam tanggungjawab etik penulis internet mestilah dapat meletakkan dirinya sebagai penyebar maklumat secara professional, berintegriti dan bertanggungjawab dalam keadaan dirinya menguasai sifat-sifat terpuji dengan hati yang jernih, fikiran yang rasional, tenang dan tenteram ketika menulis. Penulis yang beretika(berakhlak) selalunya akan berusaha memastikan jiwa dan mindanya jauh daripada sifat-sifat al-hasud, riya dan sifat-sifat buruk (mazmumah) yang lain.Anggapalah penulisan yang ingin disumbangkan adalah satu ibadah yang memerlukan nilai dan adab yang sopan. Setelah menulis rajin-rajinlah menyemak dan merenung kembali dalam bentuk melakukan intropeksi (muhasabah) diri yang kerdil di sisi tuhan. Sesungguhnya seorang penulis yang bersih dan jernih jiwanya akan merefleksikan kebenaran yang jauh dari gejala keji yang dicela oleh manusia dan Tuhan.

Dalam konteks tanggungjawab intelektual pula penulis internet perlulah menulis dengan kualiti yang dapat diterima dan rasional yang dapat diukur/diyakini kebenarannya. Dari sudut nilai intuitifnya pula ia seharusnya mengandungi tiga elemen utama iaitu nilai akhlak (moral), akal yang sihat agar fakta penulisan dapat dinalarkan (reasonable) dan memiliki kepakaran secara tepat dalam perkara yang dibincang. Apa yang kita harapkan ialah dalam era siber ini akan wujud penulis internet yang membawa budaya Ikhwan al-Shafa iaitu satu kelompok pencinta ilmu yang wujud di Baghdad pada satu masa dahulu yang berbahas berbagai bidang ilmu dan masalah umat serta membicarakan masalah fenomena alam melalui pandangan rasional dan saintifik dalam paradigma tauhid dan akhlak. Misi mereka jelas iaitu berusaha memperbaiki umat Islam secara moral dan spiritual. Justeru, alangkah baiknya jika ramai di kalangan penulis internet kita dapat memanfaat internet untuk tujuan memajukan umat.

Penulis internet juga perlu memiliki tanggungjawab spiritual tidak kira sama ada di kalangan penulis beragama Islam atau pun penulis di kalangan agama lain. Bagi penulis muslim ia sewajarnya memilki visi Keilahian (Ketuhana) supaya dapat memenuhi keinginan asas manusia dalam aspek nilai-nilai transenden. Penulis internet tidak harus hilang visi ini kerana jika ia menulis dalam keadaan ia sendiri tidak mempunyai peganggan hidup beragama dan tanpa haluan maka ia tidak akan membawa pembacanya kepada nilai-nilai transenden sebaliknya membawa mereka kepada wilayah pinggiran dengan meninggalkan jiwa pembacanya berada dalam keadaan kehampaan rohani (spiritual).

Dalam konteks tanggungjawab politik pula penulis perlu memiliki tanggungjawab politik dengan menanamkan disiplin yang tinggi ketika membicarakan isu-isu sosio-politik tanah air dengan cara yang sihat dan konstruktif. Perbincangan tentang isu-isu politik perlu berada dalam batasan positivisme moral dengan menjauhi elemen-elemen fitnah, kebenciaan dan hasutan politik yang merbahaya kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini. Keharmonian kaum dan kestabilan politik negara harus dipelihara bersama. Ruang demokrasi yang diberikan harus digunakan dengan sihat dan penuh tanggungjawab.

Tanggungjawab yang kelima pula ialah tanggungjawab memelihara keharmonian beragama. ‘Bloggers’ di negara ini harus sedar dan sentiasa peka bahawa masyarakat kita adalah masyarakat majmuk yang menganut pelbagai agama. Penulis sepatutnya menyebar dan mendorong kepada sikap kebersamaan (universalisme) yang sihat, bertoleransi dan bekerjasama tanpa membangkitkan isu-isu keagamaan yang bersifat ektrimis yang tidak melambangkan watak yang toleran dan terbuka. Penulis yang sihat mestilah mengembang dan menyuburkan konsep dan nilai-nilai universal yang dapat diterima oleh masyarakat majmuk di negara ini.

Kesimpulannya, penulis internet harus memahami bahawa di pundak mereka terbeban tanggungjawab agama, sosial dan politik dalam membina dan membentuk masyarakat yang harmonis, bersatupadu, berjati diri dan berilmu. Bloggers perlu memilki nilai etika, moral dan integriti yang positif supaya ia dapat menyumbang kepada pembinaan negara bukannya meracuni pemikiran pembaca, khususnya di kalangan generasi muda dengan fitanah dan hasutan. Jika mereka menulis dengan fakta yang benar maka pandangan mereka harus diterima tetapi jika ia berunsur tuduhan palsu, fitnah, hasutan yang berasaskan hearsay dan fakta yang direka-reka maka ia harus ditolak dan "diperangi". Akhirnya sama-samalah kita renung dan hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Ada pun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya surgalah tempat tinggalnya” (al-Nazia’at: 39-40).

No comments: