Sunday, July 20, 2008

Negara tak boleh terima bulat-bulat syarat Mufta

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


EKONOMI global hari ini tidak memungkinkan kita lari daripada kuasa pasaran sejagat. Bahkan, kuasa asas globalisasi itu sendiri adalah ekonomi. Dalam banyak hal, 'globalisasi ekonomi' memerlukan penghapusan segala bentuk halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain.
Dalam konteks ini, ada tiga perkara utama menjadi sasaran perubahan iaitu corak perdagangan, pelaburan dan kewangan. Unsur inilah yang menjadi perkara pokok dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kini menjadi mekanisme penting dalam hubungan dagangan dua hala.
FTA adalah perjanjian perdagangan bebas dalam bentuk dua hala di antara negara yang terbabit. Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) di antara Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico pada 1 Januari 1994 adalah perjanjian pertama yang tercatat dalam sejarah FTA.
AS juga melaksanakan FTA dengan beberapa negara Amerika Latin seperti Peru, Nicaragua, Costa Rica, Chile, Republik Dominican, Guetama dan beberapa negara lain seperti Australia, Jordan, Oman dan Maghribi.
Pada Jun 2006, Malaysia dan Amerika Syarikat memulakan rundingan FTA. Rundingan ini lebih dikenali sebagai Mufta. Syarikat korporat bertaraf transnasional, terutama Dewan Perniagaan AS-Malaysia adalah badan utama yang mahukan rundingan ini dilaksanakan antara kedua-dua negara.
Bagi Presiden AS, George W Bush, ia mahukan rundingan ini dapat disempurnakan sebelum tempoh jawatan presidennya tamat. Apa pun harapan AS, kerajaan Malaysia tetap berhati-hati dalam rundingan itu.
Ini memandangkan beberapa kesan negatif (keburukan) yang mungkin timbul daripada FTA. Justeru, perundingan mengenai perkara berkenaan masih terus berjalan, khususnya dalam memperhalusi syarat perjanjian.
Jika kerajaan berpuas hati, Mufta boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat, maka kerajaan bersedia untuk menandatanganinya. Malaysia sebelum ini sudah menandatangani FTA dengan Jepun yang dikenali sebagai Japan-Malaysia Co-operation Partnership (JMEPA).
Tidak seperti perjanjian JMEPA, Mufta pada awalnya menimbulkan banyak pandangan kontroversi atau tentangan terutama daripada badan bukan kerajaan (NGO), usahawan dan beberapa tokoh penganalisis perdagangan dan ekonomi melihat Mufta akan lebih banyak menguntungkan AS.
Mereka melihat sekiranya kerajaan tidak berhati-hati, perjanjian Mufta mungkin akan menjadi berat sebelah kerana AS dilihat condong mengenakan syarat perjanjian menekan dan tidak adil. Negara dikatakan boleh dijajah semula melalui penguasaan ekonomi AS disebabkan perjanjian yang tidak adil.
Walaupun pada peringkat awal rundingan Mufta hanya berpaksikan pasaran tanpa sebarang agenda politik, kelicikan AS menyelitkan agenda dan maksud jahatnya perlu diawasi dengan serius dan penuh teliti. Negara perlu memastikan impak rundingan benar-benar tidak mengorbankan kepentingan negara.
Sikap mengalah dan menerima apa saja yang disyaratkan oleh AS dalam perjanjian itu harus dielakkan.
Selama ini hubungan dagangan kita dengan AS tetap menguntungkan. Pada 2005, statistik perdagangan kita dengan AS berjumlah AS$44 bilion. Dari segi pertumbuhan eksport kita ke AS menunjukkan antara 2002-2006, ia mengalami pengembangan sebanyak 50 peratus iaitu daripada AS$24 bilion kepada AS$36 bilion.
Namun, kita bimbang keadaan sebaliknya akan berlaku jika kita tersalah langkah dengan menerima Mufta yang tidak bersifat adil atau 'menang-menang'. Dalam kes Nafta misalnya, majoriti rakyat Mexico berasa kesan buruknya kerana selepas dilaksanakan, Nafta lebih memihak kepada syarikat korporat besar milik AS dan Kanada berbanding dengan syarikat tempatan.
Syarikat tempatan Mexico tidak mampu menyaingi dari segi pelaburan dan daya saing disebabkan amalan berat sebelah dalam pelaksanaan Nafta. Begitu juga dengan negara lain yang memeterai FTA dengan AS, dikatakan mula merasai bahang ketidakadilan perjanjian itu.
Ada di kalangan negara terbabit yang terpaksa berhutang dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang juga berada di bawah telunjuk dan pengaruh AS.
Di Asia Tenggara, Singapura adalah satu-satunya negara yang sudah melaksanakan FTA dengan AS. Begitu juga dengan Israel di rantau Asia Barat sudah mengadakan perjanjian FTA dengan AS. Mungkin Israel dan Singapura menikmati perjanjian seimbang kerana kedua-duanya mempunyai hubungan politik dan ketenteraan yang cukup akrab dengan AS.
Kita masih ingat lagi ugutan AS ketika berlangsungnya beberapa pusingan awal rundingan Mufta. Pada 1 Januari 2007, Tom Lantos, ahli kongres kanan AS mendesak rundingan FTA dengan Malaysia ditangguhkan semata-mata kerana kita membuat perjanjian dengan Iran, iaitu perjanjian penerokaan dan pembangunan gas di tenggara Iran serta pembinaan loji gas cecair asli di antara National Iranian Oil Company dan SKS Ventures (syarikat swasta) dari Malaysia.
Perjanjian itu disifatkan sesetengah ahli politik Amerika Syarikat sebagai melanggar Akta Sekatan terhadap Iran, sedangkan perjanjian yang dibuat itu tidak membabitkan Kerajaan Malaysia dan ia sama sekali tidak membabitkan soal nuklear.
Sebelum itu, AS pernah membangkitkan isu buruh dan alam sekitar dengan menuduh negara melanggar peraturan antarabangsa. Isu ini digunakan AS sebagai ugutan untuk menangguhkan rundingan FTA dengan Malaysia. Inilah cara ugutan digunakan AS untuk menjayakan agenda mereka.
Kita tidak sepatutnya mengambil kisah dengan ugutan AS jika perjanjian itu tidak membawa hubungan perdagangan yang adil kepada negara. Tindakan yang wajar kita ambil ialah meneruskan corak hubungan dagangan dengan AS seperti yang sedia terjalin.
Ada banyak perkara yang perlu kita beri perhatian mengenai perjanjian ini. Yang nyata perjanjian ini nanti akan membuka ruang liberalisasi perdagangan lebih luas dengan AS.
Liberalisasi perdagangan dalam bidang perkhidmatan seperti perbankan, insurans, pengangkutan dan pendidikan, pelaburan, kesihatan, pembekalan dan pembinaan, pertanian, harta intelektual dan banyak lagi memungkinkan syarikat tempatan menghadapi ancaman syarikat gergasi AS yang akan memberikan saingan dari segi daya saing, pasaran modal dan penguasaan ke atas institusi kewangan kita.
Selain itu, bidang pemerolehan kerajaan yang selama ini dinikmati syarikat tempatan mungkin turut terjejas kerana polisi awam yang terpaksa diubah untuk memenuhi syarat perjanjian itu. Contohnya, liberalisasi perkhidmatan memungkinkan tender pembekalan kepada kerajaan terpaksa dibuka kepada syarikat AS.
Kita boleh berasa lega dengan jaminan kerajaan bahawa perkara ini tidak akan berlaku. Perkara lain yang patut difikirkan kerajaan ialah bentuk barangan dan perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam senarai perjanjian itu.
Ini penting kerana barang dan perkhidmatan dari AS yang akan masuk secara bebas dalam pasaran negara akan memberikan kesan kepada rakyat selaku pengguna. Ini termasuklah dalam sektor kesihatan, sektor pertanian, modal insan bahkan juga dari segi perundangan negara.
Kita mengharapkan perdagangan yang adil, bukannya perdagangan bebas yang boleh mengorbankan segala kepentingan negara dan rakyat negara ini. Keputusan ada di tangan kerajaan dan kita berharap kerajaan berhati-hati dalam perkara ini, jangan nanti 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.'
-- BH Jun 2008

1 comment:

Anonymous said...

Thanks for finally writing about > Untitled < Liked it!
My web-site - chronic insomnia