Wednesday, June 2, 2010

Nilai 1Malaysia menepati Islam

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
DALAM syarahannya bertajuk 'Abad Islam, Mitos atau Realiti' yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 Mei lalu, Prof. Dr. Ali Al'Amin Mazrui, Profesor Kemanusiaan Albert Schweitzer, Universiti Binghamton, Amerika Syarikat (AS) dan Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global, State University of New York, AS menyebut Malaysia adalah negara yang sangat demokratik berbanding negara Islam lain.
-
Menurutnya, konsep 1Malaysia yang dicetuskan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pendekatan yang meneruskan tradisi demokrasi dalam masyarakat berbilang etnik seperti yang disarankan dalam Islam. Bangsa Melayu bersama bangsa lain telah berjaya mempelajari pengurusan masyarakat majmuk pelbagai etnik secara berkesan.
-
Dalam mengulas syarahan itu, Najib berkata apa yang disebut oleh Profesor itu selari dengan apa yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia seperti prinsip toleran dan keadilan sosial. Menurut Najib, gagasan yang diperkenalkannya itu mengandungi prinsip Islam yang dibudayakan sebagai amalan hidup masyarakat di negara ini.
-
Yang nyata, sejak ia mula diperkenalkan, gagasan 1Malaysia berhasrat memupuk dan memperkukuh perpaduan kaum di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Gagasan ini menekankan elemen keadilan sosial. Keadilan adalah sesuatu yang sangat ditekankan Islam. Jika kita merujuk kepada al-Quran maka kita dapati keadilan dikaitkan sebagai suatu amanah bagi umat Islam untuk menegakkannya.
-
Menegakkan keadilan haruslah bebas daripada sebarang sentimen dan bersih daripada kecenderungan kepada mana-mana puak atau kaum. Justeru, apa yang diucapkan oleh Najib dalam ucapan sulungnya ketika dinobatkan sebagai Perdana Menteri bahawa 1Malaysia bermaksud, "kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia yang merentasi tembok dan kepompong etnik" adalah menepati ajaran Islam.
-
Perkara tersebut dapat difahami seperti maksud yang terkandung dalam maksud surah Surah Al-Maidah, ayat 8: "Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa."
-
Pun begitu, Islam tidak melarang menolong dan membantu kaum sendiri selagi ia dilaksanakan di atas dasar yang hak tanpa mendiskriminasikan kaum lain. Ini dapat difahami dari maksud hadis Rasulullah SAW: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempertahankan kaumnya, selagi yang dipertahankan itu bukan perkara yang berdosa" (Riwayat Abdu Daud).
-
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Apakah asabiyah itu seseorang yang kasih kepada kaumnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, tetapi asabiyah ialah orang yang menolong kaumnya atas dasar zalim."
-
Di dalam sebuah negara yang mana Islam menjadi agama rasminya, maka setiap rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama wajar menikmati keadilan sosial. Seperti dihurai Najib di Dewan Rakyat tahun lalu bahawa "Rakyat Didahulukan" membawa pengertian pengagihan dan perkhidmatan kerajaan merentasi tembok perkauman. Apa yang ditegaskan Najib itu adalah prinsip keadilan sosial yang ditekankan Islam.
-
Jelas, gagasan 1Malaysia akan terus memberikan keadilan kepada semua kaum melalui amalan pentadbiran kerajaan yang mendahulukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Malah, kerajaan akan terus mengiktiraf sumbangan semua kaum di negara ini. Ini adalah selari dengan apa yang pernah disebutkan oleh Najib bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua komuniti.
-
Ini adalah kenyataan yang sangat bermakna bagi seorang pemimpin yang bercita-cita untuk menegakkan keadilan dalam pemerintahan dan pentadbirannya.
-
Gagasan 1Malaysia diimplementasikan sejajar atau selari dengan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan negara memberi hak kerakyatan yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Justeru, gagasan 1Malaysia tetap memberikan jaminan terhadap kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
-
Selari dengan roh agama Islam yang menjadi agama rasmi negara, maka hak kaum bukan bumiputera turut dipelihara. Perkara ini jelas terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menyatakan dengan jelas tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Malah turut memelihara kepentingan kaum-kaum lain.
-
Syariat Islam menetapkan bahawa prinsip kebebasan, iaitu kebebasan berkeyakinan dan berakidah bagi semua manusia adalah sebahagian daripada keadilan sosial yang diberikan Islam kepada seluruh manusia, sama ada yang beragama Islam mahu pun yang bukan beragama Islam. Benarlah apa yang disebut oleh Najib bahawa Islam dalam beberapa aspek telah mendahului tamadun Barat seperti toleransi dan keadilan sosial. Tamadun Barat telah banyak belajar aspek-apek positif dari tamadun Islam itu sendiri.
-
Gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum juga menepati konsep persaudaraan sesama umat manusia. Sifat Islam adalah menentang cauvinisme. Inilah yang mahu diterapkan oleh Najib apabila beliau menyebut, "kita perlu berfikir dan bertindak merentasi tembok perkauman."
-
Prinsip persaudaraan manusia di dalam Islam meletakkan seluruh manusia dalam satu keluarga besar yang berasal dari Nabi Adam a.s.. Pengertian ini jelas dapat difahami apabila Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: "Dan aku menjadi saksi bahawa semua manusia adalah saling bersaudara" (Hadis riwayat Abu Daud).
-
Dalam Fasal 25 Piagam Madinah menegaskan bahawa: "Kaum Yahudi dan dari Bani 'Awf adalah satu ummah…"
-
Apa yang penting ialah persaudaraan sesama manusia harus diperluaskan melalui nilai kasih sayang (al-mua'akhah bi al-mawaddah) secara tulus dan suci. Dalam konteks negara kita, nilai-nilai penerimaan dan hormat menghormati sangat penting diamalkan kerana ia dapat menyuburkan nilai-nilai kasih sayang. Nilai-nilai terbabit menjadi sebahagian daripada teras-teras perpaduan gagasan 1Malaysia.
-
Melalui penghayatan nilai-nilai asas kemasyarakatan tersebut maka akan terbinalah ' solidariti sosial' (ulfah jamai'ah) yang padu. Selain itu, ia juga boleh membina kecenderungan rakyat ke arah gemar melakukan kebajikan sosial serta kemesraan dalam interaksi sosial (pergaulan). Dengan cara ini kita akan dapat meraikan kepelbagaian budaya (culture diversity) tanpa sebarang sikap prejudis antara satu sama lain.
-
Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perdamaian dan membenci tindakan yang bercanggah dengannya. Justeru, Islam dalam konteks interaksi sosial menekankan konsep tasamuh atau toleransi. Konsep tasamuh boleh diertikan sebagai sikap berlapang dada dalam menerima kepelbagaian dan perbezaan. Nilai ini wajar disubur dan diamalkan supaya ia dapat menjadi pemangkin ke arah perpaduan nasional.
-
Dalam sidang Dewan Rakyat pada 15 Jun 2009, Najib juga ada menyebut bahawa gagasan 1Malaysia merupakan formula yang menjadi prasyarat untuk memastikan aspirasi negara mencapai negara maju menjelang 2020 (Wawasan 2020). Untuk mencapai hasrat murni itu maka rakyat perlu membudayakan nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka.
-
Justeru, nilai-nilai aspirasi gagasan 1Malaysia yang merangkumi lapan nilai iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi adalah bertujuan membina masyarakat yang memiliki semangat daya saing dan daya juang yang tinggi dan kental, terutama dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran baru.
-
Lapan nilai aspirasi tersebut jelas membuktikan bahawa Gagasan 1Malaysia bukan sahaja mempunyai tekad untuk memperkukuh perpaduan tetapi lebih jauh dari itu untuk mencipta negara-bangsa yang memiliki kekuatan patriotisme, beretika mulia, bermoral, bermaruah, taat menjunjung prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Negara serta taat menjalan dan mengamalkan ajaran agama secara positif dalam pelbagai aspek kehidupan supaya kita mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran sosial, politik dan ekonomi global yang semakin mencabar pada hari ini. - Utusan Malaysia 21/5/2010

No comments: