Sunday, August 26, 2007

REMAJA HARUS KEMBALI KE LANDASAN YANG BETUL

REMAJA HARUS KEMBALI KE LANDASAN YANG BETUL

Berita dan rencana mengenai kisah mat rempit, penagih dadah, pergaulan/seks bebas dan berbagai masalah lain termasuk masalah disiplin di kalangan pelajar remaja acap kali dipaparkan di dada akhbar dan skreen tv kita. Kisah terbaru (beberapa minggu lalu) ialah cerita mengenai sembilan pelajar perempuan yang terlibat dalam “keganasan” menyerang seorang mangsa perempuan.Dalam tindakan agresif kumpulan remaja perempuan itu mereka telah bertindak memotong baju dalam dan coli mangsa. Kesemuanya melibatkan anak-anak melayu beragama Islam.

Walaupun masalah remaja ini dianggarkan hanya sekitar 5% dari keseluruhan jumlah remaja di negara ini namun ia tidak boleh dipandang enteng begitu sahaja. Dalam Islam perkara mungkar tetap diberi perhatian dan perlu diatasi walaupun jumlahnya kecil. Jika kita mahu berfikir secara serius maka senario keruntuhan akhlak yang berlaku pada hari ini sudah cukup membuatkan kita cemas mengenai masa depan remaja di negara ini. Kebimbangan kita terhadap perkara ini ada asasnya kerana merekalah yang bakal mewarisi negara bahkan penentu keutuhan jati diri bangsa pada masa depan.

Perlakuan-perlakuan sosial yang bersifat ‘deviant’ ini amat tidak menguntungkan bukan sahaja kepada kehidupan remaja malah kepada masyarakat dan negara. Kebiasaannya remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak akan mampu membina kecemerlangan dalam hidup yang sepatutnya dibina sewaktu usia muda yang penuh bertenaga ini, khususnya dalam meraih kecemerlangan pendidikan. Selain itu maruah sesuatu bangsa itu boleh tercemar sekiranya anak-anak remajanya mendominasi sesuatu gejala negatif yang merosakkan.

Selaku penganut agama Islam remaja kita harus sedar bahawa semua nilai-nilai dan peraturan-peruaturan hidup mestilah diasaskan kepada nilai akhlak yang dituntut oleh agama dan adat kita. Betapa pentingnya akhlak dalam kehidupan umat Islam dapat dimengertikan melalui doa baginda rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Ya Allah, jadikanlah pada akhlakku mulia sebagaimana Engkau menjadikan jasadku baik” (hadis riwayat Ahmad). Orang yang berakhlak mulia dicintai nabi dan di akhirat kelak golongan yang baik akhlaknya akan berada dekat dengan nabi sepertimana maksud sebuah hadis riwayat Ahmad, “Sesungguhnya orang yang sangat dicintai dan sangat dekat kedudukannya kepadaku pada hari akhirat ialah orang Islam yang paling baik akhlaknya dan sesungguhnya orang yang paling dibenci di kalangan kamu di sisiku dan yang paling jauh dariku di akhirat ialah orang yang buruk akhlaknya”.

Justeru untuk membina imej dan maruah remaja maka kita mesti membangun dan membetulkan semula landasan akhlak mereka. Kita perlu kembali menitik beratkan pendidikan akhlak yang tapak awalnya bermula dari rumah dan kemudiannya nilai-nilainya diperkaya dan diperkukuhkan lagi melalui institusi-institusi pendidikan formal. Apa yang perlu disedari ialah sumber pembinaan akhlak dan membentuk jati diri kita telah pun ada iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Inilah satu-satunya warisan dan khazanah suluhan hidup kita di dunia ini. Selain itu budaya dan beberapa adat bangsa yang selari dengan ajaran Islam perlu juga diterapkan kepada generasi muda .

Masalah yang melanda kita ialah kerana kita tidak menghayati nilai akhlak yang telah sedia ada dalam kitabbullah dan kitab-kitab hadis nabi s.a.w. Justeru, remaja kita perlu membangkitkan keazaman ke arah meninggalkan semua amalan dan tindakan yang merugikan. Elakkan bertindak dan berperangai seperti orang yang tidak mempunyai panduan dan cahaya dalam hidup ini. Memang benar ilmu psikologi melihat zaman remaja adalah zaman penuh godaan dan pancaroba. Ia adalah zaman di mana remaja ingin mencuba dan melakukan segala sesuatu yang mencabar dan baru. Mencuba sesuatu yang baru adalah baik dan digalakkan tetapi ianya biarlah dalam perkara-perkara yang positif serta menguntungkan negara dan bangsa. Sebaliknya dalam perkara-perkara yang melibatkan hawa nafsu yang merosakkan maruah dan akhlak maka ianya harus dijauhi. Kita yakin sekiranya akhlak Islam dapat dihayati dan dipraktikkan semuanya dapat dihadapi dengan tenang dan bijak.

Remaja perlu mempunyai sikap berlumba-lumba dalam mencari ilmu dan kemahiran yang kini banyak disediakan berbagai agensi kerajaan. Beranikan diri untuk berdikari dalam kerja-kerja yang menguntungkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya ini lebih berfaedah daripada menjerumuskan diri ke dalam aktiviti yang membinasakan masa depan dan mencemarkan maruah diri. Janganlah kita merosak “karamah” (kemuliaan) dan darjat diri selaku umat Islam. Islam menyuruh kita membina budaya dan tamadun yang memiliki nilai akhlak yang tinggi. Justeru, kejar dan capailah kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi tetapi dalam masa yang sama janganlah diabaikan persoalan akhlak.

Sesunguhnya akhlak tidak boleh dipisahkan dari kehidupan kita kerana ia lambang terhadap penghayatan iman dan taqwa. Dalam konteks negara pula ia telah menjadi salah satu daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’. Ingatlah pesanan dan nasihat pemimpin kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru umat Islam supaya kembali mendokong konsep khalifah dalam pengertiaannya yang betul. Di antara ciri dan sifat yang perlu ada dalam konsep khalifah itu ialah berakhlak dengan akhlak Islam.


1 comment:

ari - prihatin said...

setuju supaya prinsip Rukun Negara, KESOPANAN DAN KESUSILAAN, itu dihayati dan diamalkan. Dulu matapelajaran sivik/moral diajarkan disekolah. Tapi sekarang...?