Oleh Mohd Ayop Abd Razid
'SEJAK sejarah Adam dan Hawa, alam berkembang berubah-ubah'. Ini adalah lirik lagu nyanyian berduet Allahyarham Abdullah Chik dan Saloma dalam filem Tunang Pak Dukun. Hakikatnya begitulah kerana perubahan adalah tabii dan realiti kehidupan. Kehidupan yang tidak berubah adalah kehidupan yang beku.
Sifat stagnasi atau kebekuan tidak selari dengan Sirah Nabawiyyah yang mempamerkan agenda perubahan menjadi misi utama Baginda. Baginda berusaha mengubah minda masyarakatnya sama ada dalam hal ketuhanan (akidah) hinggalah kepada perubahan duniawi.
Sirah Nabawiyyah juga menunjukkan untuk mengurus perubahan mestilah melalui kepemimpinan yang dinamik dan berwawasan. Di Madinah, Baginda bukan saja menegakkan akidah tauhid malah melaksanakan kehidupan bernegara untuk mengurus masyarakat dan perubahan.
Ibn Khaldun, sarjana sosiologi Islam tersohor dalam teori perubahannya melihat masyarakat sebagai suatu organisma yang memiliki potensi untuk berkembang dan berubah. Menurutnya, perubahan hanya dapat dilakukan melalui perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun.
Velfered Pareto, ahli sosiologi Itali merumuskan bahawa semua masyarakat diperintah oleh kumpulan elit iaitu satu kelompok yang terpilih daripada rakyat. Dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, pemimpin dipilih melalui proses pilihan raya.
Dalam Islam, golongan yang dilantik mengurus kehidupan rakyat dipanggil ulil Amri. Ulil Amri bermaksud orang yang mempunyai urusan atau memegang tampuk kepemimpinan masyarakat. Kerajaan yang dilantik mestilah menyediakan perancangan pembangunan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan perubahan sesuai dengan perkembangan semasa.
Pemimpin mestilah berupaya menyediakan misi, visi dan wawasan pembangunan yang terarah. Pemimpin yang bertanggungjawab tidak banyak beretorik, sebaliknya ia fokus melaksanakan apa yang dirangka dan dirancang.
Pemimpin tulen akan sentiasa komited mengurus dan melaksanakan dasar serta memastikan undang-undang dilaksanakan dengan adil dan saksama. 'Pakaian' pemimpin ialah adil dan amanah. Justeru, pemimpin hendaklah menghayati bahawa kuasa yang dimilikinya adalah amanah Allah SWT.
Pemimpin yang melaksanakan amanah mesti berlaku adil dalam mengurus dan mentadbir masyarakat. Dalam prinsip keadilan (al-adl), pemerintah harus adil dalam memberikan hak-hak individu (rakyat). Ia perlu bersifat seimbang (wasath) dalam melaksanakan sesuatu dasar dan sesuatu hukum.
Pemerintah juga perlu melaksanakan beberapa prinsip utama seperti prinsip syura, prinsip persamaan (al-musawah), prinsip pengawasan rakyat (mua'radlah) dan prinsip kebebasan (al-hurriyah). Semua prinsip itu mesti diutamakan supaya perubahan yang dilaksanakan tidak mengetepikan asas manusiawi.
Dalam membangun dan memajukan negara, ulil amri wajib mengutamakan amalan syura atau bermusyawarah bagi mendapatkan sesuatu yang terbaik demi kepentingan rakyat. Jumhur ulama berpendapat maksud ayat: "bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu" (Ali-Imran:159) adalah satu bentuk kewajipan bagi pemerintah melaksanakannya.
Dalam prinsip persamaan (al-musawah) pula masyarakat perlu dibangunkan di atas dasar saling bantu membantu dan tolong menolong (takaful al-ijtim'). Dalam prinsip kebebasan (al-hurriyah), Islam memberikan kebebasan individu dan kebebasan masyarakat yang merangkumi kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan, berorganisasi dan berpolitik.
Negara kita mempunyai semua ciri itu. Perlembagaan negara mengandungi peruntukan yang jelas mengenai hak asasi rakyat tanpa mengira kaum. Prinsip perkongsian kuasa yang membabitkan pelbagai kaum seperti diamalkan selama ini adalah selari dengan konsep musyawarah.
Dari segi kehidupan sosial, kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat hidup dalam suasana harmoni, bertolak ansur dan saling membantu. Sifat marhamah (kasih-sayang) dengan menolak perhambaan, kezaliman, permusuhan, diskriminasi dan ketidakadilan dijadikan amalan hidup masyarakat kita.
Melalui sistem demokrasi, rakyat diberi hak memilih parti yang diyakini dapat membentuk kerajaan yang adil serta mampu membawa perubahan dan kemajuan. Jika rakyat berasakan kerajaan dipilih gagal melaksanakan keadilan dan kesejahteraan, maka mereka boleh mengubahnya melalui kuasa undi bukannya melalui demonstrasi jalanan atau sebarang bentuk rampasan kuasa. Hakikatnya, asas dan amalan kepemimpinan negara masih bersendikan nilai dan prinsip agama dan moral. ---- BH 6/8/08
No comments:
Post a Comment