Monday, August 23, 2010


Bangkit semangat patriotisme
Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
-
SEMUA negara di dunia ini memiliki bendera rasmi yang tersendiri. Setiap bendera itu pula memiliki warna dan bentuk yang mengandungi makna tertentu.
Walaupun bendera hanyalah selembar kain yang dicorakkan dengan warna dan lukisan tertentu, namun ia mempunyai nilai dan darjat yang cukup istimewa. Memang makna dan erti sebuah bendera sangat dalam dan berharga.
-
Bagi sebuah negara berdaulat, bendera merupakan simbol dan juga identiti penting bagi negara itu. Bendera juga memiliki makna ideologi bagi sesebuah negara. Oleh kerana begitu pentingnya makna sebuah bendera itu, maka wujudnya ilmu tentang bendera yang dinamakan Veksilologi (vexillology).
-
Istilah Veksilologi berasal daripada kata vexillum (bentuk jamak vexilla), iaitu bendera zaman Romawi Kuno yang berbentuk bujur sangkar. Istilah ini mula digunakan pada tahun 1957 oleh seorang Amerika Syarikat (AS) bernama Whitney Smith.
-
Kajian ilmu veksilologi ini cukup luas cakupannya merangkumi sejarahnya, reka bentuknya, bahagian-bahagian dari bendera tersebut, protokol-protokol bendera dan apa jua yang berkaitan dengan bendera.
-
Dari sudut sejarahnya, bendera telah digunakan lebih dari 5,000 tahun lamanya. Sepanjang sejarahnya, bendera yang digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara itu mempunyai variasi yang unik mulai dari bentuknya, gaya, warna serta gambarnya.
-
Pada awal kewujudannya, bendera digunakan untuk membezakan pihak yang sedang berperang. Kemudian penggunaannya berkembang sebagai simbol kelompok masyarakat, kelompok agama serta kelompok-kelompok lainnya.
-
Akhirnya, bendera berkembang menjadi simbol negara-bangsa dan juga organisasi-organisasi seperti yang kita kenal sekarang ini.
-
Jelaslah bahawa kewujudan bendera itu mempunyai akar umbinya tersendiri. Seorang warganegara yang baik dan prihatin terhadap kedaulatan negaranya akan memberikan penghormatan sewajarnya terhadap bendera tanah airnya.
-
Ia tidak akan memijak, menconteng dan mengoyakkan bendera tanah airnya. Ia juga akan memastikan bendera yang ingin dikibarkan itu berada dalam keadaan yang baik dan sempurna. Justeru, ia tidak akan mengibarkan bendera yang sudah koyak, lusuh atau luntur "wajahnya" supaya ia kukuh dan berkibar dengan megahnya di angkasa.
-
Bagi seorang perajurit atau warganegara yang memiliki semangat patriotisme yang kental maka ia memegangnya dengan penuh hati-hati agar tidak jatuh ke tanah. Bendera akan dilipat dan dibentangkannya dengan baik dan tertib serta diletakkan di tempat yang bersih dan layak.
Dalam peperangan, bendera yang dijulang oleh para perajurit dapat membangkitkan semangat juang yang tidak ternilai sehingga ke titisan darah terakhir.
-
Ketika negara kita akan diisytiharkan merdeka, maka saat paling dinanti-nantikan ialah penurunan bendera penjajah. Tepat pada jam 12.00 tengah malam, 31 Ogos 1957, bendera 'Union Jack' diturunkan lalu bendera negara pun dikibarkan sebagai tanda lahirnya Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka.
-
Justeru, bendera adalah saksi sejarah terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai sebuah negara yang berdaulat di pentas antarabangsa.
-
Bendera bagi sesebuah negara turut dihargai oleh negara atau bangsa lain. Misalnya, apabila ketua tertinggi sesebuah negara itu mengadakan kunjungan hormat ke sebuah negara lain maka bendera negara tamu itu akan turut dikibarkan mengikut protokolnya.
-
Sebaliknya, bendera bagi sebuah negara juga sering dijadikan sasaran oleh negara lain terutamanya ketika saat krisis kedua-dua negara itu menjadi genting. Mungkin rakyat dari salah sebuah negara yang berkrisis itu menunjukkan kemarahan atau protes mereka dengan cara membakar, mengoyak, menginjak-injak bendera seterunya.
-
Justeru, sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini terutama menjelang 31 Ogos yang semakin hampir ini, maka sepatutnya kita dapat menyaksikan "Jalur Gemilang" berkibar dengan megahnya di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan. Malangnya, suasana ini belum lagi dapat dilihat dan dirasai. Apakah rakyat kita sudah "lesu" daya patriotismenya?
-
Memang benar mengibarkan bendera bukannya satu-satu cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun sekali itu dizahirkan melalui kemeriahan dan suasana kibaran Jalur Gemilang.
-
Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. Oleh itu, aktiviti tradisi patriotisme mengibarkan bendera kemegahan negara pada setiap bulan Ogos tidak boleh dilunturkan dari sanubari rakyat negara ini.
-
program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang"

Justeru, untuk merangsang, membangkit dan melonjakkan momentum kibaran Jalur Gemilang ini maka Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menganjurkan program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang" sebagai satu kesinambungan aktiviti patriotisme dan sebagai acara dan aktiviti sokongan Kempen Bulan Kemerdekaan yang akan disempurnakan pada 31 Ogos di Stadium Putera Bukit Jalil nanti.
-
Program yang dinaungi oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ini akan diadakan pada 26 Ogos 2010 di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi-lokasi tersebut ialah di Jalan Tunku Abdul Rahman (di hadapan SOGO), Jalan Brickfield (di hadapan bangunan YMCA), Jalan Petaling (di pintu gerbang masuk Jalan Petaling), Jalan Bukit Bintang (di Dataran Bukit Bintang hadapan Maybank) dan Kampung Baru (di hadapan pintu masuk Masjid Jamek Kg. Baru).
-
Ia akan dilakukan secara serentak di lokasi-lokasi tersebut pada jam 10.00 pagi di mana kumpulan-kumpulan yang bergerak itu akan mengunjungi premis-premis perniagaan di sekitar lokasi serta tumpuan orang ramai sambil menyerahkan Jalur Gemilang serta berbual mesra dengan mereka. YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim sendiri akan mengetuai acara ini.

Program "Merakyatkan Kibaran Jalur Gemilang" ini diadakan dengan objektif dan harapan untuk memupuk dan menyegarkan semangat patriotik di kalangan rakyat, khususnya di kalangan warga kota.
-
Alangkah meriahnya seandainya orang ramai, khususnya yang berada di lokasi-lokasi di mana program ini berlangsung dapat turut serta bersama kumpulan-kumpulan kibar Jalur Gemilang yang bergerak di lokasi-lokasi yang tersebut.
-
Sama-samalah kita memulakan momentum mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda bangganya kita terhadap bendera yang menjadi maruah negara yang tercinta ini.
Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media Jabatan hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
-Utusan Malaysia 21/8/2010

Friday, August 6, 2010

Sudut pandangan politik Islam

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

ADA pelbagai pendapat mengenai politik Islam. Pertama, kelompok yang berpendapat politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Hujah mereka adalah Islam merupakan agama sempurna dan serba lengkap yang mengatur segala aspek kehidupan. Justeru, ia merangkumi persoalan mengenai politik dan pentadbiran negara. Bagi golongan ini, hukum-hakam Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya kuasa politik.

Kedua, kelompok yang berpandangan bahawa politik bukannya juzuk atau ajaran dalam Islam. Aliran ini berpendapat bahawa al-Quran tidak mengatur masalah politik atau ketatanegaraan. Misalnya, Ali Abdul Raziq (1888-1966), ulama abad ke-20, lulusan Universiti Al-Azhar menyebut bahawa al-Islam al-Siyasi sebagai Islam bentuk baru yang diadakan oleh kaum fundamentalis.

Beliau menulis pandangannya itu di dalam bukunya, Islam wa usul al-hukm. Pandangannya yang kontroversi itu menyebabkan Universiti Al-Azhar menghukumnya sebagai sesat dan menarik kembali ijazah yang diberikan kepadanya.

Kelompok Islam Liberal juga berpendirian tidak ada politik dalam Islam. Negara hanyalah urusan keduniaan yang bergantung sepenuhnya kepada kewujudan masyarakat. Pandangan tersebut pernah disuarakan oleh pelopor Islam Liberal Indonesia, Nurcholish Madjid dalam tulisannya The Necessity of Renewing Islamic Thought and Reinvigorating Religious Understanding. Tulisannya itu terkandung di dalam buku Liberal Islam (Oxford University Press,1998).

Kelompok ketiga pula berpendirian bahawa al-Quran tidak menyebut secara qatie atau tidak ada nas yang jelas tentang politik dan sistem kenegaraan. Al-Quran tidak menetapkan model atau sistem politik tertentu yang harus diikuti.

Namun, kelompok ini tidak menolak urusan politik dalam Islam tetapi lebih menekankan tata nilai dan etika politik serta kehidupan bernegara seperti yang disebut pemikir Islam Mesir, Husain Haikal bahawa negara hanyalah instrumen politik untuk menegakkan etika Islam bersifat universal.

Jelaslah bahawa kelompok terbabit bersifat anjal (fleksibel) dalam menentukan bentuk politik Islam yang harus dipegang oleh umat Islam. Bagi kelompok ini, urusan pentadbiran adalah mengikut kebijaksanaan pemerintah selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan asas-asas syariah. Pendapat ini merupakan pandangan pertengahan yang banyak diterima oleh para sarjana Muslim. Pendapat ketiga ini juga sesuai dengan situasi politik kontemporari hari ini.

Situasi politik hari ini memerlukan kita berfikir secara mendalam, kritis dan rasional tentang hubungan agama dan politik. Fakta utama yang perlu difahami ialah pembentukan pemerintahan dan kenegaraan mengambil kira pertumbuhan dan perkembangan masyarakat itu sendiri.

Dalam konteks ini, fasa-fasa pertumbuhan pemikiran politik Islam harus difahami. Ketika era nubuwah (kenabian), Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah-kaedah pokok Islam dalam membina dan mengatur sebuah negara.

Kemudian muncul pula era di mana kehidupan masyarakat dan negara terus berkembang dengan pesatnya. Pertumbuhan wilayah kekuasaan Islam terus berkembang selepas era khulafah ar-Rasyidin. Ia adalah era di mana muncul dan tertegaknya pelbagai kerajaan Islam di serata pelosok dunia. Dari semasa ke semasa, pergolakan politik berlaku dalam kerajaan-kerajaan Islam itu. Kebanyakannya berlaku hasil daripada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kelompok dan puak yang berkepentingan. Setiap puak itu pula mempunyai dukungan kelompok ulama mereka tersendiri.

Pertelingkahan pelbagai puak dan aliran ini telah melahirkan pelbagai pemikiran politik mengikut kelompok-kelompok terbabit. Kemudian muncul pula era penjajah kuasa Barat ke atas dunia Islam yang membawa masuk pelbagai pembaharuan sama ada dari segi pemikiran, ideologi dan teknologi baru ke dunia Islam. Apabila negara-negara umat Islam itu merdeka, masing-masing muncul sebuah negara bangsa (nation state) dan majoritinya menerima pakai sistem demokrasi dalam politik dan pentadbiran.

Dalam masa yang sama, wujud kelompok ulama dan sarjana Muslim yang memperjuangkan sistem teokrasi. Mereka berupaya menarik sokongan dan ada di kalangan mereka memimpin jemaah atau parti politik yang memperjuangkan negara Islam. Mereka menyeru pemerintah di negara-negara umat Islam supaya menegakkan negara Islam. Situasi ini telah mencetuskan perdebatan mengenai konsep negara Islam yang melahirkan beberapa pandangan tertentu.

Misalnya, tokoh-tokoh seperti Abul A'la al-Maududi dan Sayyid Qutb telah melahirkan gagasan mengenai sistem pemerintahan teokrasi sebagai bentuk pemerintahan Islam. Golongan sederhana seperti Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Fathi Osman pula menerima demokrasi dengan syarat ia disesuaikan dengan syariat Islam.

Bagi Husain Haikal, mereka yang berusaha menegakkan negara berdasarkan syariat Islam melalui instrumen demokrasi dianggap golongan yang berusaha menegakkan negara 'teo-demokratik' iaitu konsep politik yang memberikan kekuasaan kepada rakyat, tetapi kekuasaan itu dibatasi oleh norma-norma daripada Tuhan.

Dalam dunia Islam, hanya wujud beberapa negara Islam yang dianggap mengamalkan sistem pemerintahan Islam seperti Iran dan Arab Saudi. Sungguhpun begitu, sistem pemerintahan republik Islam Iran adalah berasaskan model negara Islam versi Syiah. Arab Saudi pula dikuasai oleh aliran Wahabi.

Bagaimana pula dengan kedudukan negara kita? Apakah ia negara Islam atau sekular? Pada September 2001, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Menurut Dr. Mahathir, Malaysia diakui sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada ahli Sunnah wal Jamaah.

Bagi menyokong kenyataan tersebut, beliau merujuk kepada kenyataan Syeikh al-Azhar Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi yang menyebut Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh (Utusan Malaysia, 11 Julai 2003). Kenyataannya itu telah menyemarakkan kembali ruang perbicaraan tentang negara Islam sehingga parti Pas mengeluarkan buku Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada 12 November 2003.

Meneliti pendapat pelbagai aliran pemikiran politik Islam, maka penulis berpendapat bahawa setakat ini pendekatan politik UMNO berjaya mengambil jalan tengah dan sederhana dengan memberi penekanan kepada nilai dan etika Islam bersifat universal.

Sejak menerajui negara ini, UMNO telah membuktikan keupayaannya menegakkan syiar Islam di samping dapat menerapkan kehidupan bertoleransi bersama masyarakat bukan Islam serta memberikan hak-hak yang sewajarnya kepada mereka selari dengan semangat perlembagaan negara.

Peliknya, Pas yang suatu ketika dahulu beria-ia mahu menegakkan negara Islam dan hukum hudud telah bertukar 'melodi' . Setelah bergabung dalam pakatan yang rapuh bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas kini terpaksa melupakan prinsip perjuangannya. Kerjasama Pas dengan DAP juga bercanggah dengan fatwa yang pernah dikeluarkannya bahawa haram bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Malah, setelah bergabung, parti itu sanggup mempertahankan DAP yang jelas menentang kewujudan negara Islam dan memperlekehkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, Pas gagal memahami atau tidak mahu mengakui bahawa ia telah terperangkap dan sedang diperkudakan oleh kedua-dua parti tersebut sehingga Pas menjadi parti yang tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Justeru, apa lagi alasan Pas untuk memperlekeh dan menolak saranan kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas supaya perpaduan Melayu menjadi lebih kuat? - Utusan 6/8/2010
Perpaduan Melayu demi kelangsungan ummah
Oleh Mohd Ayop Abd Razid

USAHA membina perpaduan Melayu wajar dijadikan agenda politik Melayu hari ini. Ia memerlukan komitmen atau iltizam yang tinggi dari kedua-dua parti Melayu UMNO dan Pas. Perpaduan harus menjadi wahana ke arah memperkasa kembali kuasa politik Melayu yang semakin terhakis.

Ia penting kerana kekuatan politik dan perpaduan Melayu di negara ini menjadi teras dan penentu kepada kestabilan politik dan perpaduan nasional. Ia juga asas kepada kedudukan dan keutuhan agama Islam di negara ini.

Justeru, sudah sampai masanya kepimpinan kedua-dua parti Melayu terbabit 'mencelikkan mata', 'menyaringkan telinga' dan 'membersihkan hati' dalam masalah isu perpaduan Melayu. Pemimpin UMNO dan Pas mesti memiliki daya fikir yang tajam supaya dapat merasionalisasikan nafsu politik kepartian masing-masing agar usaha murni ini menjadi kenyataan.

Kedua-dua parti itu harus melihat isu perpaduan Melayu sebagai masalah umat Melayu-Islam secara kolektif, bukan masalah kepartian. Ia bukan soal UMNO lemah atau kuat. Apa yang harus dilihat ialah kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas sebagai peluang untuk merencana semula perpaduan dan masa depan orang Melayu supaya menjadi lebih kukuh dan padu.

Perbincangan ke arah perpaduan Melayu mesti berasaskan formula realistik dan jelas supaya ia bukan sahaja memberi faedah kepada bangsa Melayu, malah membawa kesejahteraan kepada semua pihak, termasuk masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Perkara pokok yang harus diberi perhatian ialah melihat perpaduan Melayu itu secara holistik. Justeru, kerjasama UMNO-Pas ini sewajarnya dapat membangun justifikasi jangka panjang serta harus dilihat sebagai sebuah pertimbangan untuk kelangsungan masa depan ummah di negara ini.

Untuk memulakannya, banyak belenggu dan halangan mesti dijauhi. Belenggu-belenggu tersebut lebih merupakan sifat mazmumah yang perlu disingkirkan oleh kedua-dua pihak. Setiap pihak harus saling menghormati dan menerima kebaikan pihak lawan.

Sikap fanatik kepartian perlu dielakkan. Perkara-perkara khilafiyah jangan diperbesarkan. Caci-mencaci dan tuduh-menuduh mesti dijauhi. Segala permusuhan yang bersifat peribadi di kalangan pemimpin kedua-dua parti Melayu itu harus dielakkan.

Sifat mahmudah seperti keterbukaan, ikhlas, tidak menyimpan dendam dan tidak bersangka buruk harus ada pada kedua-dua belah pihak untuk memulakan perundingan perpaduan Melayu. Sikap keterbukaan atau toleransi (berlapang dada) mesti menjadi amalan kita. Dalam soal keterbukaan ini, saya ingin mengutip rangkap puisi Tenas Effendy (Tunjuk Ajar Melayu, 2004) yang berbunyi:

Kalau hidup berterus terang,
Bala menjauh sengketa pun hilang,
Kalau runding berbuka-bukaan,
Beban berat menjadi ringan,
Berterus terang menurut patutnya,
Berbuka-buka menurut layaknya,
Kalau hendak berterus terang,
Niatnya jangan menghina orang.


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin sudah pun menyatakan kesediaan mereka untuk duduk semeja dengan pemimpin Pas bagi membincangkan isu perpaduan Melayu. Saya kira di pihak Pas, Presidennya, Hadi Awang dan beberapa pemimpin kanan parti itu bersedia menerima usaha ini. Hadi sendiri pernah mengusulkan cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara UMNO dan Pas tetapi tidak menjadi kenyataan kerana Datuk Nik Aziz Nik Mat sering berdolak dalih dalam isu mengenai kerjasama UMNO-Pas.

Atas sifat bersangka baik terhadap Nik Aziz, saya yakin di hati kecil Mursyidul Am Pas itu tetap berputik harapan untuk membina perpaduan Melayu yang lebih kukuh dan ampuh. Cuma 'ego politik' Nik Aziz masih membelenggu minda dan jiwanya sehingga beliau sering berubah-ubah pendirian dalam isu mengenai perpaduan Melayu ini.

Sebagai pemimpin 'kerohanian' parti itu, Nik Aziz sepatutnya berupaya menanggalkan ego politik dan bersifat terbuka, ikhlas serta sedia berkorban demi masa depan agama, bangsa dan tanah air.

Nik Aziz juga harus menerima dan menghormati pandangan tokoh-tokoh cendekiawan Melayu seperti Prof. Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusoff Hussein dan juga pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harunssani Zakaria. Tokoh-tokoh tersebut menaruh harapan tinggi untuk melihat perpaduan Melayu di negara ini menjadi kenyataan.
- Utusan 22/7/2010
RMKe-10 bergantung kepada sektor swasta
Olhe Mohd Ayop Abd razid
-
MATLAMAT Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10) ialah untuk memenuhi agenda transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. Ia bagi memenuhi hasrat Wawasan 2020 yang mahu menjadikan negara setaraf negara maju lain. Untuk mencapai hasrat itu, pertumbuhan ekonomi negara perlu berada pada kadar enam peratus setahun.
-
Ia satu cabaran kerana keadaan pertumbuhan ekonomi dunia masih perlahan pada kadar 4.5 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang. Kesan daripada kejatuhan ekonomi dunia menyebabkan momentum pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh sedekad lalu adalah perlahan.
-
Dalam RMK-9, pertumbuhan ekonomi negara hanya pada kadar empat hingga lima peratus setahun. Justeru, negara memerlukan satu anjakan dan pendekatan baru untuk memantapkan struktur dan pertumbuhan ekonomi.
-
Cara menggerakkan ekonomi negara mesti lebih proaktif, pragmatik dan dinamik. Ia penting dalam konteks persaingan global dan serantau yang semakin kompleks dan mencabar. Penekanan kepada peningkatan daya saing negara menjadi agenda penting dalam memastikan hasrat negara berpendapatan tinggi tercapai.
-
Sebelum ini, indeks daya saing negara jatuh menyebabkan pendapatan perkapita menurun. Jika dulu pendapatan perkapita negara pernah mengatasi Korea, Singapura dan Taiwan tetapi hari ini keadaan sebaliknya berlaku.
-
Justeru, kita memerlukan satu pendekatan baru. Jika dulu kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah sesuai pada masanya, hari ini Model Baru Ekonomi (MBE) lahir selari dengan senario persekitaran, perubahan dan cabaran ekonomi global serta persaingan yang semakin sengit.
-
Semua perubahan ini menuntut kita berfikir secara positif dan dinamik ke arah menjayakan perubahan ekonomi yang diharapkan itu. Jika tiga dekad lalu pembangunan ekonomi negara sering dikaitkan dengan program pembasmian kemiskinan tetapi kini pembangunan ekonomi negara mesti dikaitkan dengan daya saing dan produktiviti negara. Adalah penting negara mencapai negara berpendapatan tinggi supaya kita dapat mengurangkan jurang perbezaan, menambah golongan menengah dan mencapai kesejahteraan hidup lebih sempurna.
-
Golongan berpendapatan rendah mesti diberi perhatian. Justeru, MBE tidak sama sekali meminggirkan golongan terbabit. Golongan ini perlu dibantu melalui pelbagai cara, termasuk memberikan kemahiran tertentu supaya pendapatan mereka boleh dipertingkatkan.
-
Pemberian subsidi wajar dinilai semula. Dalam konteks ini, kerajaan boleh mencontohi Denmark yang sudah mencapai status negara berpendapatan tinggi. Di negara itu, subsidi tidak diberi, sebaliknya elaun diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan pada harga pasaran dunia. Kaedah ini memberi ruang kepada pemain dalam industri ekonomi negara bersaing dalam pasaran semasa.
-
Peranan sektor swasta penting dalam menggerakkan ekonomi negara. Sejak berlakunya krisis 1977-1978, pelaburan sektor swasta terus merosot menyebabkan pelaburan awam meningkat. Kesannya, berlaku defisit agak tinggi. Justeru, dalam RMKe-10, kerajaan mahu mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus pada 2010 kepada kurang 3 peratus pada 2015.
-
Untuk tujuan itu, pelaburan sektor swasta dalam negara amat penting. Oleh itu, dalam RMKe-10, kerajaan meletakkan sasaran untuk memangkinkan pelaburan swasta agar berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun.
-
Negara memerlukan syarikat berdaya saing yang mampu bersaing di pentas antarabangsa. Justeru, sektor swasta perlu memiliki strategi berinovasi yang mampu menjana pertumbuhan.
Sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) juga mesti memiliki daya saing tinggi supaya dapat diterima dalam pasaran domestik serta menembusi pasaran global. IKS perlu memanfaatkan kemudahan teknologi yang dapat membantu memodenkan pengeluaran produk dan sekali gus dapat memperkasakan ekonomi negara.
-
IKS yang kukuh boleh menjadi pemangkin dalam mencapai matlamat RMKe-10. Mana-mana syarikat IKS yang boleh maju dan berdaya saing maka syarikat terbabit wajar diberi bantuan dan sokongan. Kerajaan tidak harus membuang masa dan wang untuk membantu industri yang tidak berdaya saing. Produktiviti berkait rapat dengan tenaga buruh atau modal insan. Sejak 1990-an kita terlalu banyak bergantung kepada buruh asing yang kurang mahir menyebabkan daya saing kita merosot. Aliran ini mesti dihentikan dan negara perlu melahirkan modal insan tempatan berkemahiran tinggi.
-
Bertolak daripada faktor kritikal inilah, mengikut RMKe-10, peruntukan untuk infrastruktur bukan fizikal ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9 dengan tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.
-
Pembangunan modal insan amat berkait rapat dengan pendidikan, Justeru, usaha memperkasa pendidikan negara perlu mengambil kira keperluan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam aspek teknikal, inovasi dan kreativiti. Adalah menjadi kewajipan institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kursus teknikal dan profesional. Malah, kerajaan sewajarnya memperkasa sistem pendidikan atau sekolah vokasional dan teknik bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam aspek teknikal, inovasi dan kreativiti.
-
Faktor ini dilihat kritikal kerana negara perlu maju ke tahap teknologi lebih tinggi. Kita tidak boleh lagi bersaing dengan menawarkan tenaga buruh rendah bayarannya. Sebaliknya, kita perlu menawarkan tenaga buruh berdaya saing dengan kemahiran dan pengetahuan tinggi supaya gaji dan pendapatan yang ditawarkan juga tinggi.
-
Dalam melaksanakan transformasi ekonomi kita memerlukan peranan sektor awam. Sektor awam berperanan penting memacu agenda transformasi negara. Sektor awam berkewajipan mendukung empat tonggak utama kerajaan iaitu gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), MBE dan RMKe-10. Kesimpulannya, kejayaan pelaksanaan RMKe-10 amat bergantung pada pelaburan sektor swasta, modal insan berkemahiran tinggi dan sektor awam yang berkesan serta teguh mendukung aspirasi negara. - BH 8/7/2010

Tuesday, July 20, 2010

Malaysia perlu bebas aktiviti pengganas

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

KENYATAAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kumpulan militan, Jemaah Islamiah (JI) warga asing aktif merekrut golongan remaja di negara ini termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) harus dipandang serius oleh pihak-pihak yang terbabit dengan urusan keselamatan negara.

Selain mendedahkan adanya usaha kumpulan JI mempengaruhi golongan anak muda di negara ini, Musa juga mendedahkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengesan kehadiran beberapa pemimpin kanan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang cuba menjadikan negara ini sebagai tempat perlindungan dan pangkalan logistik mereka.

Pendedahan beliau itu membuktikan bahawa PDRM sentiasa memantau pergerakan kumpulan-kumpulan pengganas (teroris) sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Sudah tentu kita tidak mahu negara ini dijadikan tempat bagi kumpulan ekstremis seperti JI dan LTTE menjalankan aktiviti mereka sama ada merekrut atau sebagai pangkalan logistik mereka.

Pengkaji dan peneliti terorisme mendapati ideologi ekstrem ini sudah wujud dan hidup sejak dulu hingga kini. Dari semasa ke semasa aktiviti mereka semakin canggih melalui pembentukan organisasi terancang dan turut menggunakan alat-alat teknologi dan komunikasi (ICT) canggih.

Apakah pengertian dan bentuk-bentuk terorisme itu? Sememangnya sukar untuk mendefinisikan erti terorisme secara tepat kerana ia berkaitan pelbagai aspek sosiologi, psikologi, politik dan kriminologi. Terorisme juga sering dikaitkan dengan tindakan-tindakan ganas (‘teror’), kekerasan, ekstrimisme dan intimidasi.

Secara umumnya, pengertian terorisme adalah perlakuan ‘keganasan’ yang dilakukan secara terancang oleh kumpulan pengganas dengan tujuan untuk menimbulkan ketakutan dan ketidaktenteraman awam.

Perlakuan terorisme melibatkan cara berfikir dan bertindak yang menggunakan kekerasan sebagai teknik untuk mencapai tujuan. Terorisme sebagai fahaman yang dicirikan atau diidentifikasikan dengan keganasan menimbulkan kesan negatif terhadap kemanusiaan kerana akibat dari aktiviti dan tindakan terorisme sering memakan korban kemanusiaan dan kehancuran harta benda yang tidak terhitung.

Malah, ia meninggalkan kesan psikologi seperti trauma yang cukup mendalam kepada mangsa. Ancaman terorisme adalah satu bentuk kejahatan kemanusiaan yang terus membayangi dan menghantui masyarakat dunia. Justeru, UN World Summit Outcome Document 2005 menyebut negara-negara anggota telah senada mengutuk terorisme dan menyatakan bahawa terorisme merupakan salah satu ancaman paling serius bagi perdamaian dan keamanan antarabangsa dewasa ini.

Mengenai bentuk-bentuk terorisme, pengkaji Barat seperti David C Rapoport (1989) membahagi ‘teror’ (keganasan) kepada dua bentuk, iaitu ‘keganasan suci’ dan ‘keganasan sekular’. ‘Keganasan suci’ adalah keganasan keagamaan (religious ). ‘Keganasan sekular’ pula ada dua iaitu ‘keganasan negara’ (state terror) dan ‘keganasan pemberontakan’ (rebel terror).

Kedua-dua keganasan sekular itu lebih merupakan tindakan keganasan yang didorong oleh tujuan politik dan kekuasaan. Biasanya, keganasan sekular akan mendapat simpati dan sokongan selagi ia memiliki semangat kerakyatan atau agenda politik tertentu. Ia lebih banyak berkisar pada usaha merebut kekuasaan sehingga kepentingan yang terlihat bersifat elitis.
‘Keganasan suci’ pula didorong kuat oleh kefahaman yang salah terhadap nilai-nilai keagamaan yang diyakini dan diimani. Dalam bingkai tujuan keagamaan inilah keganasan suci menumbuhkan dogmatisme yang mendalam di kalangan pengikutnya sehingga sanggup mati dengan melakukan tindakan-tindakan ekstrem seperti ‘bom bunuh diri’.

Apakah sebenarnya motif perjuangan terorisme? Pada hakikatnya perjuangan kelompok teroris sukar difahami. Namun, kajian dan siasatan mendapati bahawa terorisme menjadikan tindakan keganasan sebagai satu-satunya cara mencapai tujuan politik atau menjayakan sesuatu ideologi. Di mata pengganas, dilema politik dan konflik hanya dapat diselesaikan dengan keganasan.

Hakikatnya, perjuangan mereka penuh kekeliruan, kecelaruan dan seringkali berasaskan tafsiran yang menyimpang daripada ajaran agama. Sama ada mereka itu datang dari kalangan penganut Islam atau kumpulan teroris daripada agama lain.

Dari segi pergerakannya pula, terorisme bergerak dalam pelbagai bentuk, iaitu dari organisasi bawah tanah, pergerakan marginal dan melalui pelbagai kelompok ideologi radikal yang kadang-kadang dinamakan atas perjuangan agama dan ‘bangsa’. Ada gerakakan terorisme itu berasakan kepada pemujaan dan pendewaan terhadap seorang pemimpin yang disucikan.

Ada juga terorisme yang dilakukan atas kepentingan agenda dan perjuangan politik untuk memperjuangkan autonomi wilayah tertentu. Misalnya, Tentera Republik Ireland (IRA) yang berjuang untuk kemerdekaan Ireland telah melakukan serangan yang mengakibatkan kematian lebih dari 3,200 jiwa. Demikian juga perjuangan LTTE di Sri Lanka juga adalah contoh jelas yang boleh diketengahkan.

Ada juga terorisme yang ditegakkan atas nama pembinaan negara. Kes paling nyata dalam terorisme jenis ini ialah kewujudan negara haram Zionis-Israel sejak tahun 1948 hingga kini. Zionis-Israel telah melalukan banyak siri serangan ganas yang sehingga kini sudah mengorbankan ratusan ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa. Ia adalah satu bentuk ‘keganasan suci’ yang dibangunkan di atas dogmatisme keagamaan yang melampau.

Apakah wujud jaringan terorisme antarabangsa? Terorisme pada abad ini mempunyai jaringan luas sehingga mampu mengancam keamanan antarabangsa. Menurut Adnan Oktar atau nama penanya Harun Yahya, wujud hampir 500 kelompok pengganas di dunia dan ada di antaranya mempunyai jaringan global (antarabangsa).

Apa yang disebut Harun Yahya itu ada kebenarannya kerana aktiviti terorisme berlaku di banyak negara seperti Amerika Syarikat (AS), Uganda, Angola, Nigeria, Britain, Perancis, Sepanyol, Jepun, Timur Tengah, Amerika Latin. Malah, jaringan terorisme juga muncul di kawasan Asia Tenggara dan sekitarnya.

Di Asia Tenggara, Indonesia adalah negara yang paling kerap mengalami insiden letupan oleh kumpulan pengganas yang mengorbankan banyak nyawa dan merosakkan harta benda yang bukan sedikit jumlahnya.

Rakyat perlu memahami apakah bahayanya terorisme itu. Bagi negara yang terdedah kepada ancaman terorisme maka keamanan nasional boleh terancam sehingga ke tahap yang kritikal. Yang nyata, kesan buruk daripada aktiviti terorisme menyebabkan kehidupan masyarakat menjadi terganggu. Ia mengocak dan mengganggu ketenteraman awam serta mengancam keselamatan jiwa dan harta benda.

Paling dibimbangi dan digeruni ialah kecenderungan mereka menggunakan senjata canggih dalam serangan yang dilakukan. Kedahsyatan dan kengerian tindakan pengganas dapat meninggalkan trauma yang berpanjangan kepada mangsa. Apa tidaknya, hanya dengan satu letupan atau ledakan bom berani mati akan mengakibatkan manusia tanpa mengira dewasa, orang tua atau kanak-kanak, lelaki atau wanita akan mengalami kematian atau kecederaan parah serta memusnahkan bangunan dan harta benda hancur berkecai sekelip mata.

Ajaran Islam menolak sama sekali ideologi yang bersifat ekstrem seperti ini. Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam tidak mengizinkan sama sekali tindakan dan perlakuan keganasan atas nama agama. Ia adalah tindakan mungkar yang mesti dicegah sedaya upaya. Dari sudut pandangan fikah Islam, terorisme termasuk dalam unsur ‘hirabah’ atau perlakuan ganas.

Islam hanya mengenal jihad. Pengertian ‘jihad’ pula harus difahami dengan tepat. Ia mengandungi beberapa pengertian yang khusus.

Pertama, jihad bermaksud menggunakan segala usaha dan upaya sepenuh tenaga serta kesediaan untuk menanggung kesulitan dalam memerangi dan menahan ancaman (serangan) musuh dalam apa jua bentuknya. Jihad dalam pengertian ini juga disebut qital atau al-harb (al-Hajj: 39).

Kedua, jihad juga membawa maksud segala usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan untuk menjaga dan meninggikan agama Allah. Terorisme memiliki ciri meruntuh, memusnah, merosak dan bersifat anarkis dengan tujuan untuk menimbulkan rasa ketakutan atau menghancurkan pihak lain. Tindakannya dilakukan tanpa peraturan dan sasaran tanpa batas.

Sebaliknya, jihad dilakukan secara berpatutan seperti yang ditentukan oleh syariat sekalipun dengan cara peperangan. Sasaran musuhnya jelas dan nyata dan tujuannya adalah menegakkan agama Allah dan membela hak-hak mereka yang dizalimi.

Dalam peperangan, Islam melarang membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan mereka yang tidak berdaya serta dilarang membakar ladang tanaman, menceroboh rumah-rumah ibadat termasuk membunuh musuh yang berlindung di dalam rumah ibadat mereka.

- Utusan, 17/6/2010

Wednesday, June 2, 2010




Mampukah PBB bertindak?

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

Kekejaman dan kejahatan Zionis Israel terserlah lagi apabila pada 31 Mei lalu, pasukan komandonya melakukan serangan ke atas kapal Turki, 'Mavi Marmara' yang ketika itu dalam pelayaran misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) sehingga mengakibatkan 19 orang terbunuh dan puluhan lagi penumpang lain cedera terkena tembakan tentera laut negara Yahudi itu.

Serangan itu dilakukan di perairan antarabangsa Laut Mediterranean.

Kapal penumpang terbabit membawa para sukarelawan seramai 600 orang dari lebih 50 buah negara, termasuk aktivis kemanusiaan dari Malaysia dan Indonesia.

Selain membawa aktivis kemanusiaan, kapal terbabit turut membawa dua kapal kargo dan tiga lagi bot lain.

Yang jelas, pelayaran tersebut bukan misi ketenteraan tetapi ia adalah misi pelayaran damai (Freedom Flotilla) yang membawa barangan keperluan hidup harian untuk membantu penduduk Gaza yang berada dalam kepungan dan tekanan rejim Zionis Israel.

Serangan 'gila' Israel itu mempamerkan betapa kejam dan ganasnya rejim Zionis Israel yang sering menodai peraturan-peraturan antarabangsa sama ada di lautan, udara dan daratan.

Serangan yang dilakukan itu jelas tidak mempedulikan dan menghormati undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan, mahupun undang-undang maritim antarabangsa.

Undang-undang maritim antarabangsa menegaskan bahawa tiada sebuah negara pun berhak bertindak sewenang-wenangnya di perairan antarabangsa. Ia merupakan jenayah kejam tentera Israel terhadap misi kemanusiaan antarabangsa yang tidak boleh dimaafkan.

Ada laporan menyebut bahawa pasukan Israel itu berusaha meledakkan kapal-kapal yang membawa bantuan dan para aktivis kemanusiaan.

Tindakan mereka itu jelas tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan. Israel seolah-olah menunjukkan dirinya kebal dari tindakan undang-undang antarabangsa. Pencabulan hak asasi manusia sangat jelas dilakukan oleh negara terkutuk itu.

Malangnya, sejak Palestin dirampas Zionis Israel, tidak banyak undang-undang antarabangsa digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghukum Israel. Malah, pada peringkat awal pencerobohan Israel itu, PBB atas desakan dan tekanan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya telah mengesahkan penjajahan al-Quds oleh Yahudi Zionis pada tahun 1948.

Dalam kes ini, manipulasi undang-undang antarabangsa dilakukan oleh negara-negara kuat untuk memenuhi agenda penjajahan mereka.

Satu lagi contoh dari sekian banyak kes jenayah perang Israel adalah serangan 21 hari Israel ke atas Gaza (hujung tahun 2008) yang mana kumpulan Hak Asasi Manusia, iaitu Amnesty International mengeluarkan laporan bahawa Israel secara terang-terangan telah menggunakan munisi fosforus putih ke atas kawasan yang padat dengan penduduk di Gaza secara rambang.

Menurut Amnesty International, pada 15 Januari 2009, tentera Israel telah menggunakan bahan tersebut di beberapa tempat, iaitu di kawasan UNWRA (UN Relief and Works Agency) dan juga ke atas hospital al-Quds di Gaza City.

Malah, serangan militari Israel ke atas hospital, stor bekalan makanan dan ubatan PBB, sekolah, masjid serta kemudahan awam adalah perlanggaran undang-undang antarabangsa dan Israel boleh didakwa telah melakukan jenayah perang.

Aksi ganas yang dilakukan Israel pada 31 Mei lalu merupakan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Geneva yang menuntut PBB menilai dan mengambil tindakan terhadap kekejaman Israel itu.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan itu dan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara tersebut.

Apa pun, peranan PBB sebagai benteng undang-undang antarabangsa perlu dipersoalkan sekiranya badan dunia itu gagal mengambil tindakan keras ke atas Israel.

Namun, kita sedar bahawa ia hanyalah sekadar harapan sahaja. Selagi AS dan sekutunya terus memberi perlindungan kepada rejim Israel, maka selagi itulah hakikat ketidakadilan badan dunia itu akan terus terserlah.

Malah, puluhan resolusi yang telah dicapai di peringkat antarabangsa juga gagal menghalang rejim Zionis Israel daripada terus bertindak kejam sewenang-wenangnya.

Sebenarnya, bagi dunia Islam kita memerlukan solidariti dari kalangan negara umat Islam. Hanya melalui perpaduan dan kata sepakat yang teguh negara-negara umat Islam dapat membendung kezaliman Israel ke atas umat Islam Palestin.

Pada dasarnya tidak susah untuk negara-negara umat Islam bersatu kerana kesatuan akidah yang kita miliki memudahkan kita untuk bersatu. Namun, ia seolah-olah menjadi kekangan apabila kiblat politik umat Islam berpecah belah. Ada di antara negara umat Islam itu sendiri sudah pun mengiktiraf negara Israel secara rasmi, sementara banyak politik negara umat Islam berkiblatkan AS yang merupakan sekutu kuat Israel. - UTUSAN MALAYSIA 2/7/2010
Keharmonian masyarakat majmuk bermula di Melaka

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

KETIKA keagungannya pada abad ke-15, Melaka adalah sebuah kota antarabangsa yang makmur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Negeri yang terkenal dengan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak dan kehandalan Laksamana Hang Tuah itu, banyak meninggalkan asas kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.

Misalnya, sistem beraja dan undang-undang bertulis negeri Melaka menjadi asas kepada sistem kenegaraan negara kita.

Dalam konteks sejarah sosial, Melaka ialah negeri yang mula-mula mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beberapa pengkaji sejarah seperti O W Wolters dan Wang Gungwu, Melaka mula mengamalkan sikap liberal dan terbuka sejak pemerintahan Iskandar Syah (Parameswara) dan dua orang pengganti selepasnya.

Mereka menggalakkan pedagang dan orang luar datang ke pelabuhan Melaka sehingga terbentuknya masyarakat majmuk di kota Melaka.

Melaka ketika itu bukan saja didatangi pelbagai etnik dari Nusantara (kepulauan Melayu), malah pelbagai bangsa dari berbagai tempat di dunia seperti Parsi, Arab, India, China, Burma dan Kemboja (Champa). Menurut Pires, selepas kemangkatan Parameswara, penduduk Melaka kira-kira 6,000 orang.

Winstedt dalam bukunya History of Malaya menyebut penduduk Melaka meningkat kepada 40,000 orang dewasa ketika pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190,000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka.

Kaum pendatang di Melaka ketika itu sangat menghormati budaya dan adat rakyat tempatan (orang Melayu). Mereka bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sehingga ada di kalangan orang asing itu diberi peluang dalam mobiliti sosial dengan terbabit langsung dalam institusi pentadbiran Melaka.

Melaka juga sejak awal lagi merakamkan bahawa proses asimilasi budaya pernah berlaku di negeri itu sehingga mewujudkan beberapa komuniti masyarakat yang unik iaitu komuniti Cina Peranakan yang dikenali sebagai Nyonya Baba dan India Peranakan yang dikenali sebagai komuniti Ceti.

Justeru, apabila kita membicarakan mengenai perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat, Melaka harus dijadikan rujukan dalam memahami keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. Dalam tulisan ini saya cuba mencatatkan sekelumit gambaran mengenai keharmonian hidup masyarakat majmuk di Melaka berasaskan beberapa catatan Abdullah Munsyi dalam bukunya Hikayat Abdullah (Pustaka Antara, 1963).

Abdullah Munsyi di dalam hikayatnya itu mencatatkan penduduk kota Melaka terdiri daripada pelbagai komposisi bangsa atau kaum. Abdullah menyebut bahawa Melaka sudah pun dihuni penduduk pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan Nasrani (Portugis).

Pada bab enam buku berkenaan, beliau menyebut pelbagai bangsa yang hidup di Melaka itu hidup dalam suasana aman dan damai. Abdullah menggambarkan bahawa keadaan keharmonian masyarakat berbilang kaum itu wujud kerana ada sifat setia dan taat kepada pemerintah ketika itu.

Keharmonian hidup rakyat Melaka seperti digambarkan Abdullah itu dapat dikesan seperti dalam catatannya:

“…. maka segala orang Melaka daripada empat bangsa orang pun terlalu sangat kasih dan berajakan Tuan Farquhar itu, maka adalah pada masa itu negeri Melaka pun dalam sentosanya, dan dagang pun terlalu banyak keluar masuk, datang daripada segala pihak negeri berniaga.”

Walaupun pemerintah yang dimaksudkan Abdullah itu ialah Inggeris kerana Abdullah menulis ketika Melaka sudah berada di bawah pentadbiran Inggeris, mesejnya ialah kesetiaan kepada pemerintah menjadi elemen kepada faktor wujudnya kesetiaan dan perpaduan rakyat Melaka ketika itu.

Abdullah mencatatkan hubungan antara kaum di Melaka begitu kuat dan harmonis sehingga seorang budak yang nakal dari satu bangsa boleh ditegur oleh bangsa lain. Malah, boleh dipukul oleh ibu bapa bangsa lain. Ibu bapa budak yang dipukul atau ditegur itu akan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat perlakuan atau perangai anaknya.

Perkara itu jelas dicatat (bab empat) oleh Abdullah apabila beliau menulis; “… dalam negeri Melaka, baik bangsa apa, seseorang menaruh malu akan seseorang, dan seseorang takut akan seseorang. Maka jika kiranya anak Melayu membuat pekerjaan jahat atau barang sebagainya yang tidak baik, dilihat orang Cina atau bangsa mana pun, maka boleh diajarnya dan dipukulnya akan dia, maka itu dipuji oleh ibu bapa budak itu.”

Demikianlah eratnya hubungan antara kaum dan indahnya suasana harmonis yang wujud di Melaka seperti dicatat Abdullah itu. Saya masih ingat, ketika saya kecil dulu ( 1960-an dan 1970-an), masyarakat di tempat penulis lahir dan dibesarkan (di Melaka) masih dapat melihat suasana demikian dengan bangsa lain boleh menegur anak jiran daripada bangsa lain tanpa rasa takut atau bimbang dimarahi ibu bapa budak yang ditegur itu.

Malah, ada yang merotan sekali dua di kaki atau punggung budak yang nakal atau melakukan kejahatan di hadapannya. Hari ini semua sudah berubah kerana masyarakat semakin bersifat individualistik. Hari ini, jangan dikatakan menjentik anak jiran, malah menegur sekali pun boleh mengundang pergaduhan dan perseteruan.

Alangkah indahnya masyarakat kita sekiranya perpaduan yang sekarang sedang kita janakan semula melalui gagasan 1Malaysia boleh mencapai tahap seperti itu. Rasanya sukar untuk kita alami suasana seperti itu kembali.

Namun, apa yang penting ialah perlunya kita memperkukuhkan perasaan saling hormat menghormati, bertolak ansur, rendah hati dan berbudi bahasa antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Amalan itu adalah nilai murni yang ingin diterapkan melalui gagasan 1Malaysia.
- BH 1/6/2010