Tekanan emosi rakyat pencetus ‘revolusi massa’
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
Secara mudahnya revolusi bermaksud suatu perubahan yang sangat drastik atau cepat yang boleh membawa kepada sama ada perubahan yang lebih baik atau sebaliknya. Dalam politik, gerakan ‘Revolusi Massa’ boleh diertikan sebagai suatu proses perubahan politik yang timbul dalam situasi kritis kesan daripada berlakunya konflik di antara rakyat dan pemerintah yang telah kehilangan kepercayaan rakyat. Biasanya, revolusi rakyat atau revolusi massa adalah juga merupakan “revolusi politik” kerana ia turut melibatkan golongan berkepentingan politik yang mahu melaksanakan perubahan secara radikal.
Sering kali juga revolusi massa yang terjadi itu dikenali juga sebagai ‘Revolusi Sosial’. Ini disebabkan banyaknya konflik sosial, perebutan kekuasaan dan penumpasan musuh secara kekerasan. Contohnya, Revolusi Amerika telah berjaya melakukan perubahan sosial dan intelek dalam masyarakat awal Amerika ke arah menjadi sebuah negara Amerika Syarikat yang bebas.
Revolusi yang berlaku pada separuh abad terakhir kurun ke-18 itu menyaksikan tiga belas koloni Amerika Utara berjaya menggulingkan pemerintahan Empayar British, menentang kekuasaan Parlimen Great Britain yang mahu mentadbir mereka tanpa perwakilan serta dan menolak monarki British.
Dari pengalaman sejarah, revolusi tercetus ketika sesuatu masyarakat (negara) itu mengalami krisis sosial dan politik yang sangat kritis. Situasi itu menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap pemerintah dan ditambah dengan kebencian dan kekecewaan yang sudah lama terpendam di sanubari rakyat.
Revolusi Peranchis, Revolusi Amerika dan banyak lagi revolusi yang berlaku di dunia sejak dulu lagi adalah disebabkan adanya kegelisahan rakyat yang berkait dengan soal kelangsungan hidup masyarakat atau negara mereka. Ketika zaman kolonialisme dahulu banyak negara-negara yang dijajah mengalami period-period revolusi rakyat yang bangkit menentang kuasa penjajah yang bersifat menindas.
Revolusi rakyat atau revolusi massa ini berlaku kerana wujudnya tekanan-tekanan emosional kesan daripada kezaliman, penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan oleh penguasa. Masyarakat tidak lagi mempercayai pemerintah apabila mereka merasakan kehidupan mereka semakin terhimpit, miskin, tidak dipedulikan serta kebebasan mereka sentiasa disekat dan dikawal.
Tekanan-tekanan emosi ini akan menimbulkan kebencian terhadap elit birokrat sehingga akhirnya mendorong rakyat bersatu dan bertindak. Rakyat menganggap bahwa kesengsaraan yang mereka tanggung itu adalah akibat kesilapan berterusan yang dilakukan pemerintah. Justeru, mereka mula membangkitkan kelemahan kerajaan seperti korupsi, nepotisme, kroninisme serta penyelewengan dan salah guna kuasa.
Sesuatu revolusi politik itu juga boleh tercetus hasil daripada pertembungan dan pertarungan beberapa ideologi yang cuba dikembangkan dalam sesebuah masyarakat dan keinginan pemimpinnya untuk menegakkan kuasa politiknya seperti yang berlaku dalam sejarah revolusi komunisme dan sosialisme. Kita juga tidak boleh menafikan pengaruh dan kesedaran agama dalam memangkinkan dan melonjakkan sesuatu revolusi itu. Kes Revolusi Iran 1971 yang dipimpin oleh Iman Khomeini adalah contoh terbaik dalam hal ini.
Demikian juga pelbagai revolusi yang telah dicetuskan oleh rakyat Palestine menentang rejim haram Israel juga adalah didorong oleh semangat keagamaan yang tinggi. Kini, revolusi massa yang sedang berlaku di Mesir dan beberapa negara Arab lain adalah juga disaluti dengan ‘pencerahan’ dan kesedaran terhadap agama. Mereka mula menyedari bahawa dikotomi dan dualisme pemikiran yang memisahkan agama dan politik dilihat bertentangan dengan Islam.
Kesedaran ini subur di kalangan generasi muda negara-negara tersebut. Mereka mula melihat bahawa fahaman Machiavellianism yang dianuti oleh kebanyakan pemimpin mereka menyebabkan kerajaan mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’ sehingga rakyat merasakan mereka sering tertipu dan terpedaya dengan tindakan-tindakan kerajaan dalam mengurus kehidupan rakyat.
Dalam sesuatu revolusi politik, sering kali berlakunya perebutan ke atas organisasi-organisasi dan institusi-institusi fungsional di dalam masyarakat yang cuba dikuasai oleh pihak-pihak tertentu untuk menggulingkan pemimpin atau pemerintah yang menjadi sasarannya. Keadaan ini biasa terjadi apabila sesuatu revolusi itu melibatkan tokoh-tokoh politik yang berpecah daripada kalangan pemerintah itu sendiri.
Tokoh yang berkrisis dan berpecah itu mungkin mempunyai pengaruh yang kuat dalam beberapa institusi kerajaan tertentu yang membolehkan mereka meraih sokongan. Namun, dalam revolusi yang terhasil daripada kesedaran rakyat secara total, mereka mungkin tidak mendapat sokongan daripada institusi kerajaan tetapi kesan daripada solidariti masyarakat itu mampu untuk meruntuhkan tembok kuasa pemerintah walaupun pemerintah itu cuba menggunakan institusi keselamatannya. Inilah yang sedang berlaku di Mesir hari ini.
Seringkali kesatuan rakyat ini dilakukan dengan pertubuhan atau kesatuan yang dapat mengembeling dan mengurus kebangkitan mereka. Mereka mula melihat dan mengangkat satu susuk figur (tokoh) masyarakat yang dapat menyatukan mereka dan dapat menyelami keinginan serta memperjuangkan nasib mereka. Contohnya, Revolusi Bolivarian di Amerika Latin yang digerakkan oleh Hugo Chavez adalah sebuah revolusi yang didasarkan kepada organisasi dan gerakan rakyat yang tergabung dalam Lingkaran Bolivarian. Apakah situasi ini akan berlaku di Mesir dan negara-negara Arab lain yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat? - BH 9/2/2011
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment