Monday, April 4, 2011

Belia kritis, produktif acuan pembangunan negara - Oleh Mohd Ayop Abd Razid - BELIA merupakan aset penting untuk negara. Golongan ini amat penting kerana mereka adalah pelapis dan pewaris kepemimpinan negara pada masa depan. Golongan ini juga merupakan penyumbang besar kepada tenaga kerja negara. - Siapakah belia itu? Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mentakrifkan belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 25 tahun, manakala pertubuhan Komanwel pula meletakkan umur 15 hingga 29 tahun sebagai belia. - Di negara kita, definisi belia ialah mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) mentakrifkan belia sebagai individu yang berumur tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun. Husain Mohamed (1977) mentakrifkan belia sebagai ‘orang muda’ yang bertenaga dan lebih produktif serta menguntungkan dari segi tenaga kerja (modal insan). - Menurut Husain, belia mempunyai beberapa sifat seperti sifat mencabar, resah gelisah serta memiliki tendensi untuk menentang ‘establishment’ dan ‘status quo’ masyarakat. Implikasi buruk boleh tercetus sekiranya golongan ini bersifat anti-sosial dan radikal. Justeru, belia adalah satu golongan yang boleh digunakan sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya. Di negara kita, golongan belia membentuk lebih daripada 40 peratus daripada populasi negara. - Justeru, dasar pembangunan belia secara holistik mesti diberi fokus penting supaya golongan ini dapat memainkan peranan aktif dan berkesan dalam proses pembangunan negara terutamanya dalam usaha menjadikan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti. Pengabaian terhadap golongan ini boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif kepada aspek pembangunan sosioekonomi negara. - Pada amnya pembangunan belia di negara ini dibangunkan melalui sistem pendidikan negara. Namun, secara khususnya, Kementerian Belia dan Sukan mempunyai tanggungjawab besar dalam soal pembangunan belia di negara ini. Selain itu, peranan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga sentiasa didambakan dalam membantu usaha membangun dan memajukan golongan belia di negara ini. - Ada pihak yang membuat komentar bahawa Kementerian Belia dan Sukan hari ini lebih banyak memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan sedangkan pembangunan belia dalam aspek-aspek lain kurang diberi perhatian. Sejauh mana benarnya komentar itu haruslah dijawab oleh kementerian berkenaan secara berfakta dan tuntas. - Secara umumnya, golongan belia pada masa kini harus diberikan peranan yang lebih dalam proses membuat keputusan. Peranan ini harus ditekankan dalam usaha mengisi ruang peranan belia secara dinamik dalam proses pembangunan negara. Soalnya, bagaimana proses membuat keputusan beliau ini boleh dimainkan secara berkesan? - Pada hemat saya cara terbaik ialah melalui persatuan-persatuan belia di mana tenaga dan idea mereka boleh digarap dan dilaksanakan secara melalui pelbagai aktiviti. Persatuan-persatuan belia harus diberi kebebasan untuk membuat keputusan dalam melaksanakan aktiviti mereka, bermula dari peringkat perancangan aktiviti sehinggalah kepada pelaksanaan projek atau program. Kementerian berkenaan mungkin boleh berperanan sebagai fasilitator, penasihat, pembimbing dan membantu dari segi kewangan. Mereka juga mesti diberi ruang dan peluang dalam proses pembuatan keputusan dalam Dasar Belia Negara. - Persatuan belia yang diterajui oleh kepemimpinan yang dinamik penting dalam menggerakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat. Persatuan belia juga mesti mempunyai komitmen untuk memperjuangkan perkara berkaitan hak asasi dan demokrasi di negara ini. Tidak ada maknanya jika negara mempunyai banyak persatuan belia tetapi bersifat pasif dan hanya bergantung pada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti. Pada tahun 2005 terdapat 8,000 persatuan belia dengan keanggotaan 2.8 juta ahli. - Saya yakin sekiranya persatuan belia dapat memainkan peranan aktif maka belia di negara ini akan melalui sosialisasi politik yang bermakna dalam kehidupan mereka. Ia sekali gus dapat membina potensi kepemimpinan sebagai pewaris negara pada masa depan. Berdasarkan Kajian Indeks Belia 2006 menunjukkan sosialisasi politik belia di negara ini adalah di tahap sederhana dan ia perlu dipertingkatkan lagi. Jika diambil kira kelayakan umur mengundi di negara ini maka sudah tentu golongan ini mempunyai pengaruh yang besar dalam kejayaan sesebuah parti politik yang bertanding dalam proses pilihan raya di negara ini. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pernah mengeluarkan statistik yang menunjukkan sehingga Disember 2007 terdapat 15.1 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun layak mendaftar sebagai pemilih. Namun, lebih 4.6 juta belum berbuat demikian. - Dalam konteks perhubungan kaum, belia yang hidup dalam kepelbagaian (diversity) sama ada dari segi etnik, bahasa, budaya dan agama harus memiliki kemampuan berkomunikasi secara efektif serta bersifat persuasif dengan rakan-rakan pelbagai keturunan. Dalam berinteraksi pula belai harus memiliki ‘moral reasoning’ dengan pegangan prinsip dan etika yang jelas supaya gagasan 1Malaysia yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan negara dapat dicapai dengan jayanya. - Persatuan belia harus mampu melihat sesuatu dari perspektif sendiri supaya pembentukan sikap dan pemikiran dapat dibina secara terarah dan dapat dimanfaatkan untuk proses pembangunan negara. Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang diwakili oleh pelbagai pertubuhan belia harus dimanfaatkan sepenuhnya. - MPBN yang ditubuhkan pada tahun 2007 itu diibaratkan sebagai ‘Parlimen Belia’ mempunyai peranan penting dalam membantu kerajaan membangun dan memajukan beliau di negara ini. Justeru, persatuan-persatuan belia yang bernaung di bawah MPBN ini wajar mengambil peluang untuk memperjuangkan dasar, idea serta hasrat belia pada hari ini. - Belia dan kerajaan mesti membina komunikasi efektif supaya segala dasar, perancangan dan aktiviti belia dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi kepentingan bangsa dan negara. Persatuan beliau harus membantu kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan beliau. Setakat ini belum terserah persatuan belia mengambil inisiatif menganjur seminar bagi membahaskan isu-isu belia di negara serta menyediakan perancangan tuntas bagi membantu kerajaan menanganinya. - Dalam konteks ini, persatuan belia harus dapat mengenal pasti dan mendefinisikan masalah dengan jelas supaya dapat mengemukakan sebanyak mungkin penyelesaian dengan pelbagai metodologi. Ia memerlukan belia berfikir secara kritikal dengan menggunakan ‘inferens’ dan ‘reasoning’ yang baik supaya mampu memilih alternatif yang tepat dan berkesan. - BH 12/3/11

No comments: